Rabu, Mac 19, 2014

Ceramah Habib Salim

Habib Salim bin Ahmad bin Husain bin Sholeh bin Abdullah bin 'Umar bin 'Abdullah BinJindan bin Syaikhan bin Syaikh Abu Bakar bin Salim, ulama dan waliyullah kelahiran Surabaya pada tanggal 18 Rajab 1324. Terkenal sebagai seorang ulama yang ahli hadits yang menghafal puluhan ribu hadits. Beliau juga dikenali sebagai ulama yang tegas lagi berani dalam menjalankan tugas-tugas dakwah menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Kawey bubuh di bawah ini, cuplikan ceramah al-Habib Salim Bin Jindan rahimahUllah di majlis haul al-Habib Husain al-Haddad suatu ketika dahulu, yang antara lain, menyentuh pesanan agar para saadah yang mulia jangan hanya mengandalkan nasab keturunan. Juga dijelaskan tujuan mengadakan haul dan kenapa hanya diadakan haulnya ulama dan bukannya haul Junjungan Nabi SAW atau haulnya Sayyidina `Ali RA. Moga-moga telinga kita mendapat tuah dengan mendengar suara dan pesanan ulama besar ini, walaupun hanya seketika.

***************************************************
Ceramah Habib Salim BinJindan

Isnin, Mac 17, 2014

Aku beriman dengan Allah


Imam al-`Allamah asy-Syaikh Burhanul Islam az-Zarnuji rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur, Ta'liim al-Muta`allim Thoriiq at-Ta`allum, pada bab yang ke-12 mengenai perkara yang boleh membantu dalam menguatkan ingatan dan menghilangkan lupa menganjurkan agar zikir di atas diamalkan selepas setiap sholat fardhu yang lima. Zikir ini merupakan penyaksian dan pernyataan keimanan kita kepada Allah yang Maha Esa dan penafian kepada segala kesyirikan. Mudah-mudahan dengan menjadikannya amalan akan dijaga keimanan kita dan kekuatan serta kewarasan akal kita sehingga kita jadi mukmin yang sejati yang mentawhidkan Allah pada setiap saat dan ketika. Ramai orang - orang yang dianggap "bijak", namun mempunyai tahap kewarasan akal yang rendah sehingga sanggup kufur dan mensyirikkan Allah SWT, Tuhan yang sebenar-benarnya. Marilah kita basahkan lidah kita dengan zikir tersebut dengan penuh penghayatan agar meresap ke hati sanubari kita: Aamantu biLlahil Waahidil Ahadil Haqq, wahdahuu laa syariikalah, wa kafartu bimaa siwaah -Aku beriman dengan Allah yang Tunggal, Maha Esa, Maha Benar, tiada sekutu bagiNya dan aku mengingkari akan segala apa selainNya (daripada segala macam kesyirikan dan kebatilan).

Rabu, Mac 12, 2014

Kisah Baginda `Ali

Diceritakan bahawa satu hari ketika Sayyidina `Ali RA sedang memberi pengajian dari atas mimbar, baginda telah ditanya oleh seseorang dengan satu soalan. Sayyidina `Ali menjawab soalan tersebut dengan mengatakan bahawa : "La adri (aku tidak tahu akan jawapannya)". Mendengar jawapan ikhlas daripada Sayyidina `Ali RA tersebut, si penanya berkata: "Engkau menaiki mimbar untuk mengajar sedangkan soalanku pun tak dapat engkau jawab ?" Sayyidina `Ali RA menjawab: "Ya, aku naik atas mimbar ini berdasarkan kepada ilmuku, jika aku menaikinya berdasarkan kejahilan nescaya aku sekarang sudah mencapai langit." Allahu... Allah, jawapan yang mencerminkan kebijaksanaan dan ketawadhukan.

Isnin, Mac 03, 2014

Sholawat Jalal

 Ya Allah Wahai Tuhan Kami
Limpahkan sholawat keagungan tertinggi
Serta salam terindah tiada peri
Atas hadhrat KekasihMu Penghulu kami Junjungan Nabi
Litupi baginda, Ya Allah Tuhan Kami
Dengan nurMu yang suci
Sebagaimana telah Kau litupi baginda dengan awanan tajalli
Lalu ZatMu Maha Mulia baginda pandangi
Dengan pandangan hakikat segala hakikat yang diperi
Tuhannya Maha Agung yang maha melindungi 
Junjungan Nabi dari segala kejahatan yang dibenci
Ya Allah lepaskan kesulitanku seperti yang telah Kau janji.

Sholawat yang dinisbahkan kepada Syaikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud rahimahullah. Seorang ulama besar `arif billah yang telah mengabdikan dirinya untuk meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Ulama yang benar-benar menjadi pewaris Junjungan Nabi SAW yang sentiasa mengutamakan akhirat berbandingkan dunia yang fana. Bukan seperti seorang "ustaz" yang telah mengkritik Dr. Abdul Halim ini dengan menyatakan bahawa pemikiran Dr. Abdul Halim Mahmud rosak dek pegangan tasawwufnya. Dan hari ini aku menyaksikan si "ustaz" ini telah benar-benar menjadi pemburu pangkat duniawi bak anjing mencari bangkai sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan maruah agama.... Allahu .... Allah. Mudah-mudahan Allah memelihara agama kita sentiasa.

Rabu, Februari 05, 2014

Susu & Madu

Imam Tirmidzi, Imam Ibnu Majah, Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan Imam Nasai rahimahumullah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW pernah bersabda: 
"Sesiapa yang telah diberikan Allah makanan maka dia hendaklah berdoa dengan ucapan "Allahumma baarik lanaa fiihi wa ath`imnaa khairan minhu" (Ya Allah berkatilah kami padanya dan berikanlah kami makanan yang lebih baik lagi daripadanya (yakni makanan syurga). Dan sesiapa yang diberikan Allah minum susu, hendaklah dia berdoa : "Allahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu," (Ya Allah, berkatilah kami padanya dan berikanlah kami tambahannya lagi). Tiada sesuatu dapat menempati / mengganti kedudukan susu sebagai makanan dan minuman."
Hadis ini menunjukkan kelebihan susu berbanding dengan lain - lain makanan atau minuman. Saking istimewanya susu sehingga Junjungan Nabi SAW mengajari kita agar memohon tambahan lagi setelah meminumnya. Manakala untuk makanan lain diajari agar kita memohon makanan yang lebih istimewa lagi. Oleh itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah mencatatkan dalam "al-Fatawa al-Haditsiyyah" ketika ditanya yang mana afdhal antara susu dan madu ? Beliau rahimahullah, menyatakan sebagai berikut:- 
Telah berkata Imam al-Jalal as-Sayuthi (Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah) bahawa menurut ketentuan dalil- dalil, susu afdhal (daripada madu) kerana Allah telah menjadikan dia makanan bagi bayi dan tidak selainnya. Dan susu mencukupi sebagai makanan dan minuman sedang bagi madu tidaklah sedemikian keadaannya. Dalam hadis yang berdarjat hasan dinyatakan bahawa: "Sesiapa yang diberi minum Allah dengan susu hendaklah dia berdoa: "Allahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu", tiada yang dapat menggantikan sebagai makanan dan minuman selain susu dan ianya tidak menyakitkan perut sebagaimana dinyatakan dalam hadis. Allah ta`ala berfirman : " Yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang - orang yang meminumnya." (an-Nahl:66). Pada malam Isra`, susu juga telah menjadi pilihan Junjungan Nabi SAW berbandingkan madu dan arak, dan dikatakan kepada baginda: "Inilah fitrah yang engkau dan umatmu atasnya." (Diriwayatkan oleh asy-Syaikhan) Dalam satu hadis disebut: "Diperintahkan atas sesiapa yang makan selain susu untuk berdoa: "Allahumma baarik lanaa fiihi wa ath`imnaa khairan minhu"  dan diperintahkan sesiapa yang makan/minum susu untuk berdoa: "Allahumma baarik lanaa fiihi wa zidnaa minhu." Dan ini menunjukkan bahawa susu itu lebih baik daripada madu.
Oleh itu, selain madu, jangan diabaikan susu. Jangan dianggap yang susu itu hanya untuk budak-budak sahaja. Setelah meminumnya, jangan pula lupa membaca doa yang diajar oleh Junjungan Nabi SAW.  Disunnatkan juga agar setelah minum susu, kita berkumur - kumur kerana ianya dilakukan oleh Junjungan Nabi SAW. Mudah-mudahan hilang haus, kenyang perut, dan dapat pahala serta diberkati Allah SWT.

Jumaat, Januari 24, 2014

Belasungkawa

Hari ini telah berpulang seorang lagi ulama iaitu al-Mukarram Kiyai Haji Muhammad Ahmad Sahal bin Abu Hasyim Muhammad Mahfudh Salam rahimahullah. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mbah Sahal adalah seorang adalah Rois Aam Syuriah Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (NU), pemimpin Pondok Pesantren Maslakul Huda dan pernah menjadi ketua Majelis Ulama Indonesia (MUI). Beliau dilahirkan pada 17 Disember 1937 di Kajen, Kabupaten Pati, Jawa Tengah. Beliau terkenal alim dalam ilmu-ilmu Islam terutama sekali fiqh dan usul fiqh. Dalam bidang penulisan, beliau giat menulis karya - karya samada berbahasa `Arab maupun Indonesia, antaranya:-
  1. Faidlul Hajaa ‘alaa Nayl al-Rajaa Mandhumah Safinah al-Najaa.
  2. Thariqah al-Hushul ila Ghayah al-Ushul;
  3. al-Bayam al-Mulamma`;
  4. ats-Tsamah al-Hajainiyah;
  5.  Luma` al-Hikmah ila Musalsalat al-Muhimmat;
  6. al-Faraid al-`Ajibah;
  7. Nuansa Fiqh Sosial;
  8. Pesantren Mencari Makna;
  9. Telaah Fikih Sosial;
  10. Ensiklopedi Ijma`;
  11. Dialog Problematika Umat.
Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmatNya yang berkekalan ke atas roh beliau dan menempatkan beliau bersama para shalihin..... al-Fatihah.

Isnin, Januari 13, 2014

Sambutan Mawlid - Dr. Abdul Halim Mahmud

Sambutan mawlid Junjungan Nabi SAW adalah satu sunnah hasanah (satu sunnah yang baik) daripada sunnah - sunnah yang diisyaratkan kepadanya oleh Junjungan Nabi SAW dengan sabdaan baginda: "Sesiapa yang mengadakan dalam agama suatu amalan yang baru yang baik, nescaya baginya ganjaran pahalanya dan pahala sesiapa yang beramal dengannya; Dan sesiapa yang mengadakan suatu sunnah yang buruk, maka atasnya balasan dosanya dan dosa orang yang beramal dengannya. " - Fatwa Syaikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud rahimahullah