Selasa, Julai 24, 2018

Kiyai Abul Fadhol

Seorang lagi ulama besar yang banyak jasanya kepada ummat, Kiyai Abul Fadhol (Ahmad) bin Kiyai Abdul Syakur as-Senori at-Tubani rahimahullah. Seorang luarbiasa, kekuatan hafalannya terhitung ajaib dan kemampuannya untuk mengarang kitab-kitab berbahasa 'Arab amat mengkagumkan. Sekitar umur 9 tahun, beliau sudah hafal al-Quran dan dikatakan beliau menghafal keseluruhan 30 juz dalam tempoh 2 atau 3 bulan sahaja, berkat asuhan ayahanda beliau yang amat menitikberat kaedah menghafal dalam proses pembelajaran.  Beliau yang dilahirkan pada tahun 1921 adalah gurunya para kiyai besar Tanah Jawa seperti KH Sahal Mahfuz, KH Maimoen Zubair, KH Faqih Langitan, KH Hasyim Muzadi dan ramai lagi. Ayahanda beliau, Kiyai Abdul Syakur adalah rakan karib Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari.

Kiyai Abul Fadhol rahimahullah merupakan sosok ulama yang sangat luas dan mendalam pengetahuan agamanya, walaupun sewaktu hayat, beliau tidak pernah belajar di Timur Tengah. Dengan berkat keikhlasan, ketekunan dan disiplinnya dalam menuntut ilmu, maka beliau berjaya menguasai berbagai cabang ilmu. Dalam belajar beliau tidak sahaja memahami sesuatu ilmu tersebut, bahkan sedaya upaya beliau akan menghafalnya kerana bagi beliau "al-'ilmu fir ra'si, laisa fil karrasi" (ilmu itu apa yang ada dalam kepala (yakni yang dihafal) bukannya apa yang tertinggal pada helaian - helaian kertas). Kecintaannya kepada ilmu amat mendalam sehingga menjadi wirid beliau mentelaah sebuah kitab besar dan mengkhatamkannya dalam tempoh 10 hari. Seringkali ketika khatam kitab tersebut, separuh isinya sudah ada dalam hafalan beliau. Ketinggian ilmunya menjadikan beliau tempat para kiyai merujuk sehingga digelar "Kamus Berjalan". Selain daripada itu, Kiyai Abul Fadhol juga dikenali sebagai seorang sufi yang zuhud. Kehidupan harian beliau jalani dengan penampilan yang amat sederhana dan bersahaja sehingga sesiapa yang baru pertama kali menemui beliau tidak akan menyangka yang beliau itu kiyai besar. Setiap jam 1 pagi, beliau akan bangkit dari tidurnya dan bershalat, membaca al-Quran, hizib-hizib dan berzikir sehingga ke Subuh. Maka tidak hairan, jika sebulan beliau dapat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali khatam.

Dalam bidang penulisan Kiyai Abul Fadhol rahimahullah meninggalkan karya - karya yang banyak lagi bermutu. Beliau mempunyai tulisan tentang sejarah perjuangan para wali Tanah Jawa menghadapi Kerajaan Majapahit yang berjodol Ahlal Musaamarah fi Hikayatil Awliya-il 'Asyarah. Dalam karya ini, beliau turut menyentuh kisah wali yang kesepuluh, Syaikh Siti Jenar yang nama sebenarnya Sayyid Abdul Jalil bin Sayyid Abdul Qadir,  sedangkan Siti Jenar itu adalah nama desa tempat beliau mengungsi untuk membawa diri berkhalwat. Disebut bahawa Syaikh  Siti Jenar adalah seorang sufi yang karam tenggelam dalam ilmunya. Beliau tenggelam dalam tafakkur dan zikir tanpa menghiraukan soal makan - minum. Saking larutnya beliau, sehingga segala wajdan dan waridat yang datang tidak lagi mampu untuk disimpan dan ditahan dalam hati sanubarinya, lalu terkeluar pada lisannya syatahat (latah) sehingga menjadi fitnah atas orang yang mendengarnya. Maka  kerana itulah beliau dijatuhkan hukuman mati, sebagaimana yang dialami oleh Abul Mughits Husain bin Manshur al-Hallaj. Semuanya adalah untuk menjaga keutuhan dan kesucian akidah dan syariat daripada disalahfahami orang awam akibat terikut-ikut fana Syaikh Siti Jenar yang tidak terkawal. Mereka-mereka ini adalah golongan sufi yang disebut dalam kitab-kitab sebagai "wa annahum qad ghulibu bil haal" iaitu mereka yang dikalahkan oleh hal yang datang kepada mereka. Faqir datangkan contoh yang sederhana untuk memudahkan faham berhubung keadaan "mereka-mereka yang dikalahkan oleh halnya", iaitu faqir cuplik daripada hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, menceritakan tentang seseorang yang kehilangan unta tunggangan bersama bekal perjalanannya di tengah padang pasir yang kering kontang. Setelah berputus asa untuk mencarinya tiba-tiba dia berjumpa semula dengan untanya, lalu dipegangnya tali kekang untanya seraya berkata: Allahumma anta 'abdi wa ana rabbuka (Ya Allah, Engkau hambaku dan aku tuhanMu). Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjelaskan bahawa orang tersebut tersilap dan terkhilaf sehingga mengeluarkan ungkapan tersebut kerana terlalu amat gembira bertemu semula dengan untanya yang hilang (.....'akhtha-a min syiddatil farah). Mudah-mudahan contoh ini dapat menghampirkan faham kita kepada situasi seseorang yang dikalahkan oleh perasaannya atau halnya. Berbalik kepada kisah Syaikh Siti Jenar, Kiyai Abul Fadhol menegaskan bahawa kita hanya mampu menghukum atas apa yang zahir, masalah hakikat, kita serahkanlah kepada al-Haq jalla jalaluh. Akhirnya, Kiyai Abul Fadhol menutup bicara perihal Syaikh Siti Jenar dengan mengutip bait - bait syair yang antaranya bererti: Sesiapa yang hendak memahami sesuatu ilmu yang penuh isyarat, maka hendaklah dia memahaminya dengan sempurna. Jika tidak, maka dia akan terbunuh di hujung sebatang tombak.

Dalam bidang bahasa pula, kemampuan dan penguasaan ilmu bahasa Kiyai Abul Fadhol terbukti menerusi karangan-karangan beliau yang semuanya berbahasa Arab. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai karya khusus dalam bidang bahasa antaranya 3 juz syarah bagi Alfiyyah Ibnu Malik yang diberi jodol Tashiilul Masaalik ila Alfiyyah Ibn Malik. Dalam bidang fiqh dan usul, beliau meninggalkan karya antaranya Kifayatuth Thullab fi Qawaa'idil Fiqhiyyah dalam bentuk nazam yang disari dari Asybah Imam as-Sayuthi dan kitab Kasyfut Tabarih fi Bayani Shalatit Tarawih yang menjelaskan masalah rakaat bagi Shalat Tarawih.

Dalam bab akidah dan tauhid, antara peninggalan beliau adalah kitab al-Kawaakibul Lamaa`ah fi tahqiqil musamma bi Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan syarahnya yang membicarakan tentang Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Di akhir kitab tersebut dijelaskan juga kesesatan fahaman Ibnu Taimiyyah dan pendokongnya, Muhd bin Abdul Wahhab, pendiri Wahabi. Pada halaman 88, Kiyai Abul Fadhol menegaskan bahawa Ibnu Taimiyyah adalah pendokong dan pengikut al-Hasywiyyah, satu firqah mujassimah yang menisbahkan diri mereka kepada Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhu, sedangkan Imam Ahmad sebagai seorang ahlis sunnah yang sejati adalah bebas daripada dakwaan dan kesesatan mereka. Makanya, Ibnu Taimiyyah begitu berani dan sanggup untuk mentajsimkan Allah dengan menisbahkan sifat-sifat makhluk kepada Allah Zat yang mukhalafah lil hawadits (bersalahan dengan segala yang baharu).

Kiyai Abul Fadhol rahimahullah juga menyentuh dalam karya tersebut akan fatwa sesat Ibnu Taimiyyah dan Ben Wahab mengharamkan ziarah kubur hatta ziarah makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.  Di mana kita dapati masih ada segelintir ustaz "Wahabi bertopeng" atau yang mesra Wahabi, dalam Malaysia Baharu ini yang mendokong fatwa ini dan cuba untuk mendakyahkannya kepada orang awam secara halus dengan menyepelekan berziarah ke makam baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang mulia. Dalam tulisan dan secara lisan, mereka cuba mengalihkan tumpuan masyarakat daripada menziarahi baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam kepada menziarahi tanah, batu dan binaan yang ada di Madinah, seolah - oleh itu yang lebih utama daripada menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang jasad baginda bersemayam dalam makam yang mulia. Maka bertepatan dengan musim haji yang akan tiba, di mana selain berhaji, para jemaah juga semestinya mendatangi Madinah dengan tujuan pertama dan utama, menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka faqir ingin berkongsi sedikit tulisan Kiyai Abul Fadhol dalam syarah beliau atas al-Kawaakibul Lamaa`ah tersebut, pada halaman 109-110, beliau menulis: Sebelum zahirnya Muhd bin Abdul Wahhab, para ulama telah sepakat bahawasanya ziarah kubur itu adalah satu amalan yang disukai (mustahabbah) terutama sekali menziarahi kubur Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka sesungguhnya menziarahi baginda adalah daripada sebesar-besar amalan untuk bertaqarrub kepada Allah, bahkan Imam al-'Abdari al-Maliki menyatakan bahawa qasad untuk menziarahi baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah afdhal, mengatasi qasad untuk menziarahi Ka'bah dan menziarahi Baitul Maqdis, sebagaimana yang dinukil oleh al-Barmawi. Qadhi Iyyadh menyatakan bahawa ijmak para ulama bahawa tempat makam baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam itu afdhal daripada mana-mana belahan bumi yang lain, manakala Mekah dan Madinah adalah belahan bumi yang afdhal selepasnya.

Para ulama kita terdahulu seperti Kiyai Abul Fadhol, telah banyak meninggalkan karangan agar kita tetap berada atas jalan yang sebenar, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan tidak terpesong mengikuti ajaran-ajaran serpihan seperti Ibnu Taimiyyah dan Wahabi. Maka diharap kita sebagai pengikut ahlul haq, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dapat merapatkan shaf kita untuk mempertahankan akidah, tanpa mengira apa parti politik yang kita sokong. Kita mahu melihat Islam tertegak, namun haruslah Islam yang sebenar, Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan bukannya Syiah atau Wahabi atau apa-apa merek ajaran sempalan yang lain. 

Isnin, Julai 16, 2018

Shalawat Tafrijiyyah - Tok Bunut Payong

Tuan Guru al-'Alim al-'Allaamah Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad rahimahullah adalah murid tua Tok Kenali  rahimahullah yang paling kanan. Beliau berguru dengan Tok Kenali selama lebih 15 tahun sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah al-Mukarramah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang faqih dalam Mazhab Syafie. Beliau telah mengasaskan Madrasah Ahmadiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Bunut Payong yang terkenal sebagai pusat pengajian pondok yang terbesar dan tertinggi di Kelantan ketika itu, di mana berkumpulnya para tok faqir / pelajar / santri dari berbagai negeri di Semenanjung, Indonesia, Champa dan Thailand. Tuan Guru Haji Abdullah kembali ke rahmatullah pada 4 Rabiul Awwal 1381 / 15 Ogos 1961. 

Kisah hidup dan perjuangan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong telah banyak ditulis dan sudah masyhur dikenali para pencinta ilmu dan ulama. Pada kesempatan ini, faqir hanya ingin berkongsi catatan beliau tentang Shalawat Tafrijiyyah

Di antara peninggalan beliau adalah satu risalah yang berjodol Wazifah Zarifah berisikan 8 shighah shalawat yang menjadi amalan beliau. Diterangkan juga dalam risalah tersebut akan khasiat dan aturan mengamalkan shalawat-shalawat tersebut. Shalawat Tafrijiyyah juga terkandung di dalamnya dan beliau mencatat sebagai berikut: Menyatakan khasiat dan aturan-aturan Shalawat Tafrijiyyah ini: (1) Baca 11 kali tiap-tiap hari, meluaskan rezekinya. (2) Baca 11 kali tiap-tiap lepas sembahyang fardhu, mendatangkan rezeki dan diberi kesenangan dan kemuliaan. (3) Baca 41 kali lepas sembahyang Subuh, menyenangkan apa-apa kehendak dan hajat. (4) Baca 41 kali atau 100 kali tiap-tiap hari, dihilangkan runsing, dukacita, kesusahan dan terlepas daripada bala, fitnah, kepapaan dan kelaparan, dan menerangkan hati, dan diangkatkan kemuliaan, dan dielokkan perangai, diluaskan rezeki, dimudahkan segala pekerjaan, dibukakan pintu kebajikan, didengar cakapan pada kira bicara, dikasihi pada segala hati orang. (5) Baca 313 kali tiap-tiap hari, dibuka tiap-tiap rahsia dan diberi lihat tiap-tiap suatu yang dikehendak. (6) Baca 1,000 kali tiap-tiap hari, dikurniakan dia barang yang tidak dapat seseorang mensifat dan memperikannya. (7) Baca 4,444 kali dalam satu perhimpunan majlis untuk memohon satu-satu perkara yang digemar atau menolakkan perkara yang dibenci, maka Allah jua yang menunjukkan atas niat hambaNya.

Inilah sedikit apa yang dicatat oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengenai Shalawat Tafrijiyyah yang menjadi amalan beliau. Segala apa yang beliau nyatakan tadi semestinya beliau perolehi daripada tuan-tuan guru beliau dan daripada kitab-kitab ulama yang muktabar. Apa yang dinyatakan adalah berseberangan dengan "fatwa" ustaz-ustaz salahpi yang menghukumkan Shalawat Tafrijiyyah sebagai syirik dan jalan ke neraka. Faqir tetap berpegang dengan ajaran tuan-tuan guru kita yang banyak jasanya, fatwa salahpi boleh pi.


Isnin, Julai 02, 2018

Basmallah Wasiat Hujjatul Islam

Setelah lama menyepi, faqir mulakan tulisan dengan entri berkaitan pembuka bicara, kalimah suci basmallah, mudah-mudahan diberkati Allah, awwalan wa akhiran, berkekalan sepanjang zaman. Basmallah, ucapan yang ringan untuk dilafazkan namun mempunyai keistimewaan yang amat luarbiasa. Mudah-mudahan, kita ditaufikkan Allah untuk sentiasa ingat dan membaca lafaz yang mulia ini ketika memulakan setiap pekerjaan yang elok, juga pada setiap gerak dan diam kita. Sebelum itu, faqir ingin mengingatkan bahawa dalam selok-belok Bahasa 'Arab, ada  kaedah yang dinamakan an-naht, berfungsi meringkas rujukan atau mendefinasi  beberapa rangkaian kalimah kepada satu terma ringkas yang merujuk kepadanya, seperti basmallah itu merujuk kepada ungkapan yang berkat BismillAllahir Rahmanir Rahim, hauqalah itu merujuk kepada La hawla wa la quwwata illa billah, hamdallah itu merujuk kepada Alhamdulillah, hasballah itu merujuk kepada ucapan hasbiyaAllah dan lain-lain lagi. Jadi bila disuruh membaca basmallah, jangan pula dibaca basmallah, basmallah, basmallah, tapi ucapkanlah Bismillahir Rahmanir Rahim.

Dr. Sayyid Muhammad al-Maliki rahimahullah dalam karya beliau "Abwaabul Faraj" menukil pada halaman 117 akan perkataan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan:-

Telah berkata Imam al-Ghazali rahimahullahu ta`ala tentang keistimewaan kalimah al-basmallah: Ketahuilah bahawasanya keistimewaan-keistimewaannya (yakni al-basmallah) itu amat banyak sehingga tidak dapat dihitung dan tidak dapat dikira. Namun aku berwasiat kepadamu, wahai saudaraku kerana Allah (yakni saudara seagama), jadikanlah segala pekerjaan atau urusanmu diawali dan dibuka dengan "Bismillah", ketika engkau (hendak) duduk, berdiri, tidur, berwudhu`, shalat dan membaca. Sesiapa yang melakukannya dalam keadaan-keadaan tersebut, Allah akan memudahkan dia menghadapi sakaratul maut, memudahkan dia menjawab soalan Munkar dan Nakir, menghindarkan  dia daripada kesempitan kubur, melapangkan kuburnya serta meneranginya.
Allahu ... Allah, sungguh besar rahmat dan nikmat yang disediakan Allah kepada hamba-hambaNya. Sungguh rugi sesiapa yang enggan menerima dan meraihnya. Oleh itu, biasakan dan lazimkanlah ucapan basmallah di bibir-bibir kita dan biarlah pemahaman dan kefahamannya menancap kukuh dalam hati sanubari kita. 

Selasa, April 24, 2018

Jadilah Seperti Abu Dhamdham

Sifat berlapang dada dengan mudah memberi maaf bagi kesalahan yang dilakukan oleh seseorang terhadap diri kita adalah salah satu daripada akhlak yang terpuji. Seharusnya sifat sebegini disemai dan dipupuk dalam diri kita selaku umat Islam. Jika kalangan awam wajar memiliki sifat sedemikian, maka bagi seseorang pemimpin atau yang hendak menjadi pemimpin atau "public figure" seharusnya berlebih lagi. Pemimpin hendaklah bersikap pemaaf dan berlapang dada dalam menerima apa sahaja yang datang daripada khalayak. Janganlah hanya suka dan sudi menerima sanjungan dan pujian sahaja, manakala marah dan mengamuk bila dicaci dan dicemuh. Sanjungan dan kejian, itu adalah lumrah bagi seseorang yang berada di atas atau "public figure", yang jadi tumpuan pandangan mereka yang di bawah. Jadilah pemimpin yang jiwanya besar seperti air dalam lautan, jangan yang jiwanya kecil bak air dalam cawan. Tidak dinafikan bahawa yang menjahanamkan seseorang pemimpin itu adalah para penjilat dan tukang kipas yang berada di sekelilingnya. Bak kata bidalan "harapkan sokong, sokong membawa rebah" - ingat rebah di sana lebih lagi dahsyatnya dari rebah di sini. Kekadang pemimpin tidak ada apa-apa, pemimpin tak kisah pun, cuma tukang kipas sahaja yang lebih-lebih. Maka kasihanlah kat para pegawai polis yang terpaksa meluangkan masa mereka untuk melayan karenah. Sudah-sudahlah berbuat sedemikian, belajarlah untuk menjadi seorang Abu Dhamdham.

Siapakah Abu Dhamdham? Faqir tidak berhasrat untuk memanjangkan berbagai pendapat di kalangan ulama mengenainya, ada yang menyatakan dia seorang sahabat, ada yang menyatakan dia daripada kalangan umat terdahulu dan ada yang menyatakan dia adalah satu watak manusia daripada kalangan umat ini. Siapa sebenarnya diri Abu Dhamdham tidak signifikan, yang penting adalah sikap pemaaf yang ada pada seorang Abu Dhamdham yang dipuji oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Abu Dhamdham adalah contoh orang yang murah dengan kemaafan sehingga dia sanggup memberikan kemaafan kepada orang yang mencaci, mencela dan menceroboh kehormatannya walaupun tanpa diminta.

Riwayat mengenai Abu Dhamdham ini berbagai, di antaranya apa yang diriwayatkan dalam Sunan Abi Daud pada bab apa yang datang pada riwayat mengenai seseorang yang menghalalkan (yakni memaafkan) orang lain mengumpat dirinya, di mana didatangkan 2 riwayat mengenai Abu Dhamdham. Riwayat pertama adalah daripada Muhammad Ibnu 'Ubaid daripada Ibnu Tsaur daripada Ma'mar daripada Sayyidina Qatadah radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Apakah kamu tidak mampu menjadi seperti Abu Dhamdham atau Dhamdham (berlaku keraguan atas Ibnu 'Ubaid samada Abu Dhamdham atau Dhamdham sahaja). Adalah beliau (yakni Abu Dhamdham atau Dhamdham tadi) pada ketika pagi berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku telah bersedekah dengan kehormatanku kepada hamba-hambaMu". Riwayat kedua pula adalah daripada Musa ibnu Ismail daripada Hammad daripada Tsabit daripada 'Abdur Rahman ibni 'Ajlaan yang berkata bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apakah kamu tidak mampu untuk menjadi seperti Abu Dhamdham?" Para sahabat bertanya: "Siapakah Abu Dhamdham?" Baginda menjawab: "Seorang lelaki sebelum kamu, yang berkata: 'Kehormatanku adalah untuk sesiapa yang mencelaku."

Imam an-Nawawi pula menukilkan dalam al-Adzkar pada halaman 148 daripada kitab Ibnus Sunni sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu bahawasanya Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apakah kamu tidak mampu untuk menjadi seperti Abu Dhamdham?" Para sahabat bertanya: "Siapakah Abu Dhamdham, wahai RasulAllah?" Baginda bersabda: " Dia adalah seseorang yang ketika berpagi berkata: "Ya Allah, aku telah hibahkan diriku dan kehormatanku keranaMu", maka dia tidak mencaci orang yang mencacinya, dia tidak menganiaya orang yang menganiayainya dan dia tidak memukul orang yang memukulnya."
Akhir sekali, faqir ingin menukilkan riwayat yang didatangkan oleh panutan pihak parti lawan (pihak sebelah), iaitu Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dalam Madarijus Salikin, juz 2, halaman 45 yang menyatakan:-

Martabat Pemurah Yang Ke-7: Pemurah dengan kehormatan, seperti pemurahnya Abu Dhamdham daripada kalangan sahabat radhiyaAllahu `anhum. Adalah beliau ketika berpagi berkata: "Ya Allah, tiada bagiku harta untuk aku sedekahkan dengannya kepada manusia, oleh itu telah aku sedekahkan kepada mereka kehormatanku, maka sesiapa yang mencelaku atau memfitnahku, aku halalkan (yakni aku maafkan dia)". Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (memujinya dengan) bersabda: "Siapa daripada kamu yang mampu menjadi seperti Abu Dhamdham?"
Begitulah ikhwah, riwayat - riwayat mengenai Abu Dhamdham @ Dhamdham bukanlah untuk dijadikan lesen atau galakan kita mencela, mengumpat, mencaci,  mencemuh dan memfitnah orang, TAPI hendaklah dijadikan panduan dan pegangan ketika kita mendapat cacian dan makian manusia. Bukan juga ertinya kita tidak boleh bertindak atau membalas, tapi biarlah berpada dan mengikut lunas serta batas  ketentuan Hukum Syarak yang mulia, dengan catatan bahawa memaafkan itu lebih utama. Terutama sekali bagi para pemimpin dan setiap yang berada di atas, hendaklah sentiasa bermurah hati memberikan kemaafan. Janganlah setiap kali dicaci dan dicemuh, terus buat repot, arah polis, arah AG,  guna kuasa untuk dakwa dan seumpamanya. Semenjak dua menjak ni, bukan main hebat lagi guruh dan kilatnya, jika ada pemimpin tertentu yang dicaci, awat bila tang agama dihina, Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dicerca, sonyappp joooo. Kalau pun ada yang kena, berapa sen je. Takkan memada kita dengan hukuman bunuh tenok lebih besar daripada hukuman menghina Agama Persekutuan, Islam dan Nabinya.... tak patut...tak patut....tak patut. Apa-apa pun, sendiri kena ingat dan ingat juga memberikan kemaafan adalah satu sedekah, sedekah yang sifatnya maknawi lagi abstrak. Jadilah seperti Abu Dhamdham, tapi jangan jadi dum...dum...dummy.

Ahad, Februari 04, 2018

Qadhi Abu Syuja`

Syaikh al-'Alim al-'Allaamah al-Imam Syihabud Dunya wad Din, Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Ashfahani asy-Syafi`i rahimahullah yang lebih dikenali sebagai Qadhi Abu Syuja` @ Qadhi Abu Thayyib adalah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi`i. Tarikh lahir dan wafatnya tidak diketahui dengan pasti. Ada yang menyatakan beliau lahir dalam tahun 328H dan wafat pada tahun 488H, manakala pendapat lain menyatakan bahawa beliau lahir tahun 433H dan wafat tahun 593H.

Ketokohan beliau amat terserlah sehingga dilantik menjadi qadhi dan akhirnya menduduki jawatan wazir. Namun kedudukan dan pangkat sedikit pun tidak mempengaruhi keshalehan, sikap warak dan zuhud beliau. Bahkan beliau dikenali di segenap ceruk rantau sebagai seorang imam yang shaleh lagi alim. Sewaktu menduduki jawatan wazir, beliau menugaskan 10 orang pembantu bertugas membahagi dan mengagih-agihkan sedekah dan hadiah, di mana setiap seorang diberi 120,000 dinar untuk dibahagi kepada orang - orang miskin, penuntut dan ahli ilmu serta sesiapa sahaja yang memerlukannya. Beliau sendiri tetap hidup dengan penuh kezuhudan terhadap dunia yang fana ini.

Qadhi Abu Syuja` dianugerahkan dengan umur yang cukup panjang, iaitu 160 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Bujairimi dan Imam al-Bajuri dalam kitab - kitab mereka. Setelah bersara dari jawatan wazir, Qadhi Abu Syuja` berhijrah ke Kota Madinah al-Munawwarah untuk menjadi khadam kepada Junjungan Nabi SAW yang berkhidmat menjaga dan melayan segala keperluan makam dan masjid baginda yang mulia. Meskipun seorang ulama besar dan mantan wazir, Qadhi Abu Suja` tidak segan dan malu untuk membersih sendiri makam dan masjid yang mulia serta menyalakan lampu - lampunya. 

Sungguh pun menjangkau usia lanjut, namun tubuh badannya tetap seperti orang muda, segala anggota-anggotanya tetap seperti dahulu tidak dimamah usia. Apabila ditanya mengenainya, beliau menjawab:- "Kami telah menjaganya sejak kecil, maka Allah menjaganya ketika kami tua (yakni sejak kecil lagi beliau telah menjaga dan memelihara segala anggotanya daripada berbuat maksiat kepada Allah, maka Allah pun menjaga dan memelihara segala anggota beliau agar tetap cergas dan berfungsi walaupun usia beliau sudah lanjut). Inilah sebahagian akhlak dan sifat para ulama kita, jadi bagaimana mungkin kita meninggalkan jalan mereka untuk menuruti jalan orang yang "konon"nya lebih faham akan ajaran Islam daripada mereka, namun ilmu dan amal juga akhlak sebesar kuku pun tidak seperti mereka.
 
Qadhi Abu Syuja` wafat di Kota Madinah dan di sanalah beliau dimakamkan. Antara peninggalan beliau yang masyhur adalah karya fiqh mazhab Syafi`i yang banyak disyarahkan oleh ulama-ulama yang datang kemudian. Karya tersebut adalah "al-Ghayah wa at-Taqrib" atau "Ghayatul Ikhtishar" atau "Mukhtashar Abi Syuja`" atau sering disebut sebagai "Matan Abi Syuja`". Karya ini telah disyarah dan diberi penjelasan oleh ramai ulama kemudian, antaranya, oleh:-
  1. Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Hishni - "Kifayatul Akhyar"
  2. Imam Ahmad al-Akhshashi - "Syarh Mukhtashar Abi Syuja`";
  3. Imam Muhammad bin Qasim al-Ghazzi -  "Fathul Qarib al-Mujib";
  4. Imam Waliyuddin al-Basyir - "an-Nihayah fi Syarhil Ghayah";
  5. Imam Muhammad asy-Syarbini al-Khatib - "al-Iqna`";
  6. Imam Ahmad bin al-Qasim al-`Ubbadi - "Kasyful Ghaffar"
Maka berpanjanganlah ilmu beliau sehingga dimanfaati kita di zaman ini. Mudah-mudahan Allah mencucurkan rahmatNya kepada Qadhi Abu Syuja` dan sekalian para ulama dan shalihin juga sekalian umat ini..... al-Fatihah.

Selasa, Januari 02, 2018

Nabi Khidhir - Imam an-Nawawi

Menurut kebanyakan ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah, al-Khadhir atau al-Khadhr atau al-Khidhr atau yang biasa dan mudah di lidah kita Nabi Khidhir `alaihis salam adalah seorang nabi yang dianugerahkan Allah ta`ala dengan umur yang panjang sehingga dikatakan baginda hanya akan diwafatkan ketika al-Quran diangkat ke langit, iaitu ketika kiamat hampir tiba. Imam an-Nawawi rahimahullah dalam karya beliau Shahih Muslim bi syarhi an-Nawawi, syarah bagi Shahih Muslim turut menyentuh tentang Nabi Khidhir alaihis salam dalam juzuk ke-15, halaman 135 - 136, pada Bab Min Fadhail al-Khidhr shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana beliau rahimahullah antara lain menjelaskan sebagai berikut:- 
Jumhur ulama (yakni majoriti ulama) berpendapat bahawasanya dia (yakni Sayyidina Khidhir 'alaihis salam) hayyun maujudun baina adzharina (hidup dan wujud, berada di kalangan kita, yakni masih hidup pada masa kita ini) dan pendapat ini telah disepakati oleh para shufi dan ahlush sholah wal ma'rifah (orang-orang ahli kebajikan dan ma'rifah). Kisah-kisah mereka melihat dan berjumpa dengannya serta mengambil pelajaran dan bersoal-jawab dengannya, juga kehadirannya di tempat-tempat mulia dan tempat-tempat kebajikan adalah terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu masyhur untuk disembunyikan.
Dan telah berkata Syaikh Abu 'Umar bin ash-Sholah: "Dia (yakni Nabi Khidhir) hidup menurut jumhur ulama dan orang-orang sholeh dan orang awam adalah bersama mereka dalam perkara ini". Dia juga berkata: "Bahawasanya pendapat sebahagian ahli hadis yang mengingkari hidupnya Nabi Khidhir sehingga masa kini adalah satu pendapat yang syadz (yakni pendapat yang ganjil lagi lemah dibandingkan pendapat jumhur ulama tadi).......
Imam ats-Tsa'labi al-Mufassir menyatakan bahawa  menurut pendapat kebanyakan ulama Nabi Khidhir adalah seorang nabi yang diberi umur panjang dan baginda dilindung daripada pandangan mata yakni daripada pandangan mata kebanyakan manusia sehingga mereka tidak dapat melihatnya. Dikatakan bahawa baginda tidak diwafatkan melainkan pada akhir zaman ketika al-Quran diangkat.
Imam ats-Tsa'labi juga menyatakan bahawa ada tiga pendapat mengenai permulaan hidup Nabi Khidhir. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa baginda hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim al-Khalil shallaAllahu 'alaihi wa sallam; Pendapat kedua pula menyatakan bahawa baginda dilahirkan tidak lama selepas zaman Nabi Ibrahim; Manakala pendapat ketiga menyatakan baginda dilahirkan setelah jarak masa yang panjang selepas zaman Nabi Ibrahim.
Kunyah Nabi Khidhir adalah Abul 'Abbas, nama baginda Balya ibnu Malkan atau menurut pendapat yang lemah nama bapanya adalah Kalyan. Imam Ibnu Qutaibah dalam al-Ma`arif menukil perkataan Wahb bin Munabbih menyatakan bahawa nama penuh Nabi Khidhir adalah Balya ibnu Malkan ibnu Faaligh ibnu 'Aabir ibnu Syaalikh ibnu Arfakhasyad ibnu Saam ibnu Nuh. Dikatakan bahawa ayahanda baginda adalah daripada kalangan raja-raja.
Daripada penjelasan Imam Nawawi kita mengetahui bahawa JUMHUR ULAMA berpegang dengan pendapat bahawa Nabi Khidhir `alaihis salam masih hidup dan belum lagi wafat. Macam mana dan bagaimana keadaan kehidupan baginda sekarang, Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Hidup atau matinya baginda sekarang bukanlah perkara besar dan tidak harus dijadikan perbalahan sesama umat. Nak percaya baginda masih hidup, tidak ada masalah kerana itulah pendapat jumhur ulama dan yang nak percaya bahawa baginda telah wafat pun tidak menjadi masalah kerana sesetengah ulama dan ahli hadits berpendapat sedemikian seperti Imam al-Bukhari rahimahullah.

Halaman 135 - 135, "Syarah Muslim"


Rabu, Disember 06, 2017

Kisah Syaikh 'Umar bin Mubarak

Imam Ahmad bin Ahmad bin 'Abdul Lathif asy-Syaraji rahimahullah menulis dalam Thabaqaat al-Khawwash tentang seorang ulama  yang shalih lagi faqih bernama Abul Khaththab 'Umar bin al-Mubarak bin Mas`ud bin Saalim al-Ju`fi rahimahumullah. Syaikh 'Umar bin al-Mubarak ini dikenali sebagai Maqthu` al-Lisan (orang yang terpotong lidahnya) kerana satu peristiwa yang dialaminya. Peristiwa yang dihubungkan dengan karamah  yang diperolehi Syaikh 'Umar telah dikisahkan oleh Imam asy-Syaraji pada halaman 243-244 kitab tersebut.

Dikisahkan bahawa suatu ketika Syaikh 'Umar bin al-Mubarak rahimahullah pergi menunai ibadah haji dan menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Syaikh 'Umar dalam ziarahnya kepada makam Junjungan yang mulia serta dua sahabat baginda dalam Masjid Nabawi, telah melantunkan qasidah memuji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan kedua sahabat baginda, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhuma. Setelah selesai berqasidah, seorang lelaki daripada penduduk Madinah yang menjadi pengikut Syiah telah datang menemui Syaikh 'Umar untuk mempelawanya ke rumah. Syaikh 'Umar menerima pelawaan lelaki tersebut. Setiba di rumahnya, lelaki tersebut telah mengurung Syaikh 'Umar dan memotong lidahnya kerana beliau telah menggunakan lidahnya untuk memuji  Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhuma dalam qasidahnya. Setelah lidahnya dipotong, Syaikh 'Umar dibebaskan dan beliau terus ke makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk mengadu kepada baginda. Pada malamnya, Syaikh 'Umar telah bermimpi didatangi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersama dengan kedua sahabat baginda yang mulia. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam berdiri di sisi kepala Syaikh 'Umar dan mengarahkan Sayyidina Abu Bakar mengembalikan lidah Syaikh 'Umar yang terpotong tadi. Maka Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu mengambil lidah Syaikh 'Umar yang terpotong dengan tangannya dan mengembalikannya ke tempat asalnya sebelum dipotong. Kemudian baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dan kedua-dua sahabat baginda mengusap kepala dan sebahagian anggota badan Syaikh 'Umar serta mendoakannya. Ketika Syaikh 'Umar jaga dari tidurnya, beliau mendapati lidahnya telah bersambung kembali seperti sediakala. Setelah selesai ziarah, maka Syaikh 'Umar pulang ke Yaman.

Pada tahun berikutnya, Syaikh 'Umar pergi lagi menunaikan haji dan menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di Madinah. Sebagaimana tahun sebelumnya, beliau telah melantunkan qasidah dalam Masjid Nabawi memuji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dua sahabat baginda tersebut. Selesai berqasidah, datang seorang pemuda yang elok rupa parasnya menjemput Syaikh 'Umar untuk bertamu ke rumahnya. Syaikh 'Umar menerima pelawaan pemuda tersebut dan mengikutnya ke rumah. Syaikh 'Umar mendapati bahawa rumah pemuda tersebut adalah rumah yang pernah beliau datangi tahun sebelumnya, iaitu rumah tempat lidahnya dipotong. Dengan bertawakkal kepada Allah, Syaikh 'Umar masuk ke dalam rumah tersebut dan beliau mendapati di tengah rumah tersebut ada seekor kera yang berikat. Pemuda tersebut menjelaskan kepada Syaikh 'Umar bahawa dia adalah anak kepada lelaki yang telah memotong lidah Syaikh 'Umar tahun sebelumnya. Seterusnya dia menceritakan bahawa setelah memotong lidah Syaikh 'Umar, pada malamnya bapanya telah bertukar menjadi kera. Maka kera yang diikat di tengah rumah tersebut itu adalah bapanya. Setelah melihat kejadian yang menimpa bapanya, pemuda tersebut serta segala ahli keluarganya telah bertaubat dan meninggalkan ajaran Syiah yang dianut oleh bapanya serta mereka kembali mencintai dua sahabat yang mulia, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu 'anhuma.

Allahu ... Allah, mudah-mudahan kita mendapat syafaat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para sahabat serta para awliya. Semoga kita terhindar daripada segala macam kesesatan dan mati dalam husnul khatimah berpegang teguh atas perjalanan Ahlis Sunnah wal Jama`ah.