Rabu, September 28, 2005

Pesan Pehin Mufti Brunei

Ikhwah, aku nukilkan satu pesanan yang ditulis dalam Buletin "al-Hadaf" yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, terbitan Safar - Rabi`ul Akhir 1424H dengan tajuk " Awas ! Sudah Ada Golongan Yang Tidak Mahu Menghormati Nabi ".
  • Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan mengingatkan umat Islam di negara ini agar berhati-hati terhadap golongan yang tidak mahu kita menghormati Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam terlalu tinggi. Golongan ini mempersoalkan sanjungan dan penghormatan yang kita berikan kepada Baginda. Mereka beranggapan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah sama sahaja dengan kita manusia biasa. Ini hujjah orang-orang yang menyuruh kita membuang zikir Dibaie dan Syarafil Anam, kerana zikir-zikir itu sangat memuliakan dan sangat memuji Nabi. Perkara ini disentuh oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin dalam rancangan Bersama Mufti sempena memperingati hari keputeraan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang telah dirakam di Darulifta Brunei Darussalam, pada hari Sabtu, 2 Rabiulawwal, 1424 bersamaan 3 Mei, 2003. Menurut Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, adalah benar bahawa kejadian Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam itu sama dengan kita manusia, tetapi pangkat dan kemuliaannya adalah tidak sama. "Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam adalah seorang yang berpangkat, bukan calang-calang pangkat, mengapa kita tidak mahu mengakuinya? Bukankah memuji Baginda di dalam selawat dan zikir itu bermakna menghormati Baginda? Mengapa kita tidak mahu sedangkan Allah dan malaikat lagi menghormati Baginda?" Tegas Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin.

Marhaban Ya Ramadhan

Insya-Allah, bulan Ramadhan menjelang tiba. Menurut taqwim Kiyai Agung jatuhnya pada Selasa 4 Oktober, sama dengan taqwim Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh. Almanak kerajaan pula jatuhnya 5 Oktober dan dengar khabar katanya anak bulan insya-Allah tak nampak, jadi puasa tahun ni jatuh 5 Oktober, insya-Allah. Apa pun, kita orang awam ikut kata pemerintahlah, puasa kata dia, puasalah. Kalau ikut ahli falak macam mana ? Khilaf dalam mazhab, mu'tamad kata tak boleh ikut, kena rukyah dan hisab, ini pendapat Imam an-Nawawi dan diikuti ulama lain antaranya Imam Ibnu Hajar. Tapi kata Imam Ramli, boleh mula puasa guna falak, bagi ahli falak tersebut dan mereka - mereka yang mempercayainya. Allahu a'laam.
  • Kiyai Agung puasa ikut falak, kerana tak nak miss satu haripun dalam bulan Ramadhan, tak ada pula ulama di zamannya yang berani membantah secara terang-terangan mungkin kerana mereka tahu ada khilaf, bila ada khilaf tok sahlah nak berbalah sampai bid`ah-membid`ah, kafir mengkafir. Kalau ada yang membantah pun, tak berani secara terang-terangan kerana mereka tahu darjat kedudukan serta ilmu Kiyai Agung yang telah belajar di merata tempat, bahkan belajar di Makkah dan Timur Tengah selama 12 tahun. Meraka tahu yang Kiyai Agung ni murid Syaikh Ahmad Zaini Dahlan, murid Imam Nawawi Banten, murid Imam az-Zawawi dan lain-lain lagi ulama besar. Jadi yang membantah mengadu dengan Setiausaha Tanah Jajahan British kerana Singapura zaman tu bawah takluk omputih. Omputih tu namanya Tuan Farrer, jadi omputih ni pun bawak Kiyai Agung ke laut, campak batu dan mintak Kiayai Agung kira bila batu tersebut sampai ke dasar laut dan berapa dalam air laut di situ. Kiyai Agung pun kira, dan ternyata kiraan Kiyai Agung tepat, omputih tu bawak lagi ke beberapa tempat, campak batu dan suruh kira bila sampai dan berapa dalam, semuanya Kiyai Agung jawab dengan tepat. Akhirnya surrender omputih tu dan dia kata sama Kiyai Agung : " Saya rasa Tuan Haji boleh dapat tahu awal bulan puasa dengan betul. Cuma saya harap jika Tuan Haji dan murid-murid Tuan Haji berhari raya lebih dahulu daripada orang ramai, janganlah nampak-nampakkan hal itu kepada mereka."

Isnin, September 26, 2005

Kelebihan Ayatul Kursiy.

Ikhwah, kalian sememangnya sudah tahu kelebihan dan keutamaan Ayatul Kursiy, tapi biar kunukilkan sedikit buat ingatan dan moga menjadi penambah semangat untuk mengamalkannya. Mutiara ini kupetik dari kitab "al-Qirthas" karangan al-'Allaamah al-Habib 'Ali bin Hasan al-'Aththas.
  • Sebahagian ulama berkata: "Sesungguhnya Ayatul Kursiy itu sebanding ganjarannya dengan sepertiga al-Quran, iaitu ia terdiri dari 50 kalimah, dan setiap kalimah mengandungi 50 keberkatan. Ianya diturunkan di malam hari."

  • Muhammad bin al-Hanafiyyah berkata: "Ketika Ayatul Kursiy diturunkan, tersungkur menyembah bumi segala berhala yang ada di dunia, dan berguguran mahkota yang dipakaikan di kepala berhala-berhala tersebut; segala syaithan lari ketakutan dan saling berpukulan sesama mereka."

  • Diriwayatkan daripada al-Hakim al-Turmudzi daripda Nauf al-Bukaali bahawasanya dia berkata: "Ayatul Kursiy itu disebut dalam kitab Taurat sebagai 'Waliyyatul Allah (Kekuasaan/Penjagaan Allah)' dan orang yang membacanya dikenali sebagai orang yang mulia dalam kerajaan langit. Dan adalah Sayyidina 'Abdur Rahman bin 'Auf apabila memasuki rumahnya membaca Ayatul Kursiy pada keempat-empat penjuru rumahnya."

  • Sayyidina Anas meriwayatkan sebuah hadits secara marfu' bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: " Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.: "Sesiapa yang melazimi atas pembacaan Ayatul Kursiy setiap lepas sholat, Aku kurniakan kepadanya hati-hati orang yang syukur, pahala (amalan) para nabi dan amalan-amalan para shiddiqin."

Khamis, September 22, 2005

Falsafah Pakaian Habib Abu Bakar Gersik

Pada hari Sabtu, 3 Syawal 1370 H, diadakan majlis yang mulia di rumah Habib Abubakar bin Muhammad Assegaf di kota Gresik yang dihadiri oleh banyak orang dari berbagai penjuru kota seperti Malang, Bangil, Pasuruan dan lain-lain. Al-Habib Abubakar sebagaimana biasanya duduk memimpin majlis. Beliau memakai jubah warna hijau, imamah putih dan rida' (selendang) yang indah, dengan wajah beliau yang mulia memancarkan cahaya Ilahi. Kemudian munsyid membacakan qashidah dari Al-Habib Alwi bin Muhammad Alhaddad, yang isinya pujian untuk Al-Habib Abubakar dan tawassul kepada beliau. Setelah itu Al-Habib Abubakar menanyai hadirin mengenai siapa pengarang dan untuk siapa qashidah ini dikarang dan menganjurkan para hadirin untuk mencontoh sifat husnudz dzon daripada Al-Habib Alwi (pengarang qashidah tersebut). Setelah mengucapkan tarhiib (ucapan selamat datang pada hadirin), berkata sayyidina Al-Habib Abubakar: "Sesungguhnya aku memaksakan diriku untuk berpakaian seperti ini, sedangkan badanku saat ini dalam kondisi lemah. Ini semua adalah merupakan pelajaran bagi semua orang agar mengikuti dan menjaga bagaimana para salafunas solihin berpakaian, dan agar tetap selalu ada orang-orang berpegang teguh untuk mengikuti jejak salaf rodhiyallaahu Ta'ala 'anhum."

Antara Tulisan Ulama Kita Tentang Mawlid.

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama. Kitab Berzanji telah banyak disyarahkan dalam bahasa Arab oleh ramai ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi antaranya ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal dengan gelaran Imam Nawawi al-Jawi atau Imam Nawawi ke-II yang turut dinobatkan sebagai "Sayyidul Ulama-il-Hijaz". Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dan Kiyai Agung Sayyidis-Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi Ba Syaiban. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain. Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan tulisan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah "Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin", yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul "Nazham Nuril Anam", diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46. Kiyai Agung Muhammad as-Suhaimi pula menulis dalam bahasa 'Arab mengenai kelebihan dan fadhilat membaca atau mengadakan majlid mawlid dalam kitabnya yang berjodol "an-Nafahatul-Miskiyyah fi Fadhilati Qirooati Mawlidi Khoiril Bariyyah 'alaihi afdholus sholati wa azkat-tahiyyah." (yang dicetak dalam pada 15 Muharram 1343H).

Rabu, September 21, 2005

Pesan Tuan Guru

Ini amalan yang dipesan oleh salah seorang guruku yang enggan disebut namanya, agar kalian memperbanyakkan istighfar, terutama dalam bulan Ramadhan sekurang-kurangnya sebulan Ramadhan 100,000 kali. Guruku tersebut juga berpesan agar dilakukan amalan "al-'athoqatul kubra" dengan membaca suratul Ikhlash sebanyak 100,000 terutama dalam bulan yang mulia tersebut. Kepada sesiapa ikhwah yang sudi mengamalkannya silalah, nescaya ada manfaatnya dunia akhirat.

Sabar Dengan Karenah Isteri

Ikhwah, dalam kitab "Tanbihul-Mughtarrin" karangan Syaikh Abdul Wahhab asy-Sya'raani dijelaskan bahawa antara akhlak salafus sholeh dahulu ialah mereka sentiasa bersabar dengan karenah para isteri mereka. Selagi mana karenah tersebut hanya mengenai hak mereka selaku suami dan tidak termasuk sikap mencerobohi hak Allah. Antara dasar akhlak mereka ini adalah keyakinan pada atsar yang diriwayatkan oleh Ka`ab al-Ahbar yang menyatakan :- "SESIAPA YANG BERSABAR ATAS KESAKITAN YANG DILAKUKAN OLEH ISTERINYA TERHADAP DIRINYA (YAKNI HAK DIRINYA BUKAN HAK ALLAH ATAU LAINNYA), MAKA DIA DIBERI PAHALA SEPERTI PAHALA NABI AYYUB A.S." Oleh itu, mana hak kita selaku suami yang boleh kita tolak ansur laksanakanlah asalkan jangan sampai bertolak ansur dengan hak Allah. Insya-Allah, berkuranglah perceraian dan perbalahan, ingat benda halal yang paling dimurkai Allah ialah talak.