Sabtu, Disember 17, 2005

Syaikh Uthman Sarawak - Murid Sayyidi Syatha


Seorang ulama besar kelahiran Sarawak yang belajar dan mengajar di Masjidil Haram, Makkah. Lahir di Kampung Sinjan, Kuching, pada hari Jumaat 10/11 Muharram 1281H. Wafat di Makkah pada tahun 1339H dan disembahyangkan dalam Masjidil Haram dengan diimamkan oleh Syaikh Said al-Yamani.Antara guru tempat beliau menimba ilmunya di Makkah ialah panutan kita Sayyidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah. Menurut keterangan anak beliau, Syaikh Zainuddin bin Uthman, juga ulama di Makkah, yang menulis kisah hidup ayahandanya tersebut dalam kitab berjodol "Nafahatur Ridhwan", Syaikh Uthman telah menerima, antara lain, amalan sholawat kitab "Dalailul-Khairat" daripada Sayyidi Syatha yang menerimanya daripada Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan yang menerimanya daripada Syaikh Uthman ad-Dimyathi yang menerimanya daripada Syaikh asy-Syinwani yang menerimanya daripada Syaikh as-Samanhudi yang menerimanya daripada Syaikh al-Budairi yang menerimanya daripada Syaikh al-Meknas yang menerimanya daripada Syaikh Abu Qasim yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad asy-Syarafi yang menerimanya daripada Syaikh 'Aziz at-Tabba` yang menerimanya daripada pengarang kitab yang berkat tersebut iaitu Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli.

Keterangan dari "Nafahatur Ridwan" Syaikh Uthman juga menerima ijazah secara langsung kitab "I`anatuh Tholibin" feqh Syafi`i daripada pengarangnya iaitu murid Sayyidi Ahmad rahimahullah, Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah.

Saudara, bayangkanlah betapa halusnya jarum musuh untuk menghancurkan kebenaran. Jika diperburukkan mereka Sayyidi Ahmad, maka hancurlah segala sanad ilmu ulama kita. Di mana lagi kita nak cari ilmu tawhid, fiqh dan tasawwuf kita ? Pada Albanikah atau Bin Baz atau Hafiz Firdaus?????? Tergamakkah kita mengatakan bahawa ulama kebanggaan kita, Syaikh Uthman Sarawak, bersanadkan kepada tukang fitnah ? Ingatlah dan renung dalam hati sanubari kita, apa jasa Muhammad bin Abdul Wahhab dengan kita atau dengan nenek datuk kita berbanding dengan para ulama kita terdahulu. Sedangkan anjing lagi tahu mengenang jasa, apakan lagi kita manusia. Fikirkanlah. Mari kita hadiahkan al-Fatihah buat Syaikh Uthman dan guru-gurunya.

Wahhabi = Salafi = Ahlus Sunnah wal Jamaah???

Jawapannya biar kupetik dari fatwa Pehin Mufti Kerajaan Brunei Darussalam yang dibukukan dan diterbitkan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam untuk renungan kita semua, buat pedoman dalam mengharungi kehidupan agama yang kian bercelaru, terpulanglah pada kalian untuk menerima atau menolaknya. Tapi bagiku, aku ada ikutan bertali-temali sehingga ke atas. Sekarang biar kupetik beberapa butiran fatwa tersebut yang terkandung pada mukasurat 155-156 di mana Pehin Mufti menulis:- Adalah mazhab as-Salafiyah yang dihidupkan oleh al-Allamah Ibnu Taimiyah dan yang dipakai serta diamalkan oleh al-Wahhabiyah itu bukan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia keluar dari mazhab yang empat. Mazhab as-Salafiyah berdasarkan Allah berjisim dan menyerupai makhluk. Fikiran Ibnu Taimiyah dan mazhab as-Salafiyah yang dibawanya itu dan yang diamalkan sekarang oleh al-Wahhabiyah di tanah Arab, telah diperangi oleh ulama Islam pada kurun keempat Hijriah, dan dilawan oleh ulama Islam sepanjang kurun Islam..............Membodohkan orang-orang Islam dan ulama Islam serta umat Islam seluruhnya adalah perbuatan dan kelakuan orang-orang Khawarij yang sesat dalam iktikad itu. Ia diikuti oleh agensi-agensi Wahhabiyah dan orang-orang pak turut yang dikelirukan oleh fahaman Wahhabiyah daripada pelajar-pelajar dan orang-orang yang suka mengikut fikiran baru dan apa saja yang baru dengan tiada memikir apa tujuan diadakan dan dari mana sember perkara baharu tersebut......Pada mukasurat 161, Pehin Mufti berpesan:-.......Dari itu sayugia orang-orang Ahli Sunnah Wal Jamaah berjaga-jaga dari kitab-kitab Ibnu Taimiyah dan pengikut-pengikutnya daripada Ibnu Qaiyeem dan lain-lain anak muridnya, sebagaimana telah dibentangkan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah zaman ini dan sebelumnya, dari penyeru-penyeru Wahhabiyah dan orang-orang yang terpengaruh dengan fahaman dan kelakuan Wahhabiyah daripada setengah-setengah ahli ilmu dan daripada penuntut-penuntut keluaran sekolah-sekolah dan universiti Wahhabiyah itu memburuk-burukkan amal ibadat yang dibuat oleh orang-orang Islam di sebelah sini di dalam masjid-masjid, surau-surau dan majlis agama dan ilmu Islam.

Hati-Hati Karangan Hamka


Ikhwah, di Nusantara wujud ramai pembela, penyokong, pengikut, pengkagum Wahhabi, terutama sekali mereka yang termakan dakyah mereka sewaktu derasnya duit minyak Saudi. Antara yang termakan dakyah Wahhabi dan Ibnu Taimiyyah ialah Dr. Hamka, Allahyarhamhu. Beberapa sahabat dari Seberang menyatakan di akhir umurnya, dia rujuk kembali kepada pendapat ulama Sunni Syafi`i sehingga penyokong-penyokongnya dari kalangan Muhammadiah menuduhnya sebagai nyanyuk. Dr. Hamka sendiri dalam "Tafsir al-Azhar"nya menyatakan bahawa dia tidak berpegang dengan mana-mana mazhab, ertinya "La mazhabiyyah" (golongan tidak bermazhab). Dalam bukunya "Tasauf Perkembangan Dan Pemurniannya", dia menyambung fitnah Rasyid Redha yang dikaguminya terhadap Sayyidi Ahmad bin Zaini Dahlan rhm. Pada mukasurat 226, dia menulis:-
  • "Jago" yang berjasa besar membela Kerajaan Turki dan membusukkan Wahabi dan memfitnahkannya, sampai menuduh bahwa Muhammad bin Abdil Wahab itu adalah keturunan Musailamah al-Kazzab, sebab dia lahir di Wadi Yamamah di Nej adalah Syaikh dan Alim Syafi-iyah yang besar di Mekkah Syaikh Said (baca: Syed) Zaini Dahlan.

Jelas racun fitnah Wahhabiyyah telah ditelan bulat-bulat oleh Dr. Hamka sehingga dia menuduh "Syaikh dan Alim Syafi-iyah yang besar" di Mekkah adalah seorang tukang fitnah. Berfikirlah dengan rasional, adakah ini sifat Syaikh dan Alim Syafi-iyah yang besar ???? Bukankah ini tujuannya men"discredit"kan ulama kita.

Benarkah Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan benar-benar menyatakan bahawa Ibnu Abdul Wahhab itu keturunan Musailamah atau yang dikatakannya ialah kabilahnya sama dengan kabilah Musailamah al-Kadzdzab itu ??? Tuduhan yang dimuatkan oleh Dr. Hamka dalam buku tersebut yang dikarangnya tahun 1952. Tidak tahulah sama ada di akhir umurnya dia rujuk kembali daripada pendapatnya.

Untuk makluman lanjut, seorang lagi ulama kita yang di"marahi" oleh Dr. Hamka ialah Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, sebabnya kerana polemik dan tentangannya terhadap Ibnu Taimiyyah, Wahhabi dan Muhammad Abduh. Membaca karangan-karangan Hamka, kita akan mengetahui bahawa dia adalah pengkagum Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.

Oleh itu berhati-hatilah apabila membaca karangan-karangannya, jangan jadi Radio IKIM saban hari mengulang-ulang puisi Anisah Mai yang dipetik dari buku "Tasauf Modern" karangan Hamka, tidakkah mereka tahu bahawa Anisah Mai itu adalah seorang Kristian. Dr. Hamka sendiri menyatakan demikian dalam bukunya tersebut, ini mesti kes baca tak habis, main petik-petik je. Allahu .... Allah.

Mudah-mudahan Allah mengampuni ketergelinciran Buya Hamka. Nak hadiah Fatihah ke tidak, lupa pula apa pendapat Buya Hamka, kalau tak silap dia kata tak sampai. Kalau tak sampai tak payah hadiahlah.

Wahhabism: A Critical Essay


Sedikit sedutan sinopsis buku Dr. Hamid Algar berjodol "Wahhabism: A Critical Essay":-


  • Wahhabism, a peculiar interpretation of Islamic doctrine and practice that first arose in mid-18th century Arabia, is sometimes regarded as simply an extreme or uncompromising form of Sunni Islam. This is incorrect, for at the very outset the movement was stigmatized as aberrant by the leading Sunni scholars of the day, because it rejected many of the traditional beliefs and practices of Sunni Islam and declared permissible warfare against all Muslims that disputed Wahhabi teaching.

Pada mukasurat 3, tertulis:-

  • It has, however, been observed by knowledgeable Sunnis since the earliest times that the Wahhabis do not count as part of the Ahl al-Sunna wa al-Jama`a, for almost all the practices, traditions and beliefs denounced by Muhammad b. 'Abd al-Wahhab have been historically integral to Sunni Islam, enshrined in a vast body of literature and accepted by the great majority of Muslims. Precisely for that reason, many of the 'ulama contemporary with the first emergence of Wahhabism denounced its followers as standing outside the pale of Ahl al-Sunna wa al-Jama`a. That Wahhabis are now counted as Sunni is one indication that the term "Sunni" has come to acquire an extraordinarily loose meaning, not extending much beyond recognition of the legitimacy of the first four caliphs (regarded by Sunnis as the Khulafa al-Rashidun ["the Rightly Guided Caliphs"]; in fact, it signifies little more than "non-Shi`i". Our characterization of Wahhabis as non-Sunni is therefore above all a historical clarification; it has in itself no polemical purpose, if only because for the present writer Sunnism is but one representation and interpretation of Islam.

Adakah Wahhabi tergolong dalam kumpulan majoriti Ahlus Sunnah wal Jama`ah mazhab 4 ? Sila dapatkan buku tersebut dan baca kandungannya dengan teliti. Dr. Hamid Algar seorang berbangsa Inggeris yang lahir di England pada tahun 1940 dan memeluk agama Islam. Lulusan doktor falsafah dalam pengajian Islam daripada Universiti Cambridge dan menguasai bahasa-bahasa 'Arab, Parsi dan Turki. Kini menjadi pensyarah di Universiti California, Berkeley. Antara karangannya:-

  • Surat al-Fatihah: Foundation of the Qur`an;
  • Sufism: Principles and Practice;
  • Jesus in The Qur`an: His Reality Expounded in the Qur`an;
  • Imam Abu Hamid Ghazali: An Exponent of Islam in Its Totality;
  • Hasan al-Banna: Founder of the First Modern Islamic Movement;
  • Imam Khomeini: A Brief Biography & Two Other Essays.

Mutiara-mutiara bernilai


"ad-Durarus - Saniyyah fir - rad 'ala al-Wahhabiyyah" membawa erti "Mutiara-mutiara bernilai tinggi pada membawa penolakan terhadap fahaman Wahhabi". Inilah antara jodol karangan Panutan kita Sayyidi Ahmad bin Zaini Dahlan. Inilah antara kitab yang menyebabkan puak Wahhabi marah dan murka dengan Sayyidi Ahmad rhm. Antara kandungannya ialah mengenai hukum ziarah maqam Junjungan Nabi s.a.w., hukum tawassul, hukum istighatsah, hukum tabarruk, kesesatan Wahhabi, penolakan ulama terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab dan sejarah muncul dan perlakuan Muhammad bin Abdul Wahhab dan pengikutnya. Amat elok dijadikan rujukan kerana yang menulisnya juga seorang ulama besar lagi waliy. Anak-anak murid dan penyokong anak Pak Wahhab pun boleh tumpang sama baca dan telaah, tapi biarlah dengan hati yang terbuka, mudah-mudahan diberi taufiq dan hidayah atas kebenaran sebenar. ....Allah yahdik.

Jumaat, Disember 16, 2005

Sahabat Jin

Ikhwah, mari rehat sejenak dari persoalan ahli bid`ah dan bughah Wahhabi. Menurut pegangan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, Junjungan Nabi s.a.w. diutuskan kepada sekalian makhluk dan termasuklah jin dan manusia. Oleh itu Junjungan Nabi s.a.w. mempunyai sahabat-sahabat dari kalangan jin. Amirul Mu'minin fil hadits al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani rhm. dalam kitabnya "al-Ishobah fi Tamyiz asmaa' ash-Shahabah" telah menyenaraikan lebih kurang 38 nama sahabat dari kalangan jin.

Karangan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan


Ikhwah, panutan kita Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan kembali ke rahmatUllah pada tahun 1304 H setelah menghabiskan usianya di jalan Allah berkhidmat untuk agamaNya. Beliau di maqamkan di Madinah al-Munawwarah. Sesungguhnya amat besar jasa ulama ini dalam mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah sehingga beliau dijadikan tempat puak Wahhabi ahlul bughah (penderhaka) melepas geram dengan berbagai tohmahan dan kejian. Biarlah "Luncai terjun dengan labunya", anjing menyalak bukit takkan runtuh bukit. Karangan Sayyidi Ahmad amatlah banyak antaranya:-

  1. al-Futuhatul Islamiyyah;
  2. Tarikh Duwalul Islamiyyah;
  3. Khulasatul Kalam fi Umuri Baladil Haram;
  4. al-Fathul Mubin fi Fadhoil Khulafa ar-Rasyidin;
  5. ad-Durarus Saniyyah fi raddi 'alal Wahhabiyyah;
  6. Asnal Matholib fi Najati Abi Tholib;
  7. Tanbihul Ghafilin Mukhtasar Minhajul 'Abidin;
  8. Hasyiah Matan Samarqandi;
  9. Risalah al-Isti`araat;
  10. Risalah I'raab Ja-a Zaidun;
  11. Risalah al-Bayyinaat;
  12. Risalah fi Fadhoilis Sholah;
  13. Shirathun Nabawiyyah;
  14. Syarah Ajrumiyyah;
  15. Fathul Jawad al-Mannan;
  16. al-Fawaiduz Zainiyyah Syarah Alfiyyah as-Sayuthi;
  17. Manhalul 'Athsyaan;

Adakah kita sanggup menelan tohmahan Wahhabi yang mencerca ulama kita ???? Yang mentohmah ulama kita sebagai agen kerajaan Uthmaniyyah ? Kalau pun mereka agen Uthmaniyyah apa pula salahnya, bukankah Khilafah Uthmaniyyah adalah satu khilafah Islam. Ketahuilah wahai Wahhabi, Tok Guru kamu itulah agen penjajah barat untuk menumbangkan khilafah Islam. Jihad Tok Guru kamu itu menentang saudara seagama, bukannya penjajah Barat. Kini kamu hendak membersihkan Tok Guru kamu dengan mengatakan bahawa tumbangnya Khilafah Uthmaniyyah adalah oleh Ataturk, betul memang betul tapi Tok Guru kamu pun ada saham dalam menumbangkan Khilafah Islam. Jangan kamu nak memutar belit sejarah, duit Wahhabi dah tak laku melainkan bagi orang yang mahu menjual kebenaran dengan harga dunia. Buktinya jelas puak Wahhabi telah menyerang dan membunuh orang Islam serta menyerang Hejaz dan menawannya. Ini fakta sejarah, Tok Guru kamu lupa barangkali kepada sabda Junjungan: "Mencaci maki orang Islam adalah kefasiqan dan membunuh mereka adalah kekufuran." Bertaubatlah kamu wahai Wahhabi, kembalilah kepada kelompok terbesar (as-sawadul-a'dhzam) dari umat ini.