Selasa, Jun 30, 2009

Rajab Bulan Allah ??

Telah masyhur di lidah umat Islam seantero dunia, menisbahkan Rajab sebagai bulan Allah. Umum telah mengetahui dan mendengar hadits yang kerap diucapkan teristimewa apabila menjelang bulan Rajab, hadits yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda yang bererti: "Rajab itu bulan Allah, Sya`baan itu bulan aku dan Ramadhan itu bulan umatku." Maka hampir setiap tahun ada sahaja yang bertanya mengenai status dan kedudukan hadits tersebut yang berbunyi:-

"Rajab bulan Allah, Sya`baan bulanku,
Ramadhan bulan umatku"


Sebelum pergi kepada status hadits tersebut, wajar sekiranya kita mengetahui apa yang dimaksudkan dengan maudhu` dan apa pula yang dimaksudkan dengan dho`if. Ini adalah kerana kedua-duanya mempunyai perbezaan yang besar. Hadits maudhu adalah hadits palsu yang sama sekali tidak mempunyai sanad yang berkemungkinan bersambung atau berkemungkinan untuk dinisbahkan kepada Shodiqul Mashduq Junjungan Nabi SAW. Senang cakap, ianya sama sekali bukan sabdaan Junjungan, confirm 100% cakapan orang yang tidak maksum. Sebaliknya, hadits yang dhoif pula adalah yang mempunyai sanad yang mursal atau muttasil kepada Junjungan Nabi SAW. Hanyasanya, dalam sanadnya mempunyai kecacatan sehingga tidak dapat dihukumkan sebagai shohih atau hasan. Jadi maudhu` dan dho`if itu mempunyai perbezaan yang besar yang perlu kita beri perhatian sewajarnya.

Berbalik kepada hadits di atas, untuk menghukumkan hadits tersebut sebagai mesti maudhu` bukanlah sesuatu yang mudah seperti makan nasik. Ini adalah kerana para muhadditsin yang kenamaan telah berselisih pendapat mengenai status dan kedudukan hadits tersebut. Para muhadditsin tidak sekata dan tidak sepakat menghukumkannya sebagai maudhu`. Jika ada yang menyatakannya sebagai maudhu`, maka ada pula yang akan menyatakan bahawa ianya bukan maudhu` tetapi dho`if dan sebagainya. Imam as-Sayuthi rahimahUllah telah memasukkan hadits ini sebagai hadits yang ke 4411 dalam karya beliau "al-Jaami`ush Shoghir fi Ahaaditsil Basyiirin Nadziir". Jika sahaja hadits tersebut disepakati atas maudhu`nya, maka sudah pasti Imam as-Sayuthi yang terkenal dengan ilmu dan waraknya tidak akan bermudah-mudah meletakkannya dalam karya himpunan haditsnya tersebut. Sudah pasti Imam as-Sayuthi mengetahui akan hukum meriwayatkan hadits maudhu tanpa memperjelaskan kepalsuannya. Sebaliknya, Imam as-Sayuthi menjelaskan bahawa hadits tersebut ada mempunyai sanad yang mursal kepada seorang tabi`in yang agung iaitu Imam Hasan al-Bashri rahimahUllah sebagaimana diriwayatkan oleh Abul Fath bin Abil Fawaaris dalam kitabnya "'Amaali" dan darjatnya adalah DHO`IF (baca: dho`if bukan maudhu`).

Selanjutnya, Imam al-Munawi rahimahUllah, pengarang "Faidhul Qadiir" yang merupakan syarah bagi "Jami`ush Shoghir" pada halaman 24, juzuk ke-4, setelah menukil pendapat al-Hafiz al-'Iraqi rahimahUllah yang menghukumkan hadits tersebut sebagai dho`if jiddan (terlalu dhoif) [lagi sekali bacanya "dho`if jiddan", bukan "maudhu` jiddan"], kerana hadits-hadist mursal yang dinisbahkan kepada Imam Hasan al-Bashri tidak mempunyai nilai di sisi para ahli hadits, menyatakan bahawa adalah pelik jika sanad hadits tersebut dihukumkan sebagai mursal sahaja. Ini adalah kerana Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" telah meriwayatkan petikan - petikan hadits yang seumpamanya pada lafaz daripada tiga jalan yang bersambung kepada sahabat Junjungan, Sayyidina Anas r.a. Ibnu Nashr dan lain-lain muhaddits juga telah meriwayat petikan-petikan hadits yang seumpamanya dengan sanad yang sama. Maka ini menunjukkan bahawa hadits tersebut bukanlah semata-mata hadits mursal, tetapi hadits yang musnad yang bersambung sanad segala periwayatnya kepada Junjungan Nabi SAW.

Kita tidak menafikan bahawa terdapat banyak hadits-hadits maudhu` yang diriwayatkan berhubung keistimewaan bulan Rajab dan sebagainya. Akan tetapi tidaklah boleh dipukulrata bahawa segala hadits tentang Rajab adalah maudhu`. Hendaklah kita beri sungguh-sungguh perhatian bila nak ambil kerja muhadditsin, janganlah bermudah-mudah dalam menghukumkan palsu akan sesuatu hadits, apatah lagi jika hadits tersebut telah masyhur di lidah umat Islam, yang awam maupun yang khawas. Seperkara lagi, jikapun hadits tersebut dhoif, maka ianya bukanlah hadits hukum, hanya khabar semata-mata mengenai keistimewaan tiga bulan yang sememangnya bulan-bulan yang mulia. Oleh itu, bersikap sederhanalah dalam hal ini.

Khamis, Jun 25, 2009

Lailatur Raghaib

"Lailatur Raghaib" adalah nama yang diberikan oleh sesetengah umat, terutama sekali para pengamal thoriqat sufiyyah, bagi malam Jumaat pertama bulan Rajab. Menurut mereka, pada malam inilah bonda Junjungan Nabi s.a.w. mula mengandungkan baginda. Maka malam di mana Junjungan Nabi s.a.w. berpindah daripada sulbi ayahanda baginda yang mulia ke rahim bondanya mereka namakan "Lailatur Raghaib" yang, antaranya, membawa pengertian "malam yang amat menggembirakan atau malam kegembiraan atau malam pengharapan dan anugerah yang banyak." Inilah antara peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Rajab.

Imam al-Qasthalani dalam "al-Mawaahibul Laduniyyah bi Minahil Muhammadiyyah", juzuk 1, halaman 60-61 menulis:-

Telah berkata Sahl bin 'Abdullah at-Tustari [yakni Abu Muhammad Sahl bin 'Abdullah bin Yunus at-Tustari (200H - 283H) seorang 'alim lagi sufi yang wafat di Bashrah] sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Hafiz al-Khathib al-Baghdadi [ yakni Abu Bakar Ahmad bin 'Ali bin Tsabit al-Baghdadi (392h - 463H) seorang ahli tarikh dan ahli hadits bertaraf al-hafiz yang wafat di Baghdad] : "Tatkala Allah ta'ala berkehendak untuk menjadikan Junjungan Nabi s.a.w. di dalam perut bonda baginda, Siti Aminah, pada malam Jumaat di bulan Rajab, Allah pun memerintahkan malaikat Ridhwan penjaga syurga untuk membuka syurga Firdaus pada malam tersebut. Dan menyerulah penyeru di segala langit dan bumi: "Ketahuilah bahawasanya Nur yang tersimpan lagi terpelihara yang merupakan kejadian nabi yang membawa petunjuk, pada malam ini akan mengambil tempat dalam perut bondanya untuk menyempurnakan kejadian ciptaannya (yakni kejadian ciptaan jasad baginda yang mulia) dan keluar kepada manusia untuk membawa berita gembira dan memberi peringatan."
Mari kita perbanyakkan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w. sempena bulan Rajab yang mulia, bulan di mana proses kejadian jasad baginda s.a.w. bermula dan akhirnya lahirlah baginda ke alam dunia setelah sempurna 9 bulan dalam kandungan bondanya iaitu pada fajar Isnin 12 Rabi'ul Awwal tahun Gajah.

*************************
اهلا و سهلا بالنبي


Zakat Untuk Ahlil Bait

Menurut Mazhab Syafi`i, para saadah yang mulia yang mempunyai titihan yang bersambung kepada Junjungan Nabi s.a.w. tidak diboleh menerima pembahagian daripada sedekah yang wajib, samada ianya berupa zakat atau selainnya seperti sedekah nazar (yang umum), kafarah, dam dan sebagainya. Jika zakat atau yang seumpamanya diberikan kepada mereka, maka tidaklah sah zakat tersebut dan pengeluarnya kena menunaikan kembali zakatnya. Dalam bab ini (yakni bab zakat) yang dimaksudkan dengan Ahlul Bait adalah Bani Hasyim dan Bani Muthalib. Maka keturunan dari dua kabilah yang mulia ini diharamkan menerima bahagian daripada zakat dan sedekah yang wajib. Inilah qawl yang muktamad dalam mazhab kita. Walau bagaimanapun, ada pendapat kedua dalam mazhab kita yang dipegang oleh para imam terkemuka, yang membenarkan pemberian zakat kepada Ahlul Bait yang layak (yakni yang termasuk dalam salah-satu asnaf yang delapan). Tidak kurang daripada 27 orang ulama besar daripada mazhab kita yang mendokong pendapat yang kedua ini.

Untuk penjelasan lanjut, kita rujuk kitab "Bughyatul Mustarsyidin" karya Habib 'Abdur Rahman al-Masyhur, mufti Hadhramaut, di mana beliau rahimahUllah, pada halaman 106 - 107 menulis:-

Telah ittifaq (sepakat) jumhur ulama asy-Syafi`iyyah untuk menegah pemberian zakat dan seumpamanya segala pemberian yang bersifat wajib seperti nazar dan kafarah, kepada ahli keluarga Junjungan Nabi SAW (ahlil bait), walaupun mereka tidak mendapat hak mereka daripada khumusul khumus. Dan demikianlah pula hukumnya bagi para mawali mereka menurut qawl yang ashoh. Walaubagaimanapun, ramai ulama terdahulu dan yang datang kemudian telah memilih untuk menghukumkan jawaz / jaiz (yakni mubah atau harus) memberi zakat kepada mereka ketika putus daripada mereka hak mereka daripada khumusul khumus. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah al-Ishthikhari, al-Harawi, Ibnu Yahya, Ibnu Abi Hurairah, al-Fakhrur Razi beramal dan berfatwa dengannya, Qadhi Husain, Ibnu Syukail, Ibnu Ziyad, an-Naasyiri dan Ibnu Muthir. Telah berkata al-Asykhar: "Mereka-mereka ini (yakni para ulama yang tersebut tadi) adalah imam-imam besar yang fatwa mereka mempunyai kekuatan, oleh itu adalah harus untuk bertaklid kepada mereka dengan taklid yang sah dengan syaratnya kerana darurat dan lepaslah tanggungan ketika itu (yakni lepaslah tanggungan kewajipan mengeluarkan zakat apabila ianya diberi kepada mereka kerana ketika itu dihukumkan sah zakat yang dikeluarkan kepada mereka), akan tetapi pendapat ini hanyalah untuk amalan pribadi dan bukan untuk dijadikan fatwa umum atau dijadikan hukum dengannya.

Dan telah menyalahi akan fatwa tersebut al-`Allaamah Sayyid 'Abdullah bin 'Umar bin Abu Bakar BinYahya yang berpendapat bahawa: " Tidak harus memberikan (zakat dan seumpamanya) kepada mereka (yakni ahlil bait) secara mutlak, dan sesiapa yang mengharuskannya, maka dia telah keluar daripada mazhab yang empat (yakni keluar daripada qawl muktamad yang dipegang oleh keempat-empat mazhab), maka tidak harus untuk dipegang kerana terdapatnya ijma` di sisi mereka (yakni di sisi ulama mazhab yang empat) untuk menegah pemberian zakat kepada mereka (yakni ahlil bait)".

Faedah: Telah berkata Imam al-Kurdi: "Dan seperti hukum zakat yang tidak dibenarkan diberi kepada dzawil qurba (kaum-kerabat Junjungan Nabi SAW yakni dalam mazhab kita mereka adalah Bani Hasyim dan Bani Muthalib) adalah segala pemberian yang wajib seperti nazar, kafarah, dam haji, korban wajib dan bahagian yang wajib diberikan kepada fakir dalam korban yang sunat (yakni bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir). Dan difahami daripada kata beliau "seperti nazar" itu adalah nazar yang mutlak dan yang muqayyad seperti nazar bagi golongan fakir dari kalangan umat Islam. Adapun nazar yang tertentu bagi seseorang atau satu kabilah daripada mereka (yakni daripada segala kabilah dzawil qurba) maka sahlah nazar tersebut (yakni jika seseorang bernazar untuk memberi sesuatu kepada seorang habib atau bernazar untuk memberi sesuatu kepada keluarga al-Haddad umpamanya, maka nazar tersebut adalah sah dan bolehlah diberikan kepadanya).
Begitulah hukumnya pemberian zakat kepada keluarga mulia Junjungan Nabi SAW. Adapun sedekah-sedekah biasa maka tidaklah menjadi kesalahan untuk diberi kepada ahlil bait dan tidak pula menjadi kesalahan untuk mereka menerimannya. Hanya sedekah yang wajib seperti yang diperkatakan di atas sahaja yang mempunyai tegahan. Maka janganlah terkeliru mengenai dua perkara ini, iaitu antara sedekah wajib dengan sedekah sunnat. Berbalik kepada sedekah yang wajib, jika kita mengeluarkan zakat kepada ahlil bait, maka hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepadanya sebab mungkin dia bersikap warak dan tidak mahu menerimanya kerana mengambil jalan ihtiyath dengan berpegang kepada qawl mu'tamad dalam mazhab. Seperkara lagi yang patut diberikan perhatian terutama bagi sesiapa yang memegang tampuk pemerintahan adalah hukum-hakam mengenai khumus. Diharap para ulama dapat membantu memperjelaskan konsep khumus tersebut dan apa-apa harta yang termasuk dalamnya seperti harta fai`, ghanimah dan seumpamanya. Jika wujud khumus, maka ianya menjadi kewajipan pemerintah untuk membahaginya menurut hukum syarak yang mulia termasuklah kepada ahli keluarga Junjungan Nabi SAW daripada kalangan Bani Hasyim dan Bani Muthalib menurut mazhab kita.

Isnin, Jun 22, 2009

Selamat Datang Bulan Allah

Tiba lagi bulan Allah, bulan yang berkah, bulan haram yang sendirian. Bulan berlakunya isra` dan mi'raj Junjungan Nabi SAW. Marilah kita mempertingkatkan amalan sholeh kita, amalan yang menjadi sebab bagi kita memperolehi rahmat Ilahi, amalan yang menjadi teman yang menyenangkan dalam kubur nanti, sebelum disenangkan dengan kesenangan abadi dalam syurga yang penuh kenikmatan. Bercakap tentang kubur, maka ianya adalah manzilah pertama bagi setiap insan setelah meninggalkan dunia yang fana menuju ke negeri baqa'. Apabila kita mati, maka dalam kubur tiada sapa yang sudi untuk bersama. Hanya amalan kita sahaja yang sudi, sedangkan yang lain, baik berupa harta, anak-isteri semuanya kembali, setelah tanah menutupi jenazah kita. Tinggallah kita seorang diri, mengharapkan rahmat ihsan kasihan belas Yang Maha Esa. Allahu ... Allah. Mari perhati syair yang dinukil oleh Syaikh Ibnu Hajar al-`Asqalaani asy-Syafi`i rahimahUllah dalam karya beliau "al-Isti'daad li yawmil ma`aad" berbunyi:-
Wahai insan yang dunia jadi kesibukannya
Telah tertipu ia oleh panjang angannya
Atau yang sentiasa dibuai kelalaianya
Hingga ajal datang mendekatinya
Sungguh mati itu tiba-tiba datang mengejutkannya
Dan kubur itu peti segala amalannya
Bersabarlah atas segala kepayahan dunia
Tiada mati melainkan dengan ajalnya

Selanjutnya faqir nukilkan sebuah kisah yang tertulis dalam "Mukaasyafatul Quluub", sebuah karya yang agak masyhur dan sudah tersebar luas terjemahannya dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Kitab ini sebenarnya sebuah karangan yang diperselisihkan keasliannya. Menurut segelintir ulama dan pengkaji, kitab ini asli karya Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, namun, kebanyakan peneliti dan pengkaji meraguinya. Faqir tidak berhasrat untuk pergi lebih jauh dalam persoalan tersebut, kerana yang hendak faqir nukilkan hanyalah sebuah cerita yang berhubung kait dengan amal sholeh dan bulan Rajab. Ini hanyalah sebuah kisah, terpulanglah untuk percaya atau tidak, sesiapa yang percaya mudah-mudahan dapat dijadikan iktibar juga panduan serta jadi pemangkin untuk menambahkan lagi amalan dalam bulan yang mulia ini. Sesiapa yang tidak percaya, maka terpulanglah, tiada siapa yang hendak memaksanya untuk percaya. Pada Bab ke-100 kitab tersebut, tercatat  kisahnya seperti berikut:-

Diceritakan bahawa ada seorang wanita di Baitul Muqaddis (tepatnya Baitul Maqdis @ Baitul Muqaddas) yang menjadikan 12,000 kali Suratul Ikhlash sebagai wiridnya setiap hari di bulan Rajab. Dalam bulan ini, dia mengenakan pakaian dari shuf (yakni sebagai tambahan dan pernyataan sifat zuhudnya). Tatkala dia sakit, dia berwasiat kepada anaknya agar dia dikafankan dengan kain shufnya tersebut. Namun ketika dia mati, dia telah dikafankan dengan kain yang elok. Maka anaknya bermimpi ibunya berkata: "Aku tidak redha kepadamu kerana engkau tidak melaksanakan wasiatku." Terjagalah anaknya itu dengan perasaan cemas, lalu dia mengambil kain shuf ibunya agar dapat dikebumikan bersama ibunya. Maka dia pun menggali kubur ibunya dan tidaklah dia tidak bertemu dengan jenazah ibunya itu, hairanlah anak tersebut lalu dia mendengar satu seruan yang berbunyi: "Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang mentaati Kami dalam bulan Rajab tidak Kami tinggalkan sendirian seorang diri. (yakni ditinggal sendirian dalam lubang kubur)".
Allahu ... Allah, bagaimanakah keadaan kita nanti dalam kubur? Sendirian ? Bertemankan kala dan ular? Allahu.. Allah. Mudah-mudahan kuburan kita nanti menjadi taman syurga dan bukannya jurang api neraka.

************************************
اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان

Jumaat, Jun 19, 2009

Keluarga Sakinah - Hb `Ali al-Jufri

Keluarga sakinah, yang tenang, yang aman, yang damai, yang harmoni, menjadi idaman setiap insan tatkala memasuki gerbang perkahwinan. Semua berharap biarlah panas hingga ke petang, tetapi kekadang turun pulak hujan di tengahari. Kedua-dua pihak dalam perkahwinan seharusnya memainkan peranan agar bahtera bersama dapat terus melayari laut kehidupan dengan selamat. Kata orang tua-tua, antara petua untuk kerukunan rumahtangga ialah jika seorang jadi api biar yang seorang jadi airnya, kalau dua-dua apa alamat terbakarlah bahtera tersebut. Apa-apa pun, mari dengar ceramah Habib `Ali Zainal 'Abidin bin Abdul Rahman al-Jufri, antara lain berhubung kepentingan niat dalam membina keluarga sakinah serta adab-adab ketika membina keluarga. Semoga keluarga kita menjadi keluarga yang sakinah, keluarga yang melahirkan generasi-generasi penerus agama dan syariat Junjungan Nabi SAW yang bakal menjadi kebanggaan Baginda Nabi SAW pada hari kiamat nanti sebagaimana sabdaan baginda yang mulia:-

تزوجوا الولود الودود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة

Kahwinilah wanita yang subur lagi penyayang, bahawasanya aku berbangga dengan banyaknya bilangan kamu di antara sekalian umat lain nanti pada hari kiamat.

**********************************************

Selasa, Jun 16, 2009

Nur Muhammad 20 - Syaikh Wan `Ali Kutan

Syaikh Wan 'Ali bin Wan `Abdul Rahman bin Wan `Abdul Ghafur al-Kelantani atau lebih dikenali dengan gelaran Syaikh Wan `Ali Kutan, adalah ulama terkenal kelahiran Kelantan dan mengajar di Masjidil Haram Makkah. Beliau adalah gurunya para ulama kita terdahulu seperti Syaikh Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali), Syaikh Ahmad bin Muhammad Said al-Linggi ( mufti pertama Negeri Sembilan, Syaikh `Abdullah Fahim (mufti pertama Pulau Pinang), Syaikh Ismail bin Haji Senik (Tok Kemuning), Syaikh `Uthman bin Haji Muhammad (Tok Bachok), Dato` Laksamana Haji Muhammad bin Haji Muhammad Said Khatib, Dato` Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud bin Ismail. Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shoghir telah menulis biografi beliau dan ikhwah bolehlah mencari tulisan beliau tersebut atau baca di laman saudara MuhibMahbub.

Antara karya Syaikh Wan `Ali Kutan yang masyhur dan tersebar luas adalah kitab "al-Jawharul Mawhub wa Munabbihaatul Quluub". Pada mukaddimah kitab tersebut beliau memuji-muji Allah antara lain kerana Dia telah mencipta daripada nurNya (yakni nur yang menjadi miliknya) akan nur kekasihNya Junjungan Nabi Muhammad SAW 2,000 tahun sebelum diciptakanNya Nabi Adam AS, lalu diciptakan daripada nur kekasihNya tersebut segala sesuatu daripada arsy sehinggalah ke bumi. Penciptaan segala sesuatu daripada Nur Muhammad itu boleh difahami dengan erti bahawa penciptaan segala yang ada ini adalah dikeranakan oleh penciptaan nur Junjungan SAW yang merupakan seawal-awal makhluk yang dijadikan Allah. Silalah ikhwah semak segala entri yang sudah-sudah berhubung nur Muhammad SAW, antaranya kepada pernyataan Tok Syaikh Isma`il bin 'Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da `Eil al-Fathani) yang menyebut dalam nota no.4 di tepi kitab karangannya yang berjodol "Tabshiratul Adaani bi alhaan Bakurah al-Aamaani" mukasurat 9, antara lain:-
  • .... Adapun barang yang termasyhur bahawasanya dijadikan beberapa banyak alam ini daripada Nur Nabi kita s.a.w., maka yang zahir bagi hamba bahawasanya bukanlah dijadikan suku-suku nur itu akan alam, hanya dimulakan dia daripadanya dan dijadikan dia dengan sebabnya.
Oleh itu sebelum memberikan tafsiran-tafsiran yang entah apa-apa atau menolak mentah-mentah segala yang berkaitan dengan Nur Muhammad, eloklah lihat dan kaji tafsiran dan pandangan para ulama kita yang terdahulu. Dan jika pun tidak bersetuju, maka janganlah bersikap fanatik yang hanya mau benar sendiri dalam isu yang boleh dianggap sebagai khilaf yang diiktibar pada kalangan ulama, kerana di samping terdapat ulama yang menolaknya, wujud ramai lagi ulama yang menerimanya. Jadi bertasamuhlah, jangan bermudah-mudah menuduh syirik, karut dan khurafat.

Isnin, Jun 15, 2009

Bertasamuhlah

Cerita Imam asy-Syafi`i r.a. meninggalkan qunut apabila bersembahyang di masjid Imam Abu Hanifah telah masyhur diketahui. Kisah yang menggambarkan ketinggian akhlak dan adab seorang ulama besar bertaraf mujtahid mutlak lagi mujaddid. Tetapi kenapa, cerita ini hanya dipetik dan diceritakan untuk menyuruh orang-orang yang bermazhab Syafi`i seperti kita agar bertasamuh dan tidak fanatik dengan fahaman mazhab. Kenapa mereka - mereka yang tidak sefaham dengan pendapat mazhab Syafi`i yang diamalkan dalam negara ini tidak turut mengambil iktibar dari kisah tersebut? Sedangkan pengamal-pengamal mazhab Syafi`i di negara ini tidaklah sefanatik mana. Adakah hanya pengamal mazhab Syafi`i yang dominan di negara ini sahaja yang perlu bertasamuh, sedangkan mereka-mereka yang tidak bermazhab tidak perlu bertasamuh sebab pegangan mereka ...ehem...ehem.... telah 100% betul dan benar?

Kenapa perlu seorang hamba Allah yang ada kat Kuching ini mengimamkan sembahyang jumaat di sebuah masjid di Kuching tidak melaksanakannya menurut sebagaimana biasa yang diamalkan oleh para pengikut mazhab Syafi`i, viz. dengan menjaharkan basmalah, dengan wirid dan doanya selepas sholat. Kenapa hamba Allah tersebut berkeras kepala bersholat menurut pegangannya semata-mata, tanpa menghirau kelompok ramai yang menjadi makmumnya? Di mana akhlak dan adabnya hamba Allah ini? Adakah dia ini seorang yang rendah akhlak dan adabnya, sehingga tidak mahu bertasamuh dalam perkara khilafiyyah? Sepatutnya, hamba Allah ini tidak pergi ke depan untuk menjadi imam, dan jikapun dia ke depan untuk menjadi imam, maka apa salahnya dia bersholat seperti biasa kerana mera`iekan pegangan para makmum yang rata-ratanya bermazhab Syafi`i. Moga Allah memberi hidayah dan taufiqnya kepada kita sekalian dan juga kepada hamba Allah ini sebelum Izrail datang memanggil.