Rabu, November 02, 2005

Eid Mubarak.


Eid Mubarak. Kullu 'amm wa antum wa ahlikum bi khair. TaqabbalAllahu minna wa minkum. Hiasilah malam raya ini dengan takbir, tahmid dan sholawat atas Junjungan. Hidupkanlah malam dengan beribadah dan berdoa. Dalam hadits ada dinyatakan bahawa "Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya, nescaya dihidupkan Allah hatinya pada hari matinya segala hati." Ulama menyatakan bahawa maksudnya ialah kinayah bahawa orang itu akan mendapat kejayaan di akhirat nanti dan dia akan terpelihara dari suul khatimah. Dalam hadits juga dinyatakan bahawa "5 malam doa di dalamnya tidak akan ditolak: malam awal bulan Rajab; malam Nishfu Sya'baan; malam Jumaat dan malam 2 hari raya."
Di samping bergembira dan mensyukuri nikmat kehidupan, jangan lupa pada yang telah pergi. Hadiahkanlah sedekah, doa, istighfar, tasbih dan tahlil buat mereka.Syaikh Abdul Hamid Qudus dalam kitab "Kanzun-Najah was Surur" mukasurat 113 menyatakan antara hadiah yang elok diberi kepada mereka yang berada di sana antaranya:-
  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bihamdih" 100 kali pada hari raya, kemudian berdoa "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku beri pahalanya kepada ahli kubur", maka tidak tinggal seorang pun ahli kubur melainkan akan membalasnya dengan mendoakannya pada hari kiamat dengan doa: "Ya Rahim, rahmatilah hambaMu itu dan jadikanlah pahalanya syurga."

  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bi hamdih" 300 kali dan menghadiahkan pahalanya untuk orang Islam yang telah mati, dimasukkan Allah dalam setiap kubur mereka 1000 nur dan Allah akan menjadikan bagi si pembacanya apabila dia mati 1000 nur di kuburnya.
Ikhwah, ramai ulama kita berpesan dengan amalan-amalan ini. Mantan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id, sebut dalam "Tuhfatul Awthan"nya dan mantan Mufti Betawi, Habib Uthman bin Aqil BinYahya sebut dalam "Maslakul Akhyar"nya. Jadi sesiapa yang nak beramal, buatlah. Sesiapa yang tidak berhajat, tak mengapa. Sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diusahakannya.

Tiada ulasan: