Isnin, Oktober 31, 2005

Sholat Hari Raya

Sembahyang Hari Raya 'Aidil Fitri merupakan satu sholat sunnat atau nafil yang sunnat dikerjakan secara berjemaah. Dalam kitab "Tohfah" karangan Ibnu Hajar dinyatakan bahawa sembahyang-sembahyang sunnat mengikut tertib keafdhalannya bermula dengan:-

  1. sembahyang sunnat Hari Raya Adha;
  2. sembahyang sunnat Hari Raya Fitrah;
  3. sembahyang sunnat Gerhana Matahari;
  4. sembahyang sunnat Gerhana Bulan;
  5. sembahyang sunnat Istisqa` (meminta hujan);
  6. sembahyang sunat Witir;
  7. sembahyang sunnat Fajar atau Rawatib Subuh;
  8. sembahyang sunat-sunat Rawatib yang selebihnya;
  9. sembahyang sunnat Tarawih;
  10. sembahyang sunnat Dhuha;
  11. sembahyang sunnat Thawaf;
  12. sembahyang sunnat Tahiyyatul Masjid;
  13. sembahyang sunnat Ihram;
  14. sembahyang sunnat Wudhu;
  15. sembahyang sunnat Zawal
  16. sembahyang sunnat Mutlak.

Sembahyang Hari Raya 'Aidil Fitri mula dilaksanakan oleh Junjungan Nabi s.a.w.pada tahun ke-2 hijrah, demikian juga disyariatkan pada tahun itu sembahyang hari raya adha Hukumnya adalah sunat mu`akkadah bagi setiap mukallaf, sama ada lelaki atau perempuan, yang bermuqim atau yang sedang musafir. Ianya afdhal dilakukan di dalam masjid melainkan jika masjid sempit maka bolehlah dilakukan di lapangan. Sementara bagi perempuan pula, sunnat bagi perempuan tua yang tidak berharum-haruman dan yang berpakaian harian keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang hari raya berjemaah. Jika dia memakai pakaian yang cantik atau berharum-haruman, maka makruh baginya keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya tersebut. Bagi perempuan muda, makruh bagi mereka keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya walaupun dengan berpakaian harian. Demikian juga, makruh bagi perempuan yang ada kemuliaan keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya sekalipun sudah tua. Manakala bagi isteri haram keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya jika tidak mendapat keizinan suami. Bagi perempuan yang dimakruhkan keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya tersebut, sembahyanglah di rumah sahaja sama ada dikerjakan dengan bersendirian atau berjemaah sesama mereka.


Sembahyang Hari Raya boleh dikerjakan dengan 2 cara, iaitu sekurang-kurangnya dikerjakan seperti sembahyang sunnat wudhu, iaitu 2 rakaat biasa. Namun yang sempurnanya dikerjakan dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbir. Segala rukun, syarat dan sunat sembahyang sama dengan sembahyang-sembahyang yang lain. Hanya pada sembahyang hari raya itu disunatkan lagi bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua. Jika ianya dilakukan berjemaah, maka sunnat dibacakan khutbah setelah sembahyang, bagi yang sembahyang seorang diri maka tak perlulah berkhutbah.

Tiada ulasan: