Isnin, Oktober 10, 2005

Haluan @ Aturan Sebelum Mati


Ikhwah sekalian, dalam kitab yang masyhur di kalangan generasi datuk nenek kita ialah kitab "Perukunan", ada "Perukunan Jamaluddin" dan yang tersohor ialah"Perukunan Melayu" atau "Perukunan Besar" yang dikarang oleh Tuan Haji Abdur Rasyid Banjar. Kitab ini masih di pasaran, boleh kata ramai tok nenek kita dulu mengaji menggunakan kitab ini. Di sini, kunukilkan satu ingatan yang menarik untuk tatapan kita bersama. Pada mukasurat 59 - 61 tertera:-
  • Ini kitab menyatakan haluan yakni aturan kepada sekalian yang empunya haq. Ketahui olehmu wahai tholib, hendaklah diketahui sebelum berpindah kita dari dunia ke negeri akhirat:-

  • Adapun aturan kita kepada Malakul Maut itu 4 perkara; (1) taubat daripada segala dosa pada tiap-tiap malam dan siang; (2) suka kita jikalau dihinakan orang, jangan membesarkan dirinya; (3) membayar qadha kita; (4) berkehendak kepada Allah.

  • Adapun aturan kita kepada kubur itu 4 perkara; (1) meninggalkan mengumpat orang dan mengadu-ngadu; (2) jangan dengki dan dendam akan orang Islam; (3) bersuci diri iaitu istinja` daripada kemih dan tahi; (4) sembahyang pada tempat yang suci.

  • Adapun aturan kita kepada Munkar dan Nakir itu 4 perkara; (1) mengucap syahadah pada tiap-tiap malam dan siang dengan suci hati dan fasih lidah; (2) tasdiq akan maknanya di dalam hati kita; (3) jangan berkata-kata dusta; (4) hendaklah memeliharakan segala orang mukmin.

  • Adapun aturan kita kepada timbangan itu 4 perkara; (1) hendaklah berguru ilmu serta mengerjakan dia; (2) hendaklah suci segala pekerjaan; (3) hendaklah berbaik perangai kepada segala makhluk; (4) syukur kepada Allah ta`ala segala pekerjaannya yang baik.

  • Adapun aturan kita kepada surat-surat kira-kira itu 4 perkara; (1) jangan banyak kata yang lain daripada menyebut-nyebut nama Allah; (2) hendaklah memendekan umur yakni bercita panjang umur; (3) hendaklah berbanyak-banyak pujiannya kepada Allah ta`ala; (4) hendaklah berbanyak sedekah.

  • Adapun aturan kita kepada titian Shirathal-Mustaqim itu 4 perkara; (1) hendaklah berkasih-kasihan samanya Islam dengan kerana Allah; (2) berbuat bakti kepada ibu bapa kita; (3) jangan menyembunyikan pengiriman orang; (4) berlaku menurut laku orang kebanyakan, supaya jangan kelihatan orang amalannya.

  • Adapun aturan kita kepada neraka itu 4 perkara; (1) membaca Quran seboleh-bolehnya; (2) menangis pada siang dan malam kerana takut akan Allah ta`ala; (3) meninggalkan segala pekerjaan maksiat kerana menjauhi daripada haram; (4) jangan berbuat zina.

  • Adapun aturan kita kepada syurga itu 4 perkara; (1) buat kebajikan; (2) kasih akan awliya-Ullah; (3) mengerjakan segala suruh Allah ta`ala; (4) memberi orang meminta.

  • Adapun aturan kita kepada Rasulullah s.a.w. itu 4 perkara; (1) kasih akan Rasulullah; (2) mengikut segala perangai Rasulullah; (3) berbanyak-banyak membaca sholawat; (4) kasih akan segala ulama yang mushannif yakni yang zahir pengajarnya segala kitab.

  • Adapun aturan kita kepada Allah s.w.t., maka sekurang-kurangnya itu 4 perkara dan jikalau dinyatakan itu terlebih banyak; (1) menyuruh segala manusia berbuat kebajikan; (2) menegah segala manusia berbuat kejahatan; (3) beri'tiqad yang sempurna kepada Allah ta`ala; (4) syukur dan redha akan barang yang dihalalkan Allah ta`ala dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahkannya.

WaAllahu a'lamu bis showab wa ilaihil marji`u wal ma-ab.

Ikhwah, fahami betul-betul segala aturan di atas. Kalau aturan betul tertunailah segala hak dan selamatlah dari tuntutannya. Kalau ada yang kurang jelas, bolehlah mohon penjelasan kepada tuan-tuan guru kita, atau tanyalah melalui komen.

Tiada ulasan: