Sabtu, Oktober 22, 2005

Haul Pertama Buya Maliki


Setahun yang lalu, tanggal 15 Ramadhan menjelang waktu Subuh hari Jumaat, Buya Habib Muhammad bin Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani kembali ke rahmatullah. Maka kembalilah seorang ulama, Ahli Hadits, Pendakwah Terbilang, Wangian Dua Tanah Haram menemui Allah s.w.t. Kegigihannya mempertahankan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak dapat dinafikan. Orang-orang Wahhabi di bawah pimpinan Bin Baz amat memusuhinya sehingga beliau difitnah, bahkan dituduh sebagai kafir dan sesat, semata-mata kerana beliau mempertahankan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang sebenar, kerana beliau mempertahankan tawassul dan mawlid. Kitabnya yang masyhur "Mafahim yajibu an tusahhah" yang membicarakan tentang tawassul, ziarah, tabarruk dan sebagainya mendapat sambutan dunia Islam dengan diberi kata sambutan dan aluan daripada puluhan ulama besar dunia Islam. Beliau juga gigih menentang sikap melampau sesetengah manusia, seperti puak Wahhabi yang cepat sekali menghukum dan mengkafirkan orang lain. Sewaktu hayatnya, beliau telah menghadapi segala ujian dengan tabah dan sabar menuruti jejak langkah nendanya Junjungan Nabi s.a.w. Beliau difitnah dan ditegah dari mengajar di Masjidil Haram, semua itu tidak mematahkan semangatnya, dakwah dan penyebaran ilmu tetap dilaksanakannya dari kediamannya. Sesungguhnya Allah tidak bertempat, Maha Suci Allah dari duduk di Masjidil Haram. Kini, segala teguran dan pandangannya telah mendapat perhatian pemerintah Wahhabi di Saudi yang mulai sedar akan ketaksuban dan sifat pelampaunya puak Wahhabi. Karya beliau yang terakhir adalah berupa sebuah kertaskerja atau makalah berhubung pelampau yang telah dibentangkannya dalam satu konvensyen di Jeddah atas permintaan Raja Abdullah. Kini sudah setahun berlalu. Turut kembali ke rahmatullah tahun lepas, ialah Syaikh Jabir al-Yamani seorang ulama besar yang khumul, dianggap sebagai Mufti Syafi`i di Makkah. Satu persatu ulama pegangan kita diambil Allah kembali, adakah pengganti mereka ? .....al-Fatihah

Tiada ulasan: