Qadha Sholat
Alhamdulillah, sudah masuk hari ke-3 kita berpuasa. Alhamdulillah, malam-malam berkesempatan untuk bertarawih. Dan bagi sesiapa yang masih mempunyai hutang sholat fardhu, eloklah ditunaikan dengan segera, jika dahulu ianya ditinggalkan dengan sengaja. Mengikut mazhab kita, sholat fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja wajib diqadha dengan segera, dan selagi belum selesai diqadha kita tidak dibenarkan bahkan diharamkan sholat sunnat. Kalau dikerjakan juga sholat sunnat, maka dapat pahala mengerjakan sholat sunnat dan dapat dosa kerana melambat-lambatkan qadha sholat fardhu dan segala waktu hendaklah digunakan untuk mengqadha sholat tersebut melainkan untuk perkara-perkara yang tidak dapat tidak. Inilah qawl ashah dalam mazhab kita, walau bagaimana pun ada juga qawl yang muqabil asah yang dipegangi oleh Imam Zarkasyi yang menyatakan jika seseorang punya hutang sholat fardhu yang wajib diqadha dengan segera maka berdosa dan tidak sah sholat sunnat yang dikerjakannya. Di samping itu, ada juga qil yang menyatakan boleh orang tersebut menunaikan sholat-sholat sunnat asalkan tidak mengabaikan qadha sholat fardhunya. TETAPI QAWL YANG ASAH adalah yang pertama tadi.
- Nashnya boleh kita lihat dalam kitab-kitab mu'tabar mazhab, kali ini biar kunuqil daripada kitab ulama tua kita yang paling tersohor dan produktif, Mawlana Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni dalam kitabnya "Bughyatuth-Thullab" jilid 1 mukasurat 159 yang menyatakan:- " (DAN BARANGSIAPA) ADA ATASNYA SEMBAHYANG YANG LUPUT DENGAN DENGAN TIADA UZUR WAJIB ATASNYA MENYEGERAKAN MENGQADHAKAN DIA DAN WAJIB ATASNYA MENTASHARRUFKAN (i.e. menggunakan) SEGALA MASANYA BAGI MENGQADHA DIA MAKA TIADA HARUS BAGINYA MENGERJAKAN PEKERJAAN YANG LAIN DARIPADA QADHA SEPERTI MEMBAWA SUNNAT DAN SEMBAHYANG SUNNAT ATAU TAWAF SUNNAT DAN SEMBAHYANG JENAZAH, MAKA HARAM ATASNYA MENGERJAKAN SEGALA YANG TERSEBUT ITU SELAMA ADA LAGI ATASNYA QADHA MELAINKAN BARANG YANG TAK DAPAT TIADA BAGINYA SEPERTI UMPAMA TIDUR DAN QADHA HAJAT DAN MENGHASILKAN NAFKAH DAN BELANJA YANG WAJIB ATASNYA DAN MEMPERBUAT WAJIB YANG LAIN YANG PICIK WAKTUNYA YANG TAKUT IA LUPUTNYA."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan