Qadha Sholat 5
Perkara: Tarawih tanpa sembahyang tunai.
- Adakah sah tarawih walhal fardhu banyak hutang, tetapi niat hendak membayar ?
Jawab:-
- Sah, tetapi yang mengerjakan itu maksiat kepada Allah dengan mengerjakan sembahyang sunnat meninggalkan fardhu, sedikit harapan diterima tarawihnya, Sayyidina Abu Bakar r.a. berkata:- "BAHAWA TIDAK DITERIMA SEMBAHYANG SUNNAT SEHINGGA DITUNAIKAN SEMBAHYANG YANG FARDHU."
Perkara: Hukum sembahyang sunnat bagi orang yang banyak meninggalkan fardhu.
- Adakah harus seorang sembahyang tarawih pada hal orang itu ada banyak hutang sembahyang fardhu yang ditinggalkannya dengan tiada uzur ?
- Tidakkah ada satu jalan lain atau perkataan ulama yang boleh meluluskan mengerjakan sembahyang tarawih dan lain-lain sunnat juga ?
Jawab:-
- Yang diwajibkan atasnya sembahyang fardhu sebelum sembahyang sunnat.
- Maksud bersembahyang ialah khudhu' kepada Allah ta`ala dan mengerjakan perintahNya, menghampirkan dirinya kepada Allah ta`ala. Allah ta`ala telah menyuruh semua hamba-hambaNya dengan sembahyang lima waktu, Zohor, 'Asar, Maghrib, 'Isya` dan Subuh, maka orang yang meninggalkan dengan tiada uzur kemudian ia sembahyang tarawih atau sunnat adalah maksiat kepada Allah menentangNya, melawan perintahNya, degil atas maksiat, ia dimurkai Allah ta`ala. Allah ta`ala telah berfirman :- "Hanya sesungguhnya Allah ta`ala menerima ('amal 'ibadat) daripada orang-orang muttaqin", maka orang yang meninggalkan sembahyang fardhu dan mengerjakan sembahyang sunnat ini fasiq, maka sembahyang tarawih atau sunnatnya sebelum qadha sembahyang fardhu tidak diterima oleh Allah ta`ala. Dari sebab itu segera mengqadha sembahyang fardhu lebih awla dan lebih untung bagi orang Islam kerana boleh jadi mati sebelum mengqadhanya. Al-'Allamah asy-Syaikh Ibnu Hajar berkata, menurut pendapatnya iaitu orang Islam hendaklah berusaha mengerjakan kerja-kerja yang mustahak untuk sara hidupnya kemudian di waktu lapang daripada kerja-kerja hendaklah ia mengerjakan qadha sembahyang-sembahyang fardhunya tidak mengerjakan dahulu tarawih sembahyang sunnat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan