Sunat diutamakan wajib diabaikan
Ikhwah, kupetik Bahagian Pertama artikel dari "Irsyad Hukum" Bilangan 104 Siri ke-4, keluaran Jabatan Mufti Negara Brunei dengan jodol "SUNAT DIUTAMAKAN WAJIB DIABAIKAN ?" untuk tatapan bersama.
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah,
Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
MENGUTAMAKAN PERKARA SUNAT, MENGENEPIKAN PERKARA WAJIB
- Memang menjadi fitrah manusia suka berlumba-lumba dalam mencari sesuatu yang terbaik. Khusus dalam perkara ibadat, setiap orang Islam dituntut mencari kelebihan (fadilat) dan amal kebajikan sebagai pertaruhan dan bekalan di akhirat nanti. Perbuatan sedemikian adalah sifat orang-orang yang salih sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Qur'an yang tafsirnya : "Dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah dari orang-orang yang salih" (Surah Ali Emran: 114). Terdapat segolongan manusia yang tersilap fahaman dan tindakan kerana terlalu mementingkan amalan sunat sehingga perkara yang wajib dan fardhu terabai. Kemungkinan perkara ini berlaku kerana orang berkenaan terkeliru oleh pahala besar yang dijanjikan sebagai ganjaran kepada amalan-amalan sunat. Keadaan inilah yang menjadikan mereka ghairah melakukan amalan-amalan sunat dan menyebabkan mereka tidak memberi perhatian yang lebih kepada perkara-perkara yang wajib. Sedangkan perkara wajib itu lebih utama dilaksanakan. Contohnya mengutamakan sembahyang sunat dengan sembahyang qadha.
- Sembahyang itu wajib dilakukan oleh setiap orang Islam sebagai pengabdian dan tanda syukur kepada Allah Yang Maha Agung. Sembahyang itu diwajibkan ke atas orang Islam kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sembahyang juga adalah cahaya yang menerangkan jalan hidup yang sebenarnya dan cahaya bagi orang yang mengerjakannya di dunia dan akhirat. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam sabdanya yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara sembahyang adalah baginya cahaya, petunjuk dan pertolongan di Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya tidaklah ada cahaya baginya, petunjuk dan pertolongan dan dia pada Hari Kiamat nanti bersama dengan Firaun, Hamman, Qarun dan Ubai bin Khalaf" (Hadis riwayat Ahmad).
- Hukuman bagi orang yang meninggalkan sembahyang akan bergantung kepada keadaan sama ada ditinggalkan itu sengaja atau tidak sengaja. Jika sembahyang itu ditinggalkan dengan sengaja kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum sembahyang), dalam keadaan ini orang yang ingkar itu dihukumkan kafir murtad dengan ijmak ulama. Mengenai hukum orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas padahal dengan iktiqad dia tahu akan wajibnya sembahyang itu, pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi'e ialah dia dihukum bunuh secara hadd (setelah disuruh bertaubat ketika itu) dan tidak dihukumkan kafir. Pendapat mengenai kekufuran orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas sehingga habis waktunya adalah berdasarkan ayat-ayat Al-Qur‘an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara ayat Al-Qur‘an yang menyifatkan mereka di Hari Kiamat nanti daripada golongan orang-orang kafir dan munafiq, sekalipun mereka hidup bersama dengan orang-orang Islam di mana mereka diperintahkan sujud (bersembahyang) tetapi tidak dikerjakan atau ditunaikan, sebagaimana gambaran yang diberikan oleh Allah Subahanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya :"(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (Hari Kiamat), dan mereka diseru supaya sujud, maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan), sedang mereka dalam keadaan sihat". (Surah Al-Qalam: 42-43). Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam juga menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai tanda tidak bersyukur terhadap keluarga dan harta yang diperolehinya, Baginda bersabda yang bermaksud :"Barangsiapa yang meluputkan satu sembahyang, maka seolah-olah dia mengecilkan (menyempitkan) ahli keluarga dan hartanya" (Hadis riwayat Al-Bukhari).
- Berdasarkan ayat Al-Qur'an dan hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam di atas, apa pun sebabnya kecuali kerana terlupa atau tertidur, maka meninggalkan sembahyang itu hukumnya berdosa dan wajib diqadhakan dengan segera. Menurut Imam An-Nawawi bahawa sembahyang fardu yang luput dengan tiada uzur atau ditinggalkan sembahyang dengan sengaja, atau mencuaikan sembahyang tersebut ketika dalam pelayaran, atau lalai kerana menonton hiburan, maka wajib ke atasnya mengqadhakan sembahyang yang ditinggalkan atau dicuaikan itu dengan bersegera dan tidak boleh dilengah-lengahkan. Dalam keadaan ini, menurut Ibnu Hajar Rahimahullah bahawa tidak harus bahkan haram bagi orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau dengan tiada uzur menghabiskan masa dan waktunya dengan perkara-perkara lain sekalipun yang sunat sebelum mengqadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkannya itu, melainkan masanya itu digunakan bagi menunaikan perkara-perkara yang wajib seperti mencari nafkah untuk tanggungannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan