Sayyidah Nafeesah binti Hasan al-Anwar
Waliyah ini dilahirkan pada tahun 145H di Makkah dari keturunan Junjungan Nabi s.a.w. melalui Imam Hasan r.a. Ahli ibadah dan alim sehingga Imam asy-Syafi`i kerap mengunjungi majlisnya untuk mendengar hadits-hadits. Diberitakan bahawa Imam asy-Syafi`i kerap menjadi Imam bertarawih bersama-sama dengannya. Imam besar ini amat memuliakan Sayyidah Nafeesah, bahkan apabila sakit, beliau akan menyuruh seorang muridnya untuk meminta doa agar sembuh daripada Sayyidah Nafeesah, apabila didoakan maka terus sembuh, begitulah mustajabnya doa Sayyidah Nafeesah. Pada sakit wafatnya, Imam asy-Syafi`i menghantar muridnya untuk memohon doa, kali ini Sayyidah Nafeesah mendoakan "Moga Allah merahmati Ibnu Idris", apabila dikhabarkan muridnya akan hal ini, maka tahulah Imam kita yang sakitnya ini akan membawanya berjumpa dengan Kekasihnya Allah s.w.t. Apabila Imam besar ikutan kita meninggal dunia, Sayyidah Nafeesah meminta agar jenazahnya yang mulia dibawa ke rumahnya agar beliau dapat menyembahyangkannya. Antara komennya untuk Imam besar ini ialah "dia adalah seorang lelaki yang baik wudhunya", fahamilah saudaraku bahawa wudhu adalah asas kepada amal ibadah, maka maksudnya seseorang yang baik wudhunya ialah baik amalannya. Inilah komen Sayyidah Nafeesah buat Imam asy-Syafi`i. Karamahnya terlalu banyak dan nyata, insya-Allah di lain ketika kuberitakan jika ada masa dan keizinan Allah s.w.t. Setiap insan pastikan menemui ajalnya, maka pada tahun 208 kembalilah roh yang suci ini menghadap Penciptanya. Dia menemui Allah dalam keadaan berpuasa dan di maqamkan dalam kubur yang digalinya sendiri. Moga keberkatannya melimpah kepada kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan