Keprihatinan Terhadap Ummat
Ikhwah, sekarang kita sudah sampai ke pertengahan bulan yang mulia ini. Pertengahan yang disifatkan oleh Junjungan s.a.w. sebagai penuh maghfirah, yakni keampunan Allah. Allahummagh-fir-lana wa li jami`il muslimin. Mari kita tingkatkan usaha agar keampunan Allah dapat diraih. Di samping itu, tambah lagi keihsanan tuan puan kepada saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik, yang mendapat musibah dan ujian daripada Allah s.w.t. Yang diuji Allah dengan gempa bumi seperti di Pakistan, India dan Afghanistan. Hulurlah bantuan seadanya menurut kemampuan. Ingat sabda Junjungan s.a.w. : " Sesiapa yang tidak prihatin terhadap hal ehwal urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka." Potong sedikit budget hari raya saudara untuk digunakan membantu mereka, insya-Allah keberkatan dan rahmat buat saudara. Ada riwayat Junjungan bersabda: "Sebaik-baik sedekah adalah sedekah dalam bulan Ramadhan" dan diriwayatkan pula bahawa Junjungan s.a.w. adalah orang yang paling dermawan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Segala musibah yang berlaku sudah menjadi ketentuan Allah dan ujian bagi semua. Bagi yang kena, diuji kesabarannya, keredaannya, bagi yang melihat diuji kesyukurannya dan keihsanannya. Tidak sewajarnya, kita berpangku tangan tanpa memberi apa-apa bantuan. Junjungan s.a.w. bersabda: "Tidak akan berkurangan harta dengan bersedekah", oleh itu jangan khuatir hulurkanlah bantuan, mudahan kamu diberkati Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan