Selasa, Januari 31, 2006

Hadis Jarir - Penjelasan Tuan Guru Haji Ahmad



Hadis Jarir yang membawa maksud "Kami mengira orang berhimpun kepada ahli keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengkebumiannya adalah daripada ratapan (an-niyahah)." Hadis ini menjadi hujjah bagi meng"haram" atau me"makruh" membuat kenduri arwah kematian selepas matinya seseorang. Adakah ini pemahaman yang difahami oleh para ulama kita ?

Tuan Guru Haji Ahmad al-Fusani (1902 - 1996) memberi penjelasan dalam kitabnya "Khulasah al-Mardhiyyah fi Masail al-Khilafiyyah" antara lain menyatakan bahawa kalimah "minan-niyahah" dalam hadis tersebut ditanggung maknanya sebagai "min asbabin niyahah" iaitu "setengah daripada sebab ditakutkan jadi niyahah. Maka bukanlah diri berhimpun dan buat makan itu niyahah sungguh kerana jikalau niyahah sungguh tentulah ulama kata haram kerana tiada ada niyahah yang makruh sama sekali" (yakni jika semata-mata berhimpun dan berjamu itu termasuk ratapan, maka sudah tentu ulama akan terus menghukumnya haram dan bukan makruh kerana tidak ada niyahah yang hukumnya makruh. Jadi dihukumkan bid`ah makruhah kerana boleh jadi sebab bagi ratapan atau boleh membawa kepada ratapan, jadi kalau ikut kaedah ushul ini yang menjadi 'illah bagi dihukumkan bid`ah makruhah tersebut, jika 'illah ini hilang maka hukumnya juga turut berubah). Soalnya, adakah kenduri arwah yang orang kita buat bersifat sedemikian ? Adakah kenduri kita menjurus kepada ratapan ?

Selanjutnya Tuan Guru Haji Ahmad menyebut:-
  • "...Sebuah hadis yang meriwayatkan dia Imam Ahmad rahimahUllah ta'ala dengan sanad yang sahih dan Abu Daud daripada 'Aashim bin Kulaib daripada bapanya daripada seorang laki-laki daripada Anshar berkata ia: "Keluar kami sahabat nabi serta Rasulullah s.a.w. pada menghantarkan jenazah orang mati kepada kubur. Maka aku nampak akan Rasulullah s.a.w. menyuruh orang yang menggali kubur dengan katanya: "Perluas olehmu daripada pihak dua kakinya, perluas olehmu daripada pihak kepalanya". Maka tatkala balik Nabi daripada kubur berhadap kepadanya (yakni datang kepada Nabi) seorang yang (mem)persilakan Nabi ke rumah daripada suruhan perempuan si mati itu. Maka Nabi serta sahabat pun silalah (yakni datanglah) ke rumahnya. Maka dibawa datang akan makanan, maka (meng)hantar Nabi akan tangannya, yakni menjemput Nabi akan makanan bubuh ke mulut dan (meng)hantarlah segala sahabat akan tangannya".......Hadis ini menyatakan Nabi sendiri serta sahabat berhimpun makan di rumah orang mati kemudian (yakni selepas) balik tanam orang mati.......Jadi berlawan hadis ini dengan hadis Jarir yang menunjuk atas tegah berhimpun makan di rumah orang mati kemudian daripada tanam mayyit..........Setengah riwayat tak dak lafaz "ba'da dafnihi" (kemudian daripada tanamnya) [yakni hadis Jarir ada khilaf dalam riwayatnya kerana ada riwayat yang tidak menyebut "ba'da dafnihi"). Maka orang tua-tua kita tanggungkan bahawasanya makruh itu berhimpun makan di hadapan mayyit jua. Inilah jalanan orang tua-tua kita. Sebab itulah orang kita tidak berjamu sewaktu ada mayyit di atas rumah, dan jika darurat kepada berjamu juga seperti bahawa suntuk masa, diberjamu pada rumah yang lain daripada rumah yang ada mayyit padanya........Alhasil, hukum berhimpun di rumah ahli mayyit dan membuat ahli mayyit akan makanan, berjamu makan semata-mata dengan tidak qasad bersedekah daripada mayyit atau baca al-Quran niat pahala kepada Allah, makruh tanzih selama ada mayyit di atas rumah itu."

Perkataan ulama kita yang menghukum berhimpun dan berkenduri makan selama 7 atau 40 hari sebagai bid`ah makruhah diihtimal maksudnya jika perbuatan tersebut dibuat semata-mata menjalankan adat kebiasaan yang jika tidak dilaksanakan akan menjadi cemohan masyarakat bukan dengan niat "ith`aam 'anil mayyit" dan sebagainya. Atau ianya boleh membawa kepada niyahah yang diharamkan atau kesedihan yang berlarutan. Oleh itu, larangan tersebut tidaklah bersifat mutlak tetapi mempunyai qayyid yang menjadi 'illah pada hukum tersebut. Dalam pada itu, Imam Ibnu Hajar dalam "Fatwa Kubra"nya menyatakan bahawa jika seseorang berbuat kenduri tersebut semata-mata menjalankan adat untuk menolak cemohan orang-orang jahil dan menjaga kehormatan dirinya maka tidaklah ianya dianggap sebagai bid`ah madzmumah. Nanti aku postkan lain kali.

Seorang saudara menghantar risalah yang dalamnya nukilan perkataan Imam asy-Syafi`i yang menyatakan "Aku benci diadakan ma'tam, iaitu himpunan walaupun tidak ada tangisan mereka, kerana sesungguhnya pada yang sedemikian itu memperbaharui kedukaan dan membebankan tanggungan". Membaca nas perkataan Imam asy-Syafi`i ini jelas menunjukkan tidak mutlaknya kebencian tersebut kerana ianya dikaitkan dengan "membaharui kesedihan" dan "membebankan". Apa kata jika, perhimpunan dilakukan adalah dalam rangka mendoakan si mati, bersedekah buat pihak si mati, menghibur ahli keluarga si mati, dan tidak menjadi beban kepada keluarga si mati yang berkemampuan ? Adakah Imam kita asy-Syafi`i masih membencinya ?
Jadi kalau ada yang berbuat kenduri seperti itu rupanya maka makruhlah kita datang hadir. Bahkan jika digunakan tirkah anak yatim atau tirkah waris yang tidak redha atau sebagainya makan haram kita hadir. Jadi hukumnya kena lihat case by case, bukan main pukul rata haram atau makruh atau harus.

3 ulasan:

nuruddin berkata...

Tuan boleh ana dapatkan e-mail address tuan. Dan bagaimana untuk ana boleh dapatkan kitab "Khulasah al-Mardhiyyah fi Masail al-Khilafiyyah" tulisan Tuan Guru Hj Ahmad Fusan?

Abu Muhammad berkata...

abumuhammad123@yahoo.com

Kitab tersebut tuan kena cari kat Fathani atau Kelantan atau Kedah, atau cuba tuan tanya sahabat-sahabat kat Khazanah Fathaniyyah, kalau-kalau ada mereka simpan.

Zambili berkata...

Tuan, boleh tak kemukakan hadis ini berada dalam sahih al-Bukhari atau kitab hadis mana? Ana nak cuba cari matannya.... Syukran