Menghidupkan Malam Raya
Ikhwah, dalam hadis ada dinyatakan bahawa sesiapa yang menghidupkan malam hari raya dengan ibadah nescaya Allah akan menghidupkan hatinya pada matinya segala hati. Isyarat yang jelas daripada Junjungan s.a.w. bahawa menghidupkan malam hari raya dengan ibadah boleh menjadi sebab hidupnya hati kita dengan agama.
Junjungan s.a.w. memberi panduan agar hari-hari raya kita dihiasi dengan takbir dan tahmid, mengagung dan membesarkan Allah. Kita lain pula halnya, hanya sibuk menghias diri dan rumah, salah.... tak salah, asalkan jangan over dan jangan sampai yang utama diabaikan yang kurang perlu diwajibkan.
Di tempat kita, malam - malam raya terutama sekali malam 'Aidul Fitri amatlah meriah. Tapi meriah dengan hiburan, meriah dengan sinaran lampu, meriah dengan mercun. Saranan Junjungan s.a.w. untuk memperbanyakkan takbir diabaikan, hatta masjid-masjid kita lengang setelah sholat Isya` kerana semua sibuk nak menyambut hari raya. Lepas Isya, tidak lagi kedengaran suara-suara takbir. Fuqaha menyatakan bahawa disunnatkan bertakbir pada malam raya di mana-mana sahaja, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di rumah-rumah dengan mengangkat suara bagi lelaki. Rujuk "Raudhatuth-Tholibin" jilid 1 mukasurat 587.
Seperkara yang sering diabaikan juga oleh orang kita ialah kesunnahan bersholawat setelah bertakbir. Bertakbir dengan irama merdu telah menjadi kebiasaan orang kita, tetapi kenapa tidak mahu bersholawat setelah takbir tersebut ? Bukankah fadhilah sholawat itu amat besar ? Tambahan pula, hukumnya adalah sunnat. Rujuklah kitab-kitab fiqh kita, contohnya "Hasyiah Qalyubi", jilid 1, mukasurat 309.
Oleh itu, mari kita hidupkan malam ini dengan bertakbir dan bertahmid demi mengagungkan Allah serta membesarkanNya. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar wa Lillahil Hamd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan