10 hari pertama Dzul Hijjah
Saat masuk bulan Dzul Hijjah, para jemaah haji telah mula berkumpul di kota suci Makkah menekuni amal-amal sholeh. Sebenarnya tuntutan untuk menambah amal-amal sholeh adalah kepada semua umat Islam, lebih-lebih lagi dalam 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah ini. Hal ini dinyatakan dalam sabdaan Junjungan s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dengan darjat hasan gharib shohih di mana Junjungan s.a.w. bersabda bahawa:
- "Tidak ada hari di mana amal sholeh dalamnya lebih dikasihi Allah dari (amal sholeh yang dikerjakan pada) hari-hari yang 10 ini (yakni 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah)". Para sahabat bertanya: "Dan tidak juga jihad pada jalan Allah ? (yakni, adakah jihad pada jalan Allah di bulan lain dapat menandingi beramal sholeh pada 10 hari tadi ?)" Junjungan s.a.w. menjawab:- "Tidak juga berjihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjihad) dengan diri dan hartanya, lalu tidak pulang lagi dengan demikian akan sesuatu (yakni dia terbunuh syahid dengan diri dan hartanya)."
Imam at-Tirmidzi juga meriwayatkan satu hadis lain yang berdarjat hasan gharib bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
- "Tidak ada suatu hari yang paling dikasihi Allah untuk beribadah kepadaNya melebihi hari-hari 10 Dzul Hijjah, menyamai puasa sehari daripada hari-hari tersebut (selain hari raya haji) dengan puasa setahun, dan qiyam (beribadat malam) pada setiap malam daripadanya dengan qiyam pada malam lailatul qadr."
Allahu Akbar, besarnya fadhilat. Tapi zaman kita ini, kalau dikatakan sesiapa yang beribadah malam diberi RM1000 semalam, rasa-rasanya lagi ramai yang tak tidur malam beribadah sebab nak dapat RM1000. Kebendaan telah menguasai diri kita. Ganjaran pahala yang tak nampak dek mata, sudah dianggap tidak bernilai. Sedangkan ciri-ciri orang beriman itu antaranya "beriman dengan yang ghaib". Dosa dan pahala adalah termasuk benda ghaib yang tak nampak dengan pandangan mata biasa. Ini yang membezakan kita umat beriman dengan orang-orang kafir yang hidup semata-mata mengaut keuntungan duniawi.
Dunia yang fana telah dianggap setara bahkan lebih dari akhirat yang kekal abadi, sedangkan Allah menyatakan bahawa "akhirat itu lebih utama dari dunia". Apa itu dunia ? Dunia itu jalan menuju akhirat, dunia itu ladang untuk akhirat, singkatnya dunia itu untuk akhirat. Jadi hakikatnya adalah akhirat bukan dunia.
Oleh itu hidup kita di dunia adalah untuk mencari bekalan akhirat dengan mengerjakan amal akhirat walaupun berbentuk pekerjaan duniawi. Oleh itu serba-serbi amal perbuatan kita di dunia hendaklah dijadikan ibadah, sama ada masuk dalam kategori ibadah khusus atau ibadah umum. Sembahyang jadi amal akhirat, kerana ada juga sembahyang yang hanya jadi pekerjaan dunia iaitu sembahyang kerana riya` dan sebagainya yang mana ianya bukan lagi jadi amalan akhirat walaupun bentuknya amal akhirat. Bekerja di pejabat dengan baik dan niat yang betul serta tidak melanggar peraturan syarak berupa pekerjaan dunia tetapi diberi pahala amal akhirat. Adakah kita hanya mahu hasil usaha titik peluh kita hanya diterima di dunia sahaja ? Kerja hanya dapat gaji hujung bulan sahaja ? Makan hanya dapat kenyang sahaja ? Kalau itu sahaja yang jadi tuntutan, apa bezanya kita dan kambing ? Kambing makan, kita makan; kambing tidur, kita tidur; kambing kawin, kita kawin; kambing tak sembahyang, kita pun tak sembahyang, kan confirm serupa dengan kambing walaupun tak sama bentuk. Jangan marah, mudah-mudahan kita berjaya menjadi manusia yang sempurna (insan kamil) bukan kambing yang sempurna, kerana nanti kena korban pulak kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan