Berqunut di Tanah Suci
Membaca doa qunut dalam sembahyang Subuh dihukumkan sunnat ab`ad dalam mazhab kita asy-Syafi`i. Jadi menurut mazhab kita, kalau tak baca qunut, kuranglah cantik sembahyang Subuh tersebut walaupun sah. Sebenarnya, mazhab Maliki juga berqunut dalam sembahyang Subuh, tetapi qunut mereka dibaca sebelum rukuk dan dengan sir tanpa mengangkat tangan. Hanafi pun berqunut juga, tapi dalam sembahyang witir. Jadi nak marah sangat dengan orang berqunut apa hal.
Jemaah kita di Tanah Suci, bila sembahyang Subuh ada yang tak nak baca qunut kerana alasannya ikut imam, qunutkan hanya sunnat, Imam Syafi`i waktu sembahyang Subuh setelah ziarah maqam Imam Hanafi pun tak baca qunut dan macam-macam alasan lagi. Rupanya ada juga orangyang baca qunut di Malaysia, tak faham dan tak reti dengan doa qunut yang dibacanya. Aku ingat kalau kita faham dan menghayati betul-betul qunut yang kita baca, rasanya menyesal jika kita tinggalkan. Bayangkanlah, satu doa yang dijadikan amalan istiqamah kita di Malaysia, apabila di depan Ka'bah dan di raudhah Junjungan s.a.w. kita tinggalkan, takkah rugi namanya.
Sebenarnya ada cukup kesempatan membaca qunut di sana. Kalau malu nak angkat tangan, tak payah angkat tangan. Ada qil daripada Imam al-Ghazali yang menyatakan membaca qunut tak sunnat tadah tangan, tapi qawl ini dhaif dalam mazhab. Mudah-mudahan istiqamah beramal, termasuklah amalan berqunut.
Dulu Tok Imam dalam dua masjid suci tersebut pun baca qunut, Ratusan tahun lamanya qunut dibaca dalam dua masjid suci tersebut. Hanya setelah Wahhabi berkuasa barulah di`haram'kan membaca qunut. 1986, aku ke Makkah sempat bertemu seorang tua keturunan Fathani yang lahir dan bermukim di sana. Dia menceritakan bahawa dahulu ada seorang Imam di Masjidil Haram bermazhab Syafi`i, bila sholat Subuh dia baca qunut, lepas sembahyang terus kena balun kena pukul oleh puak Wahhabi yang berkuasa di sana. Wahhabi bermusuh sangat dengan mazhab kita kerana mazhab kita dominan di Hejaz dan menjadi mazhab syarif-syarif Makkah yang merupakan musuh Wahhabi.
Imam Tajuddin as-Subki (w. 771H) dalam kitab "Tabaqatusy-Syafi`iyyah" menulis antara lain:-
- Adapun di Hejaz, dari mulai lahirnya mazhab Syafi`i sampai ke hari ini (yakni masa Imam as-Subki tersebut), urusan mahkamah, urusan penyebaran agama dan keimanan adalah di tangan ulama-ulama Syafi`iyyah. Sejak 563 tahun yang lalu (yakni dikira sehingga zaman Imam as-Subki tersebut), di masjid Rasulullah s.a.w. di Madinah, orang-orang menyampaikan ajaran agama (bertabligh) dan sembahyang adalah atas dasar anak bapa saudara Junjungan Nabi s.a.w., iaitu Muhammad bin Idris asy-Syafi`i, membaca qunut dalam sembahyang Subuh, menjaharkan basmallah, mengifradkan qamat (yakni menunggalkan lafaz iqamah selain lafaz "qad qamatish sholatu" ) dan lain-lain, dan Nabi s.a.w. melihat dan mendengar (yakni menurut 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah bahawa Junjungan Nabi s.a.w. hidup (dengan kehidupan barzakhiyyah yang sempurna) dalam kubur baginda, mendengar dan melihat kepada sesiapa yang mengucapkan salam kepada baginda). Ini suatu bukti bahawa mazhab ini adalah benar di sisi Tuhan.
Wahai Sunniyun Syafi`iyyun, mari kita istiqamahkan qunut, tambahan pula pada zaman yang penuh fitnah dan pancaroba ini. Mari kita tadah tangan, awal-awal pagi lagi dengan khudu` dan khusu` memohon kepada Allah:
Ya Allah, kupohonkan hidayah,sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri hidayah;
Kupohon keafiatan,sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri keafiatan;
Kupohon perlindungan, sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri perlindungan;
Berkatilah semua yang telah Engkau anugerahkan kepadaku;
Dan peliharalah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan;
Kerana sesungguhnya Engkaulah yang menetapkan segala sesuatu, bukan yang ditetapkan;
Tak akan hina orang yang Engkau kasihi;
Dan tak akan mulia orang yang Engkau musuhi;
Tuhan kami, Engkau Maha Suci dan Maha Tinggi;
Segala puji bagiMu atas segala yang telah Engkau tetapkan;
Aku memohon ampunan dan bertaubat kepadaMu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan