Jumaat, Januari 27, 2006

Hadis Thawus


Thawus al-Yamani adalah seorang tabi`in terkemuka dari kalangan ahli Yaman. Beliau bertemu dan belajar dengan 50 - 70 orang sahabat Junjungan Nabi s.a.w. Thawus menyatakan bahawa orang-orang mati difitnah atau diuji atau disoal dalam kubur-kubur mereka selama 7 hari, maka adalah mereka menyukai untuk diberikan makanan sebagai sedekah bagi pihak si mati sepanjang tempoh tersebut.

Hadis Thawus ini dikategorikan oleh para ulama kita sebagai mursal marfu' yang sahih. Ianya mursal marfu' kerana hanya terhenti kepada Thawus tanpa diberitahu siapa rawinya daripada kalangan sahabi dan seterusnya kepada Junjungan Nabi s.a.w. Tetapi oleh kerana ianya melibatkan perkara barzakhiyyah yang tidak diketahui selain melalui wahyu maka dirafa'kanlah sanadnya kepada Junjungan Nabi s.a.w. Para ulama menyatakan bahawa hadis mursal marfu' ini boleh dijadikan hujjah secara mutlak dalam 3 mazhab sunni (Hanafi, Maliki dan Hanbali, manakala dalam mazhab kita asy-Syafi`i ianya dijadikan hujjah jika mempunyai penyokong (selain daripada mursal Ibnu Mutsayyib). Dalam konteks hadis Thawus ini, ia mempunyai sekurang-kurangnya 2 penyokong, iaitu hadis 'Ubaid dan hadis Mujahid. Oleh itu, para ulama kita menjadikannya hujjah untuk amalan yang biasa diamalkan oleh orang kita di rantau sini, iaitu apabila ada kematian maka dibuatlah kenduri selama 7 hari di mana makanan dihidangkan dengan tujuan bersedekah bagi pihak si mati.

Hadis Thawus ini dibahas oleh Imam Ibnu Hajar dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah" jilid 2 mukasurat 30. Imam besar kita ini, Syaikh Ahmad Ibnu Hajar al-Haitami as-Sa'di al-Anshari ditanya dengan satu pertanyaan berhubung sama ada pendapat ulama yang mengatakan bahawa orang mati itu difitnah/diuji atau disoal 7 hari dalam kubur mereka mempunyai asal pada syarak.

Imam Ibnu Hajar menjawab bahawa pendapat tersebut mempunyai asal yang kukuh (ashlun ashilun) dalam syarak di mana sejumlah ulama telah meriwayatkan (1) daripada Thawus dengan sanad yang shahih dan (2) daripada 'Ubaid bin 'Umair, dengan sanad yang berhujjah dengannya Ibnu 'Abdul Bar, yang merupakan seorang yang lebih besar daripada Thawus maqamnya dari kalangan tabi`in, bahkan ada qil yang menyatakan bahawa 'Ubaid bin 'Umair ini adalah seorang sahabat kerana beliau dilahirkan dalam zaman Nabi s.a.w. dan hidup pada sebahagian zaman Sayyidina 'Umar di Makkah; dan (3) daripada Mujahid.

Dan hukum 3 riwayat ini adalah hukum hadis mursal marfu' kerana persoalan yang diperkatakan itu (yakni berhubung orang mati difitnah 7 hari) adalah perkara ghaib yang tiada boleh diketahui melalui pendapat akal. Apabila perkara sebegini datangnya daripada tabi`i ianya dihukumkan mursal marfu' kepada Junjungan Nabi s.a.w. sebagaimana dijelaskan oleh para imam hadits. Hadits Mursal adalah boleh dijadikan hujjah di sisi imam yang tiga (yakni Hanafi, Maliki dan Hanbali) dan juga di sisi kita (yakni Syafi`i) apabila ianya disokong oleh riwayat lain. Dan telah disokong Mursal Thawus dengan 2 lagi mursal yang lain (iaitu Mursal 'Ubaid dan Mursal Mujahid), bahkan jika kita berpendapat bahawa sabit 'Ubaid itu seorang sahabat nescaya bersambunglah riwayatnya dengan Junjungan Nabi s.a.w.

Selanjutnya Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa telah sah riwayat daripada Thawus bahawasanya "mereka menyukai/memustahabkan untuk diberi makan bagi pihak si mati selama tempoh 7 hari tersebut." Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa "mereka" di sini mempunyai 2 pengertian di sisi ahli hadis dan usul. Pengertian pertama ialah "mereka" adalah "umat pada zaman Junjungan Nabi s.a.w. di mana mereka melakukannya dengan diketahui dan dipersetujui oleh Junjungan Nabi s.a.w."; manakala pengertian kedua pula ialah "mereka" bermaksud "para sahabat sahaja tanpa dilanjutkan kepada Junjungan Nabi s.a.w." (yakni hanya dilakukan oleh para sahabat sahaja).

Ikhwah jadi kita dimaklumkan bahawa setidak-tidaknya amalan "ith'aam" ini dilakukan oleh para sahabat, jika tidak semuanya maka sebahagian daripada mereka. Bahkan Imam ar-Rafi`i menyatakan bahawa amalan ini masyhur di kalangan para sahabat tanpa diingkari. Amalan memberi makan atau sedekah kematian selama 7 hari mempunyai nas yang kukuh dan merupakan amalan yang dianjurkan oleh generasi awal Islam lagi, jika tidak semua sekurang-kurangnya sebahagian generasi awal daripada kalangan sahabi dan tabi`in. Oleh itu, bagaimana dikatakan ianya tidak mempunyai sandaran.

Imam as-Sayuthi juga telah membahaskan perkara ini dengan lebih panjang lebar lagi dalam kitabnya "al-Hawi lil Fatawi" juzuk 2 di bawah bab yang dinamakannya "Thulu' ats-Tsarayaa bi idhzhaari maa kaana khafayaa" di mana antara kesimpulan yang dirumusnya pada mukasurat 194:-

  • Sesungguhnya sunnat memberi makan 7 hari. Telah sampai kepadaku (yakni Imam as-Sayuthi) bahawasanya amalan ini berkekalan diamalkan sehingga sekarang (yakni zaman Imam as-Sayuthi) di Makkah dan Madinah. Maka zahirnya amalan ini tidak pernah ditinggalkan sejak masa para sahabat sehingga sekarang, dan generasi yang datang kemudian telah mengambilnya daripada generasi terdahulu sehingga ke generasi awal Islam lagi (ash-shadrul awwal). Dan aku telah melihat kitab-kitab sejarah sewaktu membicarakan biografi para imam banyak menyebut: " dan telah berhenti/berdiri manusia atas kuburnya selama 7 hari di mana mereka membacakan al-Quran".
  • Dan telah dikeluarkan oleh al-Hafidz al-Kabir Abul Qasim Ibnu 'Asaakir dalam kitabnya yang berjodol "Tabyiin Kadzibil Muftari fi ma nusiba ilal Imam Abil Hasan al-'Asy'ariy" bahawa dia telah mendengar asy-Syaikh al-Faqih Abul Fath NashrUllah bin Muhammad bin 'Abdul Qawi al-Mashishi berkata: "Telah wafat asy-Syaikh Nashr bin Ibrahim al-Maqdisi pada hari Selasa 9 Muharram 490H di Damsyik. Kami telah berdiri/berhenti/berada di kuburnya selama 7 malam, membaca kami al-Quran pada setiap malam 20 kali khatam."

Ikhwah, "ith`aam" ini boleh mengambil apa jua bentuk. Tidak semestinya dengan berkenduri seperti yang lazim diamalkan orang kita. Jika dibuat kenduri seperti itu, tidaklah menjadi kesalahan atau bid`ah, asalkan pekerjaannya betul dengan kehendak syarak.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum..

Tuan kata "Hadis Thawus ini dibahas oleh Imam Ibnu Hajar dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah" jilid 2 mukasurat 30."

Malangnya, ana dah semak dalam kitab tersebut jilid 2, muka surat 30 adalah bicara mengenai haji.. Tidak disentuh langsung mengenai hadis Thawus...

Harap tuan dapat semak semula...
Syukran.

Abu Muhammad berkata...

Akhina Zambili, ana nak kata apa, sila tengok betul-betul kat mukasurat 30, jilid 2, baris 12 dari bawah. Kitab ana cetakan Darul Fikir.

Karang tak jumpa habaq mai no, buleh aku scan. So harap tuan semak semula lagi sekali dua kali, tiga empat kali.

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah..
Jazakallah..
Ana tersilap, ana scan laju sangat... Maaf.

MAN berkata...

Kitab Imam Suyuti tu mmg ada, tp salah tulis muka surat. Muka surat yg betul ialah 168 bukan 194.. Boleh check tengok sendiri..

Abu Muhammad berkata...

Man punya naskhah cetakan lain kot. Kitab ini telah diterbit dan dicetak oleh berbagai penerbitan dan cetakan. Bukannya hanya satu naskhah sahaja. Faqir dan letak halaman mukasurat dan memang yang dirujuk halaman 194. Al-Afwu.

Abu Muhammad berkata...

Atau mungkin naskhah kita sama dan matan hadis nya kat mukasurat tersebut, tapi yang faqir rujuk adalah bahasan yang pada halaman 194 yang faqir lampirkan. Sila baca betul - betul.