Rabu, Januari 25, 2006

Ilmu itu dengan belajar

Ikhwah, Junjungan besar s.a.w. berpesan bahawa: "Innamal 'ilmu bit ta`allum" (sesungguhnya ilmu itu dengan belajar). Ulama menyatakan bahawa ini antara dalil bahawa ilmu itu hendaklah diambil dengan belajar dengan guru yang benar, bukan semata-mata diambil dari buku-buku dan kitab-kitab sahaja. Sebab itu masyhur kalam para sufi yang menyatakan bahawa "Sesiapa yang tidak berguru maka syaithanlah jadi gurunya." Ustaz Abdullah al-Qari karang risalah mempertikaikan kalam tersebut. Ada betulnya dan ada kurangnya. Ada ilmu boleh kita ambil dari kitab-kitab dan buku-buku, tapi ada yang kena telaah dan tadah bawah panduan guru.

Pelik sungguh zaman ini, bebudak belajar 1 + 1, A B C kita hantar pergi tadika, pergi sekolah, antar tuisyen, tetapi kenapa bab-bab ilmu agama kita nak belajar dari membaca sahaja atau dengar-dengar ceramah sahaja. Kenapa malas berguru ? Ilmu dunia yang nyata pun kena belajar dengan cikgu, ilmu agama yang berhubung soal ghaib dan keimanan tentulah berlebih lagi.

Belajar dari kitab atau buku ni, ada bahayanya. Kekadang buku tu salah cetak, jadi kita pun ambik hukum berdasarkan keterangan dari kesilapan cetak. Tak ke haru biru ? Kat tempat aku banyak kitab "Mathla`ul Badrain" cetakan Thailand di mana ada kesilapan percetakan dalamnya. Antaranya tersebut dalam kitab cetakan tersebut bahawa orang yang terlupa atau tak sengaja atau tersalah lidah atau jahil hukum atau tidak sedar yang dirinya dalam sembahyang bila berkata-kata 60 kalimah tidaklah batal sembahyangnya. 60 kalimah itu silap cetak kerana sepatutnya ditulis 6 kalimah. Bayangkanlah jika ada orang yang hanya baca dan terus berhukum dengan cetakan yang salah itu.

Begitu juga dengan Hidayatus Salikin ada banyak kesilapan cetak yang boleh merubah maknanya. Contoh dinyatakan bahawa hendaklah orang yang pergi ke masjid dengan berlari-lari, sedangkan yang dimaksudkan ialah jangan berlari-lari, dalam cetakan huruf "jim" tertukar kepada huruf "dal". Tambah malang, bila kesilapan tersebut terus diulangi dalam transliterasi Hidayatus Salikin tersebut oleh Yang Mulia Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shoghir, mungkin kerana sifat amanahnya maka Tuan Guru tidak membuat pembetulan dalam transliterasi tersebut.

Begitu juga dalam cetakan Sabilal Muhtadin, terutama sekali cetakan Pustaka Nasional Singapura. Ada terhilang beberapa kalimah yang merubah makna dan hukum sekaligus.

Kitab-kitab terjemahan juga tidak terlepas dari kesalahan cetak dan kesilapan terjemah. Contohnya dalam terjemahan Kifayatul Akhyar cetakan Pustaka Nasional Singapura kalimah "dhubu`" atau dalam bahasa kita dubuk (sejenis binatang) diterangkan sebagai "semacam kijang".

Bahkan yang memeranjatkan kitab-kitab terjemahan Ustaz Syed Ahmad Semait pun berlaku kesilapan cetak dan terjemahan. Kesilapan yang amat nyata sehingga orang bodoh macam aku pun tahu ianya silap. Contohnya dalam terjemahan kitab "Al-Adzkar"nya di mana pada mukasurat 36 ada terjemahan sebagai "Dan boleh juga dibacakannya dalam menetapkan harga sesuatu barang (?????), kecuali jika dikasadkan bacaan itu sebagai bacaan Al-Quran" sedangkan terjemahan yang betul ialah "dan tidaklah berdosa (yakni bagi orang junub dan haid untuk membaca bismillah atau alhamdulillah dan lain-lain zikir Al-Quran) melainkan jika dikasadkan bacaan tersebut sebagai bacaan Al-Quran." Kekeliruan pada kalimah a-sa-ma dengan sa-ma-na.

Dua kali terperanjat apabila pada mukasurat 440 satu bab tersilap terjemahan. Bab yang sepatutnya diterjemahkan sebagai "(Bab) Apa yang diucapkan apabila haiwan tunggangan terlepas" diterjemahkan sebagai "(Bab) Apa yang diucapkan apabila kenderaan patah kakinya." Kalimah "YA IBADALLAH IHBISUU" diterjemahkan sebagai "Wahai hamba-hamba Allah ! Matikanlah binatang ini." (?????????) Kalimah ha-ba-sa yang membawa makna kurung diterjemahkan kepada menghapus nyawa. Kalimah wa-qa-fa yang membawa erti berhenti diterjemahkan sebagai terus mati. Logikanya kalau binatang patah kaki, buat apa nak istighasah suruh makhluk ghaib hapuskan nyawanya, kita sahaja ambik pisau dan sembelih binatang tersebut. Kome cari sendiri dulu, tak boleh nak faham khabar kat aku, kalau aku rajin nanti aku tulis lagi.

Sebab itulah kita disuruh berguru dan bertanya dengan ahlinya. Sekarang ada intelek Wahhabi hentam kenduri arwah dan jadikan kitab-kitab ulama kita sebagai dalil kononnya kenduri arwah yang kita dok biasa buat sebenarnya turut ditentang oleh ulama kita tersebut. Betul kah ????? Insya-Allah aku akan usaha jawab dengan terang di lain posting. Cuma di sini aku nak habaq, Rasul Dahri yang dok nukil kitab Kasyful Litsam, Furu` Masail, I`anathuth Tholibin, Sabilal Muhtadin, faham betul ke ibarat kitab-kitab tersebut. Pernah ke dia duduk menadah kitab-kitab tersebut dengan guru-guru yang muktabar bersambung sanad dengan pengarangnya ? Potong kuku aku kata tak pernah. Aku juga tahu sedikit sebanyak sejarah dan latar belakang Rasul Dahri kebanggaan Wahhabi tu, kawan-kawan yang mengenalinya ramai kat kampung aku, baik sewaktu dia di al-Juneid maupun waktu dia di Madinah.

Shohibus Samahah Datuk Abdul Kadir Hasan dari guru kampung sehingga jadi mufti mengajar ke sana ke mari Sabilal Muhtadin, tak pernah pulak dia haramkan kenduri arwah, niga, nujuh dan haul. Aku ingat waktu aku kecil aku juga sering ke rumahnya di Kampung No.6 untuk kenduri makan hol dan tahlil arwah. Guru Zaini @ Guru Sekumpul, yang merupakan zuriat Syaikh Arsyad al-Banjari pengarang kitab Sabilal Muhtadin, tak pernah mengharamkan kenduri arwah dan majlis tahlil. Hatta sewaktu beliau wafat, juga ditalqin, ditahlilkan sampai 7 hari. Ulama-ulama Fathani yang siang malam ajar kitab Tok Syaikh Daud dan Tuan Minal, tak faham ke ibarat Syaikh Daud dan Tuan Minal al-Fathani kerana mereka juga berkenduri arwah dan bertahlil. Apa bodo sangatkah ulama - ulama kita, tak faham dan tak reti baca kitab. Atau justru fahamlah mereka tahu kenduri yang dikritik para ulama tersebut bukannya seperti apa yang disangka oleh penyokong-penyokong Wahhabi anti tahlil itu. Ini semua ulama yang belajar kitab-kitab tersebut dengan menadah depan guru-guru mereka bersambung kepada pengarangnya, bukan mereka-mereka yang baca sendiri-sendiri, pastu "cut and paste" untuk hentam musuhnya.

Sama ke kenduri kita yang lebih merupakan "iddikhal as-surur li ahlil mayyit" (memasukkan kegembiraan kepada keluarga si mati) dengan kenduri yang seperti ma'tam atau wahsyah atau kiffarah yang disebut oleh para ulama kita yang kenduri-kenduri tersebut berorientasikan kesedihan dan ratapan ?????

Sama kah kenduri kita yang berupa "ith`amuth tho`am" (memberi makan atau bersedekah makanan yang merupakan sesegera sedekah diterima Allah sebagaimana disebut dalam hadis) secara sukarela dan ikhlas hati ahli mayyit dengan kenduri terpaksa atau yang membebankan sebagaimana dinyatakan oleh para imam kita ????

Adakah sunnah hanya hidup dengan kita menghantar makan kepada keluarga si mati ? Aku takut karang ramai sangat hantar makanan, sampai tak termakan pulak ahli si mati, berbuang pulak, takkah membazir. Apa tidak bolehkah penyediaan makanan sebagaimana disarankan oleh Junjungan s.a.w. untuk keluarga Ja'far yang tujuannya untuk meringankan beban dan menghilangkan kesedihan ditukar dengan kita memberi sumbangan ikhlas berupa wang ringgit (i.e. envelope kata orang kampung aku) yang juga bertujuan sama???? Nanti aku cuba tulis lebih panjang lagi, doakan agar Allah berikan aku kekuatan dan kelapangan.

Cuma aku nak sebut secara ringkas bahawa dalam kitab Fatawa Kubra al-Fiqhiyyah karangan Imam Ibnu Hajar jilid 2 mukasurat 30 berhujjah antara lain Thawus seorang tabiin yang besar menyatakan bahawa mereka (yakni ada dua pengertian bagi "mereka" iaitu pengertian pertama "mereka" diertikan termasuk Junjungan Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda; dan pengertian kedua hanya para sahabat dan tabiin sahaja) memustahabkan (menyukai) bersedekah makanan bagi si mati selama 7 hari pertama tersebut kerana si mati difitnah (diuji/disoal) selama 7 hari di kuburnya. Hal yang sama juga dapat dilihat dalam al-Hawi lil Fatawi karangan Imam as-Sayuthi. Insya-Allah, lain kali aku tulis panjang berhubung hal ini. Ingat ulama kita bukan bodoh dan mereka tak jual agama untuk keuntungan duniawi.
YA HAQ YA HAQ UNSHURNI 'ALAL HAQ

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum wbt,

Teruskan menulis terutama dalam perkara2 berkaitan penolakan guru2 Wahabi terhadap amalan2 yg sedia diharuskan oleh ulama kita.Malang sekali golongan yg dikatakan 'cerdik pandai' banyak terpengaruh dengan Wahabi ini.Guru mereka hanyalah kitab, Yahoo, Google dan website2 yg tiada sandaran dalam agama.

Abu Muhammad berkata...

Ya Allah, jangan jadikan aku mufti cyber.