Rabu, Januari 04, 2006

Wuquf di Padang Arafah

Rukun Haji yang paling utama yang membezakan Haji dengan Umrah adalah berwuquf di Padang Arafah. Kenapa Padang Arafah ? Antara hikmahnya adalah memperingati pertemuan bapa dan ibu segala manusia, Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa. Padang Arafah tempat pertemuan mereka berdua setelah berpisah sekian lama sejak diturunkan dari 'syurga'. Dengan sebab pertemuan tersebut, umat manusia berkembang biak menjadi khalifah di atas muka bumi sebagaimana dikehendaki Allah ta`ala.

Maka diabadikan peristiwa ini dengan setiap tahun umat berkumpul di sana untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sewajarnya perjumpaan di sana disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Bayangkanlah bagaimana gembira dan syukurnya Nabi Adam dan Siti Hawa yang terpisah bertahun-tahun lamanya, setelah itu berjumpa semula.

Ikhwah, mengabadikan tempat-tempat penting dan bersejarah dengan tujuan dijadikan kenangan dan i'tibar bukanlah sesuatu yang ditegah dalam syariat Islam. Lihat upacara saie antara Shafa dan Marwah, bukankah antara hikmah memperingati peristiwa Siti Hajar dengan Nabi Ismail a.s. Pensyariatan korban, antara hikmahnya memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Jadi di mana salahnya menjadi tempat-tempat bersejarah sebagai tempat ziarah yang penuh kenangan ? Kenapa tempat-tempat yang penuh sejarah Junjungan Nabi s.a.w. dimusnahkan oleh puak Wahhabi ? Kenapa mawlid Nabi, tempat kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. , rumah Siti Aminah dimusnahkan, dijadikan kandang unta, dijadikan tandas, kemudian barulah dibina sebuah perpustakaan. Bukankah dahulunya tempat tersebut menjadi saksi kelahiran manusia yang paling utama. Bukankah ini tempatnya tanggal 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah, alam malakut dan kerajaan langit terbuka luas menyambut kelahiran Junjungan semesta alam. Bukankah ulama berpendapat tempat lahir baginda ini antara tempat yang mustajab berdoa.

Mengikut sejarahnya, zaman-berzaman tempat-tempat bersejarah ini dijaga dan dipelihara oleh umat Islam. Tempat-tempat ini dijadikan tempat ziarah menghimbau kenangan silam mencari i'tibar dan keberkatan serta melepaskan kerinduan kepada kekasih Junjungan. Apabila Wahhabi menjajah, dimusnahkannya habis kerana kononnya takut manusia menjadi syirik. Kalau nak syirik, makan nasik pun boleh jadi syirik. Tapi begitulah pandangan Wahhabi terhadap sesama umat, mereka sahaja yang pandai, yang ikut sunnah, yang muwahhidun, orang lain bodoh, taklid buta, ahli bid`ah dan syirik.

Kalau Wahhabi memerintah Malaysia, habislah memorial-memorial yang ada, antaranya Memorial Tun Razak, P. Ramlee, makam - makam diraja semua kena musnah. Silap-silap kubur Kak Endon pun kena sapu. Oleh itu, nasihat hamba dengan Pak Lah, jangan naikkan anak Pak Kasim jadi Perdana Menteri. Jangan marah, nanti cepat masuk kubur, tapi masuk kubur pun bagus, baru tahu talqin tu beri manfaat atau tidak.

Tiada ulasan: