Imam 'Ali Zainal 'Abidin as-Sajjad
Imam al-Haddad mempunyai sebuah karangan nazam yang setiap baitnya diakhiri dengan huruf 'ain menjadikan nazam ini masyhur dengan nama "al-'Ainiyyah". Nazam ini berisi antara lain sifat, kepribadian para ulama terdahulu serta pujian terhadap mereka, ditambah dengan wasiat dan nasihat kepada umat.
Pada bait ke-42, beliau menyatakan bahawa Imam 'Ali Zainal 'Abidin adalah contohnya para ulama berkepribadian unggul yang betul-betul 'arif billah serta mensifatkan beliau sebagai al-qaanit, al-mutabattil dan al-mutakhasysyi'."
As-Sayyid asy-Syarif al-'Aaliy al-Muniif al-'Allaamah al-Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi Ba 'Alawi yang merupakan murid Imam al-Haddad dalam syarahnya bagi nazam "al-'Ainiyyah" gurunya tersebut yang terkenal dengan nama "Syarhul 'Ainiyyah" pada mukasurat 18 - 20 mensyarahkan bait gurunya mengenai Imam 'Ali Zainal Abidin, menyatakan antara lain:-
- Al-qaanit bermaksud orang yang sentiasa berdiri beribadah kerana Allah yang utama di sisi Allah dengan khidmat dan taat.
- Al-mutabattil ialah orang yang meninggalkan apa-apa selain Tuhannya yang menghindari selainNya serta sentiasa berhadap kepadaNya.
- Al-mutakhasysyi` ialah orang yang tenang hati dan segala anggotanya kerana ilmunya tentang Allah, khaufnya kepadaNya, haibahnya terhadapNya dan takutnya.
- Inilah sifat-sifat Imam Zainal 'Abidin 'Ali bin Imam as-Sibthi al-Husain bin Imam Amirul Mu'minin 'Ali bin Abi Tholib r.`anhum ajmain, yang dikunyahkan dengan Abal Hasan atau Abal Husain juga dilaqabkan dengan as-Sajjad.
- Dilahirkan r.a. di Madinah pada tahun 33H atau 38H dan wafat di sana pada 18 Muharram tahun 94H dan dimaqamkan di Baqi` dalam Kubah Sayyidina al-'Abbas r.a. di sisi pamannya Imam Hasan r.a.
- Beliau adalah seorang tabi`in yang mulia, imam besar, meriwayatkan hadis daripada ayahandanya, pamannya, Sayyidina Jabir r.a., Sayyidina Ibnu 'Abbas r.'anhuma, Sayyidina al-Miswar bin Makhramah r.a., Sayyidina Abu Hurairah r.a., Sayyidatina Shofiyyah r.'anha, Sayyidatina 'Aisyah r.'anha, Sayyidatina Ummu Salamah r.'anha.
- Beliau menggantikan ayahandanya Imam al-Husain r.'anhuma dalam ilmu, zuhud dan ibadah, di mana dihimpunkan kemuliaan baginya pada segala sesuatu.
- Telah berkata Imam Yahya al-Anshari:- "Dia (Imam as-Sajjad) adalah seafdhal-afdhal Hasyimiy (keturunan Bani Hasyim) yang pernah aku lihat."
- Dan telah berkata Imam az-Zuhri: "Belum aku temui di Madinah seseorang yang lebih afdhal daripadanya."
- Dan telah berkata Imam Hammad bin Zaid:- "Adalah dia merupakan seafdhal Hasyimiy yang aku tinggalkan di Madinah".
- Dan telah berkata Imam Abu Bakar bin Abi Syaibah: "Sesahih-sahih sanad sekaliannya adalah sanad Imam az-Zuhri daripada Imam 'Ali bin Imam al-Husain daripada ayahanda tersebut daripada Sayyidina Imam 'Ali bin Abi Tholib."........
- Adalah beliau bersholat pada sehari semalam 1000 rakaat, dan tatkala beliau berwudhu untuk sholat berubah kuning warnanya (yakni pucat lesi wajahnya), apabila ditanyai mengenai hal itu, maka beliau menjawab: "Adakah kamu tahu di sisi siapa kamu berdiri ?" Untuk bersuci, beliau enggan memohon bantuan sesiapapun. Adalah menjadi amalannya untuk memenuhkan sendiri air untuk bersuci sebelum beliau tidur. Dan tidak pernah beliau meninggalkan qiyamul lail baik sewaktu bermusafir maupun bermukim.
- Adalah beliau memuji-muji Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina 'Umar dan Sayyidina 'Uthman r.'anhum (jelas sifatnya berbeza dengan puak Syiah yang mencaci mereka).......
- Tatkala beliau wafat, didapati 100 ahli bait dibawah tanggungannya dan beliau menanggung sendiri guni makanan atas belakangnya untuk disedekahkan pada malam hari secara rahsia kepada fakir miskin di Madinah. Dan beliau berkata:- "Bahawasanya sedekah secara rahsia memadamkan kemurkaan Tuhan".
- Berkata Muhammad bin Ishaq:- "Adalah orang Madinah mendapat nafkah penghidupan mereka tetapi tidak mengetahui siapa yang memberinya. Maka apabila meninggal Imam 'Ali bin al-Husain, terhentilah pemberian tersebut."........Manaqib, keutamaannya dan kelebihannya tidak dapat dihitung, tetapi ianya masyhur dan disebut-sebut.....Beliau wafat dengan meninggalkan 11 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan yang mewarisi ilmu, zuhud dan ibadahnya.....
Begitulah ikhwah, sekelumit mengenai Imam 'Ali Zainal 'Abidin yang digelar as-Sajjad yang aku nukilkan dari karangan Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi seorang ulama besar Syafi`iyyah yang dilahirkan di Kota Ghurfah pada tahun 1069H dan wafat pada waktu Asar, hari Jumaat, 19 Sya'baan 1145H. Habib Ahmad al-Habsyi berguru dengan ramai guru dan mendalami berbagai ilmu. Di bawah bimbingan Imam al-Haddad sahaja beliau telah mengaji lebih 70 buah kitab dalam berbagai disiplin ilmu. Beliau juga telah membangunkan 17 buah masjid di berbagai kota dalam negeri Hadhramaut. Karangannya berbilang dari sekecil-kecil "ar-Risalatul Jami`ah" sehinggalah ke "Safinatul Kubra" yang terdiri dari 20 jilid. Inilah ulama Sunniyun Syafi`iyyun yang kita jadikan sandaran, yang menjadi sanad dan penyambung antara kita dengan para ulama sebelumnya sehinggalah kepada Junjungan s.a.w.
Sedih hatiku melihat orang jahil menghina Imam as-Sajjad dengan tuduhan Syiah. Sungguh pelik tuduhan ini, sungguh inilah kali pertama aku mendengar orang menuduh Imam as-Sajjad sebagai Syiah seperti yang kita fahami. Prof. Dr. Ihsan Ilahi Zahir, tokoh ulama Pakistan keluaran Universiti Madinah yang cenderung kepada fahaman Wahhabi dan amat keras terhadap golongan Syiah sehingga beliau dibunuh oleh puak tersebut, dalam bukunya "Syiah wa Ahl al-Bait" tidak pernah menuduh Imam as-Sajjad sebagai Syiah, bahkan dia menjelaskan pegangan Imam as-Sajjad adalah bertentangan dengan pegangan Syiah, contohnya Imam as-Sajjad adalah orang yang amat memuliakan para sahabat termasuklah ketiga-tiga khulafa` ar-rasyidin yang terdahulu, sedangkan Syiah mencaci maki mereka. Sila tuan-tuan rujuk buku tersebut.
Ada pulak manusia yang kerana ingin mempersendakan 1000 rakaat sholatnya, maka diumpamakan ibadahnya dengan ibadah golongan Khawarij. Kemudian ada yang mengakalan dengan logika terbatas mereka kemungkinan dilaksanakan 1000 rakaat tersebut, yang kononnya perkara mustahil. Allahu...Allah, sungguh puak ini tidak kenal apa dia perkara mustahil. Hang pa pilah cari Tok Guru mengaji ilmu tauhid dulu. Teringat aku waktu aku mengaji dahulu, ada seorang kawan yang mengatakan mustahil Imam Ahmad boleh menghafal 1,000,000 hadis kerana dikiranya mengikut kiraan logiknya semata-mata.
Ketahuilah ini merupakan satu karamah yang dikurniakan Allah kepada kekasih-kekasihnya. Allahu...Allah, ini belum lagi puak-puak ni dengar yang Syaikh Abu Madyan boleh mengkhatamkan al-Quran 70,000 kali sehari semalam. Aku ingat Ustaz Abdullah al-Qari yang terkenal sebagai cenderung kepada golongan "salafi" pun menyebut hal ini dalam bukunya "Kursus Qari dan Qariah", di mana pada bab "Kesanggupan Manusia Membaca al-Quran" di halaman 153 dia menyebut, antara lain:- "Adalah setengah orang-orang Ahli as-Sufi, mereka membaca Quran secara bacaan rohiah bukan seperti bacaan manusia biasa. Ini adalah kekeramatan (kemuliaan) kerohaniah seperti yang disebut oleh Imam asy-Sya'raani bahawa setengah mereka itu membaca Quran beratus-ratus ribu kali, malah berjuta-juta kali."
Kepada pihak-pihak yang merendah-rendahkan Imam as-Sajjad, aku peringatkan agar berhenti dengan tohmahan kamu tersebut. Ingat orang yang kamu perkatakan ini adalah cicit Junjungan s.a.w. Penyambung zuriat Junjungan s.a.w. melalui jalur Imam al-Husain r.a. Inilah nenda para saadah keturunan Imam al-Husain r.a. Jangan kamu jadikan Imam ini sasaran serangan kamu, ini bukan sebarang ulama, ini antara bapaknya segala ulama, jangan diumpamakan beliau dengan Albani hatta Ibnu Taimiyyah pun jangan. Kerna beliau ini generasi awal golongan salaf bila niza`. Ingat wahai juhala` yang mengikut akan hawa nafsu, hormat dan muliakanlah para ulama. Ingatlah kamu bahawa Imam an-Nawawi rhm. dalam "at-Tibyan" mukasurat 25 menyatakan seperti berikut:-
- Al-Imam al-Hafiz Abul Qasim bin 'Asakir rhm. berkata:- Ketahui wahai saudaraku, moga-moga Allah memberi taufiq kepada kita sekalian untuk mencapai keredhaanNya dan menjadikan kita dari golongan yang takut kepadaNya dan bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa - bahawasanya daging para ulama itu beracun, dan kebiasaan Allah dalam membongkar tabir kehormatan orang yang menjatuhkan mereka adalah sedia maklum. Sesungguhnya sesiapa yang melepaskan lidahnya untuk mencaci ulama, nescaya Allah ta`ala memberi bala kepadanya sebelum dia meninggal dunia dengan mati hatinya...."
2 ulasan:
Tidaklah ambo hairan syeikh kalu geng2 wahabi mengakalkan begitu krn demo belajar pakai buku tak payah berguru lagi. Belajar bab tauhid cuma yg 3 dlm 1 tu je...mana nak faham...
bolh tak kalau sy minta izin nak post artikel2 kat sini kedlm al-ahkam? boleh bincang panjang lebar dan harap perbincangn elok2 je..
Catat Ulasan