Karamah Sayyidina Tsaabit

Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam karyanya "Jaami' Karaamaatil Awliyaa`" juzuk 1 pada halaman 131 menukil satu kisah aneh yang berlaku ketika pengkebumian Sayyidina Tsaabit bin Qais r.a.

Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada 'Abdullah bin 'Ubaidillah al-Anshari sebagai berkata:- " Adalah aku termasuk di antara orang yang mengkebumikan jenazah Tsaabit bin Qais r.a. di mana beliau terbunuh dalam peperang Yamamah dan beliau adalah khatibnya kaum Anshar. Junjungan Nabi s.a.w. telah bersaksi baginya dengan syurga. Maka tatkala kami memasukkan beliau ke dalam kuburnya, kami mendengar dia berkata: "Muhammad Rasulullah, Abu Bakar ash-Shiddiq, 'Umar asy-Syahid , Utsman al-Barrur Rahim," lalu kami melihatnya (kerana beranggapan dia masih hidup) padahal dia telah mati.Allahu ... Allah, begitulah kemuliaan Sayyidina Tsaabit yang ketika hayatnya berpegang teguh atas kerasulan Junjungan Nabi s.a.w., mendampingi baginda serta para khalifah baginda yang benar. Terbukti, kesaksian Sayyidina Tsaabit telah bersamanya sehinggalah beliau masuk ke persemadiannya. Bagaimana pula kita agaknya? Dengan kalimah apa kita memasuki gerbang kematian nanti? Kalimah apa yang kita sediakan untuk menghadapi soal Munkar dan Nakir? Kalimah apa yang kita sediakan untuk hari pertemuan? Apakah yang bakal kita ucapkan tatkala hari kebangkitan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan