Berkat Majlis Mawlid

Ma

Pada suatu hari, pemuda anak perempuan sholehah tersebut keluar dari kediamannya kerana suatu keperluan, dia melalui satu perhimpunan orang sedang membaca al-Quran dan mengadakan Mawlidin Nabi SAW pada bulan Rabi`ul Awwal. Lalu dia pun duduk bersama mereka dan mengikuti majlis mawlid tersebut. Pada malamnya, pemuda tersebut telah bermimpi seolah-olah kiamat telah berlaku dan seorang penyeru menyeru: "Di manakah si fulan anak si fulan", disebutnya nama-nama orang yang dalam satu perhimpunan lalu digiringlah mereka ke syurga, dan adalah pemuda tersebut termasuk dalam kalangan mereka. Tatkala memasuki syurga, si penyeru tadi berkata: "Bahawasanya Allah telah memberi bagi setiap kamu sebuah mahligai dalam syurga." Maka masuklah si pemuda tadi ke dalam mahligainya, tidak pernah dia melihat mahligai yang seumpamanya dari segi keelokan dan keindahannya, ianya dipenuhi bidadari dan pada segala pintunya dijaga oleh khadam. Pemuda tersebut melihat bahawa ada mahligai-mahligai lain yang lebih elok daripada mahligainya, lalu dia pun berkehendak untuk memasukinya. Tatkala berdetik hatinya untuk memasuki mahligai tersebut, berkatalah khadam kepadanya: "Ini bukanlah untukmu, bahawasanya ini diperuntukkan bagi orang yang membuat mawlid Rasulullah SAW."
Keesokan harinya, pemuda tersebut awal-awal pagi lagi terus menggunakan satu dinar warisan daripada ibunya tersebut untuk mengadakan Mawlid Nabi SAW kerana sukacitanya dengan mimpinya itu. Dia menghimpunkan para faqir untuk berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan membaca Mawlid Nabi SAW. Dia juga menceritakan tentang mimpinya itu kepada mereka, lalu semua mereka merasa gembira mendengar ceritanya itu. Pemuda tersebut telah bernazar untuk tidak akan meninggalkan mengadakan mawlid selama hayatnya.
Kemudiannya, si pemuda tadi telah bermimpi lagi dan dalam mimpinya itu dia telah bertemu dengan ibunya. Ibunya berada dalam keadaan yang amat baik, berhias dengan segala perhiasan syurga dan berwangian dengan bauan syurga. Pemuda tersebut mencium tangan ibunya dan ibunya mengucup kepalanya lalu berkata: "Moga Allah membalasmu dengan kebaikan, wahai anakku, malaikat telah datang kepadaku membawa segala perhiasan ini." Si pemuda bertanya kepada ibunya: "Dari manakah ibu memperolehi kemuliaan ini?" Si ibu menjawab: "Kerana engkau telah mempergunakan satu dinar yang engkau warisi daripadaku untuk mengadakan mawlid Penghulu orang-orang terdahulu dan orang-orang yang kemudian, dan inilah balasan bagi orang yang mengagungkan Nabinya dan mengadakan mawlid baginda."
Di sini kita sekadar berkongsi kisah mimpi seorang yang sholeh yang diberitakan oleh seorang yang sholeh dan dinukilkan pula oleh seorang yang sholeh. Moga ada keberkatannya pada kesholehan mereka, sehingga kita pun digolongkan dalam kalangan mereka. Mudah-mudahan sahaja mimpi yang dimimpikan itu adalah suatu mubasysyiraat sebagaimana yang disabdakan oleh Junjungan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:-

"Tiadalah tinggal daripada kenabian / nubuwwah melainkan khabar-khabar gembira." Para sahabat bertanya: "Apakah itu al-mubasysyiraat?" Junjungan SAW bersabda: "Mimpi yang baik."
********************************
Why We Celebrate Mawlidin Nabi ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan