Akhlak Wahai Sayyid
Antara tujuan Junjungan Nabi SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan dan keluhuran akhlak terpuji. Bagindalah contoh suri tauladan unggul bagi sekalian umat. Maka hakislah kemuliaan seseorang itu walaupun dia memiliki susur nasab yang mulia dek kerana akhlak yang bejat. Dari itulah, maka al-`Arif Billah Mawlay al-`Arabiy ad-Darqawi al-Hasani (wafat tahun 1239H/1823M) rahimahUllah dalam warkahnya menulis, antara lain sebagai berikut:-
Dengarlah wahai faqir, bahawasanya aku telah menegur sebahagian syurafa` (yakni para syarif yang bernasab kepada Junjungan Nabi SAW) - moga-moga Allah meredhai mereka - yang melakukan kesalahan kepada sebahagian manusia: "Sesiapa yang mendakwa dirinya seorang syarif, sedangkan akhlak perilakunya keji, maka dia adalah seorang pendusta, kerana syarif yang sebenar adalah seorang yang mulia akhlaknya. Bagaimana dia boleh berakhlak keji, sedangkan dia berasal daripada Junjungan Nabi SAW - yang mana Allah telah berfirman memuji baginda : " Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang amat agung." Oleh itu, wahai saudaraku, sekiranya engkau tidak bersifat dengan sifat baginda, tidak berperangai dengan perangai baginda, maka dari arah mana jadinya engkau daripada baginda ? Dan dari pintu mana engkau hendak bertaqarrub dengan baginda ? Kerana tiadalah bagi Junjungan Rasulullah SAW itu selain daripada akhlak yang mulia dan kebaikan yang unggul semata-mata, sekali-kali baginda tidak memiliki akhlak dan perangai selainnya. Dan Allahlah sandaran atas apa yang kami nyatakan.Oleh itu, wahai para saadah yang dimuliakan, jagalah akhlak kalian. Jangan sombong, sentiasalah tawadhu dan bersikap khumul sebagaimana para leluhur kalian terdahulu. Jauhilah sikap sukakan kemasyhuran sehingga memaksa-maksa untuk disanjung dan dijunjung. Tugas dan tanggungjawab kalian amat besar kerana kalian adalah pemanggul panji-panji Baitun Nubuwwah. Perilaku dan akhlak kalian menjadi contoh dan tauladan bagi kami, umat nenda kalian yang lemah ini. Bantulah kami untuk menghidupkan akhlak mulia sebagaimana anjuran Paduka Junjungan Baginda Muhammad SAW.
*************************************
Akhlak Nabawiyyah - Hb Taufik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan