Jumaat, April 15, 2011

Jom Mengundi Esok

Esok proses demokrasi akan dilaksanakan. Marilah kita menggunakan hak kita untuk memilih dengan bijak sana, jangan hanya bijak sini. Biarlah fikiran itu menjangkau jauh sehingga ke sana nanti, yakni fikirkanlah dengan saksama apakah kesan undi kita itu kepada kita nanti, adakah dikira sebagai ibadah justru berpahala atau maksiat lalu berdosa. Lihatlah pribadi calon juga di samping partinya, janganlah kita memilih calon-calon yang korup dan khianat kepada amanah, jika kita tahu seseorang calon itu seorang yang sedemikian, tapi terus juga kita sokong dan beri undi kita, maka percayalah bahawa kita sebenarnya telah bersyarikat dengannya dalam korupsi dan pengkhianatannya. Moga Allah memberikan kita panduan untuk memilih calon yang tepat dan mudah-mudahan Allah menjadikan yang terbaik bagi negeri kita, SARAWAK DARUL HANA, memakmurkannya serta memperkembangkan lagi agama Islam yang tinggi kepada segala anak negerinya. Untuk difikir-fikirkan, ambil yang jernih tinggalkan yang keruh, bacalah perutusan khas PKMS.

****************************************

PERUTUSAN KHAS PILIHANRAYA

PERSATUAN KEBANGSAAN MELAYU SARAWAK

Perutusan ini ditujukan kepada semua ahli PKMS khasnya bersempena dengan Pilihanraya Negeri pada 16 April 2011. Sudah tentu keputusan pilihanraya ini akan menentukan keputusan Pilihanraya Parlimen yang akan datang.

PKMS sedia maklum, sebagai sebuah badan bukan kerajaan, (NGO, Non-Governmental Organisation) pendirian rasmi PKMS dalam pilihanraya ini adalah ‘NEUTRAL’ atau berkecuali iaitu tidak memihak ke mana-mana pihak. Walaupun dalam tahun 1986 ada pihak hendak memperalatkan PKMS untuk kepentingan pihak tertentu, tetapi gagal.

Sebagai sebuah NGO yang tertua di Sarawak, yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan negeri atau pusat, PKMS berpendirian bahawa survival dan keutuhan masyarakat Melayu di Sarawak adalah faktor utama dalam penentuan pemilihan calon-calon pilihanraya. Selain dari itu, faktor-faktor lain yang boleh diambilkira yang berkait rapat dengan survival masyarakat Melayu di Sarawak adalah seperti berikut:

  • Faktor ekonomi.

Tidak dinafikan taraf ekonomi majority orang Melayu di Sarawak masih jauh ketinggalan. Dasar Ekonomi Baru dahulu gagal membantu mereka. Program transformasi terlalu awal untuk dinilai oleh mereka. Peluang pekerjaan yang dikatakan cukup dalam masa 25 tahun lagi di bawah SCORE pun tidak akan disaksikan oleh yang mengatanya disebabkan oleh faktor usianya. Tidak hairanlah jika harapan hanya tinggal harapan bagi majority orang Melayu.

PKMS mahu calon-calon yang bertanding mempunyai wawasan jelas dan benar bagi mempertingkatkan taraf ekonomi majority orang Melayu lebih-lebih lagi dalam konteks sekarang, di mana kadar inflasi yang sentiasa meningkat, susut nilai ringgit yang amat ketara berbanding matawang lain terutama Singapore Dollar dan Brunei Dollar dan kuasa pembeli yang menurun setiap hari dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan oleh penurunan subsidi, GST dan cukai import yang tinggi telah menambahkan lagi penderitaan rakyat. Adakah semuanya ini akibat mandat dua per tiga daripada para pengundi atau pembangkang yang berdiam diri?

Berbagai program ekonomi hendaklah di atur baik di Bandar atau luar Bandar oleh pemegang dana rakyat agar taraf kehidupan masyarakat Melayu dapat di pertingkatkan, hak keistimewaan Melayu dipertahankan tanpa pagar makan padi mahupun musuh dalam selimut, dan KEMISKINAN MASYARAKAT MELAYU DAN SELURUH RAKYAT SARAWAK DAPAT BENAR-BENAR DIHAPUSKAN bukan melalui pembohongan dengan menggunakan statistik.

  • Gejala Sosial.

Masyarakat Melayu khasnya belia-belia Melayu kini adalah golongan tertinggi dalam kes-kes jenayah seperti ragut, pecah rumah dan rogol dan penyalahgunaan dadah. Apakah pelan dan program jangka panjang yang disarankan oleh calon-calon yang bertanding supaya keberkesanannya boleh dinilai oleh pengundi? Gejala sosial ini jika tidak diatasi segera masyarakat Melayu Sarawak akan menyebabkan keberhasilan modal insan yang kurang bernilai untuk keluarga dan Negara.

  • Visi Calon

PKMS mempunyai keyakinan calon-calon yang bertanding harus mempunyai komitmen total ke arah memperjuangkan kesejahteraan orang Melayu baik dari segi ekonomi ataupun sosial bermula dengan penggubalan undang-undang sehingga perlaksanaan yang berkesan. Kepekaan dan keberanian calon-calon dalam mengadakan program-program dengan penglibatan secara langsung kaum belia Melayu khasnya ahli-ahli PKMS harus diberi keutamaan.

Ahli-ahli PKMS, kaum belia PKMS dan SELURUH MASYARAKAT MELAYU SARAWAK seharusnya menggunakan peluang ini memilih calon-calon Melayu yang berwawasan, berhemah tinggi, berintegriti, sanggup bekerjasama dengan badan-badan berkecuali, NGO-NGO Melayu, mudah didekati dan berinisiatif tinggi untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial masyarakat Melayu.

Semoga Allah S.W.T memberi ahli-ahli sekalian keberanian untuk mengubah apa yang boleh di ubah, dan ketenteraman untuk menerima apa yang tidak boleh di ubah, dan kebijaksanaan untuk mengetahui perbezaan di antaranya. Amin, dan Selamat Mengundi.

Dikeluarkan oleh PKMS Pusat,

14 April 2011

Tiada ulasan: