Sabtu, Julai 28, 2012

Fatwa Merokok - Tokku Melaka & Tuan Minal

Tokku Melaka atau nama sebenarnya Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad @ Tokku Tuan Padang bin Sayyid Husain bin Sayyid Mustafa al-`Aidrus asy-Syafi`i rahimahumullah adalah seorang ulama yang terkenal di Trengganu. Beliau juga dikenali sebagai Tuan Sayyid Embun Trengganu dan merupakan bapa mertua kepada seorang lagi ulama Trengganu yang terkenal iaitu Tuan Sayyid Abdur Rahman al-`Aidrus rahimahullah atau lebih dikenali dengan gelar Tokku Paloh. Tokku Melaka terkenal sebagai ulama yang rajin berdakwah dan menuntut ilmu sehingga beliau mengembara sehingga ke Melaka untuk tujuan tersebut. Dari situlah muncul gelaran Tokku Melaka kepada beliau. Dalam arena penulisan, beliau turut meninggalkan beberapa karya yang berbobot, antaranya:-
  1. الفوائد في الصلاة و عوائد
  2. هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان
  3. تغريب الرجال في كسب الحلال
  4. تعريف الخلان في تجويد القرآن
  5. هداية الإخوان في اذكار الصلاة مع اركان
  6. ترغيب العبادة في قرائة راتب الحداد
  7. Kumpulan Wirid & Doa
  8. Terjemahan Muqaddimah & Doa Dalailul Khairat.
Tokku Melaka adalah antara ulama yang mendokong pengharaman merokok. Bahkan beliau memiliki karangan bagi menjelaskan pegangan beliau tersebut yang diberi jodol "Hidayatul `Awaam fi bayani hukm syurbid dukhaan".Dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa nama beberapa ulama yang mengharamkan merokok antaranya Syaikh Shalih al-Bulqini, Syaikh Ahmad al-Qalyubi, Syaikh Ibnu `Illan ash-Shiddiqi al-Makki, Habib Abu Bakar bin Salim, Habib `Umar bin `Abdul Rahman al-`Atthas, Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dan lain-lain rahimahumullahu jami`an. Beliau menulis, antara lain:- 
".... Telah menjazamkan dengan haram tembakau itu oleh beberapa ulama yang muhaqqiqun yang ikutan bagi sekalian kita, daripada ulama yang dalam negeri Makkah dan dalam negeri Yaman dan negeri Syam dan lain daripadanya. .......... Ada pun segala ulama daripada segala tuan - tuan Sayyid yang anak cucu Rasulullah SAW yang berkata mereka itu dengan haram minum (yakni menghisap) asap tembakau itu, maka mereka itu pun banyak juga. .......... Ketahui olehmu akan bahawa sesungguhnya adalah minum arak, dan afyun (opium/candu) dan asap tembakau (yakni merokok) itu setengah daripada segala jalan kafir dan segala mereka itu yang sesat dan yang fasiq dan yang tiada malu dan tiada maruah. Maka janganlah engkau menyerupai dengan mereka itu."
Tdak semua ulama bersetuju dengan pegangan beliau yang dianggap terlalu keras terhadap perokok ketika itu. Syaikh Zainal `Abidin bin Muhammad al-Fathani yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal al-Fathani rahimahullah, ulama Fathani pengarang kitab "`Aqidatun Najin" yang hidup sezaman dengan Tokku Melaka, telah mengarang sebuah karya yang berjodol "Tabassumusy Syaaribin" sebagai reaksi terhadap karya Tokku Melaka tersebut. Namun ini tidak bererti yang Tuan Minal al-Fathani menolak apa yang dinyatakan oleh Tokku Melaka secara total. Beliau bukannya tidak menyetujui hukum keharaman merokok tetapi keharaman tersebut menurut beliau tidaklah bersifat mutlak kerana ianya bergantung kepada kemudaratannya. Menurut Tuan Minal, merokok adalah haram jika ianya memberi mudarat dan hanya makruh jika ianya tidak memudaratkan. Beliau dalam kitabnya tersebut menyatakan, antara lain:-
 " ...Aku tilikkan akan karangan Tuan Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husain al-`Aidrus dengan bangsa (yakni bahasa) Jawi, elok susunannya, yang tersebut di dalamnya itu beberapa yang haram atas manusia memakan akan dia dan setengah daripadanya tembakau muthlaqan yakni sama ada mabuk atau orang yang tiada mabuk ..... Bahawa memakan tembakau (yakni merokok) itu makruh bagi orang yang tiada mudarat atasnya memakan dia dan jika memberi mudarat maka iaitu haram."

Jadi yang tidak dipersetujui oleh Tuan Minal adalah mengharamkan tembakau secara mutlak seolah-olah ianya adalah sesuatu yang haram pada zat, sedangkan haramnya merokok itu adalah bergantung kepada kemudaratannya yang merupakan sesuatu yang `aridh (mendatang) dan bukannya kerana zat tembakau atau rokok itu sendiri. Di sinilah letak perbezaan antara dua ulama besar ini. Oleh itu, janganlah ada antara kita hendak berhujjah dengan berpandukan kepada kitab "Tabassum asy-Syaaribin" tersebut dengan alasan Tuan Minal tidak mengharamkan merokok, sedangkan beliau juga mengharamkan merokok jika ianya memudaratkan. Jika sahaja Tuan Minal hidup pada zaman ini, setelah nyata segala bukti dan fakta mengenai kemudaratan yang terhasil daripada merokok yang bukan sahaja kena kepada si perokok tetapi juga kepada pihak lain, mungkin beliau akan menulis pula kitab lain dengan jodol seumpama "Buka-usy Syaaribin. Moga-moga Allah merahmati Tokku Melaka dan Tuan Minal al-Fathani, juga sekalian ulama Nusantara dan sekalian ulama dan umat Junjungan Nabi SAW.

4 ulasan:

AyaqSejuk berkata...

Salah satu pengajaran yg didapati...betapa beradapnya para ulama dlm perbezaan pendapat

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Baguslah ada ulasan pro dan kontra macam tu. Untuk makluman tuan, Tokku Paloh sendiri menghukumkan menghisap rokok itu makruh bersalahan dengan abangnya yang menghukumkan haram.Akhirnya ayahanda mereka bertitah sesiapa yang berpegang rokok itu makruh,sila mengikut tuan chik,dan sesiapa yang menyatakan rokok haram sila ikut si abang.
Soalnya sekarang di Arab Saudi yang mengharamkan rokok tetapi masih ramai yang menghisapnya dimana-mana sahaja. Bayangkan pula dengan arak yang haram.......... bagaimana pula jika dibandingkan dengan rokok yang haram tetapi boleh dihisap dimana-mana.
Menyatakan SESUATU PERKARA ITU HARAM MEMANG SENANG. Tetapi implikasinya sangat besar......Mengharamkan rokok adalah perkara yang serius. Ianya hukum agama yang wajib dipatuhi bukan boleh dipermainkan. Kalau diharamkan mesti ada penguatkuasaannya. Denda dan hukuman mahkamah. Bukan main-mainkan isu dan hukum. Berapa banyak penjara yang mesti dibuat untuk kesalahan berulang.

Semasa perang di Bosnia ramai tahanan islam yang berkerja keras untuk mendapatkan tembakau. Haram jugakah?

Tanpa Nama berkata...

penguatkuasaan tak dibuat, kerajaan tanggung, yg kita tau haram tak payah hisap la, ssah ke? kecuali la yg merokok atau bisnis rokok..sbg umat islam halal dan haram kena tau..bkan stakat rokok, bnyk perkara yg jelas haram tiada prnguatkuasaan..so, pandai2 la jga dri..

kuje75 berkata...

kalau x haram tapi makruh pun x ada salahnya kita x buat. bukan ke makruh tu Allah x suka. kenapa nak buat apa yg Allah x suka kalau btl kita cinta Allah. wallahuallam,