Abu Talib Mukmin ?
Entri ini ese tulis dengan berat hati kerana ianya berhubung kait dengan seorang individu yang telah berjasa memelihara dan membela Junjungan Nabi SAW. Namun, atas pertanyaan bertalu-talu beberapa ikhwan tentang pencerahan yang dibuat oleh beberapa asatizah kita yang dianggap sebagai saling bertentangan, maka ese tuliskan juga entri ini dengan harapan agar persoalan yang telah ditimbulkan dapat ditanggapi dengan sewajarnya.
Jika kita katakan bahawa ustaz si fulan menyatakan Abu Talib beriman, manakala ustaz si fulan pula mengatakan bahawa Abu Talib tidak beriman, maka ese katakan bahawa perbezaan pandangan dalam hal ini adalah wajar kerana sememangnya para ulama muktabar Ahlus Sunnah wal Jama`ah tidak pernah sependapat mengenai keimanan Abu Talib. Kebanyakan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah berpandangan bahawa, menurut nash yang mereka kaji dan teliti, Abu Talib tidak pernah masuk Islam atau menyatakan keimanannya sehingga hembusan nafasnya yang terakhir. Sungguhpun begitu, ada juga ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang mempunyai pandangan yang berbeza. Bagi mereka ini, Abu Talib adalah seorang mukmin. Di antara tokoh yang menyokong pendapat ini adalah al-'Alim al-'Allaamah as-Sayyid Muhammad bin Rasul al-Barzanji asy-Syafie (1040H - 1103H) rahimahullah dan Syaikhul Islam, Mufti Baladil Haram, Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan ( 1232H - 1304H) rahimahullah, pengarang kitab "Asnaal Mathaalib fi najaati Abi Thaalib". Selain daripada pendapat yang mensabit dan yang menafi keimanan Abu Talib tersebut, ada lagi pendapat ketiga yang dipegang oleh sebahagian ulama yang mengambil sikap bertawaqquf mengenai perkata ini. Maka boleh disimpulkan bahawa ada tiga pendapat ulama dalam hal beriman atau tidaknya Abu Talib.
Para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah berketurunan Ahlul Bait juga tidak sependapat dalam hal ini. Walaupun ramai yang cenderung dengan pendapat bahawa Abu Talib itu seorang yang beriman dengan Junjungan Nabi SAW. Namun ada juga di antara mereka yang menyatakan bahawa Abu Talib termasuk dalam golongan orang yang kekal di neraka. Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahullah dalam syarah beliau bagi qasidah guru beliau Imam al-Haddad rahimahullah yang dikenali sebagai "Syarhul - `Ainiyyah" pada halaman 370 menyatakan, antara lain sebagai berikut:-
Para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah berketurunan Ahlul Bait juga tidak sependapat dalam hal ini. Walaupun ramai yang cenderung dengan pendapat bahawa Abu Talib itu seorang yang beriman dengan Junjungan Nabi SAW. Namun ada juga di antara mereka yang menyatakan bahawa Abu Talib termasuk dalam golongan orang yang kekal di neraka. Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahullah dalam syarah beliau bagi qasidah guru beliau Imam al-Haddad rahimahullah yang dikenali sebagai "Syarhul - `Ainiyyah" pada halaman 370 menyatakan, antara lain sebagai berikut:-
Dan yang kedelapannya (yakni dari bentuk-bentuk syafaat Junjungan Nabi SAW): (Memberi syafaat) dengan meringankan azab bagi seseorang yang kekal dalam api neraka seperti Abu Talib dan apa yang datang tentang Abu Lahab di mana dia mendapat keringanan (azab) pada setiap Isnin kerana kegembiraannya atas kelahiran Junjungan Nabi SAW dalam kisahnya yang masyhur.
Oleh itu, adalah lebih baik jika kita biarkan sahaja masalah beriman atau tidaknya Abu Talib sebagai suatu masalah yang mana para ulama kita telah bersetuju untuk berbeza pendapat. Makanya, hendaklah kita menjaga adabul ikhtilaf, dengan masing - masing saling menghormati dan meraiekan pandangan yang berbeza walaupun tidak bersetuju dengannya. Jika al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll as-Senari hafizahullah menyatakan pandangan beliau bahawa Abu Talib itu seorang yang beriman, maka itu bukanlah satu masalah kerana beliau mempunyai sandaran daripada kalangan para ulama Ahlus Sunnah yang muktabar seperti Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah. Begitulah juga dengan al-Fadhil Ustaz Zainul Asri hafizahullah yang menyatakan sebaliknya, beliau juga bersandarkan kepada pandangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang lain.
Apa yang penting, dalam keghairahan kita membincangkan keimanan orang lain, jangan pula kita lupa melihat kepada keimanan diri kita. Nanti di akhirat sana, pasti kita akan ditanya tentang keimanan kita sendiri. Tidak kurang juga pentingnya bagi kita untuk sentiasa menjaga adab dengan Junjungan Nabi SAW, jangan sampai kita bersikap biadab dengan baginda atau menyakiti hati baginda dengan mencela kaum kerabat baginda seperti Abu Talib. Biarlah urusan Abu Talib kita serahkan sahaja kepada baginda kerana Abu Talib itu adalah paman baginda yang dikasihinya. Mudah - mudahan Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan kasih - sayangNya kepada para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, kepada para ustaz kita yang ikhlas dalam dakwah dan penyebaran ilmu dan juga kepada mukminin mukminat sekaliannya....Allahumma aamiin.
3 ulasan:
saya mendengar pandangan keimanan sayyidina Abu Tholib daripada bapa mertua saya, syed abas syed ali,
kata beliau, Sayyidina Abu Tholib masuk Islam sebelum beliau meninggal dengan berbisik pada Sayyiduna Muhammad shollalahhualaihiwasallam.
Assalamu'alaiykum...betul tu syeikh...baik jaga adab kita terhadap nabi s.a.w bila melibatkan soal2 hal keluarga baginda s.a.w...walau terhadap keluarga yang menentang baginda s.a.w...
Tiada riwayat yang saheh mengenai keimanan Abu Talib. Riwayat yang saheh menyatakan bahawa Abu Talib telah menolak ajakan Nabi untuk mengucap ketika nak mati.
Catat Ulasan