Pohon Kurma Abu Dujanah
Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi rahimahullah dalam karya beliau "I`anatuth Tholibin", jilid 3, halaman 293 menceritakan sebuah kisah mukjizat Junjungan Nabi SAW berkaitan sepohon kurma dan seorang sahabat baginda yang bernama Abu Dujanah RA. Rasanya ese pernah dengar Ustaz Don hafizahullahu ta`ala menceritakan kisah ini dengan sedikit perbezaan. Ese akan terjemahkan kisah tersebut secara ringkas.
Diceritakan bahawa pada zaman baginda Nabi SAW ada seorang sahabat yang dipanggil Abu Dujanah. Setiap hari Abu Dujanah menunaikan sholat Subuhnya berjemaah dengan Junjungan Nabi SAW di masjid, namun seusai sholat beliau akan terus bergegas pulang ke rumahnya tanpa menunggu Junjungan Nabi SAW menyelesaikan doa baginda. Perbuatan Abu Dujanah telah ditegur oleh Junjungan Nabi SAW. Abu Dujanah menceritakan kepada Junjungan Nabi SAW bahawa beliau tinggal berjiran dengan seorang lelaki dan dalam kawasan rumah lelaki tersebut tumbuh sebatang pohon kurma yang besar betul-betul bersebelahan dengan rumahnya. Ketika malam, buah - buah kurma itu akan jatuh ke halaman rumahnya kerana tiupan angin. Pagi - pagi apabila anak-anak Abu Dujanah bangun dalam keadaan lapar mereka akan mengutip buah - buah tersebut untuk dimakan. Pernah satu hari, ketika Abu Dujanah melihat anaknya memasukkan sebutir buah tamar tersebut ke dalam mulut, beliau terus mengeluarkannya semula dengan tangannya agar anak tersebut tidak memakan sesuatu yang bukan milik mereka. Hal ini telah menyebabkan anak tersebut menangis. Sebab itulah, Abu Dujanah terpaksa bergegas balik ke rumah setelah sholat Subuh untuk memungut semua buah tamar jirannya yang jatuh di halamannya dan menyerahkannya semula kepada pemiliknya sebelum anak-anaknya jaga dari tidur. Lalu Junjungan Nabi SAW bertanya tentang pemilik pokok kurma tersebut, Baginda dimaklumkan bahawa ianya dimiliki oleh seorang lelaki munafik. Junjungan Nabi SAW memanggil lelaki tersebut dan baginda menawarkan kepadanya supaya pohon kurmanya itu diberikan kepada Abu Dujanah dengan imbalan 10 pohon kurma di syurga yang batangnya daripada zabarjad yang hijau, daunnya daripada emas merah, buah-buahnya daripada permata putih dan bidadari menurut bilangan buah-buahnya. Namun tawaran Junjungan Nabi SAW tersebut telah ditolak oleh lelaki munafik tersebut. Kemudian, Sayyidina Abu Bakar RA mengusulkan agar si munafik tadi menjual pohon kurmanya tersebut kepadanya dengan imbalan 10 batang pohon kurma terbaik milik beliau yang tumbuh di satu lembah Kota Madinah. Tawaran Sayyidina Abu Bakar RA diterima oleh lelaki munafik tersebut. Sayyidina Abu Bakar RA kemudiannya menghadiahkan pohon kurma tersebut kepada Abu Dujanah. Junjungan Nabi SAW memaklumkan kepada Sayyidina Abu Bakar bahawa imbalan yang tadinya baginda tawarkan kepada si munafik telah dijadikan buat Sayyidina Abu Bakar, maka gembiralah Sayyidina Abu Bakar dan juga Sayyidina Abu Dujanah. Manakala si munafik tersebut juga pulang ke rumahnya dengan perasaan girang. Dia memberitahukan isterinya dan menyatakan bahawa dia telah beroleh keuntungan besar kerana selain daripada memperolehi 10 batang kurma daripada Sayyidina Abu Bakar, pohon kurma yang berada di halaman rumahnya juga akan tetap berada di situ. Maka dia masih dapat mengambil dan menikmati buah-buahnya. Malam tersebut, tidurlah si munafik dengan gembira, namun ketika dia bangun pada paginya didapatinya pohon kurma yang dahulunya tumbuh di halaman rumahnya telah berpindah ke halaman rumah Sayyidina Abu Dujanah, seolah - olah itulah tempat tumbuh asalnya. Maka hairanlah si munafik tadi dengan sehabis-habis hairan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan