Imam Angguk - Angguk
Pernah dalam satu siaran TV al-Hijrah, al-Fadhil Syaikh Nur hafizahullah menegur sikap sebahagian orang kita yang hanya melihat kepada kemerduan suara dan bagusnya bacaan seseorang itu untuk dijadikan imam. Tengok sodap je bunyi bacaan, terus lantik jadi imam, walaupun bab hukum - hakam shalat tak reti. Pernah kita tengok imam - imam yang walaupun hafiz (maaf cakap ni, bukan niat nak hentam sesiapa) bila membaca dalam shalat kepala mereka terangguk - angguk secara berturutan. Kalau kita tengok dalam kitab tok - tok guru kita, ambik yang koman le (maaf bukan nak perlekehkan mana-mana kitab ulama, koman di sini membawa erti yang biasa atau mudah diperolehi atau common dalam bahasa omputeh) macam Mathla`ul Badrain karya Tok Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah jelas dinyatakan bahawa kepala itu dianggap sebagai satu anggota besar, jadi kalau gerak - gerak kepala 3 kali berturut - turut membawa kepada batal shalat. Pada halaman 35 kitab yang berkat tersebut, dinyatakan:-
"Perbuatan yang banyak lagi berturut - turut seperti 3 langkah yang berturut - turut pada `uruf samada sengaja atau tersalah batal sembahyangnya ....... Maka perbuatan yang banyak itu samada dengan satu anggota atau berbilang-bilang seperti digerakkan kepalanya dan dua tangannya.Melainkan kalau dah jadi tabiat seseorang itu, tiap kali cakap dok angguk - angguk, geleng -geleng, maka mungkin boleh diuzurkan. Kalau dalam sholat je terangguk-angguk, luar sholat elok je, mana boleh kata uzur. Untuk lebih jelas ese bawak kat sini fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah yang terkandung dalam "Himpunan Fatwa 2 Negeri Kedah Darul Aman" pada halaman 24 - 25 sebagai berikut:-
Adakah sah sembahyang makmum mengikut imam yang sentiasa menggerak-gerakkan kepala ketika membaca Fatihah dan surah?
Daripada perkara yang membatalkan sembahyang ialah melakukan perbuatan yang banyak (al-`amal al-katsir) dengan sengaja atau lalai dan perbuatan itu perbuatan yang berat / besar (ats-tsaqiil) dengan berturut - turut tanpa ada apa - apa keuzuran samada dari jenis yang satu seperti tiga langkah (khuthwah) berturut - turut atau dari dua jenis seperti satu langkah dan dua kali pukul atau dua kali pukul dan satu langkah atau dari berbagai-bagai jenis seperti satu langkah, sekali pukul dan sekali goncang kepala, ketiganya dilakukan berturut - turut.
Perbuatan yang sedikit iaitu yang kurang dari tiga kali berturut-turut, sekali pukul atau dua kali pukul yang tiada berlebih - lebihan atau selangkah atau dua langkah yang tiada ada lompatan padanya tiada membatalkan. Walau bagaimanapun, kalau melakukan perbuatan yang sedikit dengan tujuan bermain-main, ia membatalkan.
Maka kalau imam menggeleng - geleng kepala atau mengangguk-angguk di dalam waktu membaca Fatihah atau surah dengan banyak atau berturut - turut tanpa keuzuran maka batallah sembahyangnya dan tiada sah sembahyang makmum yang mengikutnya.
Allahu .... Allah, harap diberikan perhatian sewajarnya mengenai perkara ini. Janganlah ada hendaknya tok - tok imam yang apabila membaca dalam shalat, mereka menggerak-gerakkan badan atau kepala sebagaimana yang dilakukan ketika menghafal dahulu. Sewaktu menghafal tu lain, sebab kalu mu tak gerak, mu ngantuk. Maka wajarlah mu gerak - gerak, tapi janganlah sampai dalam shalat pun gerak - gerak, karang semua makmum kat belakang pun bergerak - gerak ............ keluar saf....maaf cakap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan