Rabu, November 26, 2014

Istighatsah : JJ v. Imam Ramli

Media tempatan melaporkan bahawa JJ (baca: Juanda Jaya) telah menghukumkan "tidak boleh (baca: haram)" beristighatsah (memohon bantuan) dengan orang yang telah wafat termasuklah dengan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sebenarnya, jika seseorang memohon bantuan kepada makhluk dengan iktiqad bahawa makhluk itu boleh memberi bekas, maka perbuatan tersebut sememangnya haram tanpa mengira samada makhluk itu masih hidup bernyawa di dunia yang fana ini atau sudah berada di alam baqa. Seseorang mukmin yang beristighatsah pasti tidak mempunyai iktiqad sedemikian, baik yang diminta pertolongan itu masih hidup atau sudah mati. Kita orang mukmin tahu bahawa hanya Allah ta`ala sahaja yang memberi bekas, adh-Dhaar dan an-Naafi`. Oleh itu isu istighatsah ini telah lama dijelaskan oleh para ulama kita terdahulu dengan melihat kepada segala nas yang ada dan akhirnya JUMHUR ULAMA menghukumkan ianya adalah dibolehkan. Namun sayangnya masih ada yang cuba mengelirukan masyarakat tentang hal ini dengan mengatakan ianya haram secara mutlak. Jika JJ kata haram beristighatsah maka lihat pula apa kata Imam Ramli rahimahullah mengenai persoalan ini. Dan pasti korang yang punya mata dan mata hati dapat melihat di mana kedudukan JJ berbanding Imam ar-Ramli rahimahullah.

Imam Syamsuddin Muhammad bin Abil `Abbas Ahmad bin Hamzah ar-Ramli al-Anshari rahimahullah, pengarang kitab "Nihayatul Muhtaj" yang masyhur, dalam fatwanya yang dicetak di tepi himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah dengan berjodol "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 4, halaman 382 - 383 menyatakan (terjemahan bebas):-
  • (Ditanyai) mengenai apa yang dilakukan orang awam dari ucapan mereka sewaktu kesusahan "Ya Syaikh Fulan", "Ya RasulAllah", dan seumpamanya dari ucapan-ucapan istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin, maka adakah perkara ini jaiz (harus) atau tidak ? Dan adakah bagi para rasul, para nabi, para wali, sholihin dan masyaikh pertolongan (yakni memberi pertolongan) selepas mereka mati, dan apakah yang rajih pada yang demikian ?
  • (Maka dijawab) Bahawasanya istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin adalah HARUS. Dan bagi para rasul, para nabi, para wali dan sholihin pertolongan selepas mereka mati kerana bahawasanya mu'jizat para nabi dan karamat para wali tidak putus dengan matinya mereka. Adapun para nabi maka mereka hidup di dalam kubur-kubur mereka, sembahyang mereka dan berhaji mereka seperti yang warid diberitakan dalam beberapa hadis, dan jadilah pertolongan daripada mereka mu'jizat bagi mereka. Para syuhada` juga hidup, disaksikan mereka itu dengan jelas memerangi segala kuffar. Adapun para wali maka ianya adalah karamah bagi mereka. Sesungguhnya Ahlul Haqq berpegang bahawasanya berlakunya karamah para wali dengan niat (sengaja) mereka atau tanpa ada sebarang niat adalah suatu perbuatan yang mencarik adat yang dilakukan oleh Allah ta`ala dengan sebab mereka. Dalil atas harusnya perkara ini berlaku adalah kerana ianya termasuk dalam perkara mumkin, oleh kerana itu tidaklah menjadi mustahil ianya untuk berlaku, maka setiap perkara seperti atas adalah harus untuk berlaku. Antara dalil berlakunya karamah ialah kisah Siti Maryam dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya sebagaimana diceritakan dalam al-Quran; kisah Sayyidina Abu Bakar dengan tetamu-tetamunya sebagaimana tersebut dalam kitab hadis shohih; kisah Sungai Nil banjir dengan sebab surat Sayyidina 'Umar; kisah Sayyidina 'Umar sedang atas mimbar di Madinah dapat melihat tenteranya di Nahawand serta boleh berbicara dengan panglimanya, di sini juga dapat diambil sebagai karamah bahawa tentera tersebut dapat mendengar kata-kata Sayyidina 'Umar sedangkan antara mereka dengan Sayyidina 'Umar jarak perjalanan 2 bulan; kisah Sayyidina Khalid meminum racun tanpa memberi mudarat. Dan telah berlaku berbagai perkara mencarik adat atas tangan para sahabat dan para tabi`in dan orang-orang yang selepas mereka yang tidak mungkin untuk diingkari ketawaturannya yang telah disepakati. Sebagai kesimpulannya, apa yang harus berlaku sebagai mu'jizat untuk nabi, haruslah berlaku sebagai karamah bagi wali. Tiada perbezaan antara keduanya selain daripada at-tahaddi ("mencabar" yakni mu'jizat itu sifatnya mencabar musuh atau melemahkan musuh).
Nak puas lagi sila rujuk perkataan asal Imam ar-Ramli rahimahullah. Tapi bodo - bodo aku pun faham bahawa istighatsah itu harus di sisi Imam ar-Ramli dan begitulah juga di sisi ulama-ulama kita yang lain. Inilah kedudukannya dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Puak - puak kat utara ni kena banyak mentelaah kitab - kitab turats Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebelum mengeluarkan fatwa atau pendapat. Jangan hanya rasa cukup dengan fatwa Ibnu Taimiyah atau fatwa Saudi - Wahabi sahaja. Buka luas sikit minda tu, jangan jadi katak bawah tempurung yang beranggapan bahawa Islam itu hanya apa yang ada dalam ilmunya Ibnu Taimiyyah ...... Allahu ... Allah.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Depa SERANG....kita TERANG.

Tanpa Nama berkata...

Wahabi ni baca ke kitab Imam Ramli ? Kalau dibaca pun sbb nak cari hujah hemtam kita balik, bukan nak cari kebenaran.
Geng geng Wahabi ni ngaji tinggi tinggi siap dgn PhDnya, dgn gelaran Drnya, nak tunjuk alim lawan hujah dgn tok tok guru kita yg takde PhD takde gelaran Dr, mudah nak pengaruhi org awam, apatah lg org awam moden moden skrg graduan graduan semuanya, menilai dgn sijil dan ijazah.
Bab agama ni kalau tak ngaji, jadilah liberal, bila ngaji sikit tp ego, perasan dah alim mmg jadi Wahabi la, tp jika buka minda, ngaji lbh lg, InsyaAllah akan nampak kebenaran dan InsyaAllah akan faham hujah hujah ASWJ.
Isu isu khilafiah ni ulama' ulama' kita dah selesaikan lama dulu, dah habis diteliti dah, dtg geng geng Wahabi ni bangkitkan semula, konon tafsir semula, konon fahaman Salafi, yg jenis jenis tak ngaji, jenis jenis ngaji tak habis, pening dibuatnya. Yg ngaji sikit sikit tu pulak mmg mudah sgt terikut ikut, sbb dakyah Wahabi ni cantik, kembali kpd Quran dan Sunnah. Takut jugak anak anak yg masuk IPT skrg ni takut terpengaruh, yg ngaji agama pun boleh terpengaruh, apatah lg yg yg ngaji lain lain.