Ya Hayyu Ya Qayyum - Jawahir
Tidak asing lagi, dua nama Allah yang agung, Ya Hayyu Ya Qayyum yang diartikan secara ringkas sebagai "Tuhan yang Maha Hidup dengan kehidupan yang hakiki, abadi lagi Maha Berdiri Sendiri tanpa perlukan sesiapa pun", adalah antara nama Allah yang termasyhur dan diketahui oleh semua umat Islam. Bahkan, tidak sedikit daripada kalangan ulama yang berpandangan bahawa rangkaian dua isim ini merupakan nama Allah yang teragung. Pada entri ini, faqir kongsikan satu faedah yang berkait dengan dua isim ini, yang disebut oleh Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani ad-Dimyathi (w. 1331H) rahimahullah dalam syarah beliau atas Hadis 40 Imam an-Nawawi yang berjodol al-Jawahirul Lu'lu-iyyah. Pada halaman 13, beliau menyebut satu faedah sebagai berikut:- Sesiapa yang menyebut (berzikir) dengan "Ya Hayyu ya Qayyum", Allah akan menghilangkan daripadanya segala kerunsingan, kesedihan dan kedukaan serta dikurniakan kepadanya rezeki tanpa disangka - sangka. Sebahagian ulama menyatakan: " Sesiapa yang berzikir dengan "Ya Hayyu Ya Qayyum" pada setiap hari ketika terbit matahari sebanyak 40 kali, Allah akan menghidupkan hati sanubarinya, diterangkan fikirannya, dimudahkan kesulitannya, dikeluarkan butiran - butiran hikmah pada percakapannya dan dilapangkan dadanya dengan makrifah."
Mudah - mudahan menjadi motivasi untuk kita mewiridkan dua nama yang agung ini sekurang - kurangnya 40 kali setiap pagi ketika matahari memunculkan diri. Amalan yang mudah dan penuh keberkatan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang muktabar. Faqir akhir dengan cuplikan ceramah almarhum Tuan Guru Haji Salleh Musa tentang "Ya Hayyu Ya Qayyum."
Kelebihan Ya Hayyu Ya Qayyum


Tiada ulasan:
Catat Ulasan