Istighatsah Sayyidina Bilal 2
Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari, juz ke-2, menukil dan memperakui kesahihan riwayat atsar seorang lelaki yang beristighatsah di makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bagi meminta Junjungan Nabi agar beristisqa`, yakni memohon Allah menurunkan hujan bagi umat baginda. Pada halaman 549, beliau rahimahullah menyatakan sebagai berikut:- Dan telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang shahih daripada riwayat Abi Shalih as-Samman daripada Malik ad-Daari, penjaga perbendaharaan / bendahara bagi Khalifah Umar - berkata: "Manusia ditimpa kemarau pada zaman Khalifah Umar, lalu ada seorang lelaki mendatangi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seraya berkata: "Wahai RasulAllah, pintalah hujan buat umatmu kerana jika tidak, pasti mereka akan binasa akibat kemarau." Kemudiannya, lelaki tersebut bermimpi didatangi Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dikatakan kepadanya: "Datangilah Umar"....sehingga akhir hadis tersebut. Saif meriwayatkan dalam al-Futuh bahawa lelaki yang bermimpi tersebut adalah Bilal bin al-Harits al-Muzani, seorang sahabat....
Begitulah penjelasan Imam Ibnu Hajar yang merupakan salah seorang ulama yang terkenal dalam ilmu hadis, bukan sahaja seorang al-hafiz (menghafal sekurang - kurangnya 100,000 hadis beserta segala sanadnya), bahkan dijuluki sebagai Amirul Mu'minin dalam ilmu hadis kerana penguasaan dan kemahirannya dalam segala ilmu hadis. Oleh itu, jumhur Ahlus Sunnah wal Jamaah menghukumkan boleh atau harus beristighatsah dan bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas kewafatan baginda. Kita tidak menghukumkan perbuatan tersebut sebagai mutlak haram atau pasti syirik, berbeza dengan salahpi yang sembrono dan secara blanket mengharamkan bahkan mensyirikkan perbuatan tersebut. Mereka menolak atsar ini dengan berbagai dalih, yang semuanya telah dijawab oleh para ulama kita dalam karya - karya mereka. Sebagai satu misal, tokoh mereka, Ben Baz walaupun mengakui yang Imam Ibnu Hajar mensahihkan atsar ini, cuba menimbulkan keraguan dengan alasan atsar tersebut tidak menamakan lelaki yang beristighatsah itu dengan jelas. Namun, dia lupa yang atsar tersebut berakhir dengan Sayyidina Umar yang disebut dengan jelas. Sebenarnya nama lelaki yang melakukan istighatsah yang dianggap majhul (tidak diketahui) oleh Ben Baz itu tidak crucial pun, kerana akhir sandaran yang mengharuskan seseorang beristighatsah adalah Sayyidina Umar radhiyaAllahu `anhu. Jika kita menerima riwayat daripada Saif bin Umar at-Tamimi al-Usayyidi dalam kitab al-Futuh sebagaimana Ibnu Hajar, maka lelaki tersebut adalah Bilal bin al-Harits yang jelas identitinya sebagai seorang sahabat. Jika kita tidak menerima riwayat Saif tersebut, maka yang boleh dipastikan adalah lelaki tersebut adalah seorang sahabat atau setidak - tidaknya seorang tabiin. Ben Baz yang menyerang perbuatan lelaki yang beristighatsah di makam Nabi tersebut sebagai satu kemungkaran yang boleh menyebabkan kesyirikan, bahkan perbuatan tersebut termasuk dalam kesyirikan. Maka, tuduhan tersebut, telah dilemparkan kepada seorang sahabat atau seorang tabiin. Lebih teruk lagi, seolah - olah Ben Baz menuduh Sayyidina Umar radhiyaAllah yang terkenal dengan jolokan al-Faruuq (pembeda antara kebenaran dan kesesatan) dan dikunyahi dengan Abu Hafsh (Bapa Singa) yang terkenal tegas mencegah kemungkaran, sebagai mendiamkan diri dan membiarkan lelaki tadi melakukan kemungkaran bahkan kesyirikan di makam Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Masjid Nabawi di kota suci Madinah al-Munawwarah. Jika perbuatan beristighatsah tersebut satu kemungkaran, adakah Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu akan berdiam diri membiarkannya? Fikir - fikirkanlah, jangan sampai kita, secara langsung atau tidak, bermudah - mudah melemparkan tuduhan bahawa ada sahabat atau tabi`in melakukan kesyirikan di makam Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan lebih parah lagi memfitnah Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu hanya membiarkan "kemungkaran dan kesyirikan" tersebut dilakukan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan