Istighatsah Sayyidina Bilal bin al-Harits
Kupetik satu kisah dari kitab panutanku Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam "Syawahidul Haq" halaman 241. Kisah ini dinukil oleh Imam as-Samhudi rahimahullah dalam "Khulashatul Wafa" dan diriwayat oleh Imam al-Baihaqi rahimahullah dan Imam Ibnu Abi Syaibah rahimahullah dengan sanad yang shahih daripada Malik al-Daar radhiyaAllahu `anhu, bendahara atau pengurus baitul mal Khalifah Umar radhiyaAllahu `anhu, menceritakan sebagai berikut:-
"Telah berlaku kemarau ke atas orang - orang di zaman pemerintahan Amirul Mu'minin Sayyidina Umar bin al-Khaththab radhiyaAllahu `anhu. Lalu seorang lelaki (yakni seorang sahabat bernama Sayyidina Bilal bin al-Harits) telah mendatangi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan berkata : "Wahai Rasulullah, tolonglah bermohon kepada Allah untuk menurunkan bagi umatmu kerana (jika tidak) nescaya mereka pasti binasa.". Setelah itu lelaki tersebut bermimpi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam datang kepadanya dan bersabda: "Datangilah Umar, sampaikan salamku kepadanya, khabarkan kepadanya bahawa mereka akan diberi hujan dan katakan kepadanya: "Hendaklah engkau sentiasa bersikap berhati - hati dan bijaksana." Lelaki tersebut pun pergi berjumpa dengan Sayyidina Umar dan memberitahunya yang sedemikian. Maka Sayyidina Umar menangis seraya berkata: "Wahai Tuhanku, tidaklah aku mampu mengatasi masalah ini melainkan kerana kelemahanku (yakni, aku akan kerahkan segenap usaha ikhtiarku kecuali apa yang aku tidak mampu)."
Begitulah kisah sahabat beristighatsah kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang sahih. Maka sesiapa yang menghukum syirik atau kafir atau bid`ah terhadap orang yang beristighatsah, maka bersikap bijaksanalah dan berhati - hati.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan