Selasa, Mei 26, 2026

Dua Faedah: al-Ikhlas & at-Ta'rif

Bersempena Hari 'Arafah, hari yang mulia, di mana doa padanya disabdakan Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai doa yang terbaik (khairud du`a), sebagaimana dalam riwayat Imam at-Tirmidzi rahimahullah bahawa:- "Sebaik - baik doa adalah doa yang dipanjatkan pada Hari `Arafah, dan sebaik - baik perkataan yang telah aku dan para nabi sebelumku ucapkan adalah ( La ilaha illa Allah, wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa Huwa `ala kulli syai-in qadir)." Ulama menyatakan bahawa sebab berdoa pada Hari `Arafah dikatakan sebagai "khairud du`a" kerana besarnya ganjaran pahala berdoa pada hari tersebut serta mudah dan cepat untuk diijabahi. Perkara ini juga tidaklah tertentu kepada mereka yang sedang berada di Padang `Arafah untuk berwuquf, tetapi kelebihan dari sudut ini meratai segenap umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam di pelosok mana jua pun mereka berada. Ini tidaklah bererti menyamakan kedudukan yang sedang berhaji dan berwuquf dengan mereka - mereka yang tidak sedang berhaji. Para jemaah haji yang sedang menjalani rukun terpenting ibadah haji berwuquf di Padang `Arafah, pasti dikurniakan dengan berbagai keistimewaan khusus berbanding yang tidak berhaji. Namun dari sudut fadhilat dan anjuran berdoa pada Hari `Arafah, setiap orang daripada umat marhumah ini boleh mencapai apa yang disabdakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam tadi.

Selanjutnya, faqir kongsikan dua faedah yang dicatat oleh al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Ahmad bin al-Hijaazi al-Fasyani rahimahullah dalam karya beliau Tuhfatul Habib Syarh Nadzm al-`Allaamah al-`Imrithi. Kitab ini merupakan syarah Imam al-Fasyani bagi nazam yang digubah Syaikh al-`Allaamah Syarafuddin Yahya bin Musa bin Ramadhan al-`Imrithi rahimahullah bagi kitab Ghayatut Taqrib @ Matan Abi Syuja' karya Qadhi Abu Syuja` rahimahullah. Imam al-`Imrithi adalah sosok yang amat dikenali dalam ilmu nahu melalui karyanya yang menazamkan Matan al-Ajurrrumiyyah yang terkenal dengan panggilan Nazam `Imrithi. Imam `Imrithi sebenarnya seorang ulama besar bermazhab Syafie yang memiliki berbagai karya selain Nazam `Imrithi dalam ilmu nahu, antaranya nazam beliau bagi Matan Abi Syuja` ini. Dalam Tuhfatul Habib halaman 98, dinyatakan sebagai berikut:- ... (Dua Faedah): Pertama: Tersebut dalam kitab ad-Da`awaat  hadis marfu` daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma menyatakan bahawa sesiapa membaca Surah al-Ikhlas pada Hari `Arafah seribu (1000) kali nescaya diberikan apa - apa yang dimintanya. Kedua: Melakukan at-Ta'rif di tempat selain Padang Arafah (yakni orang - orang berkumpul di tempat selain Padang `Arafah seperti di masjid - masjid atau lapangan atau  rumah - rumah, pada petang Hari `Arafah, untuk sama - sama berdoa, berzikir dan melakukan berbagai rupa ketaatan seolah - olah meniru perbuatan jemaah haji yang sedang berwuquf di Padang `Arafah) adalah perkara yang hukumnya diperselisihi ulama. Disebut dalam al-Bukhari bahawa orang yang pertama melakukan hal ini di Bashrah adalah Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Beliau ketika Shalat Asar pada Hari `Arafah (yakni selepas menunaikannya) akan bersungguh - sungguh tenggelam dalam berzikir, berdoa dan bertadharru` (yakni memohon dengan penuh kerendahan hati) seumpama perlakuan para jemaah haji di Padang `Arafah. Oleh sebab itu, Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Aku harap perbuatan tersebut tidak mengapa (yakni boleh - boleh saja)." Perbuatan sedemikian juga dilakukan oleh Imam al-Hasan al-Bashri dan sekelompok ulama. Manakala, sebahagian ulama lain seperti Imam Malik bin Anas tidak menyukai atau memakruhkan hal sedemikian. Menanggapi masalah ini, Imam an-Nawawi berkata: "Ulama yang berpandangan ianya bid`ah tidaklah menghukumnya sebagai termasuk dalam bid`ah - bid`ah yang keji (yakni, jika pun dikatakan bid`ah, ianya bukanlah bid`ah yang keji), bahkan diringankan hukumnya (yakni jika pun bid`ah, maka hukumnya boleh - boleh saja atau  bid`ah yang harus / mubah) dengan syarat tidak berlaku perkara - perkara yang menyalahi hukum seperti  percampuran bebas lelaki dengan perempuan dalam perhimpunan tersebut, jika tidak maka ianya termasuk sekeji - keji bid`ah."

Makanya, di sesetengah tempat seperti Hadhramaut, sebahagian masyarakatnya melakukan at-Ta`rif, di mana para ulama dan awam berhimpun di lapangan untuk zikir dan munajat bersama, mulai lepas Asar Hari `Arafah sehingga mendekati waktu Maghrib sebelum bersurai. Semoga kita tidak mensia-siakan Hari `Arafah kita dengan hanya berpeluk tubuh, berdiam diri, tanpa memperbanyakkan amal kebajikan dan doa permintaan serta bermunajat penuh kehinaan dan kehibaan. Di dunia mungkin kita tidak merasa apa - apa kerugian, namun di akhirat setiap masa yang disia-siakan tanpa sesuatu apa pun amal kebajikan akan mengundang sebak dan penyesalan di dalam hati, walaupun sudah menginjak tanah surgawi. Selamat Beribadah, mudah - mudahan dengan berkat orang - orang yang sedang berpuasa pada Hari `Arafah dan berkat para jemaah yang sedang berwuquf di Padang `Arafah, kita semua mendapat pahala `Arafah.

Asy-Syahid Dr. Said Ramadhan al-Buthi


Tiada ulasan: