Selasa, November 08, 2005

Maulid ad-Diba`ie


Satu karya mawlid yang masyhur dalam dunia Islam ialah mawlid yang dikarang oleh seorang ulama besar dan ahli hadits iaitu Imam Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i. Beliau dilahirkan pada 4 haribulan Muharram tahun 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab tahun 944H. Beliau adalah seorang ulama hadits yang terkenal dan tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau mengajar kitab "Shohih" Imam al-Bukhari lebih dari 100 kali khatam. Beliau mencapai darjat Hafiz dalam ilmu hadits iaitu seorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya. Setiap hari beliau akan mengajar hadits dari masjid ke masjid. Di antara guru-gurunya ialah Imam al-Hafiz as-Sakhawi, Imam Ibnu Ziyad, Imam Jamaluddin Muhammad bin Ismail, mufti Zabid, Imam al-Hafiz Tahir bin Husain al-Ahdal dan ramai lagi. Selain daripada itu, beliau juga seorang muarrikh, yakni ahli sejarah, yang terbilang. Di antara kitab karangannya ialah:-
  • "Taisirul Wusul ila Jaami`il Usul min Haditsir Rasul" yang mengandungi himpunan hadits yang dinukil daripada kitab hadits yang 6.
  • "Tamyeezu at-Thoyyib min al-Khabith mimma yaduru 'ala alsinatin naasi minal hadits" sebuah kitab yang membezakan hadits sahih dari selainnya seperti dhaif dan maudhu.
  • "Qurratul 'Uyun fi akhbaril Yaman al-Maimun".
  • "Bughyatul Mustafid fi akhbar madinat Zabid".
  • "Fadhail Ahl al-Yaman".

Renungilah bahawa kitab mawlid ini bukan karya Tok Dalang wayang kulit atau susunan Pelipurlara zaman dahulu kala atau Tukang Karut dikir barat. Ianya karya seorang ulama terbilang dan menjadi sandaran ilmu dan imannya. Kitab mawlid ini dikarang dengan senikata yang indah dan menawan setiap telinga yang mendengarnya. Kitab yang hampir berusia 500 tahun ini diakui keindahan dan keberkatannya. Keberkatannya tersohor dan menjadi bacaan serta wiridan banyak umat. Majlis pembacaannya diadakan sepanjang tahun, setiap masa di berbagai pelosok dunia Islam. Kiyai Agung berpesan agar setiap muridnya mengadakan majlis pembacaan mawlid ini pada setiap malam Isnin, dan amalan ini diteruskan oleh murid-muridnya sehingga ke masa ini. Dengan hadir di majlis mawlid, diharap tumbuh subur kecintaan kepada Junjungan Nabi s.a.w. Diharap Junjungan s.a.w. yang dipertontonkan oleh Allah s.w.t. segala amalan umatnya sudi memberikan syafaatnya kepada pembaca dan pendengar serta hadirin kerana tidaklah mereka berkumpul melainkan kerana ingatkan baginda dan dalam rangka membesarkan baginda.

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.

Ahad, November 06, 2005

Menghitung Biji Tasbih



Alat tasbih yang berupa biji-biji tasbih yang diikat dengan seutas benang telah lama digunakan oleh umat Islam. Bahkan penggunaan alat, seperti biji-biji kurma, kerikil, simpulan benang telah digunakan oleh beberapa sahabat dan diketahui oleh Junjungan s.a.w. tanpa protes baginda. Oleh itu ulama kita menyatakan bahawa penggunaan alat untuk menghitung tasbih dan lain-lain bacaan atau wiridan adalah sunnah taqririyyah Junjungan s.a.w. Penggunaan alat tasbih kemudian dipopularkan oleh ramai ulama yang menjadi sandaran kita. Cuma di masa ini baru terdengar kelompok yang anti kepada penggunaannya sehingga tergamak menyamakan tasbih umat yang mentawhidkan Allah dengan rosary puak Kristian atau alat sembahyang orang Buddha. Ayam sembelih dengan ayam tak sembelih sama ke ? Jangan nak disamakan yang halal dengan yang haram. Antara ulama besar yang menggunakan tasbih ialah Imam al-Haddad atau nama penuhnya Quthubud Dakwah wal Irsyad Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad al-Haddad. Tasbih yang digunakannya, kalau zaman kita ini atau di tempat kita dah kena hukum melampau atau pelik, kerana bijiannya besar dan berjumlah 1000 biji. Sampai sekarang tasbih yang berkat ini masih tersimpan dengan baik di masjidnya di al-Hawi, Hadhramaut (lihat gambar).
Antara ulama kita yang menjelaskan persoalan menggunakan alat tasbih ialah Imam as-Sayuthi dan Imam Ibnu 'Allan ash-Shiddiqi asy-Syafi`i al-Asy`ari al-Makki yang ada menulis kitab khusu mengenai hal ini yang diberi jodol "Iqad al-Masabih li Masyru`iyyah Ittikhadz al-Masabih" (Menyalakan Pelita bagi menjelaskan pensyariatan berzikir dengan alat tasbih). Dalam kitabnya yang masyhur "al-Futuhatur Rabbaniyyah", Ibnu 'Allan antara lain menyatakan:-
  • Dalam hadits Sa`ad yang lalu, dan ini merupakan dasar yang sahih dalam membolehkan menghitung zikir dengan alat tasbih dengan taqrir (endorsement) daripada Junjungan Nabi s.a.w., kerana alat tasbih itu dalam pengertiannya sama sahaja dengan biji-biji kurma atau kerikil kerana tidak ada perbedaan antara yang tersusun dengan yang bercerai-cerai(yakni alat tasbih disusun dengan diikat benang dan biji-biji atau kerikil tadi tidak). DAN TIDAK USAH DIHIRAUKAN ORANG YANG MENGATAKAN IANYA BID`AH. Telah berkata para masyaikh bahawa alat tasbih itu cambuk/cemeti syaithan ( untuk menghalau syaithan kerana ianya digunakan untuk berzikir dan kita tahu bahawa syaithan tak suka dan akan lari dari orang yang berzikir).

Sekolah Ramadhan

Ikhwah, setelah menjalani mujahadah dalam bulan Ramadhan yang telah lalu, mudah-mudahan segala ibadah yang dilakukan dapat dikekalkan dalam bulan-bulan lain. Berhati-hati jangan sampai tergolong dalam golongan ahli ibadat yang tertipu. Ramai yang rajin berjemaah tarawih, tetapi sholat fardhunya tidak dihiraukan perlaksanaannya atau jemaahnya. Sedangkan berjemaah sholat fardhu itu lebih utama dari berjemaah sholat sunnat. Harap, setelah menjalani sekolah Ramadhan, dapat dikekalkan sholat berjemaah dan lain-lain ibadah. Harap permohonan kita sepanjang bulan tersebut diterima dan dimakbulkan Tuhan, ingat bahawa antara yang kita mohon bersama-sama sewaktu tarawih ialah "fid dunya zahidin wa fil akhirati raghibin" dalam dunia mohon kezuhudan dan mohon agar kepada akhirat lebih digemari. Jangan bila mati baru nak zuhud sedangkan hidup mengalahkan Fir`aun dan Haman. Allahu .... Allah.

Karamah Kiyai Agung

Pada suatu hari, Kiyai Agung (hafizahUllah) dan 2 atau 3 orang muridnya telah menziarahi rumah salah seorang muridnya. Ketika mereka hendak pulang, tiba-tiba hujan lebat pun turun. Tetapi Kiyai Agung telah mengajak juga murid-muridnya itu pulang, sedangkan mereka tiada payung. Apabila mereka berjalan di dalam hujan lebat itu, murid-muridnya mendapati bahawa mereka sekalian tidak basah. Allahu Akbar.

Perang Uhud

Pada pertengahan bulan Syawwal tahun ke-3 Hijrah berlakunya Perang Uhud. Di mana umat Islam yang pada mulanya menang tertewas akibat perlanggaran sebilangan umat terhadap perintah Junjungan Nabi s.a.w. Tetapi kalah - menang di dunia bukanlah penting kerana kedua-duanya cobaan dan ujian Allah s.w.t. Kalau umat Islam kalah tidak bererti Islam salah, kalau kekufuran menang bukan bererti ianya benar. Hal ini hendaklah difahami, kemenangan hakiki adalah di akhirat nanti, negeri yang kekal abadi. Kemenangan di dunia hanya sementara, silih berganti kerana Allah nak lihat siapa hambaNya yang benar-benar tulus ikhlas kepadaNya. 70 orang sahabat Junjungan gugur syahid di medan Uhud termasuklah Singa Allah, Sayyidina Hamzah r.a. Syahid itu kemenangan hakiki, terus ke syurga dengan rahmat Ilahi. Kiyai Agung ajar anak-anak muridnya berdoa dalam sujud terakhir antara lain mohon "nashran 'adhziman" (kemenangan yang agung) yakni kemenangan di akhirat, lulus ujian dunia, selamat dari siksaan neraka, inilah kemenangan yang agung dan hakiki. Pengajaran Uhud hendaklah sentiasa di benak kita terutama sekali di zaman kita ini yang penuh ujian, di mana umat tertindas dan terhina. Teguhkan iman, teruskan perjuangan meraih ketaqwaan dan redha Ilahi. Kalah menang di dunia, bukan ukuran. Iman dan taqwa yang utama agar mendapat kemenangan sejati di negeri abadi.

Jumaat, November 04, 2005

Puasa 6

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dilanjutkannya dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal, maka seolah-olah dia telah puasa sepanjang tahun." Puasa 6 ini boleh dilakukan secara berturut-turut 6 hari dan inilah yang afdhal dan boleh juga diputus-putuskan. Berhubung dengan meniatkan puasa qadha bersama-sama dengan puasa sunnat, maka berlaku khilaf dalam mazhab seperti berikut:-
  1. Pendapat Imam an-Nawawi :- bahawa menyertakan niat puasa qadha dengan puasa sunnat tidak boleh dan tidak sah kedua-duanya. Maka hendaklah niat puasa qadha sahaja atau puasa sunnat sahaja. Pendapat ini lebih ihtiyat (lebih berhati-hati) untuk diamalkan.
  2. Pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami:- bahawa boleh dan sah menyertakan niat puasa qadha dengan puasa sunnat dan dapat pahala ganda. Pendapat ini masyhur diamalkan.
  3. Pendapat Imam ar-Ramli:- bahawa seseorang yang berpuasa qadha jika bertepatan hari puasanya dengan hari yang disunnatkan berpuasa akan mendapat pahala puasa sunnat juga walaupun tidak diniatkan puasa sunnat.
  4. Pendapat Imam Abul Hasan as-Samhudy:- bahawa seseorang yang menyertakan niat puasa qadha dan puasa sunnat, hanya sah salah satunya sahaja.

Inilah 4 pendapat ulama dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah. Yang banyak diamalkan ialah pendapat Imam Ibnu Hajar dan Imam ar-Ramli, tetapi yang lebih ihtiyat dan lebih rajih ialah pendapat Imam an-Nawawi. Oleh itu, eloklah dipegang pendapat Imam an-Nawawi tersebut kerana takut-takut nak untung jadi rugi pulak.

Rabu, November 02, 2005

Eid Mubarak.


Eid Mubarak. Kullu 'amm wa antum wa ahlikum bi khair. TaqabbalAllahu minna wa minkum. Hiasilah malam raya ini dengan takbir, tahmid dan sholawat atas Junjungan. Hidupkanlah malam dengan beribadah dan berdoa. Dalam hadits ada dinyatakan bahawa "Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya, nescaya dihidupkan Allah hatinya pada hari matinya segala hati." Ulama menyatakan bahawa maksudnya ialah kinayah bahawa orang itu akan mendapat kejayaan di akhirat nanti dan dia akan terpelihara dari suul khatimah. Dalam hadits juga dinyatakan bahawa "5 malam doa di dalamnya tidak akan ditolak: malam awal bulan Rajab; malam Nishfu Sya'baan; malam Jumaat dan malam 2 hari raya."
Di samping bergembira dan mensyukuri nikmat kehidupan, jangan lupa pada yang telah pergi. Hadiahkanlah sedekah, doa, istighfar, tasbih dan tahlil buat mereka.Syaikh Abdul Hamid Qudus dalam kitab "Kanzun-Najah was Surur" mukasurat 113 menyatakan antara hadiah yang elok diberi kepada mereka yang berada di sana antaranya:-
  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bihamdih" 100 kali pada hari raya, kemudian berdoa "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku beri pahalanya kepada ahli kubur", maka tidak tinggal seorang pun ahli kubur melainkan akan membalasnya dengan mendoakannya pada hari kiamat dengan doa: "Ya Rahim, rahmatilah hambaMu itu dan jadikanlah pahalanya syurga."

  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bi hamdih" 300 kali dan menghadiahkan pahalanya untuk orang Islam yang telah mati, dimasukkan Allah dalam setiap kubur mereka 1000 nur dan Allah akan menjadikan bagi si pembacanya apabila dia mati 1000 nur di kuburnya.
Ikhwah, ramai ulama kita berpesan dengan amalan-amalan ini. Mantan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id, sebut dalam "Tuhfatul Awthan"nya dan mantan Mufti Betawi, Habib Uthman bin Aqil BinYahya sebut dalam "Maslakul Akhyar"nya. Jadi sesiapa yang nak beramal, buatlah. Sesiapa yang tidak berhajat, tak mengapa. Sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diusahakannya.