Khamis, Januari 05, 2006

Tawassul - Syaikh Dahlan al-Kediri


Ikhwah, Syaikh Dahlan al-Kediri rhm., seorang ulama besar di Jawa, ada membicarakan persoalan ziarah kubur dan bertawassul dengan para wali dalam kitabnya "Sirajuth-Tholibin" yang merupakan syarah bagi kitab "Minhajul 'Abidin" karya Imam al-Ghazali r.a. Beliau membawa perkataan-perkataan berbagai ulama antaranya Quthubul-Habib 'Abdullah al-Haddad r.a. dan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan rhm. Pada mukasurat 466 - 467 jilid 1 kitab tersebut, antara lain, beliau menulis:-

  • Al-Quthub al-Habib 'Abdullah al-Haddad juga berkata bahawasanya para akhyar (orang pilihan) apabila mereka mati tidaklah hilang daripada mereka melainkan 'ain mereka (yakni jasad mereka) dan rupa bentuk mereka, sedangkan hakikat mereka tetap ada (yakni hakikat kehidupan mereka iaitu roh). Maka mereka adalah hidup di dalam kubur-kubur mereka.
  • Dan jika demikianlah keadaannya, seseorang wali itu hidup dalam kuburnya, maka sesungguhnya tidak hilang sesuatu daripada ilmunya, akalnya dan kekuatan rohaniahnya, bahkan pandangan batin, ilmu dan kehidupan rohaniah bagi roh-roh mereka bertambah selepas kematian, begitulah juga tawajjuh mereka kepada Allah (yakni tumpuan atau penghadapan mereka kepada Allah, bahasa mudah fokus mereka kepada Allah).
  • Apabila bertawajjuh roh-roh mereka kepada Allah ta`ala untuk sesuatu, ditunaikan Allah s.w.t. dan dilaksanakanNya sebagai kemuliaan buat mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan sebahagian ulama yang bagi para wali itu ada `tasharruf' (yakni `tasharruf' atau `perbuatan' atau 'tindakan' atau 'kuasa' para wali itu adalah tawajjuhnya kepada Allah). Maka 'tasharruf haqiqi' yang melibatkan kuasa memberi bekas/kesan (ta`tsir), kuasa mencipta dan mengadakan semata-mata bagi Allah tanpa sekutu. Tidak ada bagi wali dan selainnya kuasa ta`tsir dalam sesuatu, sama ada hidup mahu pun mati. (Inilah 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, yang berkuasa memberi bekas hanya Allah, makhluk sama ada hidup mahupun mati tidak berkuasa memberi bekas, oleh itu tidak ada bezanya bertawassul dengan yang hidup atau yang mati. Fahaman yang mengatakan bahawa tawassul hanya boleh dengan yang hidup, tidak yang mati, maka dalam fahaman ini seolah-olah yang hidup boleh memberi bekas berbanding yang mati. Fahaman ini adalah logika yang mengandungi syirik yang halus.) Sesiapa yang percaya bahawa wali atau selainnya mempunyai ta`tsir dalam sesuatu perkara atau urusan, maka dia telah kafir dengan Allah ta`ala.
  • Maka ahli barzakh daripada kalangan wali berada di hadhrat Allah ta`ala. Sesiapa yang bertawajjuh kepada mereka dan bertawassul dengan mereka, maka mereka bertawajjuh kepada Allah ta`ala pada menghasilkan kehendaknya. 'Tasharruf' yang terhasil daripada mereka adalah tawajjuh mereka dengan roh-roh mereka kepada Allah ta`ala, sedangkan 'tasharruf haqiqi' adalah bagi Allah semata-mata. Apa yang jatuh berlaku daripada mereka termasuk dalam jumlah asbab biasa yang tidak mempunyai ta`tsir, maka wujud sesuatu itu di sisi mereka bukan dengan (kuasa) mereka, menurut apa yang dilaksanakan Allah daripada segala kebiasaan. (Yakni yang mewujudkan adalah Allah semata-mata, inilah yang dimaksudkan dengan perkataan "wujud di sisi mereka bukan dengan mereka").
  • Jangan engkau tertipu dengan segala syubuhat (kekeliruan) pegangan Wahhabi yang menegah tawassul dan ziarah kerana hujjahnya (yakni hujjah puak Wahhabi) adalah batil.

Inilah antara tulisan Syaikh Dahlan al-Kediri. Perlu diberi perhatian bahawa apa yang dinyatakan oleh beliau adalah bersumber kepada ulama-ulama lain dan merupakan pandangan jumhur Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Yang menegah tawassul dan ziarah kubur awliya` adalah puak Wahhabi penderhaka. Kita tak kisah kalau orang nak bertawassul atau tidak. Untuk menghasilkan sesuatu hajat, kita disuruh mencari sebab, walaupun Allah berkuasa mengabulkannya tanpa sebab dan kadang-kadang berlaku tanpa sebab, berusaha satu sebab, berdoa satu sebab, bertawassul satu sebab yang lain. Insya-Allah, dengan banyaknya asbab mudah-mudahan terkabullah segala hajat dengan syarat segala asbab tidak menyalahi hukum syarak yang mulia. Jika dihukumkan tawassul itu haram dan sesat, maka ramailah yang akan masuk neraka termasuklah ulama-ulama yang mu'tabar. Kalau tak nak bertawassul sudah, duduk diam-diam, jangan mudah mensyirikkan orang lain. Allahu a'lam.

Rabu, Januari 04, 2006

Tempat Lahir Junjungan s.a.w.


Pada tanggal 12 Rabi`ul Awwal Tahun Gajah, terbit cahaya gilang gemilang menerangi kediaman Siti Aminah di Kampung Syib 'Ali saat beliau melahirkan Junjungan mulia s.a.w. Rumah telah kelahiran Junjungan s.a.w. yang bersejarah tersebut telah dipelihara oleh umat baginda dan dijadikan tempat ziarah yang di mana doa-doa dikatakan mustajab di situ.

Sejarahwan Makkah kurun ke-3, al-Azraqi, dalam kitabnya "Akhbar Makkah", jilid 2 mukasurat 160, menyatakan bahawa antara tempat-tempat di mana dimustahabkan solat di dalamnya ialah Mawlid an-Nabi, iaitu tempat kelahiran Junjungan s.a.w. Menurutnya lagi, rumah tersebut telah dijadikan masjid oleh al-Khaizuran, bonda Khalifah Musa al-Hadi dan Khalifah Harun ar-Rasyid dari Kerajaan Bani Abbas. Lihat gambar lama di atas nampak kelihatan kubah masjid tersebut. Masjid ini berdiri sejak masa Abbasiyyah sehinggalah diruntuhkan oleh puak Wahhabi, pemusnah kubur dan masjid. Rupa-rupanya bukan Hindu kat India sahaja yang meruntuhkan masjid, geng anak Pak Wahhab pun apa kurangnya.

Ulama tafsir terkemuka, an-Naqqash dinukilkan oleh Syaikh Taqiyuddin al-Fasi dalam kitabnya "Syifa` al-Gharam bi Akhbaril Baladil Haram", jilid 1 mukasurat 199, sebagai berkata bahawa doa di tempat lahir Junjungan s.a.w. tersebut dimustajabkan pada tengahari Isnin.

Ibnu Jubayr, setiausaha Gabenor Granada, Andalus, mencatat dalam memoir perjalanan haji dan ziarahnya menyatakan bahawa pada setiap hari Isnin bulan Rabi`ul Awwal, tempat kelahiran Junjungan dibuka dan ramai manusia yang datang berziarah dan mengambil keberkatan dengannya (mutabarrikin bihi) kerana pada bulan tersebut Junjungan s.a.w. dilahirkan.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya "al-Mawlid asy-Syarif al-Mu`adzdzham", Syaikh Ibnu Zahira al-Hanafi dalam "al-Jami' al-Lathif fi Fasl Makkah wa ahliha", ad-Diyabakri dalam "Tarikh al-Khamis" dan Syaikh an-Nahrawali dalam "al-I'lam bi a'lami Bait Allah al-haram", menulis senario sambutan Mawlid Nabi s.a.w. di Makkah seperti berikut:-
  • Setiap tahun tanggal 12 Rabi`ul Awwal, selepas sembahyang Maghrib, keempat-empat qadhi Makkah (yang mewakili mazhab yang empat) bersama-sama orang ramai termasuk segala fuqaha, fudhala` (orang kenamaan) Makkah, syaikh-syaikh, guru-guru zawiyah dan murid-murid mereka, ru`asa' (penguasa-penguasa), muta`ammamin (ulama-ulama) keluar meninggalkan Masjidil Haram untuk pergi bersama-sama menziarahi tempat Junjungan Nabi s.a.w. dilahirkan. Mereka berarak dengan melaungkan zikir dan tahlil(mungkin di sini asalnya tradisi orang kita mengadakan perarakan Mawlid). Rumah-rumah di Makkah diterangi cahaya pelita dan lilin. Orang yang turut serta amat ramai dengan berpakaian indah serta membawa anak-anak mereka sekali. Setiba di tempat kelahiran tersebut, ceramah khas bersangkutan Mawlidin Nabi disampaikan serta kebesaran, kemuliaan dan mu'jizat Junjungan diceritakan. Setelah itu, doa untuk Sultan, Amir Makkah dan Qadhi Syafi`i (ini adalah kerana mazhab Syafi`i adalah yang paling dominan di Hejaz sebelum penjajahan Wahhabi) dibacakan dengan penuh khusyu' dan khudu`. Setelah hampir waktu Isya`, barulah mereka berarak semula pulang ke Masjidil Haram untuk menunaikan sholat Isya`.

Beginilah meriah sambutan Mawlid di Makkah pada zaman tersebut. Malangnya setelah penjajahan Wahhabi, perayaan Mawlid dianggap sebagai bid`ah dhalalah yang menyesatkan. Inilah juga fatwa Bin Baz yang diikuti pengikut mereka hatta di Malaysia ini seperti Dr. Abdullah Yasin khadam kedutaan Saudi Arabia di Kuala Lumpur. Banyak-banyak negara Islam dalam dunia ini, hanya Saudi sahaja yang beranggapan mawlid Nabi bid`ah, negeri lain cuti umum tapi Saudi tidak merai dan membesarkannya. Yang peliknya sewaktu Condoleeza Rice datang ke Saudi tahun lepas, hari jadinya yang ke-51 diraikan dengan kek harijadi sebagaimana dilaporkan oleh akhbar "Daily Times" bertarikh 14 November, 2005 dengan tajuk berita "Saudis suprise Condi Rice with birthday cake."

Jadi ikut fatwa Wahhabi dan Bin Baz, Mawlid yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia dahulu dan sekarang adalah bid`ah dhalalah yang menyebabkan pelakunya sesat dan masuk neraka. Jadi pada pandangan mereka, ramai umat Muhammad ini masuk neraka, dalam syurga nanti hanya Ibnu Abdul Wahhab, Bin Baz dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Masuk akal ke ??????????

Ya RasulAllah, li syafa`ah.

Wuquf di Padang Arafah

Rukun Haji yang paling utama yang membezakan Haji dengan Umrah adalah berwuquf di Padang Arafah. Kenapa Padang Arafah ? Antara hikmahnya adalah memperingati pertemuan bapa dan ibu segala manusia, Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa. Padang Arafah tempat pertemuan mereka berdua setelah berpisah sekian lama sejak diturunkan dari 'syurga'. Dengan sebab pertemuan tersebut, umat manusia berkembang biak menjadi khalifah di atas muka bumi sebagaimana dikehendaki Allah ta`ala.

Maka diabadikan peristiwa ini dengan setiap tahun umat berkumpul di sana untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sewajarnya perjumpaan di sana disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Bayangkanlah bagaimana gembira dan syukurnya Nabi Adam dan Siti Hawa yang terpisah bertahun-tahun lamanya, setelah itu berjumpa semula.

Ikhwah, mengabadikan tempat-tempat penting dan bersejarah dengan tujuan dijadikan kenangan dan i'tibar bukanlah sesuatu yang ditegah dalam syariat Islam. Lihat upacara saie antara Shafa dan Marwah, bukankah antara hikmah memperingati peristiwa Siti Hajar dengan Nabi Ismail a.s. Pensyariatan korban, antara hikmahnya memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Jadi di mana salahnya menjadi tempat-tempat bersejarah sebagai tempat ziarah yang penuh kenangan ? Kenapa tempat-tempat yang penuh sejarah Junjungan Nabi s.a.w. dimusnahkan oleh puak Wahhabi ? Kenapa mawlid Nabi, tempat kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. , rumah Siti Aminah dimusnahkan, dijadikan kandang unta, dijadikan tandas, kemudian barulah dibina sebuah perpustakaan. Bukankah dahulunya tempat tersebut menjadi saksi kelahiran manusia yang paling utama. Bukankah ini tempatnya tanggal 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah, alam malakut dan kerajaan langit terbuka luas menyambut kelahiran Junjungan semesta alam. Bukankah ulama berpendapat tempat lahir baginda ini antara tempat yang mustajab berdoa.

Mengikut sejarahnya, zaman-berzaman tempat-tempat bersejarah ini dijaga dan dipelihara oleh umat Islam. Tempat-tempat ini dijadikan tempat ziarah menghimbau kenangan silam mencari i'tibar dan keberkatan serta melepaskan kerinduan kepada kekasih Junjungan. Apabila Wahhabi menjajah, dimusnahkannya habis kerana kononnya takut manusia menjadi syirik. Kalau nak syirik, makan nasik pun boleh jadi syirik. Tapi begitulah pandangan Wahhabi terhadap sesama umat, mereka sahaja yang pandai, yang ikut sunnah, yang muwahhidun, orang lain bodoh, taklid buta, ahli bid`ah dan syirik.

Kalau Wahhabi memerintah Malaysia, habislah memorial-memorial yang ada, antaranya Memorial Tun Razak, P. Ramlee, makam - makam diraja semua kena musnah. Silap-silap kubur Kak Endon pun kena sapu. Oleh itu, nasihat hamba dengan Pak Lah, jangan naikkan anak Pak Kasim jadi Perdana Menteri. Jangan marah, nanti cepat masuk kubur, tapi masuk kubur pun bagus, baru tahu talqin tu beri manfaat atau tidak.

Selasa, Januari 03, 2006

Habib Sholeh Tanggul


WaliyUllah keturunan al-Hamid bangsa Ba 'Alawi yang mulia. Nama lengkapnya Habib Sholeh bin Muhsin al-Hamid. Lahir dan wafat di Tanggul, Jawa Timur. Seorang ulama dan daie yang dakwahnya merata ke pelusuk Jawa. Wafatnya pada tahun 1976, dan setiap tahun haulnya diadakan di Tanggul dengan dihadiri ramai dari berbagai tempat dan daerah. Kewaliannya terkenal sehingga almarhum Haji Adam Malik, mantan wakil Presiden Indonesia menganggap beliau sebagai gurunya. Moga-moga Allah meredhainya dan melimpahkan keberkatannya kepada kita semua. Al-Fatihah.

Habib 'Alwi bin Thahir al-Haddad (Mufti Johor)

Al-'Allamah al-Habib 'Alwi bin Thahir bin Abdullah al-Haddad adalah seorang penulis yang hebat dan sejarawan yang suka meneliti. Jika berbicara tentang sesuatu persoalan, beliau memaparkan segala seginya dan menguatkannya dengan dalil-dalil aqli dan naqli.

Beliau seorang yang memiliki ghirah (kecemburuan) terhadap Islam dan menjadi pembelanya. Di samping itu, beliau juga pembela keluarga Rasulullah s.a.w. yang aktif berhubungan dengan para ahli ilmu di berbagai tempat di seluruh dunia Islam, dan selalu menghindari pertentangan-pertentangan mazhab.

Habib 'Alwi dilahirkan di negeri Qaidun, Hadhramaut. Beliau memperoleh ilmu-ilmunya di sana dengan didukung oleh kecerdasan dan keteguhannya dalam menuntut ilmu, dan selalu menyertai ulama-ulama besar sehingga dapat mencapai puncak keilmuannya dan menghimpunkan berbagai ilmu naqli dan aqli yang membuatnya melebihi rakan-rakannya, bahkan beliau mampu melakukan istinbath dan ijtihad yang cermat.


Beliau juga memiliki karangan-karangan yang banyak dan kajian-kajian di berbagai suratkhabar dalam bermacam-macam persoalan kemasyarakatan, politik, aqidah, sejarah dan fatwa yang mencapai 13000 masalah. Beliau juga sering berpidato dan memberikan ceramah pada pertemuan-pertemuan umum.

Ceramah yang disampaikannyadi depan Jong Islamieten Bond (Perkumpulan Pemuda Muslimin) telah diterbitkan dalam dua bahasa: Indonesia dan Arab. Pemimpin Sarekat Islam yang terkenal, Haji Oemar Said Cokroaminoto sering berhubungan dengannya. Ketika dia sedang mengarang buku tentang sejarah Nabi dalam bahasa Indonesia , dia menunjukkannya kepada Habib `Alwi yang kemudian memeriksanya dan memberikan kata pengantar untuk buku itu. Pertama kali buku itu dapat diterbitkan atas biaya seorang dermawan dan kemudian buku itu dapat diterbitkan untuk yang kedua kalinya.

Habib `Alwi bin Thahir termasuk salah seorang pendiri ar-Rabithah al-`Alawiyyah di Indonesia . Belakangan Kesultanan Johor memilihnya untuk menjabat sebagai mufti di sana. Beliau mula menjawat jawatan mufti Kerajaan Johor dari tahun 1934 hingga tahun 1961, perlantikan beliau adalah sebagai menggantikan Allahyarham Dato' Sayyid Abdul Qader bin Mohsen Al-Attas yang telah bersara dari jawatan kerajaan. Beliau wafat pada 14 November 1962 (1382 H) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru. Beliau mempunyai keturunan yang kemudian pindah ke Jazirah Arab bagian selatan, di antaranya adalah putranya Al-'Allamah Sayyid Thahir dan Sayyid Hamid.


Habib 'Alwi memiliki karangan-karangan yang banyak yang akan kami sebutkan berikut ini agar dapat diketahui betapa luas pengetahuannya. Beberapa diantara karangannya adalah:

  1. Al-Qaul al-Fashl fi Maa li Bani Hashim wa Quraisy wal-`Arab Min al-Fadhl (dua jilid);
  2. Fatwa-fatwanya yang mencapai 12000 masalah;
  3. Durus as-Sirah an-Nabawiyah dalam dua jilid kecil;
  4. Kitab tentang hukum-hukum nikah dan qadha dalam bahasa Melayu;
  5. Mukhtashar Aqd al-Aali;
  6. I'anah an-Nahidh fi Ilm al-Faraidh;
  7. Majmuah min Ulum al-Falak dalam jilid besar;
  8. Ath-Thabaqat al-Alawiyyah

Isnin, Januari 02, 2006

Hikmah Korban

Ikhwah, diceritakan bahawa apabila Syaikh Abdullah Mubarak (seorang waliyUllah besar) pulang dari mengerjakan haji, beliau ditanya tentang apa yang dilihatnya sewaktu menjalani ibadah tersebut. Beliau menjawab : "Aku melihat binatang berkeliaran". Begitu juga saat Imam Ja'faar as-Shadiq berada dalam Masjidil Haram, beliau melihat banyak haiwan di situ. Pernah juga berlaku ketika Kiyai Agung selesai menjalani suluknya, beliau singgah di sebuah masjid untuk bersholat, tiba-tiba dilihatnya masjid tersebut dipenuhi oleh manusia berkepala binatang, macam-macam binatang ada. Istighfar panjang Kiyai Agung, jika beginilah manusia yang sholat, apatah lagi yang tidak bersholat. Inilah pandangan kasyaf para wali, yang apabila tabir diangkat oleh Allah mereka melihat apa yang dikehendaki oleh Allah untuk mereka melihat.

Hujjatul Islam al-Ghazali menyatakan bahawa manusia mempunyai sifat-sifat kebinatangan, sama ada binatang melata maupun binatang buas. Sifat kebinatangan yang menjadi kenderaan paling mudah untuk syaithan kerana ianya sentiasa suka mengikut hawa nafsu semata-mata. Oleh itu, kita disarankan agar sentiasa mujahadah demi membuang sifat-sifat ini dengan menjalankan syariat dengan ikhlas kepada Allah. Jadikanlah syariat Allah sebagai tali kekang untuk mengawal sifat-sifat kebinatangan ini.

Oleh itu, apabila kita melakukan ibadah korban, maka antara hikmahnya ialah melatih jiwa kita untuk bersikap prihatin dan berbelas kasihan kepada sesama umat. Sifat "Haji Bakhil bin Lebai Kedekut" sedikit sebanyak dilunturkan kerana korban memerlukan harta untuk dikorbankan. Apalah RM400 - RM500, bagi yang berkemampuan, tetapi kenapa tidak ramai yang melakukannya, mungkin alasannya tidak mampu sedangkan duit di bank ada banyak lagi.

Antara hikmahnya lagi ialah sewaktu berkorban, hendaklah kita mohon kepada Allah mudah-mudahan segala sifat kebinatangan yang ada pada diri kita dihilangkanNya. Agar dengan keberkatannya, jadilah kita insan yang sempurna (i.e. bukan makhluk berupa manusia berhati serigala, bukan makhluk badan manusia kepala baghal dan sebagainya). Inilah, kata sebahagian sufi, isyarat dari sabdaan Junjungan s.a.w. "Fa thiibuu biha nafsan", (maka engkau perbaikkanlah dengannya (yakni dengan korban) akan diri). Insya-Allah, segala ibadah yang maqbulah di sisi Allah akan mempunyai efek positif bagi diri pelakunya. Begitu juga dengan korban yang dilakukan dengan ikhlas hanya untuk Allah.

Mari sama-sama kita cari sapi dan kambing untuk dibuat korban tahun ini. Lagi mahal harganya ertinya lagi banyak harta kita dilaburkan untuk saham akhirat. Ingat ibadah korban adalah sunnah muakkad bagi yang berkemampuan. Punya kuat tuntutannya, diberitakan bahawa Junjungan s.a.w. murka pada orang kaya yang tidak melakukannya, sehingga dinyatakan Junjungan s.a.w. menegah mereka untuk menghampiri tempat baginda bersholat.

Ahad, Januari 01, 2006

Bulan Haji tiba lagi

Alhamdulillah, bertemu kita dengan bulan Dzul Hijjah. Bulan di mana umat berkumpul di Tanah Suci untuk menunaikan rukun ke-5. Haji merupakan satu ibadah yang memerlukan pengorbanan. Korban masa, korban tenaga, korban harta dalam perlaksanaannya.

Kesempatan menunaikan Haji jangan dipersiakan, ilmu hendaklah diperdalamkan agar ibadah yang dilaksanakan tepat menurut kehendak agama. Ada sesetengah beri'tiqad hendak bertaubat di Tanah Suci. Ketahuilah wahai saudara, bertaubat tidak semestinya menunggu ke Tanah Suci sana. Allah tidak bertempat. Taubat nasuha akan diterimaNya di mana sahaja kalian berada, Allah at-Tawwab,Tuhan yang Maha Menerima Taubat.

Ulama menyatakan bahawa wajib bertaubat apabila membuat dosa, bukan tunggu sampai ke Tanah Suci. Bukankah menangguh-nangguh taubat itu satu lagi dosa yang lain. Seharusnya bertaubat sebelum ke sana, itu kan lebih baik. Agar kita masuk Tanah Suci dalam keadaan suci zahir dan batin. Inilah kehendak agama. Sebab itu diadatkan sebelum ke sana diadakan kenduri wida`, yang tujuannya agar memohon doa dan restu serta minta halal dan kemaafan daripada segala sanak-saudara dan rakan taulan. Apabila zahir dan batin suci, maka pabila kita bertalbiyah akan disambut talbiyah kita itu dengan penerimaan dan kabul Rabbul Jalil.

Fahami betul-betul, jangan tunggu ke Tanah Suci baru bertaubat tidak bermakna kita tidak boleh bertaubat di sana. Hujjatul Islam al-Ghazali menyenaraikan 10 sifat mahmudah yang paling awal taubat. Ertinya taubat itu hendaklah dijadikan sifat, apa makna sifat ? Sifat ialah sesuatu yang berdiri pada zat. Ertinya orang mukmin hendaklah sentiasa bertaubat, setiap masa setiap ketika setiap tempat, bukan hanya di Tanah Suci. Kenapa ? Kerana Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.

Taa-ibuuna ila Allah.