Isnin, Jun 19, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 17


Ikhwah, kali ini aku nukilkan dari karangan-karangan al-Imam al-Faqih, Syaikhul Islam, pemuka ulama Syafi`i mutakhir, Mufti Makkah, sandaran umat, Shohibut Tohfah, Syaikh Ibnu Hajar al-Haitami al-Makki rhm. Dalam kitab "al-Fatawa al-Haditsiyyah" mukasurat 206 dinyatakan:-
  • (Dan telah ditanyai) akan orang yang mudah-mudahan Allah memanfaatkan dengannya (yakni Syaikh Ibnu Hajar rhm.) mengenai hadis "Seawal-awal yang diciptakan Allah adalah ruhku dan alam keseluruhannya dicipta daripada nurku, setiap sesuatu kembali kepada asalnya", siapakah perawinya ?
  • (Maka dijawab) dengan perkataannya:- "Aku tidak mengetahui sesiapa yang meriwayatkannya sedemikian. Dan bahawasanya yang diriwayatkan dia 'Abdur Razzaq adalah bahawasanya Junjungan s.a.w. bersabda bahawa Allah telah mencipta nur Muhammad sebelum segala sesuatu daripada nurNya."
Imam besar ini juga dalam syarahnya bagi kitab Syama-il menyatakan antara lain:-

  • ....Dan diriwayatkan 'Abdur Razzaq dengan sanadnya bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: " Sesungguhnya Allah telah mencipta Nur Muhammad sebelum segala sesuatu daripada nurNya (yakni nur yang dimiliki Allah) lalu dijadikan nur tersebut berputar dengan qudrahNya mengikut kehendak Allah dan belumlah ada pada waktu tersebut loh dan tidak ada qalam", al-hadis dengan panjangnya (yakni hadis ini ada lagi sambungannya yang panjang.............Maka diketahui bahawasanya seawal-awal sesuatu yang dijadikan secara ithlaq ialah an-Nur al-Muhammadiy, kemudian air, kemudian arsy, kemudian qalam..........

Juga dalam mukhtasar beliau bagi kitab mawlidnya 'an-Ni'matul Kubra 'alal 'alam bi mawlidi Sayyidi Waladi Adam", beliau menyatakan:-

  • Ketahuilah bahawa Allah ta`ala telah memuliakan nabiNya s.a.w. dengan terdahulu/terawal nubuwwah baginda pada azali lagi. Dan yang sedemikian itu adalah kerana apabila Allah ta`ala berkehendak untuk mewujudkan makhluk, diwujudkanNya (yakni diciptakanNya) al-Haqiqatul Muhammadiyyah dari semata-mata nur sebelum wujud apa-apa ciptaan dari segala makhluk, kemudian diambil daripadanya sekalian alam....

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Jumaat, Jun 16, 2006

Manfaat bagi si mati

Fadhilatusy Syaikh asy-Sya'raawi dalam himpunan fatwanya "al-Fatawa" mukasurat 201-202 menyatakan seperti berikut:-

  • Telah disebut oleh asy-Syaikh al-'Adawi rhm. dalam "Masyaariqul Anwaar" bahawasanya:- "Telah sepakat atas sampainya (pahala) sedekah kepada si mati. Tidak ada bezanya sama ada sedekah tersebut dilakukan jauh dari kubur si mati atau dekat. Dan demikian jugalah pada doa dan istighfar." Dan telah berkata al-Imam al-Qurthubi bahawa telah ijma` sekalian ulama atas sampainya (pahala) sedekah kepada orang-orang mati, dan demikian pula perkataannya pada bacaan al-Quran, doa dan istighfar yang dikuatkannya dengan hadis: " Dan setiap ma'ruf itu adalah sedekah". Demikian lagi dikuatkannya dengan hadis Junjungan s.a.w.: " Orang mati itu di dalam kuburnya seperti orang lemas yang meminta-minta pertolongan. Dia menunggu doa berhubungan dengannya daripada saudaranya atau sahabatnya, maka mendapat doa tersebut adalah lebih baik baginya dari dunia seisinya." Dan juga dalil atas sampainya pahala tadi ialah hadis Junjungan s.a.w.: "Sesiapa yang melalui perkuburan lalu membaca Suratul Ikhlash 11 kali, kemudian dihadiahkan pahalanya kepada orang-orang mati, dikurniakan pahala baginya sebanyak bilangan orang-orang mati tersebut." Adalah al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata:- "Apabila kamu memasuki kawasan perkuburan, maka kamu bacalah al-Fatihah dan al-Mu`awwidzatain dan Suratul Ikhlash dan kamu jadikanlah pahala yang sedemikian itu buat ahli kubur tersebut, maka bahawasanya pahala tersebut sampai kepada mereka."

Tok Syaikh Daud al-Fathani pula dalam "Bughyatuth Thullab" juzuk 2 mukasurat 33 menulis:-

  • (Faedah) Telah datang daripada salaf bahawasanya barangsiapa membaca surah Qul Huwa Allahu Ahad sebelas kali dan dihadiahkan pahalanya bagi ahli kubur , diampun Allah ta`ala dosanya dengan sebilang-bilang orang yang mati di dalam kubur itu dan riwayat yang lain diberi akan dia pahala sebilang orang yang mati padanya.

Meh ramai-ramai hadiahkan pahala bacaan-bacaan tersebut untuk orang-orang Islam yang telah wafat. Mudah-mudahan bermanfaat buat kita dan mereka.....al-Fatihah.

Selasa, Jun 06, 2006

Syaikh Mutawalli asy-Sya'raawi



Ikhwah, itu Rasul Dahri SSP (Perlis) dalam risalah "Hukum Berzanji, Maulid & Nur Muhammad" menghentam, membid`ah, mengkhurafat, mensyirik, mensyiahkan perkara-perkara tersebut. Dalam risalah tersebut, semua ulama besar kita termasuk Mufti Syafi`i Madinah diperlekehkan oleh si Rasul bekas murid Madrasah al-Juneid ini, bukan setakat diperlekeh bahkan dikhurafat dan disyirikkannya......keribang rebus sungguh si Rasul SSP ini. Tak terkecuali dari dikurangajarkan oleh si Rasul ialah Syaikh Mutawalli asy-Sya'raawi, ulama kenamaan Mesir, yang diperlekeh dan disyirikkan oleh si keribang rebus tersebut dengan katanya:- "Antara orang yang terus menyebar dan giat menghidupkan semula teori khurafat dan sesat ini (yakni Nur Muhammad) secara tulisan ialah seorang lelaki Mesir bernama "Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi". Teori syirik ini dikembangkan oleh beliau melalui tulisannya yang dipenuhi kebatilan ("Anta tas-al wal Islam yajib")....." Waduh, Wak Rasul ngapain kamu mudah-mudah mensyirikkan Syaikh asy-Sya'raawi. Waduh Wak, sedangkan Qardhawi mengakui kealiman dan kewarakan Syaikh asy-Sya'raawi bahkan mengaku beliau sebagai gurunya, betah kamu menuduh beliau syirik pulak. Aku ingatlah, tok-tok guru Wak Rasul kat al-Juneid dari kalangan habaib yang mengajar wak mengenal anta-antuma-antum, dikkun dajajatun sehinggalah wak bisa melanjut pelajaran ke Madinah, semuanya ngak ada yang anti mawlidan, anti tahlilan dan Nur Muhammad. Waduh Wak Rasul jaga-jaga kamu, nanti kuwalat ...... jangan marah Wak, sekedar ingat mengingat. Maaf le sedara, melalut pulak aku melayan geram kat Wak Rasul.....ah biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya........Sebenarnya apa yang aku nak postkan di sini ialah sekelumit pribadi Syaikhul Imam Mutawalli asy-Sya'raawi nukilan dari buku "Mendekati Ulama' Dan Para Wali Allah Di Mesir" karangan Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Idrisi al-Linggi":-
  • Beliau (yakni Syaikh Mutawalli asy-Sya'raawi) dilahirkan pada 15 April 1911 bersamaan 12 Rabi`ul Akhir 1328 di kalangan keluarga petani namun kedua orang tuanya terkenal sebagai orang yang soleh dan mulia.
  • Syeikh Sya'rawi adalah merupakan Sayyidul 'Abidin yang dikurniakan dengan limpahan cahaya dan dapat melihat dengan cahaya Allah s.w.t.
  • Sahabat akrabnya pernah mengintip perbuatannya di waktu malam. Ternyata didapati beliau tidak tidur malah didapati sedang asyik sujud mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Beliau menghidupkan malamnya dengan berdiri, rukuk, sujud dan membaca al-Quran sepanjang malam sehingga mencapai 70 rakaat sembahyang tahajjud kepada Allah s.w.t.
  • Sewaktu di Madinah Munawwarah dan Mekah, beliau berjalan tanpa menggunakan alas kaki sedangkan darjah kepanasan pada masa tersebut terlalu panas lebih kurang 50 c kerana memuliakan tempat tersebut. Maha Besar Allah s.w.t. sewaktu di Masjidil Haram beliau tidak melaksanakannya seperti orang lain yang pada kebiasaannya bertawaf sebanyak 7 kali. Rasa cintanya dengan Allah terlalu mendalam, walaupun dalam keadaan panas yang amat terik beliau mampu bertawaf sehingga 14, 21 dan 28 kali.
  • Beliau menyayangi kanak-kanak dan insan lain lebih daripada anak-anaknya sendiri. Kecintaannya terhadap Rasulullah s.a.w. terlalu mendalam sehinggakan beliau sentiasa bertasbih dan berselawat kepadanya. Beliau juga amat cinta kepada kaum keluarga Nabi s.a.w.
  • Beliau lebih gemar tinggal berhampiran dengan kawasan Masjid Sayyidina Husain r.a. dan sentiasa menziarahi maqam Sayyidah Nafisah serta sentiasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Masjid Sayyidina Husain r.a.
  • Kesufiannya juga amat tinggi...Beliau merupakan imam yang sufi dan zuhud.
  • Beliau telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan ilmu yang tinggi, ingatan yang kuat serta peribadi yang sempurna.
  • Syeikh Sya'rawi juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Salah seorang anaknya, Ahmad berkata bahawa ayahnya telah mengkhaskan gaji kepada beberapa penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan Doqdus di kampung beliau.
  • Beliau juga mengkhaskan bayaran ceramah di radio-radio dan televisyen serta tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah untuk kebajikan. Wang 250 juta junaih (lebih kurang 73 juta dollar) yang merupakan hadiah daripada Raja Dubai telah didermakan sebanyak 500,000 junaih (lebih kurang 146,000 dollar) kepada pelajar-pelajar al-Azhar dan selebihnya telah didermakan kepada Kementerian Waqaf bagi diedarkan kepada penghafaz-penghafaz al-Quran.
  • Sebelum Syeikh Sya'rawi meninggal dunia, beliau mengalami kesakitan yang parah pada dadanya menyebabkan beliau tidak mampu untuk bernafas dengan baik dan sakit tulang. Anak saudaranya yang bernama Hajah Suad menyatakan bahawa sewaktu hampir saat kematiannya, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya, "Selamat datang wahai Husain! Kamu telah datang sendiri berjumpa aku, aku gembira dengan kedatanganmu." Kemudiannya beliau melafazkan ucapan hamdallah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
  • Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya iaitu Doqdus berdasar wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dibawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pecinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri pengkebumian beliau.

Allahu Akbar, inilah orang yang disyirikkan oleh Wak Rasul Dahri. Sudahlah Wak, jangan jadi wak-wak. Tobat Wak, kembalilah ke jalan yang benar, jalan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Mari ikhwah kita baca al-Fatihah untuk Syaikh Mutawalli asy-Sya'raawi dan kita doakan agar Allah beri hidayah dan taufiq kepada umat ini ke arah jalan yang benar, Ahlus Sunnah wal Jama`ah.

Nur Muhammad s.a.w. 16



Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'raawi dalam "Anta tas-al wal Islam yajib" , cetakan Darul Muslim, Qahirah, tahun 1982 / 1402, juzuk 1, mukasurat 41 telah ditanya berhubung an-Nur al-Muhammadiy dan permulaan penciptaan. Soalannya lebih kurang:-
  • Telah warid dalam hadis: "Bahawa Jabir bin 'Abdullah r.a. telah bertanya kepada Junjungan Rasulullah s.a.w.: "Apa yang awal-awal diciptakan Allah ?", lalu Junjungan bersabda:"Nur nabimu, wahai Jabir." Bagaimana disesuaikan/diselarikan hadis ini dengan bahawa seawal makhluk itu Adam dan dia daripada tanah ?

Antara jawapan Syaikh Mutawalli:-

  • Daripada kesempurnaan yang mutlak dan dari segi tabi`ienya, bahawa Allah memulakan penciptaan dengan menciptakan makhluk yang tinggi, kemudian diambil daripadanya akan yang rendah. Tidaklah masuk akal, bahawa diciptakan bahan baku materi / material / unsur tanah (al-maadah ath-thiniyyah) dahulu kemudian baru Dia mencipta daripadanya Muhammad, kerana sesungguhnya insan yang paling tinggi adalah para rasul, dan yang tertinggi daripada mereka adalah Muhammad bin 'Abdullah.
  • Oleh itu, tidak sah (dikatakan) bahawa diciptakan unsur materi kemudian diciptakan daripadanya Muhammad. Tak dapat tiada bahawa jadilah an-Nur al-Muhammadiy itulah yang wujud dahulu, dan daripada an-Nur al-Muhammadiy timbulnya segala sesuatu, dan jadilah hadis Jabir itu benar......

Jelas daripada jawapan tersebut Syaikh Mutawalli asy-Sya'raawi termasuk ulama yang menerima kebenaran hadis Jabir r.a. Sebenarnya sandaran untuk konsep Nur Muhammad ini bukanlah hanya pada hadis Jabir ini sahaja, tetapi ada lagi hadis-hadis yang dijadikan sandaran. Silalah tuan-tuan rujuk segala kitab karangan ulama kita. Bahkan, jika ada pun yang menolak tsabitnya hadis Jabir, maka tidak bermakna mereka juga menolak konsep Nur Muhammad. Oleh itu selayaknya kita menghormati perbezaan pendapat dengan lapang dada tanpa saling tuduh - menuduh, kerana jari yang kau tuding itu mungkin mencucuk mata para ulama yang kita disuruh memuliakan mereka.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.

Isnin, Jun 05, 2006

KHM Syafi`i Hadzami


Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepadaNyalah kita dikembalikan. Pada 7 Mei 2006 yang lalu, Kiyai Syafi`i Hadzami atau Mu`allim Syafi`i Hadzami telah kembali ke rahmatUllah. Antara karangan yang ditinggalkan ulama Betawi yang pernah menjadi Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia cabang Jakarta yang tersebar luas di rantau kita ialah buku soal-jawab beliau yang berjodol "Taudhihul Adillah" atau "100 Masalah Agama" yang penuh sarat dengan berbagai ilmu yang sejalan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama`ah bermazhab Syafi`i. Mudah-mudahan almarhum dirahmati dan diredhai Allah serta ditempatkan bersama-sama para sholihin...............al-Fatihah.

Ahad, Jun 04, 2006

100 tahun Mawlid Habsyi


"Simthud-Durar fi akhbar Mawlid Khairil Basyar min akhlaqi wa awshaafi wa siyar" atau singkatannya "Simthud-Durar" adalah karangan mawlid Junjungan yang disusun oleh Habib Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi (1259 - 1333H / 1839 - 1913M). Mawlid yang juga terkenal dengan panggilan "Mawlid Habsyi" ini telah diimla'kan oleh Habib Ali tatkala beliau berusia 68 tahun dalam beberapa majlis bermula pada hari Khamis 26 Shafar al-khair 1327 dan disempurnakan 10 Rabi`ul Awwal tahun tersebut dan dibacakan secara rasminya di rumah murid beliau Habib 'Umar bin Hamid as-Saqqaf pada malam Sabtu tanggal 12 Rabi`ul Awwal.

Habib Thoha bin Hasan bin Abdur Rahman as-Saqqaf dalam "Fuyudhotul Bahril Maliy" menukil kata-kata Habib 'Ali berhubung karangannya tersebut seperti berikut:-

  • " Jika seseorang menjadikan kitab mawlidku ini sebagai salah satu wiridnya atau menghafalnya, maka sir Junjungan al-Habib s.a.w. akan nampak pada dirinya. Aku mengarangnya dan mengimla`kannya, namun setiap kali kitab itu dibacakan kepadaku, dibukakan bagiku pintu untuk berhubungan dengan Junjungan Nabi s.a.w....."

Habib Novel bin Muhammad al-'Aydrus menceritakan bahawa antara keistimewaan "Simthud Durar" ialah seseorang yang mempelajarinya akan cepat menghafal al-Quran. Perkara ini beberapa kali berlaku pada murid-murid yang diasuh oleh Habib Husain Mulakhela, di mana sebelum menghafal al-Quran mereka disuruh membaca dan menghafal "Simthud Durar" dan ternyata hasilnya murid-murid tersebut lebih cepat menghafal al-Quran. Habib Husain Mulakhela sendiri mengalami hal sedemikian. Ketika diawal menuntut ilmu bahasa 'Arab, gurunya, Habib Hadi Jawas telah menyuruhnya untuk terlebih dahulu mempelajari "Simthud Durar". Setelah dipelajari dengan tekun, barulah diketahuinya bahawa "Simthud-Durar" menghimpun semua wazan / pola kata / tata kata dalam bahasa 'Arab, sehingga dia menjadi mudah untuk menguasai ilmu nahu dan sharaf.

Setelah 100 tahun karangan mawlid ini beredar, kemasyhurannya tetap bersinar cemerlang dengan dijadikan bahan bacaan dan wiridan ramai pencinta Junjungan s.a.w. Mudah-mudahan ianya terus hidup subur dan keberkatannya dilimpahkan kepada segala yang mengaku umat Junjungan s.a.w.
Allahumma sholli wa sallim
asyrafas shoolati wat taslim
'ala Sayyidina wa Nabiyiina
Muhammadi-nir Ra-ufir Rahim.
Allahumma sholli wa sallim wa baarik
'alaihi wa 'ala aaalih.

Jumaat, Jun 02, 2006

Nur Muhammad s.a.w. 15



Quthubul Habib 'Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi rhm. dalam mawlidnya "Simthud Durar" menulis antara lain:-
  • ......Telah sampai kepada kami dalam hadits-hadits yang masyhur, bahawa sesuatu yang mula pertama dicipta Allah ialah nur yang tersimpan dalam pribadi ini (yakni Junjungan Nabi s.a.w.). Maka nur insan tercinta inilah makhluk pertama muncul di alam semesta, daripadanya bercabang seluruh wujud ini, ciptaan demi ciptaan, yang baru datangnya ataupun yang sebelumnya (yang yang terlebih dahulu datangnya dari yang kemudian).
  • Sebagaimana diriwayatkan Abdur Razzaaq dengan sanadnya sampai kepada Jaabir bin 'Abdullah al-Anshaari (semoga ridha Allah atas keduanya): "Bahawasanya ia pernah bertanya: "Demi ayah dan ibuku, ya Rasulullah, Beritahukanlah kepadaku tentang suatu yang dicipta Allah sebelum segalanya yang lain (yakni sebelum segala makhluk yang lain). Jawab baginda: "Wahai Jabir, sesungguhnya Allah telah menciptakan nur nabimu Muhammad s.a.w. dari nurNya sebelum sesuatu yang lain."

Ikhwah, jika dikatakan bahawa Allah menciptakan nur Muhammad ini daripada nurNya, maka yang dimaksudkan di sini adalah nur yang menjadi milik Allah, bukannya sebahagian daripada zat Allah yang Maha Suci dan Maha Esa daripada berjuzuk-juzuk dan berpisah-pisah. Inilah yang dikatakan idhafah tasyrifiyyah iaitu suatu sandaran untuk memuliakan sesuatu. Sama seperti kita sandarkan bait (rumah) kepada Allah seperti BaitUllah (rumah Allah) atau ka'baatUllah (ka'bah Allah) dan sebagainya. Sebahagian golongan tersesat kerana beranggapan bahawa nur Muhammad ini asalnya adalah sebahagian dari zat Allah kerana beranggapan bahawa nur itu adalah sebahagian daripada zat Allah. Ini menjadikan pegangan mereka seumpama pegangan nasrani terhadap ketuhanan Nabi Isa a.s. Jelas ini bukanlah pegangan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Kita berpegang bahawa Nur Muhammad ini adalah makhluk yang diciptakan Allah dan tidak lebih daripada itu walau betapa hebat dan agungnya ciptaan ini.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.