Khamis, September 27, 2007

15 Ramadhan 1428

Sungguh dinihari
15 Ramadhan 1428 ini
Kan sentiasa kuingati

هذا من فضل ربي

Betapa tidak ianya diperingati
Tatkala aku mengenang pergi
Ulama penyeru kepada Ilahi
Pembela kebenaran Sunni
Buya al-Maliki yang disanjungi
Dikurniakan kepada diri
Anugerah Ilahi
Allahu Rabbi
Sebagai nikmat, sebagai ujian, sebagai amanah bagi diri
Moga dapat ku syukuri
Moga lulus ujian ku tempohi
Moga berjaya ku pikul amanah ini
Moga berkat Ramadhan melekat pada diri
Berkekalan sepanjang masa setiap ketika hingga ke mati

هذا من فضل ربي

Muhammad 'Alwi kuharapkan jadi fadhilat kelebihan Ilahi
Bagi diri, keluarga, anak dan isteri
Juga bagi sekalian umat Muhammadi
Kabul hendaknya wahai Rabbi

هذا من فضل ربي

Rabu, September 26, 2007

Haul Ke-3 Buya al-Maliki

15 Ramadhan 1428, genap 3 tahun pemergian al-marhum Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki al-Hasani al-Makki, ulama besar Hijaz. Pemergian beliau meninggalkan kita dengan berbagai khazanah ilmu berupa karangan dan tulisan beliau, kecil besarnya mencecah lebih 100 karya berupa kitab, risalah dan artikel.

Selain kedalaman ilmunya dalam berbagai bidang, ketinggian akhlak serta kedermawanannya, beliau turut dikenali sebagai seorang ulama yang amat teguh pendiriannya dalam membela kebenaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Walaupun menerima tekanan keras daripada ulama-ulama rasmi Wahhabi yang diketuai oleh mufti Wahhabi waktu itu, Abdullah bin Baz, beliau tetap teguh dengan pendiriannya terhadap pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Berbagai upaya telah dilakukan oleh para ulama Wahhabi untuk menggugat beliau, namun semuanya sia-sia, bahkan dunia Islam bangkit menyatakan sokongan dan membela beliau. Hanya mereka-mereka yang hatinya punya penyakit yang terpedaya dengan tipu daya orang-orang yang hasad dan memusuhi beliau.

Kini telah 3 tahun beliau kembali ke rahmatUllah. Namun ingatan kepada ulama besar ini sentiasa segar dalam hati para murid beliau, bahkan hati sesiapa saja yang pernah meneguk kemanisan ilmu yang dicurahkan dalam tulisan-tulisan beliau. Antara karangan-karangannya ialah:-
  1. Mafahim yajibu an tushahhah (Salah faham yang mesti diluruskan) - karya beliau yang diberi pengiktirafan oleh ramai ulama dunia Islam yang berfaham Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
  2. Manhaj as-Salaf fi fahm an-nushush bayna an-nazariyyah wath thathbiq (Manhaj Salaf dalam memahami nas-nas antara teori dan praktik);
  3. HuwaAlllah;
  4. Qul Hadzihi Sabili;
  5. at-Tahdziru minal mujaazafati fit takfir (Amaran / Kewaspadaan dari sembarangan mengkafirkan orang);
  6. al-Ghuluw wa atsaruhu fil irhaab wa ifsaad al-mujtama` (Fahaman yang melampau (ekstrem) dan kesannya dalam mencarik perpaduan dan merosakkan masyarakat);
  7. Tahqiiqul Aamal fiima yanfa`ul mayyita minal a'maal
  8. al-Qawa`idul Asaasiyyah fi 'Ulumil Quran;
  9. Wa Huwa bil ufuqil a'la;
  10. Zubdatul Itqaan;
  11. Anwarul Masaalik ila riwaayaat Muwaththa` Maalik;
  12. Tahqiq Muwaththa` al-Imam Maalik - Riwayat Ibni Qaasim;
  13. al-Manhalul Lathif fi ushul al-hadits asy-syarif;
  14. al-Qawaa`idul Asaasiyyah fi ilmi mushtholahil hadits;
  15. al-Thooli`us Sa`iid;
  16. al-`Iqdul Fariid;
  17. al-'Uquud al-Lu`luiyyah bil Asaaniid al-'Alawiyyah;
  18. al-Qawa`idul Asaasiyyah fi usuul al-fiqh;
  19. Syarh Mandhzumah al-Waraqaat;
  20. Muhammad s.a.w. al-Insan al-Kamil;
  21. Al-Bayan wat Ta'rif fi dzikra al-mawlid asy-syarif;
  22. Hawl al-ihtifal bi dzikra al-mawlid an-nabawi asy-syarif;
  23. Al-Madh an-Nabawi baynal ghulluw wal insaf;
  24. Al-Anwar al-Bahiyyah min Isra` wal Mi'raaj;
  25. Mafhum at-tatawwur wat tajdid fisy Syari`atil Islamiyyah;
  26. Adabul Islam fi Nizham al-Usrah;
  27. Kasyful Ghummah;
  28. al-Qudwah al-Hasanah fi manhajid da'wah ila Allah;
  29. al-Musytariqun bainal inshaf wal 'ashobiyyah (Orientalis : antara sederhana dan fanatik);
  30. Madza fi Sya`baan.
Mudah-mudahan Allah mencucurikan hujan rahmat dan kasih sayang ke atas beliau serta sekalian ulama dan sholihin juga sekalian umat. .. al-Fatihah.

Selasa, September 25, 2007

Perbanyakkanlah Sujud

Alhamdulillah, antara nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita dalam bulan yang berkat ini ialah amalan bertarawih yang biasanya dilakukan oleh masyarakat kita sebanyak 20 rakaat ditambah witir 3 rakaat menjadikannya 23 rakaat. Tahun ini angin ribut persoalan bilangan rakaat tarawih nampaknya tidak bertiup kencang kat tempat aku, mungkin masyarakat telah mulai faham letak kedudukan persoalan tersebut berkat hasil usaha para asatizah yang ikhlas dan penjelasan serta saranan Datuk Mufti kita.

Dalam tarawih 20 rakaat, kita melakukan 40 kali sujud, di mana sujud adalah situasi atau keadaan di mana kita dianggap paling hampir dengan Allah (yakni dengan rahmat dan keredhaanNya) sebagaimana dinyatakan oleh Junjungan Nabi s.a.w. dalam hadis baginda yang berbunyi:-

أقرب ما يكون العبد من ربه و هو ساجد فأكثروا الدعاء

Seseorang hamba itu berada dalam keadaan yang paling hampir dengan Tuhannya tatkala dia sujud, maka hendaklah kamu membanyakkan doa (padanya).
Selain dari itu, sujud juga menjadi sarana untuk mempertingkatkan darjat seseorang di sisi Allah s.w.t. serta menghapuskan dosa kesalahan kita. Junjungan Nabi s.a.w. menyatakan:-

إنك لن تسجد سجدة إلا رفعك الله بها درجة و حط عنك خطيئة

Sesungguhnya tidak engkau sujud dengan satu sujud melainkan diangkat engkau oleh Allah dengannya satu darjat dan dihapuskan daripadamu satu kesalahan.
Tatkala Sayyidina Rabi`ah bin Ka`ab r.a. memohon syafaat Junjungan Nabi s.a.w. untuk dapat bersama menemani baginda di syurga, maka Junjungan Nabi s.a.w. menasihatinya dengan sabdaan baginda:

أَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ
Tolonglah aku untuk dirimu dengan memperbanyakkan sujud (yakni engkau perbanyakkanlah sujud agar aku dapat mensyafaatimu untuk bersamaku di syurga).
Oleh itu kenapa kita hendak menghalang orang untuk memperbanyakkan sujudnya dalam bulan yang mulia ini ? Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan kita, puasa kita, sholat kita, ruku` kita, sujud kita dan doa kita. Moga segala sujud kita menjadi sebab bagi Allah untuk meninggikan darjat kita di sisiNya. Allahumma aamiiin.

Selasa, Ogos 21, 2007

Habib Zain bin Ibrahim Bin Sumaith

Antara permata habaib zaman ini. Terkenal khumul yang tidak sukakan kemasyhuran dan tinggi sebutan. Faqihnya umat ini yang tabahhur ilmunya. Beliau adalah al-'Allaamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-'Abid az-Zahid al-Murabbi ad-Da`ie ila Allah as-Sayyid al-Habib Zain bin Ibrahim bin Zain bin Muhammad bin Zain bin 'Abdur Rahman bin Ahmad bin 'Abdur Rahman bin 'Ali bin Saalim bin `Abdillah bin Muhammad Sumaith bin 'Ali bin 'Abdur Rahman bin Ahmad bin 'Alawi bin Ahmad bin 'Abdur Rahman bin 'Alawi ('ammul Faqih).

Beliau dilahirkan pada tahun 1357H di Jakarta, Indonesia. Beliau telah diberi didikan awal agamanya oleh ayahandanya sendiri dan juga dengan para ulama dan pemuka habaib di Jawa. Sedari kecil beliau telah dibawa oleh ayahandanya untuk hadir ke halaqah ilmu, rohah dan mawlid yang dianjurkan oleh Habib 'Alwi bin Muhammad al-Haddad di Bogor yang merupakan naqib para saadah di Tanah Jawa. Habib 'Alwi ini adalah seorang ulama dan waliyUllah yang terkemuka pada masanya. Beliau wafat pada tahun 1373H dan dimakamkan di Empang, Bogor di mana hingga saat ini makamnya diziarahi dan terkenal sebagai Keramat Empang Bogor. Beliau inilah antara guru awal Habib Zain. Selain itu, Habib Zain juga sering dibawa ayahandanya untuk meneguk ilmu dan hikmah di majlis seorang lagi ulama dan waliyUllah iaitu Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman al-Habsyi (Habib 'Ali Kwitang).

Dalam tahun 1371H, ketikanya usianya lebih kurang 14 tahun, Habib Zain telah dibawa oleh ayahandanya ke Tarim al-Ghanna. Di sana beliau meneruskan pengajiannya di Rubath Tarim dan berguru dengan ramai ulama terkemuka yang telah memberinya sanad dan ijazah mereka seperti Habib Muhammad bin Saalim BinHafidz (lihat gambar sebelah, beliau adalah ayahanda Habib 'Umar), Habib 'Umar bin 'Alawi al-Kaaf, Habib 'Alawi bin 'Abdullah Bin Syihaabuddin, Habib Ja'far bin Ahmad al-'Aydrus, Habib Ibrahim bin 'Umar bin 'Aqil, Habib Abu Bakar 'Aththas bin 'Abdullah al-Habsyi, Habib Salim bin 'Alawi Khird, Habib 'Abdur Rahman bin Haamid as-Sariy, 'Allaamah Syaikh Mahfuz bin Saalim al-Zubaidi, Syaikh Saalim bin Sa`id Bukair BaGhitsaan al-Mufti, Syaikh Fadhl bin Muhammad BaFadhl, Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf, Habib Ahmad bin Musa al-Habsyi, 'Allaamah al-Muhaddits Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki al-Makki, Habib 'Umar bin Ahmad BinSumaith, Habib Ahmad Masyhur bin Taha al-Haddad, Habib 'Abdul Qaadir bin Ahmad as-Saqqaf dan Habib Muhammad bin Ahmad asy-Syaathiri. Asuhan dan didikan selama 8 tahun di Kota Tarim dengan ulama-ulamanya itu menjadikan Habib Zain seorang ulama dan faqih yang melaut ilmunya di samping hafalannya akan segala mutun para ulama antaranya matan az-Zubad dan al-Irsyad bagi Ibnu al-Muqri` sehingga bab al-jinayah.

Setelah kira-kira 8 tahun menuntut di Tarim, Habib Zain telah disuruh oleh guru beliau Habib Muhammad bin Saalim BinHafiz untuk pindah ke al-Baidha` untuk mengajar dan berdakwah di samping meneruskan pengajian dengan para ulama di sana antaranya kepada mufti al-Baidha`, Habib Muhammad bin 'Abdullah al-Haddar. Kedatangannya ke al-Baidha` disambut dengan penuh kegembiraan oleh Habib Muhammad bin 'Abdullah al-Haddar. Habib Zain telah ditugaskan oleh Habib Muhammad al-Haddar untuk mengajar dan membantu beliau dalam berdakwah. Kagum dengan beliau, akhirnya Habib Muhammad al-Haddar telah menikahkan beliau dengan puterinya. Habib Zain terus menetap di al-Baidha` dan meneruskan pengabdiannya terhadap ilmu dan dakwah di mana beliau menjadi tempat rujuk dan mufti. Ketinggian ilmunya diakui oleh para ulama sehingga Habib Muhammad al-Haddar menyatakan bahawa apabila sesuatu permasalahan itu telah dijawab oleh Habib Zain, maka tidaklah perlu untuk membuat rujukan lain.

Setelah kira-kira 21 tahun menetap di al-Baidha`, maka pada bulan Ramadhan 1406, Habib Zain telah berhijrah ke kota nenda beliau al-Mustafa s.a.w., Madinah al-Munawwarah, untuk menjadi pengasuh Rubath Habib 'Abdur Rahman bin Hasan al-Jufri. Beliau berganding dengan Habib Saalim asy-Syaathiri untuk mengasuh Rubath al-Jufri tersebut. Setelah Habib Saalim pulang ke Tarim untuk mengasuh Rubath Tarim, maka tanggungjawab di Rubath al-Jufri dipikul sepenuhnya oleh Habib Zain sehingga kini. Selain melahirkan ramai murid yang menjadi ulama dan da`ie, beliau juga telah menghasilkan beberapa karya yang berbobot, antaranya "al-Manhaj as-Sawi syarhu Ushul Thoriiqah as-Saadah Ali Baa 'Alawi" dan "al-Ajwibah al-Ghaliyyah fi 'Aqidah al-Firqah an-Naajiyyah". Kitabnya "al-Manhaj as-Sawi" sekitar 700 halaman menerangkan dengan terperinci mengenai 5 usul yang menjadi asas bagi jalan para saadah Bani 'Alawi (Thoriqah Bani 'Alawi) iaitu (1) ilmu; (2) amal; (3) wara`;(4) khauf dan (5) ikhlas. Selain kitab-kitab tersebut, sejumlah fatwa-fatwa beliau juga telah dikumpul dan dibukukan oleh sebahagian murid-murid beliau.

Moga-moga Allah memelihara dan melanjutkan usia Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith. Semoga kita dan sekalian umat dapat mengambil manfaat dengan keberadaan beliau atas muka bumi ini. Allahumma aamiin.

Rabu, Ogos 15, 2007

Naungan Nur Arsy

Almarhum Buya Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dalam risalahnya mengenai peristiwa Isra` dan Mi'raj yang berjodol "al-Anwaar al-Bahiyyah min Isra` wa Mi'raaj Khairil Bariyyah" pada halaman 76 menukilkan satu kisah di mana ketika Junjungan Nabi s.a.w. tiba di Mustawa, baginda telah mendengar goresan kalam dan telah melihat seseorang sedang berselindung dalam cahaya 'arsy, yakni mendapat naungan 'arsy. Perkara ini sungguh mengkagumkan baginda s.a.w. kerana Jibril a.s. yang disifatkan Allah sebagai "Syadiidul Quwaa" pun tidak mampu untuk melepasi Sidratul Muntaha ke Mustawa. Justru dari aspek ini, orang tadi telah dikurniakan Allah s.w.t kemuliaan mengatasi malaikat agung tersebut. Junjungan s.a.w. dimaklumkan bahawa orang tersebut bukannya nabi dan bukannya malaikat tetapi dia adalah orang yang sewaktu di dunia memiliki lidah yang sentiasa basah dengan zikrullah, hati yang sentiasa bergantung atau terikat dengan masjid-masjid dan dia sentiasa mentaati kedua ibubapanya serta tidak mendatangkan cemohan dan cacian terhadap mereka.

Mudah-mudahan Allah jadikan kita seperti orang tersebut, punya lidah yang sentiasa berzikir tiap saat dan ketika, punya hati yang sentiasa beribadat dan rindu dalam mentaati Allah dan menjadi anak yang sholeh yang menjadi penyejuk mata ayah dan bonda. Ingatlah akan kedatangan hari di mana manusia sejak Nabi Adam a.s. sehingga manusia terakhir dikumpulkan di satu lapangan, bersesak-sesakan menurut kadar amalan masing-masing, matahari pula hanya sejengkal jaraknya dari kepala ........... dan pada hari tersebut tiada naungan melainkan naungan Allah s.w.t. Allahu ... Allah...... berikanlah kami naunganMu.

اللهم أظلني تحت ظل عرشك يوم لا ظل إلا ظلك

Ya Allah, naungilah aku di bawah naungan arsyMu
pada hari tiada naungan melainkan naunganmu.

Ahad, Ogos 05, 2007

Fakir Ilmu

Hujjatul Islam al-Ghazali r.a. dalam kitabnya yang masyhur "Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Aalamiin" menukilkan sepotong hadits Junjungan Nabi s.a.w. yang bersabda:-

اطلعت ليلة المعراج على النار فرأيت أكثر أهلها الفقراء.
قالوا: يا رسول الله من المال؟ قال لا، بل من العلم

"Aku telah diperlihatkan pada malam mi'raaj akan api neraka, lalu aku lihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang fakir. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, fakir harta benda?" Junjungan s.a.w. menjawab: "Tidak, hanyasanya fakir ilmu (agama)."

Fakir ilmu inilah yang paling bahaya dan boleh membawa kepada kedurhakaan bahkan kepada kekufuran. Lihat sahaja Fir`aun, Haaman, Namrud, Qaarun, semua mereka itu kufur dalam kekayaan harta benda. Bukanlah fakir harta yang menjerumuskan mereka kepada kekufuran, tetapi fakir ilmu. Lihat juga berapa ramai kaum fuqara` yang tidak punya apa-apa, tapi keimanan dan ketaqwaan mereka umpama gunung Everest tertancap teguh dalam kalbu berkat ilmu yang diyakini dan dituruti.

Adalah dikhuatiri sesuatu amalan yang dilaksanakan tanpa ilmu akan menjadi amalan yang tertolak kerana mungkin perlaksanaannya tidak menepati segala syarat dan rukunnya sesuatu amalan tersebut. Maka dari sebab itulah telah dinazamkan oleh Syaikh Ibnu Ruslaan dalam "Zubad":-

و كل من بغير علم يعمل * أعماله مردودة لا تقبل

Dan setiap yang beramal tanpa ilmu asasnya
Amalan-amalannya tertolak tidak diterima adanya

Selanjutnya Imam al-Haddad rh,. turut berpesan dalam "Risalatul Mu`aawanah"nya:-
و اعلم أن من عبد الله بغير علم كان الضرر العائد عليه بسبب عبادته أكثر من النفع الحاصل له بها. و كم من عابد قد أتعب نفسه في العبادة و هو مع ذلك مصر على معصية يرى انها طاعة او انها غير معصية

"Dan ketahuilah bahawasanya seseorang yang beribadat kepada Allah tanpa ilmu, maka kemudaratan yang kembali kepadanya sebab ibadatnya itu lebih banyak daripada manfaat yang terhasil baginya. Berapa ramai ahli ibadat yang memenatkan dirinya dalam ibadat sedangkan dia sebenarnya atas maksiat padahal dia beranggapan apa yang dilakukannya adalah ketaatan atau bukannya maksiat....."
Allahu ... Allah. Oleh itu, marilah kita sama-sama menuntut ilmu daripada tuan-tuan guru yang berkelayakan yang mempunyai sandaran kepada ulama-ulama terdahulu sehinggalah kepada salafush sholeh dan akhirnya kepada Madinatul 'Ilm, Junjungan Nabi s.a.w. Sungguh pada kelazimannya, tidaklah terhasil ilmu itu melainkan dengan belajar, sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w.:
إنما العلم بالتعلم

"Sesungguhnya ilmu itu terhasil dengan belajar."


Khamis, Ogos 02, 2007

Majlis Nur al-Mahabbah


MAJLIS NUR AL-MAHABBAH


Tarikh : 23 Ogos 2007 (Khamis)

Waktu : 6.00 ptg


Tempat : Masjid Al-Azhar

Kolej Univerisiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Bandar Seri Putra
43000 Bangi, Selangor DE


Penceramah

Undangan : Al-Habib Munzir bin Fuad Al-Musawa

(Pemimpin Majelis Rasulullah saw, Jakarta)


Ajuran : Persatuan Mahasiswa Sarjana Muda (PERSADA), KUIS


* Para 'ulama dan masyaikh akan turut diundang bagi menyerikan lagi majlis.


Tentatif Program :

6.00 pm : - Ketibaan VIP dan tetamu

6.15 pm : - Perarakan beramai-ramai

6.30 pm : - Pembacaan Ratib Al-Haddad

7.30 pm : - Solat Magrib

- Pembacaan Maulid ad-Dhiya-ul-Lami'

- Ceramah

- Tayangan slide multimedia kreatif

- Jamuan Makan

10.30pm - Bersurai