Rabu, Jun 10, 2009

Advice To Our Brothers The Scholars of Najd

Ini merupakan terjemahan Syaikh Gibril Fouad Haddad bagi karya Syaikh Yusuf ibn Hashim al-Rifa`i yang diberi mukaddimahnya oleh Dr. Muhammad Sa`id Ramadan al-Buti. Ini semuanya ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang terkemuka pada zaman kita ini. Syaikh Yusuf misalnya adalah seorang ulama Syafi`i dan mantan menteri Kerajaan Kuwait. Dr. Sa`id Ramadan pula , kata omputeh - needs no introduction. Maka eloklah ikhwah sekalian membaca karya ini agar tahu perlakuan dan kelakuan, tingkah - laku serta langkah-langkah sumbang serta pengkhianatan pemuka-pemuka Wahabi terhadap Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Boleh juga ikhwah baca sebahagiannya di laman web www.rifaieonline.


Selasa, Jun 09, 2009

Tawassul - TG Nik Aziz

Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya akan perlakuan para sahabat dalam bertabarruk dengan air bekas wuduk Junjungan Nabi SAW. Demikian dahsyat dan bersungguh-sungguhnya mereka bertabarruk dengannya sehingga Imam al-Bukhari meriwayatkan yang mereka seolah-olah hampir saling berbunuh-bunuhan kerana berebut-rebut mendapatkan bekas air wuduk baginda. Kalaulah kita hadir pada ketika itu, bagaimanakah sikap dan tanggapan kita terhadap perlakuan para sahabat tersebut ? Adakah kita akan menghukum mereka sebagai keterlaluan dalam perbuatan "ngalap berkat" Junjungan SAW melalui bekas air wuduk baginda? Sudah tentu kita tidak akan berani memberi kritikan sedemikian terhadap para sahabat yang mulia radhiyaAllahu `anhum ajma`in.

Sesungguhnya amalan bertabarruk dan bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. adalah sesuatu yang tidak pernah menjadi tegahan di sisi Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Hanya tokoh seperti Ibnu Taimiyyah al-Harrani yang cepat menghukumkannya sebagai haram dan sebagainya. Bertawassul merupakan satu sebab bagi menghasilkan permohonan kita daripada Allah SWT. Doa yang merupakan ibadah merupakan satu wasilah, tawassul merupakan satu lagi wasilah, maka jika seseorang berdoa dengan bertawassul, maka dia mempersembahkan dua sebab agar Allah mengabulkan permintaannya. Allahu .. Allah, jika ditambahkan lagi dengan wasilah tempat yang suci seperti tanah haram, waktu yang berkat seperti hari `Arafah, ditambah lagi dengan melakukan amalan sholeh yang lain sebelum berdoa seperti bersedekah, maka makin banyaklah sebab dihadapkan kepada Allah agar permintaan kita ditunaikanNya, walaupun hak kuasa mutlak tertentu bagi Allah SWT yang menjadikan sekalian sebab. Fahamilah wahai ikhwah, agar kalian tidak gegabah menghukum orang yang bertawassul dan menjadi seorang yang fobia dengan tawassul.

Berbalik kepada kisah tabarruk para sahabat, maka Tok Guru Nik 'Abdul `Aziz bin Nik Mat hafizahUllah, dalam karya beliau "Rasulullah Muhammad S.A.W. insan teladan sepanjang zaman", turut mengisahkan perlakuan tabarruk mereka dalam satu bab khusus dengan tajuk "Tabarruk Digalakkan dan Disyariatkan oleh Islam". Tok Guru juga turut memperkatakan berhubung persoalan tawassul dengan Junjungan Nabi SAW setelah baginda wafat. Pada halaman 175 - 176, Tok Guru menulis, antara lain:-
Oleh yang demikian, apabila telah mengetahui bahawa mengambil berkat dengan sesuatu itu bererti mencari kebaikan melaluinya. Maka fahamlah bahawa bertawassul ataupun bertabarruk dengan kesan-kesan baginda itu adalah suatu perkara yang digalak dan disyariatkan oleh Islam. Lebih-lebih lagi mengambil berkat daripada zat Nabi yang mulia.

Mengambil berkat daripada kesan Nabi itu tiada beza antara semasa hidup ataupun selepas baginda wafat. Kerana para sahabat di zaman hidup Rasulullah SAW mengambil berkat dengan air basuhan wuduk baginda, ataupun air peluh dan juga air ludah serta rambut baginda. Kesan-kesan itu sama sahaja selepas wafatnya, semuanya bukanlah suatu yang hidup dan keadaannya sama semasa hayat baginda.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Sahih Bukhari. Ramai orang menjadi sesat selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerana dalam hati mereka tiada kasih kepada baginda. Mereka telah menidakkan tawassul terhadap zat baginda selepas wafatnya. Mereka menganggap bahawa kesan keberkatan Rasulullah SAW itu telah habis apabila baginda wafat. Jika bertawassul selepas baginda wafat bererti bertawassul kepada suatu yang tidak berkesan.

Hujah seperti itu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya jahil mengenai Rasulullah SAW. Persoalannya, adakah semasa hayat baginda ia memberi kesan? Sedangkan kesan hanya datang daripada Allah SWT sebagai Khaliq, tiada makhluk yang memberi kesan. Tiada siapa pun boleh mendakwa bahawa Rasulullah SAW boleh memberi kesan secara peribadi semasa hayatnya. Kerana dakwaan itu telah disepakati boleh membawa kerosakan akidah.

Para sahabat mengambil berkat daripada kesan-kesan baginda, bukan kerana baginda boleh memberi kesan. Tetapi baginda adalah seafdal-afdal manusia di muka bumi ini. Seluruh makhluk di langit atau di bumi, hanya Rasulullah SAW sahaja orang yang menjadi kesayangan Allah SWT. Baginda juga menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam. Ia adalah tawassul disebabkan Rasulullah SAW sangat akrab dengan Allah SWT, melalui bagindalah seluruh makhluk mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Jelas Tok Guru Nik `Abdul `Aziz tidak anti - tawassul dan tabarruk, bahkan Tok Guru dengan tegas menyatakan bahawa mereka - mereka yang melarang bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. setelah baginda wafat adalah orang-orang yang sesat yang tidak ada kasih dalam hati mereka kepada Junjungan Nabi SAW. Maka hendaklah kalian ambil perhatian. Bahkan Tok Guru sewaktu perasmian bangunan Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (PUTIK) pada 23 Ogos 2001 telah memperkenalkan Doa an-Nashiri yang disusun oleh seorang waliyullah Sidi Muhammad bin Nashir ad-Dar`i rahimahUllah. Dalam doa tersebut terkandung tawassul dengan Junjungan Nabi SAW dan para awliya` pelbagai maqam seperti quthub, awtad, abdal, nujaba` dan nuqaba`. Oleh itu kalau pun tak mahu bertawassul, janganlah mudah-mudah menuduh orang yang bertawassul sebagai syirik dan sebagainya. Moga taufiq dan hidayahnya Allah dianugerahkanNya kepada kita sekalian berkat jah Sayyidina wa Mawlana Muhammad SAW yang menjadi rahmat bagi sekalian alam.

***********************************************
Akhiran Doa an-Nashiri


Ahad, Jun 07, 2009

Bid`ah Yang Sesat - Syaikh 'Utsman

Beramal secara lazim dengan salah satu mazhab yang empat telah menjadi amalan dan pegangan majoriti umat Islam sejak pembukuan dan pembentukan mazhab-mazhab tersebut dahulu lagi. Ianya bukan sahaja menjadi amalan kalangan awam umat Islam tetapi juga amalan dan pegangan pemuka dan ulama mereka. Adalah sesuatu yang pelik, jika setelah 1000 tahun, lebih kurang, maka timbul golongan yang mengharamkan kita berpegang dengan mazhab sedangkan kita masih tergolong dalam kategori orang awam. Insya-Allah, kita akan cuba membawa nukilan daripada para ulama kita yang kepercayaan berhubung masalah berpegang dengan mazhab ini. Kali ini kita lihat sedikit pandangan tuan guru yang amat `alim, pengasas pondok pengajian yang terbilang, wali Allah yang mustajab doanya, Syaikh 'Utsman Jalaluddin Penanti, pengasas Pondok Penanti @ Madrasah Manaabi`ul 'Uluum wa Mathaali`un Nujuum. Maka berkatalah tuan guru rahimahUllah dalam karangannya "Mathaali`ul Anwaar wa Majaami`ul Azhaar" juzuk pertama halaman 60 seperti berikut:-
"Bermula segala Imam yang empat itu, mereka itulah segala Imam bagi jumhur ulama yang dibangsakan kepada Islam, yang ialah yang telah dimasyhurkan segala mazhab mereka itu dan telah dihimpunkan dia dan telah dikekal akan dia hingga akhir zaman.

Adapun yang lain daripada mereka, maka hampir lebih daripada 100 daripada imam-imam yang mujtahid yang mutlak, akan tetapi tiada harus bagi kita bahawa mentaqlid akan mereka itu kerana segala mazhab mereka itu tiada dihimpunkan dia dan tiada ada pula orang-orang yang menolong akan dia daripada segala sahabat-sahabat bagi mereka itu. Maka menjadi matilah oleh segala mazhab mereka itu.

....... dan sanya lagi akan datang bahawasanya telah ijma` ulama daripada empat mazhab atas bahawa orang-orang yang keluar daripada mazhab yang empat ialah bid`ah yang sesat, wal `iyaadzubillahi min dzalik. Dan lagi akan datang kami hendak menyebut akan dalil-dalil dan akan qarinah-qarinah di atas benar dan betul bagi mazhab yang empat itu dan dalil - dalil bagi ketiadaan harus bagi kita keluar daripada mazhab yang empat itu pada masa kita ini kerana terputus mujtahid yang mutlak kemudian daripada 400 (tahun) daripada hijrah...."
Sudah tentu apa yang dinyatakan oleh Syaikh 'Utsman adalah bagi orang awam setelah pembukuan mazhab yang empat tersebut. Manakala bagi orang yang telah mencapai darjat ijtihad, maka hendaklah mereka beramal dengan ijtihad mereka. Jadi janganlah suka membid`ahkan pengikut mana-mana mazhab yang empat dan jangan pula suka menjadi pengamal mazhab yang kelima, iaitu mazhab caca merba, mazhab campur-campur atas nama tarjih atau sebagainya, tanpa alasan dan sebab yang munasabah, tanpa menjaga dan mempedulikan syarat - masyruth, usul dan kaedah yang digunapakai dalam mazhab-mazhab tersebut.

Jumaat, Jun 05, 2009

Sholawat al-Fatih


Sholawat al-Fatih adalah salah satu lafaz sholawat yang masyhur diamalkan. Sholawat ini dinisbahkan kepada dua orang wali yang besar, pertamanya kepada Sulthanul Awliya` Syaikh 'Abdul Qadir al-Jilani r.a. dan yang kedua ialah kepada Quthubusy Syaikh Muhammad al-Bakri r.a. Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan beberapa ulama lain seperti Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani menisbahkan sholawat ini kepada Syaikh Abdul Qadir, manakala ramai ulama lain seperti Syaikh Ahmad ash-Showi al-Maliki menisbahkannya kepada Syaikh Muhammad al-Bakri. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam karyanya "Afdhalush Sholaawat 'ala Sayyidis Saadat" menyatakan bahawa menurut Syaikh Ahmad ash-Showi, Syaikh 'Abdul Rahman al-Kabir al-Kuzbari rahimahUllah, ahli hadits terbilang negeri Syam, telah menisbahkan Sholawat al-Fatih ini kepada Syaikh Muhammad al-Bakri dan penisbahan inilah yang nampaknya yang lebih kuat.

Sholawat al-Fatih sebagaimana di atas adalah lafaz yang biasa diamalkan sebagai wirid oleh pengamal Thoriqah Tijaniyyah, di samping itu terdapat juga lafaz-lafaz lain dengan perbezaan kecil. Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani menulis dalam karya beliau "al-Jawharul Mawhub wa Munabbihaatul Quluub":-
Telah menyebut oleh kebanyakan daripada ariffin bahawasanya sholawat ini bagi membukakan asrar dan yang ajaib-ajaib yang terhairan oleh akal. Barangsiapa mengekali atasnya tiap-tiap hari seratus (100 ) kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah ta`ala.
Kalam Syaikh Wan 'Ali ini dinukil beliau daripada perkataan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan dan Sidi Ahmad turut menyatakan bahawa sholawat ini bermanfaat bagi semua peringkat. Oleh itu wajar dilazimi agar memperolehi keberkatannya.

*********************************************
Bacaan Sholawat Fatih oleh Syaikh Hasan Cisse



Rabu, Jun 03, 2009

Mufti Pertama Singapura

Haji Mohd. Sanusi bin Haji Mahmood bin Abdul Rahim lahir di Singapura tanggal 3 Syawwal 1326H bersamaan 8 Oktober 1909. Beliau memulakan persekolahannya dalam aliran Inggeris di mana dalam tahun 1930 beliau lulus Senior Cambridge di Raffles Institution. Memandangkan kepada minatnya mendalam dalam pengajian agama, beliau telah belajar bahasa `Arab dengan Syaikh Haji Abdul Rahman Siddiq, ulama terbilang keturunan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang menjadi Mufti Kerajaan Inderagiri, Sumatera.

Pada tahun 1933, beliau berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan fardhu haji dan mendalami ilmu agamanya. Di sana beliau berguru dengan Syaikh Muhammad Amin al-Kutbi, Sayyid `Alwi al-Maliki, Syaikh Hasan Masyath, Syaikh Husain Palembang dan Syaikh `Abdul Hamid Banjar. Kesungguhannya untuk meneruskan pengajian agamanya akhirnya membawa beliau menjejakkan kaki ke Universiti al-Azhar pada tahun 1936. Beliau menerima syahadah al-ahliyyah daripada Universiti al-Azhar pada tahun 1938 dan menerima pula syahadah al-`alimiyyah dalam tahun 1940. Beliau meneruskan pengajiannya dengan para masyaikh di Mesir sehinggalah beliau pulang ke Singapura pada tahun 1947. Di Singapura beliau bekerja menjadi penterjemah dan kemudian menjadi Setiausaha Bersekutu Majlis Penasihat Islam Singapura. Beliau kembali ke Makkah pada tahun 1948 dan seterusnya ke Mesir pada tahun 1951 untuk berkhidmat menjadi kerani dan penolong attache kebudayaan di Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Beliau pulang semula ke Singapura pada tahun 1958 dan pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Qadhi Mahkamah Syariah Singapura. 1 Januari 1960, beliau menjawat jawatan Presiden Mahkamah Syariah Singapura. Pada tahun 1969, beliau dilantik menjadi Mufti Singapura yang pertama, jawatan yang dijawatnya sehingga 31 Januari 1971.

Beliau meninggalkan beberapa karya antaranya "Kamus Istilah Islamiah Sanusi", "Taman Mu'minin" dan "Mengenal Islam dan Hubungannya Dengan Sains & Teknologi". "Taman Mu'minin" adalah karya beliau yang menghimpunkan hadits-hadits pilihan yang diberi syarah yang ringkas mengenai kemasyarakatan dan kehidupan seharian setiap orang mu'min. Hadits yang pertama dimuatkan dalam karya beliau ini adalah hadits mengenai bid`ah yang masyhur itu. Dalam komentarnya, beliau menyatakan bahawa kalimah "Kullu" itu membawa dua makna, iaitu "al-jamii`" dan "al-majmuu`". Ikhwah bolehlah baca penjelasan beliau yang ese bubuh di bawah nanti. Moga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau di kalangan sholihin. .... al-Fatihah.


************************************

Selasa, Jun 02, 2009

Bahang Gerakan Tabdi` - Ustaz Awang Pon

Tuan Haji Awang Pon bin Awang Sebon atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Awang Pon adalah mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak. Beliau adalah antara ulama Sarawak yang khumul dan berfikiran sederhana. Beliau adalah keluaran Madrasah al-Junaid, Singapura dan Universiti al-Azhar asy-Syarif, Mesir. Kalau tidak silap, sebelum ke Mesir, beliau pernah mengajar di Madrasah al-Maarif yang dipimpin oleh Fadhilatul Ustaz Haji Muhammad Taha as-Suhaimi rahimahUllah. Mudah-mudahan Allah memberikan kesembuhan kepada Ustaz Awang Pon dan memanjangkan umur beliau untuk manfaat Islam dan umatnya. Di bawah ini ese nukilkan antara tulisan beliau dalam blog Dewan Syura untuk kita ambil manfaat daripadanya.

**************************************************

Bahang Gerakan Tabdi’/Membid’ah

Gerakan Tabdi` / Gerakan membida`ah mula terasa bahangnya. Pada mulanya saya tidak berminat untuk menulisnya dalam blog ini tetapi memandangkan sudah ada bibit-bibit perpecahan berpunca dari sikap agresif sebahagian daripada pengikut-pengikut kumpulan ini tanpa berbekalkan kebijaksanaan dan belom berupaya mengiplikasi ilmunya bila berhadapan dengan mad`uu dan persekitaran, maka saya terpanggil untuk manjadikannya bahan blog Dewan Syura kali ini. Ia bukan bertujuan untuk mengkondem asas-asas dan dasar yang menjadi sandaran pegangan mereka tetapi cara penyampaian dan persoalan urutan keutamaan tidak dicermati.

Memerangi kemungkaran yang sudah jelas kedudukan haramnya memang menjadi tanggungjawab untuk dibasmi dan dihapuskan. Walau bagaimanapun sekiranya dengan menegah suatu kemungkaran boleh mencetuskan kemungkaran yang lebih besar dan lebih dahsyat lagi, maka lebih baik didiamkan buat sementera waktu sehingga tiba masanya yang sesuai. Kalaulah demikian anjuran para mujahid dakwah yang terunggul dan teragong seperti Dr Ali Garisyah, Prof Dr Yusuf Qardhawi, As-Syahid Hassan Al-Banna dan lain-lain lagi dalam mendepani perkara yang sudah jelas tentang haram hukumnya secara qatie, sudah barang tentu dalam menangani masalah khilafiah yang dalilnya berdasarkan zanni/samar-samar, lebih memerlukan sikap tasamuh dan toleransi yang amat tinggi lagi.

Pesanan Syeikh Muhd Najib alMuthi`e’

Saya teringat dengan pesanan Syeikh Muhd Najib al-Muthi`e sewaktu saya berkunjong ke kedai beliau di jalan Abbasiah, Kaherah. Beliau adalah penyambung/pelengkap kitab "almajmuk" oleh Imam an-Nawawi. Saya bertanya kepada beliau sikap yang semestinya, bila berhadapan dengan kumpulan yang rigid dalam masalah khilafiah. Pesan beliau kepada saya:- Ya ibni(wahai anakku) kena berlapang dada dan berhujah dengan bijaksana. Prof. Dr Yusuf Qardhawi juga mengingatkan kita supaya bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang berbeza pendapat.

Nampaknya perkara yang menjadi perhatian serious dan keutamaan kumpulan ini ialah masalah qunut, doa selepas solat berjemaah, azan dua kali solat juma’at, sunat qabliah jumaat, qabliah maghrib dan lain-lain lagi. Masalah ini sudah lama dibincangkan oleh ulamak-ulamak mujtahidin. Bagi saya sesiapa yang sudah mengambil keputusan dan yakin dengan mana-mana pendapat tersebut silakan tetapi elakkan diri dari tuduh menuduh dan semacam memaksa orang lain mesti mengikuti pendirian diri. Dan yang kurang menyenangkan hati sebelah pihak lain ialah cara berkomunkasi dan cara penyampaian sehingga sampai ke peringkat ghulu/melampau, sama ada mereka menjadi tamu kepada tuan rumah atau surau atau masjid atau sebaliknya bila ternampak suatu yang berbeza dengan pegangan mereka, mereka secara terbuka mengkritik atau menegur sehingga menjatuhkan air muka tuan rumah atau menimbulkan konflik dan kegusaran di kalangan masyarakat.

Saya tidak bercadang untuk mengemuka sandaran hukum kedua-dua kumpulan ini sama ada yang pro maupun yang kontra, tak tahulah di lain masa, tetapi yang saya coba sentuh, itupun secara ringkas perkara-perkara yang berikut:

Saya tertanya-tanya kenapa kumpulan ini beriya-iya sangat menyerang masalah khilafiah dalam bahagian ibadah khususiah sahaja seperti contoh-contoh yang saya sebutkan di atas tetapi diam membisu seribu bahasa dalam banyak hal yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw tetapi masih dilakukan oleh orang Islam seperti system ekonomi, politik, pendidikan, maksiat berluas-luasan, rasuah dan seumpamanya. Apakah perkara ini bukan masalah pokok dan tidak mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupan bermasyarakat dan beragama?

Saya selalu mengingatkan diri saya dan juga mereka yang rapat dengan saya termasuklah jemaah masjid di taman saya dan siapa sahaja yang coba meninjau pendapat saya yang serba cetek ini, bukan sahaja dalam yang hal yang kita bincang ini, malah dalam perkara yang lain juga, saya selalu berpesan agar banyak membaca, banyak berguru samada secara formal atau non formal seperti dengan bermuzakarah. Jangan fanatik membuta tuli. Bila berbincang tentang hukum, tidak cukup dengan hanya berpegang kepada terjemahan alquran sahaja tetapi perlu membaca tafsirannya. Tafsir pula berbagai-bagai. Ada tafsir yang memfokaskan tentang sebab turun al-quran, tafsir ahkam, tafsir berkaitan dengan sains dan bahasa dan tafsir gerakan dan lain-lain lagi. Selain daripada berminat dalam hukum hakam dan Hadis jangan lupa membaca buku-buku yang berkaitan dengan dakwah dan fiqhud-dakwah untuk bekalan berhadapan dengan mad`uu/sasaran dakwah.

Mujahid-mujahid dakwah berpesan elakkan diri dari menimbulkan masalah-masalah khilafiah dalam organisasi kerana ahli-ahli dalam organisasi mungkin terdiri dari berbagai-bagai latar belakang mazhab kecuali dengan tujuan ilmiah. Dipantangkan sekali membincangkannya secara terbuka, lebih-lagi menggunakan pentas/khalayak ramai untuk menjaja dan memasarkan produk masalah khilafiah dengan tujuan menafikan amalan khilafiah yang sudah establish, yang masih dalam kerangka yang dibenarkan berbeza pendapat. Berlainan dengan masalah rasuah, kezaliman, judi, arak dan seumpamanya. Sekiranya pendakwah/pendidik/ustaz menimbulkan masalah khilafiah, ia akan menjauhkan mad`uu. Ya, memang ada pengikut-pengikut dan peminat-peminat fanatik anda. Bukankah lebih baik tanpa menyentuhnya, peminat anda akan bertambah ramai lagi.

Enough Is Enough

Yang sudah itu sudahlah. Enough Is Enough. Banyak sebab yang boleh menimbulkan berbagai-bagai salah faham sehingga menyebabkan perselisihan yang boleh membawa kepada kebencian dan akhirnya mengundang musibah perpecahan telah berlaku dan sedang berlaku. Jangan ditambah lagi dengan masalah membid`ah. Punca-puncanya banyak. Kalau hendak disenaraikan bukan sedikit, banyak tetapi blog Dewan Syura tidak berminat menggunakan pendekatan seperti itu.

Di permulaan tulisan saya di atas ada diperkatakan tentang bibit-bibit, bunga-bunga perpecahan kerana masalah khilafiah. Di sekitar bandar dan di kampong-kampong sudah ada pengikut-pengikut yang mengasingkan diri dari kelompok masyarakat lain, yang sebelom ini hubungan mereka dengan masyarakat setaman dan sekampong bagitu akrab. Puncanya amalan-amalan yang dilakukan di masjid dan di surau berkenaan yang pernah diamalkannya juga sebelom ini, sebelom mengikut kumpulan ini, seperti berqunut, berdoa selepas solat berjemaah, bersalam sejurus selesai solat jemaah, membaca yasin malam jumaat, nisfu, sudah bercanggah dengan pendirian dan doktrin pegangannya. Kalau pun hadir ke majlis walimah atau majlis kematian sekadar bersalaman, selepas itu mohon beredar - sekadar menunjuk muka. Ini membuktikan rasa kekitaan dan ukhuwah Islamiah secara secara senyap-senyap mula terhakis dan akhirnya mengundang musibah perpecahan. Bila perkara ini terjadi musuh bertepok tangan dan imej Islam ikut tercalar. Sebenarnya inilah yang mereka tunggu. Pucuk dicinta, ulam mendatang. Perangkap samar yang ditanam musuh terlalu banyak, secara kasar maupun secara halus. Masalah khilafiah pun mereka pergunakan sebagai perangkap samar melalui hero-hero dalam cerita khilafiah. Sebagai buktinya coba anda rujuk semula dalam blog ini di bawah tajuk perjanjian Camp David dan masalah khilafiah.

Jabatan Agama dan Jabatan Mufti

Sebelom masalah gerakan tabdi` ini mengancam kerharmonian penduduk setempat berluas-luasa, perlulah pihak-pihak yang berkenaan dan pihak yang berwajib bersemuka dengan kumpulan ini untuk mencari jalan penyelesaian jika belom diusahakan. Jika sudah dilakukan alhamdulillah. Pihak berwajib yang saya maksudkan ialah Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti. Selain daripada itu, program-program dakwah atau apa sahaja namanya, untuk pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi awam dan swasta perlu diaktifkan lagi kerana sepanjang pengetahuan saya, kurang ada program secara rasmi yang dikelola oleh pihak berwajib secara konsisten. Saya berkeyakinan dengan keupayaan dan kebolehan pihak yang wajib mampu melakukannya .

Wihdatul Fikri di antara Mahasiswa dan Pelajar-Pelajar Menengah dengan badan yang berwajib amat perlu diusahakan. Mana mungkin mereka sehaluan dengan halatuju badan yang berwajib kalau mereka tidak ditarbiah mengikut acuan badan yang berwajib. Acuan yang berwajib sudah pastinya tidak lain dari acuan Allah swt.

Akhir kalam saya suka mengetengahkan adab para ulama dalam manangani masalah khilafiah.

1. Imam Alhafiz Abu Musa bin Abdul A’la al-Masriyy pernah berkata” Tidak aku dapati orang yang berakal (lebih cerdas) selain daripada Imam Syafi`ee. Pada suatu hari aku pernah berdebat dalam satu masalah dan kami bertelingkah lalu beliau menemuiku serta memegang tanganku, kemudian berkata: Wahai Abu Musa, hendaklah kita santiasa bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu masalahpun.

2. Imam Syafi`ee rahimahullah pernah solat Subuh di masjid dekat makam Imam Abu Hanifah dan beliau tidak melakukan qunut sebagaimana mazhab beliau dan itu beliau lakukan kerana menghomati Imam Abu Hanifah, pada hal Imam Abu Hanifah telah wafat tepat pada tahun Imam Syafiee rahimahulah dilahirkan.

3. Diceritakan daripada Imam Abu Ya’la alhambali bahawa pernah ada seorang ulamak fiqh yang datang kepada beliau untuk belajar dan membaca kitab fiqh berdasarkan mazhab imam Ahmad bin Hambal. Beliau (Imam Abu Ya’la) bertanya tentang negeri asalnya, maka dia pun memberitahukannya kepada beliau, maka beliau berkata kepadanya: Sesungguhnya penduduk negerimu seluruhnya mengikut mazhab imam Syafi`ee, lalu mengapakah engkau meninggalkannya dan ingin beralih kepada mazhab kami? Dia menjawab: Saya meninggalkan mazhab ini kerana saya berasa lapang dan tertarik hati denganmu. Selanjutnya Imam Abu Ya’la berkata: Ini tidak dibenarkan kerana jika engkau di negerimu bermazhab dengan mazhab Ahmad rahimahullah sedangkan seluruh masyarakat di sana mengikut mazhab Imam Syafi`ee maka engkau tidak akan mendapatkan seorangpun yang beribadat (di dalam mazhab Ahmad) rahimahullah bersamamu dan tidak pula yang belajar denganmu. Bahkan boleh jadi engkau akan membangkitkan permusuhan dan menimbulkan pertentangan. Maka sepatutnya kamu berada di mazhab as-Syafi`ee adalah lebih utama dan lebih baik.

4. Imam Syafi`ee pernah berkata:Pendapatku, menurutku adalah benar tetapi ada kemungkinan salah dan pendapat orang lain, menurutku adalah salah, namun ada kemungkinan benar. Sifat tawadhuk Imam Syafi`ee ni telah diambil kesempatan oleh mereka yang tidak mahu terikat dengan amalan bermazhab - tidak bermazhab - pada hal maksud sebenarnya bukan demikian (blogger). Wallahu a`lam.

Begitulah antara tulisan Shohibul Fadhilah Ustaz Awang Pon. Sungguh apa yang dinyatakan beliau punya kebenarannya. Baru-baru ini berlaku sedikit kekecohan apabila ada orang yang tidakpun dijemput telah terhegeh-hegeh bertindak menjadi imam sholat Jumaat dengan pembawaan yang berbeza daripada amalan masyarakat setempat yang bermazhab Syafi`i. Alangkah baiknya jika orang ini mahu mencontohi akhlak Imamuna asy-Syafi`i tatkala beliau meninggalkan qunut sewaktu sholat di masjid Abu Hanifah demi meraikan pendapat Imam Abu Hanifah. Kenapa orang ini yang bertindak menjadi Imam kepada makmum yang rata-rata bermazhab Syafi`i melakukan sholatnya menurut mazhabnya sendiri? Ese ingat lagi yang Tok-Tok Imam Masjidil Haram, Masjidin Nabawi dan Masjidil Aqsha yang kekadang datang ke tempat ese pun ikut cara penduduk setempat sewaktu menjadi Imam viz. baca jahar basmalah, baca qunut, berdoa ramai-ramai lepas sholat dan lain-lain lagi. Moga Allah selamatkan kita dari menjadi pejuang sunnah yang maghrur.

Isnin, Jun 01, 2009

Ceramah Hb Najib

Ceramah Habib Najib as-Segaf @ Ustaz Najib yang menceritakan keprihatinan Junjungan Nabi s.a.w. terhadap umat baginda. Moga bermanfaat bagi pendengarnya.