Khamis, Jun 13, 2013

Qadha` Subuh Siang Hari

Seorang sahabat hafizahullah telah bertanya mengenai bacaan ketika qiyam, iaitu bacaan surah al-Fatihah dan surah selepasnya, dalam solat Subuh yang diqadha` pada waktu siang, samada ianya sunnat dibaca jahar sebagaimana perlaksanaannya ketika ada` (tunai) atau sunnat dibaca sir kerana ianya diqadha` pada siang hari. Beliau keliru setelah membaca keterangan dalam terjemahan al-Fadhil Ustaz Zamihan al-Ghari hafizahullah bagi karya guru beliau 'Allaamah Dr. Hassan Ali al-Saqqaf hafizahullah yang berjodol "Sifat Solat Nabi Yang Sahih", yang menyatakan bahawa bacaan dalam qadha` solat Subuh mesti dijaharkan secara mutlak. Perkara ini berbeza dengan apa yang pernah dipelajari daripada tuan - tuan guru yang menyatakan bahawa jahar atau sir dalam sesuatu solat qadha` termasuklah qadha` solat Subuh adalah mengikut kepada waktu ianya dilaksanakan, jika pada waktu malam ianya dijaharkan walaupun solat tersebut adalah qadha` solat Zohor atau 'Asar dan jika waktu siang, bacaan disirkan walaupun solat tersebut adalah qadha` solat Maghrib atau Isya` atau Subuh.

Setelah meneliti karya tersebut, pada halaman 159 dinyatakan antara lain, sebagai berikut:-
Jika seseorang itu mengqada'kan solatnya yang tertinggal samada solat malam mahupun siang dan jika dilakukannya pada malam hari maka dia mesti menjaharkan bacaannya. Sebaliknya jika dia mengqada solat yang tertinggal itu di siang hari maka dia mesti mengsirkan bacaannya melainkan pada solat subuh. Ia mesti dijaharkan secara mutlak samada diqadha pada malam atau siang hari. ............ Akan tetapi terdapat pengecualian dalam ketentuan ini iaitu pada solat subuh. Berkenaan solat subuh terdapat satu hadis yang sahih yang menjelaskan bahawa Nabi SAW pernah mengqada'kan solatnya setelah terbit matahari. Baginda melakukannya sebagaimana solat subuh setiap hari. Iaitu Baginda membaca secara jahar dan tidak mengecualikannya (iaitu tidak mengsirkan)..... Diriwayatkan dari Abu Qatadah di dalam hadis yang panjang ........"Baginda melakukannya sebagaimana solat subuh biasa"....
Di sini ese hanya ingin memberikan dua komentar ringkas terhadap pernyataan di atas. Pertama, menjahar atau mengsirkan bacaan dalam solat bukanlah satu kemestian (baca: wajib) tetapi ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai SUNNAT. Kedua, mengenai pernyataan bahawa bacaan pada qadha` Subuh di siang hari dibaca jahar secara mutlak, maka pendapat ini bukanlah pendapat yang dimuktamadkan dalam mazhab. Ianya adalah salah satu daripada dua pendapat para ulama Syafi`iyyah yang boleh dianggap sebagai muqabilul asah, manakala pendapat yang ASAH adalah bacaan dalam qadha` Subuh di siang hari sunnat dibaca secara sir dan tidak sunnat dibaca jahar kerana mengikut waktu ianya diqadha. Hal ini tuan - tuan boleh rujuk mana-mana kitab fiqh mazhab kita dan pasti akan berjumpa dengan pernyataan bahawa sir atau jahar dalam sesuatu solat qadha adalah di`itibarkan kepada waktu qadha` dan bukannya waktu `ada (tunai) solat tersebut. Maka jika ianya diqadha` pada siang hari, maka ianya dibacakan secara sir walaupun ianya solat jahar pada waktu `ada.

Mengenai hadis Sayyidina Abu Qatadah RA yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya yang antara lain menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW telah mengqadhakan solat Subuh pada waktu siang sebagaimana baginda melakukannya pada setiap hari - "fa shona`a kama kaana yashna`u kulla yawmin..", maka sebahagian ulama telah  menjadikannya dalil untuk menghukumkan bahawa qadha` solat Subuh pada waktu siang pun sunnat dibaca jahar. Namun, pendapat ini bukanlah pendapat yang muktamad dalam mazhab kita kerana pendapat yang asah adalah sebaliknya, sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah dalam "Syarah Muslim", antara lain, menyatakan sebagai berikut:-

" Perkataannya: (Kemudian telah azan Sayyidina Bilal bagi solat, maka telah solat Junjungan Nabi SAW dua rakaat lalu setelah itu baginda pun solat Subuh, maka baginda telah mengerjakannya sebagaimana yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari] padanya (ada hukum bahawa) mustahab melakukan azan bagi qadha` solat yang luput. Dan padanya (hukum) bahawa diqadhakan juga sembahyang ratibah kerana yang zahir dua rakaat yang dilakukan sebelum solat Subuh adalah solat sunnat Subuh. Dan perkataannya [Sebagaimana yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari] padanya isyarat kepada sifat solat qadha` Subuh yang luput itu seperti sifat solat tunainya, maka diambil daripada perkataan tersebut bahawa dalam qadha` solat Subuh yang luput sunnat juga dibacakan qunut dan perkara ini tiada khilaf di sisi kita (yakni di sisi ulama Mazhab Syafie). Dan telah berhujjah dengan hadis ini (yakni dengan pernyataan bahawa - baginda sholat sebagaimana yang dikerjakannya pada setiap hari ), ulama yang berpendapat bahawa dijaharkan bacaan dalam solat Subuh yang diqadha` setelah terbit matahari. Dan pendapat ini adalah satu wajah (pendapat) daripada dua wajah bagi para sahabat kami (yakni para ulama Mazhab Syafie), namun yang asah daripada dua wajah tersebut adalah disirkan bacaan padanya (yakni pendapat yang asah dalam Mazhab Syafie bahawa bacaan dalam qadha` solat Subuh di siang hari sunnat disirkan). Dan ditanggung kata-kata dalam hadis - " kama kaana yashna`u" - sebagaimana yang biasa dia lakukan ..." - kepada segala af`al (yakni kepada segala perbuatan seperti azan, iqamah, sholat sunat sebelum subuh, berqunut dan seumpamanya).
Diharap kita dapat memahami penjelasan di atas, yang menyimpulkan bahawa pendapat yang asah dalam Mazhab asy-Syafi`iyyah adalah sunnat mengsirkan bacaan dalam qadha` solat Subuh yang luput jika ianya dilakukan pada waktu siang sebagaimana lain - lain solat yang diqadha` pada waktu siang. Apa-apa pun, berusahalah agar jangan sampai terbabas solat Subuh supaya tak payah kita nak poning - poning mikir, sir ke jahar ... sir ke jahar.

Selasa, Jun 11, 2013

as-Shighah at-Tajridiyyah

Bulan Sya'baan yang berkat, bulan yang disebut-sebut sebagai bulan Junjungan Nabi SAW dan bulan di mana perintah bersholawat atas Junjungan Nabi SAW diturunkan. Marilah kita mentaati perintah tersebut dengan memperbanyakkan lagi ucapan sholawat dan salam kita kepada Junjungan Nabi SAW.

Syaikhul Azhar, al-'Alim al-'Allaamah Dr. `Abdul Halim Mahmud rahimahullah dalam karya beliau yang berjodol "ar-Rasul shallaAllahu `alaihi wa sallam" pada halaman 175 menukilkan sebuah shighah sholawat yang beliau terima daripada Syaikh `Abdul Fattah al-Qadhi asy-Syablanji asy-Syadzili rahimahullah. Menurut beliau, Syaikh `Abdul Fattah al-Qadhi telah memperolehi shighah shalawat ini dalam satu mimpi yang berkat. Dr. `Abdul Halim Mahmud telah menamakan shighah shalawat ini sebagai "ash-Shighah at-Tajridiyyah" kerana tiada ianya dilafazkan melainkan semata-mata untuk beribadah dengan mengajukan permohonan agar Allah SWT melimpahkan sholawat, salam dan barakah ke atas hambaNya, Sayyidina wa Mawlana Muhammad SAW, sebanyak bilangan makhlukNya, sesuai dengan keredhaanNya, seberat `arasyNya dan kalimahNya. Jumlah pada shighah ini merupakan kiasan yang bertepatan dengan tasbih yang diajar oleh Junjungan Nabi SAW, iaitu "SubhanAllahi wa bi hamdihi, `adada khalqihi, wa ridha-a nafsihi, wa zinata `arsyihi, wa midada kalimaatihi." Mudah-mudahan dengan mengamalkan sholawat ini, kita dapat meraih keredhaan Allah SWT dan syafaat Junjungan Nabi SAW.

Ahad, Jun 09, 2013

Kalimah Tawhid

Bayangkanlah saat-saat menghadapi kematian. Segala anggota telah lemah tidak berdaya, mata susah untuk dibuka, menarik nafas dirasakan berat sekali. Mulut yang dulunya fasih berkata-kata, kini hendak menggerakkan bibir bertutur pun payah. Namun, kala itu masih ada rahmat Allah. Mungkin ketika itulah baru terasa hikmah kenapa kalimah yang dijadikan sebagai anak kunci syurga Allah, kalimah yang menjadi harga syurga, tersusun hanya daripada huruf - huruf yang keluar dari rongga, yang tidak memerlukan gerakan bibir mulut untuk melafazkannya. Kasihnya Allah kepada hamba-hambaNya, agar kalimah keramat ini mudah dilafazkan ketika nyawa berpisah daripada badan. Alangkah malangnya jika ketika sihat tubuh badan serta fasih lisan berkata-kata, namun  tetap lalai dan malas untuk melafazkan kalimah ini sebanyak - banyaknya. Banyakkanlah mengucap dan menghayati kalimah yang mulia ini, mudah-mudahan ketika sakarat nanti mudah melafazkannya sebagai kalimah terakhir yang diucapkan sebelum nyawa meninggalkan badan. Dengannya, semoga termasuk dalam janji Junjungan Nabi SAW dalam sabdaan baginda: "Sesiapa yang akhir kalamnya "la ilaha illa Allah", dia pasti akan masuk syurga." Inilah antara hikmahnya sebagaimana disebut oleh al-Imam al-Hafiz as-Sayuthi rahimahullah dalam karya beliau "al-Kanzul Madfun". Allahummaj`al akhira kalami la ilaha illa Allah.

Rabu, Jun 05, 2013

Anugerah Agung

Tanggal 27 Rejab sentiasa diperingati oleh umat Islam sebagai tarikh berlakunya Israk dan Mikraj Junjungan Nabi SAW. Dan sebagaimana yang kita ketahui, ketika itulah Allah memberikan satu anugerah agung buat Junjungan Nabi SAW dan umat baginda sekaliannya. Anugerah yang merupakan talian kita untuk berhubung dan bertaqarrub dengan Allah SWT dalam bentuk sholat fardhu yang lima. Pentingnya fungsi sholat sebagai sarana bertaqarrub kepada Allah SWT sehingga dikatakan bahawa "ash-sholatu mi'rajul mu`min - sholat itu mikraj bagi orang - orang yang beriman", sebagaimana disebut antaranya oleh Imam as-Sayuthi rahimahullah dalam syarah beliau bagi Sunan Ibnu Majah, Imam an-Naisaburi rahimahullah dalam tafsirnya, Imam al-Munawi rahimahullah dalam "Faidhul Qadir" dan Syaikh al-Alusi rahimahullah dalam tafsirnya "Ruhul Ma`ani". 

Sungguh tiada satu ibadah pun yang dapat menandingi keutamaan sholat. Imam ad-Dailami rahimahullah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda, yang mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tiada memfardhukan akan sesuatu yang lebih utama daripada at-Tawhid (yakni mengesakan Allah SWT) dan sholat. Jika sekiranya ada sesuatu yang lebih utama daripada keduanya, pasti ianya akan difardhukan ke atas para malaikat, padahal para malaikat itu sebahagiannya rukuk selama-lamanya dan sebahagian lagi sujud selama-lamanya".

Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam memperikan keagungan dan keutamaan sholat menulis dalam "Munyatul Musholli" halaman 12 sebagai berikut:-
 " Kata setengah ulama :- "Telah sampai kepada kami khabar bahawasanya Allah SWT membahagi akan segala amal sembahyang atas 40 shaf daripada malaikat, pada tiap - tiap shaf tujuh puluh ribu. 10 daripadanya berdiri, tiada rukuk dan 10 rukuk, tiada sujud dan 10 sujud, tiada angkat kepalanya dan 10 duduk, tiada berdiri. Dan dihimpun akan sekalian amal mereka itu bagi hambaNya yang mu`min di dalam dua rakaat yang disembahyangkan keduanya. Maka tilik olehmu akan besar pemberian Allah dan kurniaNya atas segala hambaNya yang mu`minin."
Yakni, segala perbuatan sholat itu dibahagikan Allah perlakuannya kepada 40 shaf para malaikat yang pada setiap shaf itu terdapat 70,000 malaikat menjadikan keseluruhan malaikat tadi adalah 2,800,000 makhluk agung yang maksum bernama malaikat..... Allahu...Allah. Namun, dalam 40 shaf tersebut, tiada satupun malaikat yang mendirikan sholat itu secara sempurna dengan qiyam, rukuk, sujud dan qu`udnya. 10 shaf daripada malaikat tersebut hanya qiyam sahaja selama-lamanya tanpa rukuk, 10 shaf rukuk selama-lamanya, 10 shaf sujud selama-lamanya dan 10 shaf duduk selama-lamanya. Maka dengan kemurahan Allah SWT, jika seseorang mu`min mendirikan dua rakaat sholat, maka ganjaran sekalian amalan para malaikat yang 40 shaf tersebut yang jumlah mereka adalah 2,800,000 akan diberikan kepada orang mu`min tersebut ..... `adhzim ...`adhzimmmm...

Seterusnya Mawlana Syaikh Daud rahimahullah meneruskan lagi:-
Pada riwayat Jabir dan Mu'adz radhiyaAllahu 'anhuma, tatkala dinaikkan Rasulullah SAW ke langit melihat ia pada langit dunia, malaikat berdiri selama-lamanya. Dijadikan Allah akan mereka itu menyebut dzikir akan Dia, tiada rukuk. Dan pada langit yang kedua, rukuk selama-lamanya, tiada mereka itu mengangkatkan kepalanya. Dan pada langit yang ketiganya, sujud akan Allah, tiada mengangkatkan kepalanya melainkan ketika memberi salam Rasulullah akan mereka itu, maka diangkatkan kepalanya kerana menjawab salam Rasulullah. Kemudian maka sujud pula selama-lamanya, maka kerana inilah dituntut dua kali sujud pada tiap-tiap rakaat. Dan pada langit yang keempat, tasyahhud mereka itu selama-lamanya. Dan pada langit yang kelimanya, mengucap tasbih dan berdzikir mereka itu selama-lamanya. Dan pada langit yang keenam, mengucap takbir mereka itu selama-lamanya. Dan pada langit yang ketujuh, malaikat mengucap "Ya Salaam" masa dijadikan Allah akan mereka itu. Maka cita hati Rasulullah dan ingin bahawa dijadikan baginya demikian segala ibadat malaikat yang di dalam langit itu baginya dan bagi umatnya. Maka telah mengetahui Tuhannya yang al-Khallaqul 'Alim akan cita niatnya serta sudah diketahui pada azalnya, dihimpunkan segala ibadat malaikat yang dalam tujuh petala langit itu di dalam dua rakaat sembahyang kerana memuliakan niatnya dan umatnya. Kata Mu`adz dan Jabir: " Maka barangsiapa berdiri di dalam sembahyang serta membesarkan dia, dan ditunaikan segala rukunnya dan rukuknya dan sujudnya, adalah baginya pahala malaikat tujuh petala langit dan barang yang di dalamnya daripada segala kejadian Allah ta`ala".
Oleh itu, hendaknya kita syukuri anugerah agung daripada Rabbul Jalil `azza wa jalla ini. Sholat fardhu yang lima hendaklah sentiasa kita jaga dan pelihara dengan sebaik-baiknya, di samping memperbanyakkan sholat - sholat sunnat dan nawafil. Sungguh ganjaran ibadat sholat ini tiada tara, atasnya wajib kita bersyukur kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka-mereka yang mendirikan sholat dengan sempurna zahir dan batin....Allahumma aaamiin.


Selasa, Jun 04, 2013

Baitul Muthoyyabin

Imam Thabrani rahmatullah `alaih meriwayatkan bahawa pada satu hari seorang lelaki telah datang kepada Junjungan Nabi SAW. Tujuan kedatangannya adalah memohon bantuan baginda untuk membuat persediaan bagi perkahwinan anak perempuannya. Namun ketika itu, Junjungan Nabi SAW tidak memiliki apa-apa untuk diberikan kepada lelaki tersebut. Namun bukanlah sifat Junjungan Nabi SAW untuk menghampakan permintaan seseorang, lalu baginda SAW telah meminta sebiji botol kosong daripada lelaki tersebut. Kemudian baginda mengumpul peluh baginda yang mulia dan memasukkannya ke dalam botol tersebut. Botol itu baginda berikan kepada lelaki itu dan baginda bersabda: "Suruhlah anakmu berwangi-wangian dengannya". Apabila anak lelaki tersebut menggunakan wangian yang berasal daripada peluh mulia Junjungan Nabi SAW maka tersebarlah bau semerbak keharuman yang tiada tara sehingga dapat dihidu oleh para penghuni kota. Sehingga akhirnya, para penduduk kota tersebut telah menggelar rumah lelaki itu sebagai "Baitul Muthoyyabin" yakni "rumah yang diharumi wangian". Allahu ... Allah, alangkah bertuahnya jika hidung kita yang banyak dosa maksiat ini dapat mencium keharuman Junjungan Nabi SAW tersebut. Semoga kita direzekikan Allah dengannya, kalau tidak di dunia yang fana ni, di dalam syurga nanti hendaknya. Mudah -mudahan Allah mengharumkan rumah kita dengan keberkatan bacaan mawlid Junjungan Nabi SAW dan keberkatan sholawat dan salam ke atas baginda. Allahumma aamiin.

Khamis, Mei 30, 2013

Wahabilah Bukan Salafi

Penggunaan gelar Wahabi kepada pengikut Ibnu Abdul Wahhab an-Najdi bukanlah sesuatu yang baharu. Dan bukanlah asal gelar tersebut daripada musuh-musuh mereka sebagaimana dakwaan sesetengah intelektual masa kini. Sebenar, ianya telah mula dipakai oleh tokoh - tokoh mereka sendiri sejak awal gerakan tersebut lagi. Di antara tokoh mereka yang menggunakan gelar tersebut bagi merujuk kepada pengikut Ibnu Abdul Wahhab adalah Syaikh Sulaiman bin Sahman yang menamakan karyanya dengan "al-Hadiyyah as-Saniyyah wa at-Tuhfah al-Wahhabiyyah an-Najdiyyah" yang diterbitkan antaranya oleh Mathba`ah al-Manar, Mesir yang dimiliki oleh Syaikh Rasyid Ridha dengan cetakan awalnya pada tahun 1342 atas perintah Raja `Abdul `Aziz Al Saud. Oleh itu, para penyokong dan pendokong ulama Nejd ini seharusnya tidak marah jika dipanggil Wahabi. Nak marah mende, jika hang pa tu memang dah pengikut Syaikh Najdi tersebut, mengaku ajelah tak payahlah nak berselindung atas nama Salafi. Para pengikut mazhab empat tidak akan marah jika digelar sebagai Syafie atau Hanafi. Dan sesungguhnya Imam asy-Syafie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak kurang salafnya daripada Imam Ahmad bin Hanbal radhiyaAllahu `anhum ajmain.


Ahad, Mei 19, 2013

Mutlak Hanya Allah al-Hadi .......

Hidayah yang menyuluh kita ke arah jalan yang lurus benar menuju keredhaan Allah SWT adalah sesuatu anugerah Allah yang tiada taranya. Setiap kali membaca Ummul Kitab, itulah yang kita pohon daripada Allah SWT, kerana hanya Dia yang berkuasa untuk memberinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Jangan kata kita, para rasul 'alaihimus salam tidak punya kuasa untuk memberikannya kepada orang lain selain dengan kehendak dan keizinanNya. Maka mereka hanya ditugaskan untuk menyampaikan sahaja ajaran - ajaran hidayah, menerima atau tidak, mendapat atau tidak, itu kerja dan ketentuan Allah SWT. Jika  siang malam kita berdakwah, namun tidak juga berhasil, maka bersabarlah dan jangan putus asa. Hidayah bukan di tangan kita, yang penting kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kita tersebut dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, pasti akan diganjari Allah SWT.

Tatkala Junjungan Nabi SAW menyampaikan dakwah hidayah Ilahi kepada paman baginda yang dikasihinya dan yang banyak menolong baginda, namun pamannya tersebut enggan menerimanya, maka bersedihlah baginda dengan kesedihan yang amat, lalu Allah menghiburkan hati kekasihNya SAW dengan menurunkan firmanNya:-

"Sesungguhnya engkau (wahai kekasihku Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang engkau cintai; Tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki" [al-Qashash: 56]
Oleh itu, fahamlah kita hendaknya bahawa urusan memberi hidayah atau petunjuk itu adalah semata-mata urusan Allah SWT. Tiadalah kuasa atas kita untuk memberikannya, kita hanya menyampaikan sahaja, soal dapat atau tidak itu bukan kerja kita. Jangankan orang lain, diri kita sendiri pun tiada jaminan memperolehi hidayah tersebut, takut - takut yang kita dapati hanyalah riwayah cerita semata-mata. Kebanyakan ahli hadits dan ahli tafsir menyatakan bahawa ayat tersebut diturunkan berkenaan dengan Abu Talib yang enggan menyatakan keimanannya walaupun setelah disuruh oleh Junjungan Nabi SAW melakukannya.

 Oleh itu, jika kita melihat seseorang yang rajin menuntut ilmu tapi masih belum dapat mengamalkan ilmunya sepenuhnya, janganlah mudah mulut kita untuk berkata: "Nama sahaja belajar agama 15 tahun tapi ... atau Tak guna dia belajar agama bertahun - tahun tapi mulutnya laser .... dan seumpamanya.". Adakah perbuatannya belajar agama 15 tahun itu salah atau maksiat ? Jika ianya  bukan suatu kesalahan atau maksiat, mengapa kamu mengejinya ? Seharusnya yang dikeji adalah maksiat yang dilakukannnya bukan amal kebaikannya. Selaku penuntut ilmu atau ahli ilmu, kita harus mampu dan bijak membezakan antara dua perkara tersebut, iaitu mana yang baik dan mana yang buruk. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar. Ingat bakar nyamuk bukan bakar kelambu, kalau tak dapat bakar nyamuk, bakar ubat nyamuk. Apa-apa pun, gunalah akal yang waras untuk berfikir bukan akal yang telah diselubungi emosi dan taksub yang tersembunyi. Allah yahdik.