Ahad, Mei 11, 2014

Minhajuth Thalibin - Habib `Umar

"Minhajuth Thalibin wa Umdatul Muftin" adalah antara karya monumental al-Imam al-Quthub Abi Zakaria Muhyiddin an-Nawawi rahimahullah. Ianya adalah antara materi penting yang menjadi kajian dan rujukan para pengikut mazhab Sulthan al-A-immah Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Almarhum KH Sirajuddin Abbas rahimahullah menyatakan bahawa kitab ini adalah satu - satunya kitab fiqih agama Islam yang mula-mula masuk ke Indonesia dan kitab ini juga telah dijadikan teks utama dalam pengajian fiqh Syafi`i di berbagai pondok, madrasah, pesantren dan masjid sejak kurun ke-7H lagi.

Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana para ulama di Timur Tengah juga mempunyai pandangan yang tinggi kepada karya Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu ini. Tidak ketinggalan juga para ulama Ahlil Bait di Hadhramaut, sehingga ramai daripada mereka yang menghafal kitab ini. Shahibur Ratib al-Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah sentiasa memberikan perhatian yang khusus kepada kitab ini. Bahkan beliau telah berpesan kepada murid - muridnya, Syaikh `Abdullah Baubad rahimahullah dan Syaikh `Ali Baras rahimahullah untuk mentelaah kitab "Minhajuth Thalibin" ini dan menyatakan :-
Kitab ini mengandungi penuh berkat kerana ia padat dengan ilmu. Kenapa tidak, kerana Imam an-Nawawi adalah penghulu segala wali dan dia mendoakan kepada mereka yang membaca kitab tersebut. Dan sesiapa yang membacanya nescaya akan dibukakan Allah ta`ala rahsia-rahsia ilmu zahir dan batin.  
Perhatian yang diberikan oleh para ulama terhadap kitab ini sungguh luar biasa. Berpuluh - puluh syarah bagi kitab ini telah ditulis oleh ramai ulama kenamaan. Antara yang masyhur yang menjadi rujukan penting dalam mazhab asy-Syafi`i adalah "Tuhfatul Muhtaj" karya Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, "Nihayatul Muhtaj" karya Imam Syamsuddin ar-Ramli rahimahullah dan "Mughnil Muhtaj" karya Syaikh Muhammad Syarbaini al-Khatib rahimahullah. Mudah-mudahan Allah `azza wa jalla membalas Muhyiddin an-Nawawi dan segala ulama dengan sebaik-baik balasan atas segala usaha mereka dalam memartabatkan ilmu dan hukum Allah atas muka bumi ini. 

Rabu, April 30, 2014

Doa Ibnu `Abbas RA

Perbuatan mengarang doa - doa dan shalawat - shalawat dengan berbagai rupa bentuknya sebenarnya telah dilakukan oleh sebahagian sahabat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak mengharamkan kreativiti seseorang untuk berkarya hatta dalam bentuk susun kata doa, munajat, ibtihalat, qasidah, shalawat dan lain - lain. Selagi mana sesuatu karya itu berkitar dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syariat, maka tiada alasan untuk melarangnya. Jika sesuatu doa atau shalawat itu tidak warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tidak bererti yang ianya tidak boleh dijadikan amalan walaupun yang warid daripada Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sudah tentu lebih afdhal dan terbaik kerana keluar daripada bibir makhluk Allah ta`ala paling agung yang tiada sabdaanya melainkan atas wahyu daripada Allah `azza wa jalla. Sepupu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam Sayyidina `Abdullah bin al-`Abbas radhiyaAllahu `anhuma, diriwayatkan pernah melantunkan satu doa buat Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sering dikutip dalam kitab - kitab shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Imam al-Qadhi al-Hafiz Ismail bin Ishaq al-Azdi al-Jahdhomi al-Basri rahimahullah meriwayatkan dalam karangannya "Fadhlush Shalaati `alan Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam" pada halaman 91 bahawasanya Thawus rahimahullah berkata:
"Aku telah mendengar Sayyidina Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma mengucapkan: " Allahumma taqabbal syafaa`ata Muhammadinil kubra, war-fa' darajatahul `ulyaa, wa a'thi-hii su'lahuu fil aakhirati wal uulaa, kamaa aataita Ibraahiima wa Muusaa". (Ya Allah, terimalah permohonan syafaat Junjungan Nabi Muhammad yang agung, tinggikanlah darjat kedudukan baginda yang muliai, kurniakanlah kepadanya segala permohonannya dalam hal akhirat dan dunia, sebagaimana anugerahMu kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.)
Sanad riwayat Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma di atas adalah shahih. Maka adakah sesiapa daripada kita yang berani menghukum Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma sebagai membuat bid`ah kerana menyusun doa seperti di atas. Oleh itu, jika pun sesuatu lafaz doa atau shalawat itu tidak warid datangnya daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ianya tetap boleh diamalkan selagimana ungkapan yang digunakan adalah layak dan selari dengan syariat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sesungguhnya agama ini umpama pohon rendang yang hidup dan tumbuh subur sepanjang zaman sehingga para penganutnya yang bertambah dari hari ke sehari dapat bernaung di bawah naungannya yang semakin rimbun dan indah mengikut peredaran zaman sambil menikmati buah-buahnya. Tidaklah agama ini diibaratkan seperti batu yang hanya keras membatu sepanjang waktu.

Ahad, April 27, 2014

Menghadap Rasul

Dr. Abdul Basit Abdul Rahman dalam bukunya "Madinah Munawwarah Kelebihan dan Sejarah" pada halaman 35 menulis:-
Menghadap ke arah makam Rasulullah SAW ataupun Raudhah ketika berdoa adalah dilarang sama sekali kerana kiblat doa bagi Muslimin adalah Kaabah."

Ternyata Dr. Abdul Basit yang dikenali juga sebagai Abu Anas al-Madani adalah antara ustaz yang menghukumkan berdoa menghadap ke arah makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai sesuatu yang dilarang sama sekali. Melihat kepada ketegasan kalimah "dilarang sama sekali" membawa erti bahawa ianya adalah sesuatu yang haram untuk dilakukan.

Apa yang dinyatakan oleh Dr. Abdul Basit ini adalah benar dan tepat dari sudut pandang puak Wahhabi dan yang sewaktu dengan mereka. Namun pendapat dan pandangan sedemikian adalah berseberangan dengan pandangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Jadi yang melarang sama sekali atau yang mengharamkan atau yang membid`ahsesatkan untuk menghadap ke arah makam Rasulullah SAW ketika berdoa bukanlah para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah, ianya adalah larangan puak "Salahpi" yang didokong dan dikutip oleh Dr. Abdul Basit, semoga Allah memberi beliau taufik dan hidayah ke atas jalan yang haq, Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sejati. Oleh itu, pernyataan Dr. Abdul Basit ini tidak mewakili pandangan para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Ketika menziarahi Junjungan Nabi SAW dalam masjid Baginda yang mulia, ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah menganjurkan agar kita tetap menghadapkan wajah kita ke arah makam Baginda walaupun ketika berdoa ke hadhrat Allah `azza wa jalla. Tidak sepatutnya timbul isu membelakangkan qiblat kerana ketika itu kita sedang berada di hadapan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Apakah patut dan layak kita memberi belakang kita kepada baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ?  Alhamdulillah sekarang pendapat extreme puak Wahhabi ini mulai luntur sehingga Raja Abdullah sendiri berdoa dengan menghadapkan wajahnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Untuk mengimbangi pendapat yang dikemukakan oleh Dr. Abdul Basit, kita kemukakan pula pernyataan seorang ulama besar, seorang "gergasi" dalam agama terutama sekali di bidang hadis, ulama yang terkenal dengan gelaran "Raa-isul Muhadditsin (Pemimpin Para Muhadditsin)", al-'Alim al-'Allaamah Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah. Dalam karya beliau yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu,  "Fadhilat Haji" halaman 204, Maulana rahimahullah menulis sebagai berikut:-
Adalah jelas daripada yang disebutkan di atas bahawa tatkala memohon kepada Allah, muka hendaklah dihadapkan kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Walaupun adab yang biasanya daripada doa ialah mengarahkan muka ke Qiblat tetapi pada tempat ini jikalau itu dilakukan maka belakang akan mengarah kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sesungguhnya akan berlaku tidak hormat kepada peribadi yang dirahmati itu. Maka yang demikian, doa hendaklah dilakukan dengan wajah menghadapi Baginda.
Oleh itu, sesiapa yang nak pakai kata-kata Dr. Abdul Basit tadi, maka itu hak kome. Ese tetap ikut pandangan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah termasuklah Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah. Lana a'maaluna wa lakum a'maalukum.

Rabu, April 23, 2014

Penonjolan Berlebihan ????

"Allahumma sholli `ala Muhammad" atau "ShallAllahu `ala Muhammad" adalah antara shighah yang biasa digunakan untuk bershalawat ke atas Junjungan Nabi SAW, teristimewa pula ketika majlis - majlis mawlid dan majlis mahabbah atau Cinta Rasul yang demamnya baru sampai ke Malaysia. Dilantunkan dengan irama indah menusuk qalbu walaupun kekadang sumbang bunyinya tapi Aiman tak kisah janji shalawatan. Melihat kepada shighah shalawat, jelas dan nyata bahawa walaupun dikatakan kita bershalawat namun hakikatnya siapalah kita untuk menyampaikan shalawat ke atas manusia seagung Junjungan Nabi SAW. Maka dikembalikanlah shalawat tersebut kepada Zat yang Teragung lagi tiada tara, kekasihnya Sang Kekasih Baginda Muhammad SAW, Allah SWT untuk melimpahkan shalawat ke atas kekasihNya Junjungan Nabi SAW, maka terungkaplah kata - kata shalawat seumpama Allahumma sholli `ala Muhammad sebagaimana ajaran baginda SAW sendiri. 

Makanya dalam bershalawat tetap ada sanjungan, sebutan, ingatan dan zikir kepada Allah SWT. Pasti dalam setiap shalawat ke atas Nabi SAW, kita menyeru dan memohon Allah SWT untuk melimpahkan shalawat ke atas baginda. Begitulah juga dengan qasidah - qasidah atau bait -bait syair yang dibaca, pasti ada terselit sanjungan kepada Allah SWT yang telah mencipta dan memuji kekasihNya Junjungan Nabi SAW. Contohnya dalam qasidah "Ya Hanana" yang dipopularkan oleh Habib Syech hafizahullah, kan ada dalam bait-baitnya yang menyatakan bahawa zahirnya Junjungan Nabi SAW adalah satu rahmat dan kelebihan daripada Allah SWT. Oleh itu tidak seharusnya timbul komentar - komentar nakal terhadap amalan shalawat atau majlis - majlis mawlid atau majlis Cinta Rasul dengan kata-kata seumpama:- "Penonjolan kepada Rasulullah terlalu berlebihan sehingga menenggelamkan penonjolan kepada Allah." 

Sesungguhnya apabila Rasulullah SAW diingati, maka pasti Allah telah sedia ada dalam ingatan. Kenapa tidak, bukankah ingatan kita kepada Junjungan SAW adalah atas titah perintah Allah SWT? Tidakkah Allah berfirman dalam surah al-Insyirah yang kira-kira bererti: "Dan Kami telah meninggikan bagimu, sebutan namamu." Maka majlis-majlis tersebut tadi adalah dalam rangka membenarkan firman Allah SWT untuk meninggikan sebutan nama kekasihNya yang mulia SAW. Allahu .... Allah, teringat kepada kata - kata seorang guru:-
Allah 
Muhammad
Berpisah tiada
Namun Khaliq tetap Khaliq
Makhluk tetap makhluk
Allahumma sholli wa sallim `alaih

Ahad, April 20, 2014

Iblis Meraung

Syaikh Mutawalli asy-Sya'raawi rahimahullah pernah menyatakan bahawa:-
Peristiwa mawlid Junjungan Nabi Muhammad SAW adalah peristiwa yang paling besar sepanjang sejarah. Bahkan lebih besar dari peristiwa diciptanya seluruh alam, kerana baginda datang dengan ajaran Allah sebagai rahmat bagi seluruh alam.
Tiada keraguan bahawa lahirnya Junjungan Nabi SAW ke dunia ini adalah sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam. Maka sudah pasti dan semestinya segala isi alam ini bergembira dan bersukacita dengan kehadiran Rahmat bagi sekalian alam ini. Hanya golongan yang dilaknat Allah SWT sahaja yang tidak merasa gembira dengan dengan hadirnya Rahmat tersebut kerana mereka telah dijauhkan daripada segala rahmat. Oleh itu, tidak pelik jika Iblis dan konco - konconya daripada kalangan syaitan bersedih dan berduka dengan kelahiran Junjungan Nabi SAW, sehingga diriwayatkan bahawa Iblis terkutuk meraung - raung kesedihan atas lahirnya Junjungan Nabi SAW.

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menukilkan dalam karya beliau, al-Bidayah wan Nihayah, jilid 2, halaman 166, bahawa Imam as-Suhaili rahimahullah menceritakan yang Iblis telah meraung kesedihan pada 4 ketika: (1) ketika dia dia dilaknat Allah SWT; (2) ketika dia dihalau; (3) ketika Junjungan Nabi SAW dilahirkan dan (4) ketika surah al-Fatihah diturunkan.

Oleh itu, sayogianya kita menjauhi perbuatan Iblis yang benci dan berdukacita dengan kelahiran Junjungan Nabi SAW.  Kita hendaklah sentiasa bergembira dan memperingati akan kelahiran Junjungan Nabi SAW sebagai tahadduts bin ni'matillah dalam rangka mensyukuri rahmat dan nikmat Allah yang besar kepada kita. Mudah-mudahan hidup dan mati kita diberkatiNya sentiasa.

Jumaat, April 18, 2014

Raja Shalawat

Di pagi hari Jumaat ini tersangatlah elok untuk kita bershalawat ke atas Junjungan Nabi Besar Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Shalawat Kubra adalah salah satu daripada bentuk shalawat yang telah biasa diamalkan oleh sebahagian ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, yang dinisbahkan kepada Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah. Selain dikenali sebagai "ash-Shalatul Kubra" atau "Shalawat Kubra", yakni sholawat yang besar, juga dikenali sebagai "Alfiyatus Shalawat" kerana isi kandungan merupakan ucapan jutaan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Syaikh Muslih bin `Abdul Rahman al-Muraqy rahimahullah dalam komentarnya mengenai faedah shalawat ini menyatakan: 
"Baik sekali bagi orang yang sedang menunaikan haji ke Makkah dan ke Madinah untuk memperbanyak membaca Sholawat Kubra ini di mana saja tempatnya asal suci dan pantas. Apa lagi pada ketika berziarah ke maqam Rasulullah SAW, maka shalawat ini sangat baik untuk dibaca di maqam yang mulia itu. Mudah-mudahan segala maksud dan cita-cita yang baik berhasil dan sukses, demikian pulalah doa yang bersangkutan dimakbulkan Allah, mendapat haji yang mabrur dan mendapat umrah yang makbul di sisi Allah dengan keberkatan shalawat ini dan dengan syafa`at baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW."
Syaikh Haji Muda Muhammad Waly al-Khalidy rahimahullah (gambar di atas), ayahanda Syaikhuna Prof. Dr. KH Muhibbuddin Waly al-Khalidy rahimahullah menggelarnya sebagai "Raja Shalawat" dan adalah dianjurkan agar dibaca dengan penuh khusyuk dan hudur seolah - olah berada di hadapan Junjungan Nabi SAW atau setidak - tidaknya seolah - olah kita berada di sisi makam baginda yang mulia. Alfu alfi sholaatin wa alfu alfi salaamin `alaika Ya Sayyidi Ya RasulAllah.

ash-Shalatul Kubra


Isnin, April 14, 2014

Pohon Kurma Abu Dujanah

Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi rahimahullah dalam karya beliau "I`anatuth Tholibin", jilid 3, halaman 293 menceritakan sebuah kisah mukjizat Junjungan Nabi SAW berkaitan sepohon kurma dan seorang sahabat baginda yang bernama Abu Dujanah RA. Rasanya ese pernah dengar Ustaz Don hafizahullahu ta`ala menceritakan kisah ini dengan sedikit perbezaan. Ese akan terjemahkan kisah tersebut secara ringkas.

Diceritakan bahawa pada zaman baginda Nabi SAW ada seorang sahabat yang dipanggil Abu Dujanah. Setiap hari Abu Dujanah menunaikan sholat Subuhnya berjemaah dengan Junjungan Nabi SAW di masjid, namun seusai sholat beliau akan terus bergegas pulang ke rumahnya tanpa menunggu Junjungan Nabi SAW menyelesaikan doa baginda. Perbuatan Abu Dujanah telah ditegur oleh Junjungan Nabi SAW. Abu Dujanah menceritakan kepada Junjungan Nabi SAW bahawa beliau tinggal berjiran dengan seorang lelaki dan dalam kawasan rumah lelaki tersebut tumbuh sebatang pohon kurma yang besar betul-betul bersebelahan dengan rumahnya. Ketika malam, buah - buah kurma itu akan jatuh ke halaman rumahnya kerana tiupan angin. Pagi - pagi apabila anak-anak Abu Dujanah bangun dalam keadaan lapar mereka akan mengutip buah - buah tersebut untuk dimakan. Pernah satu hari, ketika Abu Dujanah melihat anaknya memasukkan sebutir buah tamar tersebut ke dalam mulut, beliau terus mengeluarkannya semula dengan tangannya agar anak tersebut tidak memakan sesuatu yang bukan milik mereka. Hal ini telah menyebabkan anak tersebut menangis. Sebab itulah, Abu Dujanah terpaksa bergegas balik ke rumah setelah sholat Subuh untuk memungut semua buah tamar jirannya yang jatuh di halamannya dan menyerahkannya semula kepada pemiliknya sebelum anak-anaknya jaga dari tidur. Lalu Junjungan Nabi SAW bertanya tentang pemilik pokok kurma tersebut, Baginda dimaklumkan bahawa ianya dimiliki oleh seorang lelaki munafik. Junjungan Nabi SAW memanggil lelaki tersebut dan baginda menawarkan kepadanya supaya pohon kurmanya itu diberikan kepada Abu Dujanah dengan imbalan 10 pohon kurma di syurga yang batangnya daripada zabarjad yang hijau, daunnya daripada emas merah, buah-buahnya daripada permata putih dan bidadari menurut bilangan buah-buahnya. Namun tawaran Junjungan Nabi SAW tersebut telah ditolak oleh lelaki munafik tersebut. Kemudian, Sayyidina Abu Bakar RA mengusulkan agar si munafik tadi menjual pohon kurmanya tersebut kepadanya dengan imbalan 10 batang pohon kurma terbaik milik beliau yang tumbuh di satu lembah Kota Madinah. Tawaran Sayyidina Abu Bakar RA diterima oleh lelaki munafik tersebut. Sayyidina Abu Bakar RA kemudiannya menghadiahkan pohon kurma tersebut kepada Abu Dujanah. Junjungan Nabi SAW memaklumkan kepada Sayyidina Abu Bakar bahawa imbalan yang tadinya baginda tawarkan kepada si munafik telah dijadikan buat Sayyidina Abu Bakar, maka gembiralah Sayyidina Abu Bakar dan juga Sayyidina Abu Dujanah. Manakala si munafik tersebut juga pulang ke rumahnya dengan perasaan girang. Dia memberitahukan isterinya dan menyatakan bahawa dia telah beroleh keuntungan besar kerana selain daripada memperolehi 10 batang kurma daripada Sayyidina Abu Bakar, pohon kurma yang berada di halaman rumahnya juga akan tetap berada di situ. Maka dia masih dapat mengambil dan menikmati buah-buahnya. Malam tersebut, tidurlah si munafik dengan gembira, namun ketika dia bangun pada paginya didapatinya pohon kurma yang dahulunya tumbuh di halaman rumahnya telah berpindah ke halaman rumah Sayyidina Abu Dujanah, seolah - olah itulah tempat tumbuh asalnya. Maka hairanlah si munafik tadi dengan sehabis-habis hairan.