Ahad, Disember 20, 2015

Tempat Mustajab Berdoa

Syaikh Taqiyuddin Abi Thayyib Muhammad bin Ahmad al-Fasi al-Makki rahimahullah (775H - 832H) adalah seorang ulama besar, faqih, muarrikh (sejarawan) dan qadhi dalam mazhab Maliki di Mekah. Beliau memiliki banyak karya tulis dan dalam salah satunya yang berjodol "Syifaa-ul Gharaam bi Akhbaaril Baladil Haraam", jilid 1 halaman 199, beliau rahimahullah menukilkan bahawa an-Naqqasy rahimahullah menyatakan berdoa di tempat kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pada tengahari hari Isnin adalah mustajab.

Untuk makluman, an-Naqqasy atau nama penuhnya Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Muhammad bin Ziyad bin Harun bin Ja'far al-Muqri an-Naqqasy al-Mawshili rahimahullah (266H - 351H) adalah seorang ulama tafsir yang terkemuka. Antara karya tulis beliau adalah tafsir al-Quran yang diberi nama "Syifa-ush Shudur" yang setakat ini masih dalam bentuk manuskrip.

Rabu, Disember 16, 2015

Rehlah Ibnu Jubayr

Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam lahir di Makkah. Setakat tarikh ini, atas tempat yang dipilih Allah `azza wa jalla untuk menyaksikan peristiwa kelahiran agung Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam tersergam berdiri sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai "Maktabah Makkah al-Mukarramah", tapi entah sampai bila binaan ini akan dikekalkan kerana pembesaran Masjidil Haram. Dahulunya pada zaman kegemilangan, di sini wujud sebuah masjid yang indah, namun telah dimusnahkan oleh para penjajah dari Najd. Maka dengan alasan pembesaran Masjidil Haram, maka entahlah samada kedudukan tempat yang mulia ini akan kekal dikenali atau menerima nasib yang sama dengan berbagai tapak sejarah Islam yang telah dimusnahkan oleh puak penjajah Najdi yang hilang ditelan sejarah. Namun apa pun yang bakal terjadi, setidak-tidaknya rujukan kepada tempat-tempat yang berkat ini masih kekal dalam karya-karya para ulama dan sejarawan.

Dahulu tempat kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ini sentiasa dijaga dan diberi perhatian khusus oleh para pemerintah Hejaz yang terdahulu sebelum berlakunya penjajahan Hejaz oleh puak Badwi Najdi. Seorang pengembara Muslim yang ternama, Abul Husain Muhammad bin Ahmad bin Jubayr al-Kinani (1145 - 1217M) yang lebih dikenali sebagai Ibnu Jubayr dalam memoir perjalanan beliau yang terkenal dengan jodol "Rehlah Ibn Jubayr", yang diterjemah ke Bahasa Inggeris oleh Roland Broadhurst dengan jodol "The Travels of Ibn Jubayr", halaman 111 menyatakan:-
"... Also amongst its noble shrines is the birthplace of the Prophet - may God bless and preserve him - and the undefiled ground that was the first earth to touch his immaculate body and over which has been built a mosque that never was seen more finely built, being for the most of inlaid gold. The holy place where the Prophet - may God bless and preserve him - came forth in the blessed and happy hour of his nativity, a nativity ordained by God in compassion for all the people, is girt with silver. What earth to be honoured by God in making it the place of the coming forth of the purest of bodies, the birthplace of the best among men ! May God bless and preserve him, his stock, his family, and his noble Companions. This blessed place is opened, and all men enter it to be blessed, on every Monday of the month of Rabi' al-Awwal; for on that day and in that month was born the Prophet - may God bless and preserve him. All the holy places mentioned are opened on that day, which is always a famous one in Mecca....."

Lihatlah bagaimana Ibnu Jubayr rahimahullah, setiausaha Gabenor Granada, Andalus yang di bawah kekuasaan Dinasti al-Muwahhidun (al-Mohad), dalam memoir perjalanan haji dan ziarahnya dengan jelas menceritakan bahawa pada setiap hari Isnin dalam bulan Rabi`ul Awwal, tempat kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dibuka dan ramai manusia datang menziarahinya dan mengambil keberkatan dengannya (mutabarrikin bihi), yakni mereka bertabarruk dengan tempat yang telah menjadi saksi kelahiran Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Maka memelihara dan menjaga tempat-tempat bersejarah atau warisan bersejarah, apatah lagi  yang berkait dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bukanlah sesuatu yang ditegah dalam Islam. Namun ketika dunia semakin menghampiri hujung usianya, maka muncul para penggembala unta yang berperangai keras dan kasar yang tidak memiliki kehalusan jiwa untuk memahami dan menghargai tinggalan bersejarah ini. Mungkin ini adalah tanda-tanda dunia sudah semakin hampir ke penghujungnya.

Selasa, November 24, 2015

Nur Muhammad - Syaikh Wan Ahmad

Lama dah rasanya tak poskan entri tentang "Nur Muhammad". Jadi kali ini, kita teruskan membongkar rahsia Nur Muhammad daripada karangan para ulama kita terdahulu walaupun tidak disukai oleh segelintir "ostad" zaman ini yang tak reti - reti bahasa. Para cerdik pandai dan ilmuan pasti kenal dengan al-'Alim al-'Allaamah adz-Dzakiy asy-Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani rahimahullah. Syaikh yang mulia ini telah menulis dalam kitab beliau, "Badrut Tamaam wan-Nujuumuts Tsawaaqib" pada halaman 3 sebagai berikut:-
" (Maka telah datang dalam hadis) bahawasa awal barang yang dijadikan Allah ta`ala itu nur nabi kita Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan datang kaifiat menjadikan nur yang mulia itu beberapa riwayat yang berbilang - bilang. Dan hasil sekaliannya bahawasa Allah subhanahu wa ta`ala tatkala bergantung iradahNya dengan menjadikan sekalian makhluk, menjadilah Ia akan nur Sayyidina Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dahulu daripada dijadikan langit dan bumi dan arasy dan kursi dan loh dan qalam dan syurga dan neraka dan malaikat dan sekalian yang lainnya dengan bagian - bagian ribu tahun. Dan adalah dilihatkan nur itu di dalam padang 'aalamul qudsi, maka pada setengah ketika disuruhkan dia dengan sujud dan seketika dengan tasbih dan taqdis dan dijadikan baginya akan beberapa hijab. Didiamkan dia di dalam tiap-tiap hijab itu beberapa masa yang panjang mengucap tasbih ia bagi Allah ta`ala dengan tasbih yang tertentu. Maka kemudian daripada dikeluarkan dia daripada segala tirai itu, bernafas ia dengan beberapa nafas, maka dijadikan daripada segala nafasnya akan segala roh anbiya` dan awliya` dan shiddiqin dan syuhada` dan sekalian mukminin dan sekalian malaikat. (Dan kemudian) daripada menjadi Allah ta`ala akan Adam `alaihis salam daripada tanah, dihantarNya akan nur itu pada dahinya kemudian berpindah nur itu kepada Nabi Syits `alaihis salam, kemudian kepada Yaanisy dan demikianlah berpindah-pindah ia daripada segala bapa yang suci kepada segala anak yang baik hingga sampai ia kepada `Abdul Muthallib dan tercemerlang ia pada mukanya...."
Tiada seorang pun ulama kita yang beriktiqad yang nur Muhammad itu qadim atau menuhankannya atau mengatakan ia mempunyai unsur ketuhanan. Jelas bahawa nur Muhammad itu adalah makhluk yang dijadikan Allah. Dan tiada juga mereka beriktiqad yang batang tubuh jasad Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam itu diciptakan daripada nur. Penciptaan jasad mulia baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah sebagaimana penciptaan jasad sekalian anak Adam. Oleh itu, janganlah nur Muhammad ini dijadikan alasan untuk kita menyesatkan kaum muslimin apatah lagi kalangan ulamanya. Jika pun akal kita mungkin sukar untuk menerima penjelasan mereka mengenai makhluk Allah yang pertama dicipta, yang disebut sebagai Nur Muhammad, yang tiada lain melainkan rohnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang digelar sebagai Abul Arwah, yang sebagaimana ahwalnya roh tiada siapa yang tahu hakikatnya selain Allah subhanahu wa ta`ala. Maka jika kita tidak mampu menerimanya, maka belajarlah untuk menghormati dan bertasamuh dalam berbeza pendapat dengan para ulama lain. Nescaya akan wujud keharmonian dan kedamaian sesama umat.

Isnin, November 23, 2015

Belasungkawa

Dengan penuh kedukaan dan kesedihan dimaklumkan bahawa kelmarin, Ahad, 10 Safar 1437, telah kembali ke rahmatullah al-`Alim al-Allaamah al-Muhaddits al-Falakiy al-Habib Abu Alwi Hamid bin Alwi al-Kaaf rahimahullah. Beliau wafat di Kota Makkah al-Mahmiyyah dan jenazah beliau telah dishalatkan dalam Masjidil Haram sebelum dimakamkan di permakaman ahlil bait di perkuburan Ma'la. Mudah - mudahan beliau ditempatkan bersama leluhurnya terdahulu daripada kalangan salafus shaleh di sisi al-Jidd al-Akbar, an-Nabiy al-Musthafa al-`Adnani shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allahumma aamiin ..... al-Fatihah.

Khamis, Oktober 29, 2015

Merayakan Kemanusiaan

Apabila kita mengadakan majlis - majlis mawlid bagi memperingati Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka ada segelintir  yang keberatan. Bukan saja keberatan, tapi juga selalu menuding jari - jari fitnah yang "konon"nya majlis - majlis mawlid adalah majlis untuk memuja dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam melebihi Allah subhanahu wa ta`ala. Mereka menyamakan Ahli Tawhid yang mengadakan sambutan mawlid dengan orang - orang musyrik yang menyambut Hari Natal. Sesungguhnya qiyas yang mereka gunakan ini adalah qiyas bathil kerana sekali-kali tidak boleh diqiyaskan Ahli Tawhid dengan musyrik.

Ketahuilah bahawa di sisi Ahli Tawhid, menyambut mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah untuk mensyirikkan Allah dengan hamba dan kekasihNya, Sayyiduna Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Justru sebaliknya, ia adalah untuk menjazamkan lagi bahawa Allah subhanahu wa ta`ala itu Maha Esa lagi tiada tara. Bahkan kalimah "mawlid" itu sendiri mengisyaratkan kepada kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka ianya adalah untuk mentakkidkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam walaupun seorang yang istimewa dan luar biasa, namun tetap seorang manusia yang mempunyai tarikh lahir, yang dilahirkan daripada seorang ibu mulia. Sisi mana kita hendak kata sambutan mawlid ini membawa kepada penuhanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sedangkan semua ahli tawhid mengetahui bahawa Allah `azza wa jalla Zat yang Maha Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Di mana syiriknya apabila setiap shalawat yang diucapkan seumpama "Allahumma shalli `ala Muhammad", "ShallaAllahu `alaihi wa sallam" adalah permohonan kepada Allah ta`ala agar dilimpahkan shalawat dan kesejahteraan ke atas hambaNya, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Oleh itu, janganlah bermudah-mudah untuk membuat tuduhan yang tidak berasas kepada satu-satu amalan yang telah menjadi kelaziman umat zaman berzaman. Tahanlah lidah daripada memvonis saudara-saudara seagama hanya kerana mereka mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana diperintahkan oleh Allah `azza wa jalla.

Khamis, Oktober 01, 2015

Kisah Jaga Air Muka

Imam an-Nawawi ats-Tsani, Syaikh Muhammad Nawawi bin `Umar al-Jawi al-Bantani, guru kepada guru - guru kita dan segala ulama Tanah Jawi, 'alaihi wa 'alaihim rahmatul Bari, dalam karya beliau yang sudah tersohor di serata negeri, syarah kepada "al-Munabbihat" karya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah, dengan jodol "Nashoihul `Ibaad" menulis pada halaman 11 - 12 seperti berikut:-
"... Abu 'Abdur Rahman Haatim bin 'Ulwaan atau menurut sebahagian ulama lain, nama beliau ialah Haatim bin Yusuf, adalah di antara sebesar-besar ulama Khurasan. Beliau merupakan murid Syaikh Syaqiq (al-Balkhi). Dikisahkan satu ketika seorang wanita telah datang menemui Syaikh Haatim untuk bertanyakan satu masalah. Ketika mengemukakan soalan, wanita tersebut telah terkentut dengan mengeluarkan bunyi, maka tersipu-sipulah wanita tersebut kerana malu. Lalu Syaikh Haatim pun berkata kepada wanita tersebut: "Kuatkanlah suaramu," seolah-olah beliau pekak dan tidak mendengar wanita tersebut. Maka gembiralah si wanita tersebut dan hilanglah rasa malunya dan dia berkata pada dirinya: "Pasti dia tidak mendengar bunyi kentut tadi." Sejak peristiwa tersebut, lekatlah gelaran pekak bagi Haatim sehingga beliau digelar Haatim al-Asham (Hatim si Tuli)."
Dikisahkan juga bahawa Syaikh Haatim terus berpura-pura menjadi orang yang kurang jelas pendengarannya alias tuli atau pekak selama bertahun-tahun sepanjang hayat wanita tersebut. Hal ini beliau lakukan demi menjaga air muka wanita yang terkentut tadi. Hanya setelah meninggal wanita tersebut, barulah "pendengaran" Syaikh Haatim kembali seperti sediakala. ..... Allahu ... Allah.

Sabtu, September 26, 2015

"Qus" Bahasa Melayu

Ulama ini terkenal bukan sahaja dalam ilmu - ilmu agama, tapi juga pakar dalam ilmu bahasa Melayu sehingga diberi gelaran "Qus Bahasa Melayu" yakni pakar atau perbendaharaan bagi Bahasa Melayu. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Syaikh al-`Alim al-'Allaamah Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga rahimahullah. Riwayat kehidup n awal ulama ini tidak diketahui secara terperinci, menurut sesetengah pengkaji beliau berasal dari Pulau Lingga, manakala menurut yang lain beliau berasal dari Kelantan - Fathani. Beliau turut mengecap pendidikan awal di Pondok Bendang Daya, Fathani Darus Salam. 

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Makkah al-Mukarramah dan berguru dengan para ulama di sana, antaranya dengan Mufti Syafie Makkah, Sidi Ahmad Zaini bin Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi. Di antara ulama yang seangkatan dengan beliau yang menjadi sahabat beliau di sana adalah Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif al-Minangkabawi, Syaikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani dan Syaikh Abdul Rahman Gudang al-Fathani. Beliau terus bermukim di Kota Makkah al-Mukarramah dan menabur bakti dengan mengajar di rumahnya dan di Masjidil Haram. Maka ramailah murid-murid yang datang menadah kitab dengan beliau. Antara mereka adalah al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak dan anak beliau Syaikh Zainuddin Sarawak, Qadhi Haji Abu Bakar Muar, Tok Kenali, Syaikh Abdullah Fahim dan Hadhratusy Syaikh Hasyim Asy`ari rahimahumullahu ta`ala ajmain.

Syaikh Zainuddin Sarawak dalam manaqib ayahandanya yang berjodol "Nafahaatur Ridhwan" pada halaman 42 - 43, yang diterjemahkan oleh murid-murid beliau, menulis antara guru ayahanda beliau adalah:-
....Dan setengah daripada mereka itu (yakni yang menjadi guru Syaikh Uthman Sarawak), asy-Syaikh yang alim yang sampai kepada kepandaiannya, ialah seperti Qus pada masanya pada tentang Bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang - orang Arab, yang memegang tali lagam segala ilmu adab, orang yang adalah ia atas mengkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu asy-Syaikh Ahmad orang Lingga rahimahullah wa radhiya `anhu .... 
Selain dari mengajar, beliau juga giat menjadi pentashih kitab - kitab Melayu/Jawi.Menurut Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, beliau adalah ahli dalam bidang ini. Di samping itu, beliau juga turut menulis dan mengarang banyak kitab, samada kitab terjemahan dan karya asli. Namun setakat ini hanya beberapa karya sahaja yang dapat dikesan dan dicetak. Di antara karya beliau adalah:-
1. Daqaiqul Akhbar;
2. Nashihatu Ahlil Wafa;
3. Tsimarul Ladzidzah;
4. Hadiqatur Raihan.

Mungkin ada berpuluh-puluh lagi karya beliau kerana keempat-empat karya di atas ditulis beliau hanya dalam tempoh satu tahun sahaja, iaitu sekitar tahun 1312 H- 1313H. Semoga Allah merahmati Syaikh al-'Alim al-Washil al-Kamil Ahmad bin Haji Muhammad Yunus Lingga dan menempatkan beliau bersama para shiddiqin..... al-Fatihah.