Isnin, Oktober 10, 2016

Faedah Dari 'Umdatul Qari

Di antara hari di mana kita disunnatkan berpuasa adalah pada 10 haribulan Muharram yang dikenali sebagai Hari 'Asyura`. Berpuasa pada hari ini bukan sahaja dilakukan oleh kita umat Islam, bahkan umat Yahudi terdahulu pun melakukannya. Bahkan dikatakan bahawa berpuasa pada hari 'Asyura adalah satu kewajipan sebelum dimansukhkan hukum wajibnya dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mendoakan orang berpuasa pada hari 'Asyura agar setahun dosa-dosa kecilnya diampuni Allah 'azza wa jalla. Imam Badruddin al-'Ayni rahimahullah dalam karyanya " 'Umdatul Qari" yang merupakan syarah bagi Sahih al-Bukhari, pada juzuk ke 11, halaman 167 mencatat sedikit kelebihan berpuasa pada hari 'Asyura. Beliau rahimahullah menulis:-
Dan diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi rahimahullah daripada hadis Sayyidina Abu Qatadah radhiyaAllahu `anhu bahawasanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:- "Sesungguhnya aku mengharapkan Allah menjadikan puasa pada Hari 'Asyura sebagai kaffarah bagi dosa-dosa tahun sebelumnya". Hadis ini turut diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah dan Imam Ibnu Majah rahimahullah. Imam Ibnu Abi Syaibah rahimahullah meriwayatkan dengan sanad yang elok daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu 'anhu, secara marfu`, bahawa:- "Puasa 'Asyura` dilakukan oleh para nabi `alaihimush shalatu was salam, maka hendaklah kamu berpuasa padanya". Dalam "Kitab ash-Shiyam" bagi Qadhi Abu Yusuf rahimahullah, diriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma berkata:- "Tidak ada satu hari yang mempunyai kelebihan atas hari yang lain untuk berpuasa melainkan puasa pada bulan Ramadhan atau puasa pada Hari 'Asyura`". Imam at-Tirmidzi rahimahullah meriwayatkan daripada hadis Sayyidina 'Ali radhiyaAllahu ta`ala `anhu:- "Seorang lelaki telah bertanya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam:- "Setelah berpuasa Ramadhan, hari apakah yang engkau anjurkan aku untuk berpuasa?" Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab: "Puasalah dalam bulan Muharram, bahawasanya ia adalah bulan Allah, dalamnya terdapat hari di mana Allah ta`ala telah menerima taubat suatu kaum dan menerima taubat suatu kaum yang lain." Hadis ini dinilai oleh Imam at-Tirmidzi rahimahullah sebagai hasan gharib. Imam an-Naqqasy rahimahullah menyebut dalam "Kitab `Asyura`" bahawa: "Sesiapa yang puasa 'Asyura` maka seolah-olah dia berpuasa setahun penuh dan berqiyamullail pada malamnya." Dan pada satu lafaz:- " Sesiapa yang berpuasa padanya (yakni pada Hari `Asyura`) diharapkan baginya ganjaran (berpuasa) 1,000 tahun daripada tahun akhirat."
Allahu ... Allah, maka janganlah dilepaskan peluang yang diberikan Allah ta`ala untuk kita mengumpul bekalan akhirat. Semoga dimudahkan kita mengamalkan sunnah ini dengan sebaiknya dan diterima Allah hendaknya.


Jumaat, Oktober 07, 2016

Doa Awal Tahun

Biasanya apabila masuk tahun baru, kita akan berdoa kepada Allah ta`ala memohon keampunan atas dosa kesalahan dan keterlanjuran kita pada tahun lepas serta mendoakan agar tahun baru akan dipenuhi keberkatan, ketaatan dan pemeliharaanNya. Berdoa adalah satu amalan mulia yang sangat dituntut. Ianya adakala bersifat khusus dalam ertikata punya masa, punya tempat dan punya shighah yang tertentu, namun dalam kebanyakan hal ianya adalah dalam konteks yang lebih luas lagi, iaitu bersifat umum, tanpa terikat dengan perkara-perkara tersebut. Berdoa itu amat penting bahkan dikatakan sebagai intipatinya ibadah kerana ia menanam dalam diri kita sifat kehambaan dan mengingatkan diri kita tentang kelemahan kita serta pergantungan kita kepada Allah yang Maha Kaya.

Telah warid dalam berbagai nash yang kuat bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menganjur umatnya berdoa ketika nampak anak bulan baru atau ketika masuknya bulan baru. Maka para ulama kita, berdasarkan kaedah qiyas, turut menganjurkan kita berdoa ketika permulaan tahun baru yang semestinya dimulai bulan baru Muharram. Oleh itu, tidaklah boleh dikatakan bahawa berdoa menyambut awal tahun itu sebagai sesuatu yang ditegah dalam Syarak, kalau pun dikatakan sebagai suatu bid`ah. Ini adalah kerana berdoa itu sendiri adalah ibadah yang bersifat umum di mana terlalu banyak anjuran melakukannya dalam segala nas yang sharih. Perbuatan mencela umat Islam yang berdoa pada setiap awal tahun dengan suatu doa khusus susunan sebahagian ulama, adalah sesuatu yang tidak layak untuk dilakukan. Ini adalah kerana tidak ada satu nas pun yang melarang berdoa pada awal sesuatu tahun. Selain daripada itu,  warid nas mengenai doa yang dilakukan pada awal bulan atau awal tahun sebagaimana yang disebut oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "al-Awsath" secara marfu` daripada Sayyidina 'Abdullah bin Hisyam radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan:- "Adalah para sahabat Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam mempelajari satu doa yang diamalkan ketika masuk sesuatu tahun atau bulan, iaitu: "Ya Allah masukkanlah ia ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, Islam, keredhaan daripada ar-Rahman dan kelepasan daripada syaithan." Imam Ali al-Haitsami rahimahullah dalam "Majma`uz Zawaaid" menilai riwayat ini sebagai hasan.

Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah dalam "al-Ishaabah fi Tamyiiz ash-Shahaabah", juz 6, halaman 406 - 408, (tahqiq Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin at-Turki), ketika membicarakan tentang Sayyidina 'Abdullah bin Hisyam al-Qurasyi at-Taimiy radhiyaAllahu `anhu turut menukilkan daripada jalan Ashbagh yang menyatakan:-"Adalah para sahabat Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam mempelajari doa yang dibaca ketika masuk sesuatu bulan atau tahun sebagaimana mereka mempelajari al-Quran, iaitu: "Ya Allah masukkanlah ia (yakni bulan atau tahun baru tersebut) ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, Islam, perlindungan daripada syaithan dan keredhaan daripada ar-Rahman." Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah seterusnya menyatakan bahawa ianya adalah hadis mauquf yang memenuhi syarat sahih (yakni memenuhi syarat sahih menurut penilaian Imam al-Bukhari rahimahullah).

Oleh itu, cegahlah lisan kita daripada perbuatan suka menyalah-nyalahkan sesuatu amalan yang elok dan baik di sisi Islam yang tidak ada satu tegahan pun untuk melakukannya, bahkan telah diamalkan sejak zaman berzaman oleh ulama dan awam. Eloklah digunakan masa dan tenaga untuk mencegah sesuatu yang telah nyata tegahannya dalam Syarak yang mulia.

Jumaat, September 09, 2016

Potong Kuku ke Tak Potong?

Sebagaimana yang telah diketahui, makruh tanzih bagi sesiapa yang berhajat  melakukan ibadah korban untuk membuang atau memotong atau mencabut atau mencukur atau menanggalkan kuku atau rambut atau segala bulu dan juzuk yang berada di badannya selain darah mulai tanggal 1 DzulHijjah sehingga haiwan korbannya disembelih. Maka sunnat baginya untuk meninggalkan perbuatan menghilangkan segala yang tersebut mulai 1 DzulHijjah sehinggalah haiwan korbannya disembelih. Hukumnya sebagai sunnah dan makruh tanzih tersebut adalah menurut pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie, manakala menurut sebahagian pendapat lagi, tegahan memotong tersebut dihukumkan sebagai haram sama seperti kedudukan hukum dalam Mazhab Hanbali.

Ulama kita pula berbeza pendapat ketika berlaku pertembungan antara sunnah tidak memotong umpama kuku tersebut dengan sunnah memotongnya pada ketika tertentu seperti ketika hendak menghadiri Shalat Jumaat. Ada ulama yang menyatakan bahawa pertembungan tersebut dianggap sebagai pengecualian atas hukum karahah tanzih tersebut. Jadi bagi seseorang yang hendak melaksanakan ibadah korban, apabila tiba hari Jumaat yang berada pada hari-hari awal DzuHijjah tersebut, tidaklah makruh baginya untuk memotong kuku kerana perbuatan memotong kuku tersebut dianggap sebagai satu sunnah ketika itu. Di antara ulama yang memilih pendapat ini adalah Imam az-Zarkasyi rahimahullah. Namun, di samping itu tidak pula kurang bilangan ulama yang tidak bersetuju dengan pendapat ini dan mereka mengqiyaskan situasi ini dengan situasi orang yang sedang berpuasa. Sebagaimana orang yang sedang berpuasa, tidak sunnat untuk memakai wangian ketika hendak berihram atau ketika hendak pergi menunaikan Shalat Jumaat, maka begitulah juga dengan orang yang hendak berkorban. Menurut pendapat ini bagi orang yang berkorban, dia meninggalkan memotong kuku dan seumpamanya adalah lebih utama daripada memotongnya.

Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur "I`aanatuth Thaalibiin" dalam juzuk ke.2, halaman 334 menjelaskan:-

[Dan perkataannya (yakni perkataan muallif "Fathul Mu`in", Syaikh Zainuddin al-Malibari): dan makruh bagi yang menghendakinya] iaitu yang hendak berkorban  ....... dan qawl yang menghukumkannya sebagai makruh adalah yang muktamad, manakala qilnya menghukumkan sebagai haram sebagaimana yang dipegang dalam Mazhab Imam Ahmad dan selainnya. Kemakruhan ini berlaku selagimana tiada keperluan untuk memotong atau menghilangkan benda-benda tersebut, seperti ada keperluan yang bersifat wajib, seperti melaksanakan hukuman potong tangan bagi pencuri yang telah sabit hukuman had ke atasnya atau mengkhatankan seorang lelaki dewasa atau keperluan bersifat sunnat seperti mengkhatankan budak kecil atau untuk menjaga kebersihan bagi sesiapa yang hendak berihram atau menghadiri Shalat Jumaat, atas pendapat yang dipilih oleh Imam az-Zarkasyi rahimahullah. Namun fatwa ini tidak dipersetujui oleh ramai ulama lain yang menyatakan bahawa orang yang sedang berpuasa ketika hendak berihram atau menghadiri Shalat Jumaat tidak disunnatkan untuk berwangi-wangian kerana menjaga kesempurnaan ganjaran puasanya, maka sedemikianlah pulalah bagi orang yang hendak berkorban adalah lebih utama baginya menjaga kesempurnaan maghfirah yang bakal diperolehinya supaya meratai atas setiap anggota dan juzuk badannya (yakni dengan tidak memotongkannya sehingga selesai berkorban).....

Begitulah kedudukannya dalam mazhab, wujud ikhtilaf mengenai masalah ini. Maka ianya berdasarkan kepada sejauhmana perlunya perbuatan memotong atau menghilangkan sesuatu itu. Jika keperluan untuk perbuatan tersebut melebihi keperluan meninggalkannya, maka tidaklah makruh untuk menghilangkannya. Inilah rumus yang boleh kita jadikan panduan. Namun tanpa ada apa-apa keperluan, seelok-eloknya ditinggalkan dahulu perbuatan tersebut sehingga selesai ibadah korban, apatah lagi dalam situasi di mana wujud qawl yang menghukumkan haram menghilangkannya. Oleh itu meraiekan qawl tersebut dan mengeluarkan diri dari perkara yang diikhtilafkan ulama adalah satu perbuatan yang terpuji.

Ahad, Ogos 14, 2016

Pantau Ahli Akademik - Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam negeri-negeri digesa memantau ahli akademik dan agamawan yang kerap menggunakan petikan atau fatwa daripada Ibnu Taimiyyah dalam hujah mereka berikutan adanya fatwa bahawa Daesh menyelewengkan fakta ulama itu untuk kepentingan militan mereka.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kumpulan militan itu menggunakan fatwa ulama itu untuk menjustifikasi tindakan ganas mereka.
"Saya tidak mengatakan Ibnu Taimiyyah sesat. Saya mengatakan ada sesetengah fatwa yang dikeluarkan oleh ulama itu diguna pakai Daesh untuk menjustifikasikan tindakan ganas mereka," katanya.
Beliau menjelaskan ada di antara fatwa itu digunakan Daesh dengan melabelkan aliran Asha'irah yang dipegang majoriti umat Islam negara ini sebagai sesat, syirik dan kafir, sekali gus menghalalkan tindakan mereka untuk membunuh rakyat Malaysia.
Ayon Khan berkata demikian kepada pemberita pada Seminar Ancaman Daesh dan Istilah Kafir Harbi anjuran Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) di sini, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Mufti di setiap negeri juga perlu memainkan peranan itu berikutan polis tidak memiliki autoriti untuk melaksanakan pemantauan melibatkan isu agama.
Ditanya mengenai buku yang dihasilkan Ibnu Taimiyyah, Ayob Khan berkata beberapa negara sudah mengharamkannya termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir dan universiti di Jordan namun, beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
Mengenai tindakan individu dan anggota akademik yang mengkritiknya kerana mengaitkan Ibnu Taimiyyah dan Daesh, Ayob Khan berkata pihak terbabit seharusnya meminta penjelasan secara terus daripadanya dan bukan sekadar membuat andaian berdasarkan laporan media semata-mata.
"Sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, saya mengalu-alukan mereka datang dan berjumpa dengan saya di pejabat di Bukit Aman, kita boleh berbincang," katanya. - Bernama

Jumaat, Ogos 12, 2016

Faedah Bershalawat

Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam karya beliau "Afdhalush Shalawat 'ala Sayyidis Saadaat" pada halaman 153 telah menukilkan kesimpulan Mufti Mekah, Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah tentang kelebihan amalan bershalawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang antaranya menyatakan:- 
" ... Maka amalan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan apa jua shighah atau lafaz ucapan shalawat adalah amalan yang bermanfaat. Tidak ada sesuatu yang lebih bermanfaat untuk menerangkan hati dan menyampaikan seseorang murid (yakni seseorang yang menuntut keredhaan Allah) kepada keredhaan Allah selain daripada amalan bershalawat. Sesungguhnya istiqamah dan berkekalan mengamalkan shalawat akan menghasilkan nur yang banyak baginya (yakni bagi orang yang mengamalkannya) dan dengan keberkatannya akan menyampaikan dia yakni menghubungkannya dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau menjadi sebab untuk dia dapat bertemu dan berhimpun dengan orang yang dapat menyampaikannya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni dapat bertemu dengan guru atau murabbi atau mursyid yang boleh membimbingnya), terutama sekali pada akhir zaman di mana sedikitnya guru-guru mursyid dan bercampur aduknya hal ehwal urusan manusia. Maka sesiapa yang mahukan petunjuk dan bimbingan bagi manusia, hendaklah dia menyuruh mereka, samada yang awam maupun yang khawwas, untuk mengamalkan amalan beristighfar dan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam."

Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi rahimahullah, permata Nusantara, murid Sidi Ahmad Zaini, menukilkan kalam gurunya dalam "an-Nafahatul Miskiyyah". Ustaz Taha as-Suhaimi rahimahullah yang menterjemahkan karya nendanya tersebut dengan jodol "Hembusan Kasturi" menyatakan, antara lain:-
"Maka tidak ada satu perkara yang lebih memberi manfaat untuk menerangkan hati serta menyampaikan orang-orang yang menuntut untuk "sampai" kepada Allah melainkan dengan banyak mengingati Nabi s.a.w. dan mengucapkan sholawat kepada baginda kerana bahawasanya dengan tekun dan tetap berbuat sedemikian maka orang itu akan memperolehi cahaya yang banyak dan dengan berkatnya dia akan dapat "berhubung" dengan Nabi Muhammad s.a.w. ataupun dapat berkumpul dengan orang yang boleh menyampaikan dia kepada Nabi s.a.w. dengan syarat dia menjalankan ibadat dan menjauhkan maksiat serta menghiasi dirinya dengan akhlak yang baik, terutamanya pada akhir zaman apabila kekurangan orang-orang yang menunjuk ajar serta banyak pula campur-aduk berlaku dalam hukum-hukum agama di kalangan orang ramai."
Mudah-mudahan dapat kita jadikan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai darah daging kita, lidah kita sentiasa bergerak dan dibasahi dengan shalawat, detik jantung dan nadi kita sentiasa berdenyut dengan shalawat. Sesungguhnya shalawat itu menghimpunkan dzikrullah dan dzikrur rasul, hubbullah dan hubbur rasul.

Sabtu, Julai 30, 2016

Mimpi Muhammad al-Kaasyghariy

Entri faqir kali ini hanya sekadar perkongsian dari khazanah karya ulama kita terdahulu. Kisah mimpi seorang ulama yang direkodkan oleh seorang ulama dalam karya tulis beliau. Jadi ini hanyalah kisah mimpi, so janganlah buat kecoh, nak caya, caya, tak nak sudah. Dan jangan juga buat hujjah untuk bersikap taksub dan fanatik kepada mazhab tertentu dengan merendahkan mazhab yang lain. Ingatlah bahawa semua mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah adalah atas shirathil mustaqim yang menuju ke Jannatun Na`im. Ini mimpi satu ulama, ulama lain mungkin ada mimpi lain pulak. Apa-apa pun di sini faqir cuma nak nukilkan mimpi al-Kaasyghariy.

Ketika membelek-belek kitab "Bughyatul Wu`aah fi Thobaqaatil Lughawiyyin wan Nuhaah" karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah pada jilid 1, halaman 230 tertera sedikit tulisan mengenai Syaikh Muhammad bin Muhammad bin 'Ali al-Kaasyghariy an-Nahwi al-Lughawi rahimahullah sebagai berikut:-

Muhammad bin Muhammad bin 'Ali al-Kaasyghariy an-Nahwi al-Lughawi. Telah berkata al-Junddiy dalam "Tarikh al-Yaman": Adalah al-Kaasyghari ini seorang yang mahir dalam ilmu nahu, ilmu bahasa, ilmu tafsir. Seorang orator yang hebat lagi seorang sufi. Beliau bermukim di Mekah selama 14 tahun, mengarang kitab-kitab serta menghimpun mutiara-mutiara ilmu yang langka. Beliau telah meringkaskan kitab "Usdul Ghabah". Kemudian beliau berpindah ke Yaman. Syaikh al-Kaasyghariy pada mulanya bermazhab Hanafi kemudian berpindah ke mazhab Syafie. Beliau menyatakan bahawa: "Aku bermimpi melihat hari kiamat dan (melihat segerombolan) manusia memasuki syurga. Tatkala aku hendak masuk menyertai mereka, aku telah ditarik oleh seseorang yang berkata: "Pengikut mazhab Syafie masuk dahulu sebelum pengikut Abu Hanifah". Maka aku mahu bersama - sama dengan orang - orang yang mendahului masuk ke syurga (yakni inilah sebab beliau berpindah ke mazhab Syafie)." Beliau wafat pada tahun 705H.
Inilah kisah mimpi tersebut. Bukanlah nak mengatakan bahawa mazhab Syafie lebih unggul daripada mazhab Hanafi. Setiap mazhab ada kelebihan masing-masing. Apa yang penting adalah kita tahu dan faham bahawa mengikut mazhab bukanlah sesuatu yang haram, lagikan ulama besar pun bermazhab, apatah lagi kita yang jahil ini. Yang haram bermazhab adalah ulama yang ilmunya sudah tabbahur melaut luasnya sehingga mencapai kedudukan mujtahid mutlak.

Khamis, Julai 21, 2016

Faedah Dari al-Qirthaas

Kitab "al-Qirthaas" adalah syarah bagi ratib Quthbul Anfaas al-Habib 'Umar bin 'Abdul Rahman al-`Aththas rahimahullah. Kitab ini dikarang oleh salah seorang anak cucu beliau iaitu al-Imam, Barakatul Anam, 'Alamul Islam, al-Habib 'Ali bin Hasan bin 'Abdullah bin Husain bin al-Habib 'Umar bin 'Abdul Rahman al-'Aththas rahimahumullah yang wafat pada tahun 1172H. Kitab ini sangat terkenal di sisi para saadah terutama sekali kepada keturunan al-'Aththas. Isi kandungannya memuatkan penjelasan dan syarah bagi zikir-zikir yang terkandung dalam ratib tersebut. Juga membicarakan beberapa banyak amalan-amalan dan zikir-zikir yang berkat lagi banyak manfaatnya.

Di sini, faqir cuma hendak berkongsi satu faedah yang berkait dengan satu rangkaian shalawat yang katanya diperolehi Sultan Mahmud al-Ghaznawi. Sejauh mana kesahihannya, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Namun rangkaian shalawat tersebut tiada apa-apa masalah untuk dijadikan bacaan dengan pemahaman yang benar seperti jika dikatakan "menurut bilangan kalimah - kalimah Allah" atau "menurut jumlah huruf kalamullah", yang dikehendaki dengannya adalah huruf - huruf yang tertulis dalam mushaf al-Quran dan bukanlah rujukannya kepada sifat Kalam bagi Allah yang tiada huruf dan suara itu. Begitulah juga bila dikatakan "menurut bilangan rahmat Allah" atau seumpamanya, maka jangan pula kita merasakan bahawa rahmatUllah dan fadhlUllah itu dapat dibilang atau dapat dihitung atau ada had dan batasnya, ianya hanyalah sebagai majaz yakni jika kita kata "menurut bilangan rahmat Allah", maka yang dikehendaki adalah " bilangan yang tiada terbatas dan tidak dapat dikira-kira" kerana rahmat tersebut sangat luas dan tidaklah mampu untuk kita membilangnya. Apa-apa pun hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Berbalik kepada kisah shalawat ini,  maka pada juzuk ke-2, halaman 211 - 212, kitab "al-Qirthaas", memuatkan kisahnya dan rangkaian shalawat tersebut. Secara ringkasnya, faqir nukilkan sebagai berikut:-
Diriwayatkan bahawasanya Sultan Mahmud al-Ghaznawi pada awal umurnya dan pemerintahannya mempunyai wirid di mana setelah menunaikan shalat Subuh, dia akan duduk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebanyak 300,000 kali ucapan shalawat. Maka duduklah si Sultan bershalawat sehingga banyak masa siang berlalu dan matahari telah meninggi, manakala para rakyat yang punya keperluan dengan Sultan jenuh menunggu baginda keluar bertemu mereka untuk menyelesaikan urusan mereka atau urusan negara. Lalu setelah beberapa masa hal ini berlangsung, maka Sultan telah bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam dan Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menegur perbuatan baginda tersebut. Seterusnya Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengajar satu rangkaian shalawat kepadanya dan menyatakan bahawa membaca rangkaian shalawat ini sekali akan menempati membaca shalawat 100,000 kali dan jika dibaca sebanyak 3 kali akan menempati jumlah wiridnya sebanyak 300,000 kali tersebut, agar si Sultan dapat meraih pahala mengurus hal ehwal umat dan negara, tanpa melalaikan wirid shalawatnya. Lalu diamalkanlah oleh si Sultan akan rangkaian shalawat ini dengan istiqamah sehingga berlalu beberapa masa, dan sekali lagi dia bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana kali ini Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bertanya tentang amalan khusus yang dilakukan oleh si Sultan sehingga "meletihkan" malaikat untuk menulis pahalanya. Sultan Mahmud hanya menjawab bahawa dia tidak melakukan apa-apa amalan khas selain membaca rangkaian shalawat yang telah diajar oleh Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dahulu.
Allahu ... Allah, ini hanya kisah mimpi yang berlaku pada sesetengah manusia yang direzekikan Allah ta`ala. Sejauh mana kebenaran dan kesahihannya, sekali lagi faqir nyatakan hanya Allah yang Maha Mengetahui. Apa yang faqir berani kata ialah kisah ini dimuatkan dalam salah satu karangan ulama dan orang shaleh yang berwibawa, apa yang faqir lakukan hanyalah menukilkan sahaja. Maka terpulanglah, untuk percaya atau tidak, beramal atau tidak. Apa yang pasti adalah, kita semestinya memperbanyakkan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  sebagaimana yang diperintahkan dalam segala nas yang sharih lagi shahih. Kisah - kisah sebegini hanyalah sebagai motivasi agar lebih kuat beramal dan memperbaikkannya, dengan nota bahawa sebagaimana seseorang itu tidak boleh mengira keuntungan melainkan setelah balik modalnya, maka begitulah juga sesuatu fadhilat atau kelebihan janganlah dikira terhasil sebelum adanya kecukupan. Yang faham, faham; Yang tak faham, buat-buatlah faham dan pergilah mengaji biar faham dengan sefaham-fahamnya dengan kefahaman yang sebenar.

Shalawat Sultan Mahmud al-Ghaznawi