Ahad, Julai 31, 2005

Hakikat Ikhlas

Sahabat, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.a. dalam kitabnya "Ayyuhal Walad" berpesan: "Wahai anakku yang dikasihi, engkau bertanya kepadaku tentang ikhlas, maka ikhlas itu bahawa engkau menjadikan segala amalanmu hanya untuk Allah ta`ala dan hati engkau tidak merasa senang dengan pujian manusia dan engkau juga tidak peduli dengan kejian mereka.
Allahummaj `alna minal mukhlisin.

Mengikut Para Fuqaha

Salah seorang sahabat Imam Malik yang bernama Ma'an ibn Isa berkata : Suatu hari Imam Malik pulang dari masjid. Beliau lalu diikuti oleh seorang laki-laki yang bernama Abu Juwairiyyah. Setelah keduanya bertemu, bertanya Abu Juwairiyyah kepada Imam Malik : "Wahai Abu Abdillah (panggilan Imam Malik), dengarkan perkataanku ini. Aku akan mengajukan pertanyaan dan meminta jawaban darimu!" Imam Malik berkata, "Bagaimana jika engkau dapat mengalahkanku?." Abu Juwairiyyah menjawab, "Engkau harus mengikutiku." Imam Malik bertanya lagi, "Bagaimana jika aku dapat mengalahkanmu?" Ia menjawab, "Aku akan mengikutimu." Imam Malik bertanya lagi, "Bagaimana jika ada orang lain datang kepada kita, lalu berdebat dan dia dapat mengalahkan kita?" Ia menjawab, "Kita akan mengikutinya." Imam Malik ra lalu berkata, "Allah SWT telah mengutus Muhammad SAW dengan membawa satu agama, dan sekarang aku melihatmu gampang sekali berpindah-pindah pendapat." Khalifah Umar bin Abdul Aziz ra berkata : "Barangsiapa yang menjadikan agamanya sebagai alat pertengkaran/perdebatan, maka pasti orang itu akan sering melakukan tanaqqul (mudah berpindah-pindah pendapat)." Seperti itulah orang yang mengaku dirinya mengikuti dalil, dengan tanpa melalui prosedur mengikuti para Imam. Ia akan lebih suka mengikuti pendapat yang belum pernah dikemukakan orang lain, dilemanya ia tidak menyadarinya. Bahkan ia merasa telah membela Sunnah dan menganjurkan untuk mengikutinya. Hal ini amat berbahaya dan dapat memperdaya generasi sesudahnya. Imam Malik telah memperingatkan tentang hal ini dengan ungkapan yang amat bagus : "Hormatilah para Imam itu dan janganlah kalian mendebat mereka!. Kalau setiap orang yang datang kepada kita dengan membawa argumentasinya, lalu kita terima dengan mudah, maka kami mengkhawatirkan bahwa argumentasi yang kita singkirkan itu adalah Jibril AS." Semoga ridha Allah dilimpahkan kepada Sufyan bin Uyainah yang telah berkata, "Taat kepada para fuqaha adalah keselamatan dalam agama."
[Dipetik dari "Melacak Akar Perbedaan Madzhab", karangan Syaikh Muhammad Awwanah, pensyarah Universiti ar-Raudhah, Aleppo, Syria, hal 56-57, cetakan I, penerbit Pustaka Hidayah]

Sabtu, Julai 30, 2005

Habib Muhammad bin Idrus al-Habsyi



Habib Muhammad bin Idrus al-Habsyi lahir di kota Khola' Rosyid, Hadramaut, Yaman Selatan pada tahun 1265 H. Sejak kecil beliau diasuh oleh bapa saudaranya iaitu Habib Sholeh bin Muhammad al-Habsyi. Ayah beliau, Imam Arif Billah Habib Idrus bin Muhammad al-Habsyi telah bepergian ke Indonesia untuk berdakwah, dan wafat di kota Cirebon serta dimakamkan disana. Sedangkan ibu beliau adalah Syeikhah Sulumah binti Salim bin Sa'ad bin Smeer. Pada masa mudanya, Habib Muhammad bin Idrus al-Habsyi telah menuntut ilmu agama yang cukup mendalam, menguasai dan memahaminya. Berbagai ilmu agama yang beliau dapatkan dari ulama masa itu diantaranya ilmu tafsir, hadits dan fiqih. Para ulama dan orang-orang sholeh saat itu telah menyaksikan ketaqwaan dan kedudukan beliau sebagai ulama yang 'aamil (mengamalkan ilmunya). Salah seorang ulama yaitu Imam Qutub Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi telah mengutarakan dalam surat-menyurat beliau yang artinya kurang lebih demikian, "Sesungguhnya orang-orang bepergian ke Indonesia untuk bekerja dan mencari harta keduniaan, tetapi sesungguhnya putra kami Muhammad bin Idrus al-Habsyi bekerja dalam dakwah Islamiyyah untuk mencapai ash-Shiddiqiyyah al-Kubro (tingkatan tertinggi di kalangan Wali Allah)." Kemudian beliau pergi haji ke Mekkah dan berziarah ke Madinah kepada datuknya Baginda Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau menuntut ilmu dari ulama-ulama Haromain (Mekkah-Madinah), diantaranya ulama yang terkenal di Mekkah yaitu Imam Habib Husain bin Muhammad al-Habsyi. Akhlak dan budi pekerti beliau sangatlah baik, mulia keturunannya, murah tangan dan kasih sayang, apa-apa yang Allah berikan kepadanya tidak segan-segan diberikan kepada siapa saja yang mendatangi beliau. Daripada kebaikan akhlak beliau, setiap orang yang duduk disampingnya akan mengetahui bahwa dirinyalah yang paling dicintai, dan memilihnya sebagai sahabat karib, yang mana dapat dilihat dari senyum mukanya, lemah lembut tutur katanya dan sambutannya yang sangat baik. Inilah akhlak perangai beliau, sebagaimana meneladani perangai datuknya, Nabi Muhammad SAW. Anak-anak yatim yang dipelihara oleh beliau, mereka menilai bahwa beliau lebih baik dari ayah-ayah mereka, karena beliau menyamakan anak-anak yatim itu dengan anak-anaknya sendiri, di dalam memberikan pakaian, makanan, minuman dan tempat tidur. Apabila anak-anak yatim itu telah besar, beliau mengurus perkawinan mereka dan memberikan apa-apa yang mereka perlukan. Tidak mengherankan beliau adalah ayah dari anak-anak yatim dan miskin. Beliau sangat dicintai oleh masyarakat umum maupun khusus, diantara amal beliau yaitu mendamaikan dua belah pihak yang bertengkar dan salah faham, sehingga terjadi perbaikan, walaupun masalahnya besar dan sulit, dapat pula beliau selesaikan dengan baik. Dari sebagian amal jariyah beliau, ialah pembangunan masjid di Purwakarta, masjid Raudhoh di Jombang, dan lainnya. Beliau juga sebagai perintis pertama pengadaan haul-haul para wali Allah dan sholihin dari hamba-hamba Allah. Untuk pertama kalinya beliau mengadakan haul Imam Habib Muhammad bin Thohir al-Haddad yang terkenal di kota Tegal. Berziarah ke tempat bersejarah para auliya dan sholihin banyak dilakukan oleh beliau, yang diikuti pula oleh khalayak ramai. Beginilah keadaan beliau semasa hidupnya selalu taat dan takwa kepada Allah, memberi manfaat kepada hamba-hamba Allah, memanfaatkan waktu dan umurnya serta menbelanjakan hartanya di jalan Allah, hingga akhir hayatnya memenuhi panggilan Allah untuk kembali ke alam baqa pada pertengahan malam Rabu, 12 Rabi'uts Tsani 1337 H di kota Surabaya dan dimakamkan pada waktu ashar hari Rabu setelah disholatkan oleh Habib Muhammad bin Ahmad al-Muhdhor. Demikianlah ringkasan dari riwayat hidup beliau, semoga kita semua mendapatkan manfaatnya. Radhiyallohu anhu wa ardhah....... al-Fatihah.
Dirangkum dari Manaqib Al-Habib Al-Imam Al-'Arif Billah Al-Qutub Muhammad bin Idrus Alhabsyi]

Taqlid - Pandangan Ulama 1


Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi, seorang ulama Azhar yang masyhur, dalam kitabnya "Tanwirul Qulub fi Mu`amalati 'Allamil-Ghuyub" menyatakan antara lain:- " Dan antara yang wajib dipegang ialah bahawasanya para imam itu semuanya `udul, dan sesiapa yang bertaqlid kepada seseorang daripada mereka mendapat kejayaan .... dan yang masyhur di antara mereka ialah Abu Hanifah, Malik, asy-Syafi`i dan Ahmad r.'anhum, dan kesemua mereka adalah atas hidayah Allah. TAQLID KEPADA SEORANG DARIPADA MEREKA ADALAH FARDHU/WAJIB kerana firman Allah ta'ala: "Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang berilmu agama (ahli dzikr) jika sekiranya kamu tidak mengetahui" (an-Nahl:43), dan kerana sabda Junjungan s.a.w. : "Hendaklah kamu bertanya apabila kamu belum mengerti". Tidaklah harus bertaqlid kepada selain mereka (yakni kepada selain Imam mazhab 4 tersebut)....kerana mazhab-mazhab selain yang 4 tersebut tidak dibukukan (dengan sempurna) dan tidak dapat dipastikan dengan tepat (akan pendapat mereka)...Sesiapa yang tidak bertaqlid kepada salah seorang daripada mereka dan berkata bahawa "Aku beramal dengan al-Quran dan as-Sunnah" serta mendakwa telah memahami hukum-hakam terus daripada dua sember tersebut, maka tiada keselamatan baginya, bahkan dia bersalah lagi sesat-menyesatkan, terutama sekali di zaman ini yang telah merata kefasiqan dan banyaknya dakwaan-dakwaan batil, kerana dia telah menganggap dirinya lebih unggul daripada imam-imam tersebut sedangkan dia lebih rendah daripada mereka dari segi ilmu, amal, 'adalah dan al-'ithlaa'......."

Komen

Bagi sesiapa yang ingin mengemukakan pandangan atau idea atau memerlukan penjelasan lanjut bolehlah meninggalkan komentar. Tetapi sesiapa yang ingin berjidal, maka nasihatku jangan buang masamu dan masaku, baik gunakan untuk beramal kerna itu bekalan kita. Perkara khilafiyyah berlapang dadalah, jika engkau tidak suka dengan peganganku maka aku tidak pernah memaksamu untuk menerimanya.

Ibnu Athoillah as-Sakandari

Biar kuperkenalkan kepada kalian profil ringkas ulama dan wali besar ini agar kita tahu bahawa dunia Islam ini kaya dengan ulama, bukan hanya terhad kepada Ibnu Taimiyyah, Ibnu Abdul Wahhab dan al-Albani sahaja. Syaikh Abul Fadhl Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad bin Isa bin al-Husain 'AthoIllah al-Jizami rhm. lahir di Kota Iskandariah, Mesir merupakan seorang ulama bermazhab Maliki, ada juga ahli sejarah yang mengatakan bahawa beliau bermazhab Syafi`i. Pada mulanya beliau hanya mendalami ilmu fiqh dan tidak begitu gemar dengan ahli-ahli tasawwuf dan tarikat sehinggalah beliau berjumpa dengan Syaikh Abul Abbas al-Mursi, syaikh tarikat asy-Syadzaliyyah, yang merupakan murid dan khalifah Syaikh Abul Hasan 'Ali asy-Syadzali. Akhirnya beliau menjadi murid kepada Syaikh Abul Abbas al-Mursi dan menjadi khalifahnya setelah kewafatan gurunya tersebut. Syaikh Ibnu AthoIllah lahir pada tahun 648H/1250 dan hidup sezaman dengan Ibnu Taimiyyah. Bahkan Ibnu Taimiyyah berkesempatan bertemu dengannya dan terjadi soal-jawab antara mereka sehingga Ibnu Taimiyyah membisu seribu bahasa. Insya-Allah, pada kesempatan lainkan kunukil perdebatan ini. Syaikh Ibnu AthoIllah adalah termasuk ulama yang produktif dan telah mengarang tidak kurang dari 20 kitab dalam berbagai bidang. Antara kitab karangannya ialah "al-Hikam" yang masyhur yang boleh dianggap sebagai magnum opusnya, "Bahjatun-Nufus", "at-Tanwir fi Isqath at-Tadbir", "Misbahul Falah wa Miftahul Arwah" dan "al-Qawl al-Mujarrad fil Ismil Mufrad" di mana dia menjawab Ibnu Taimiyyah berhubung masalah tauhid dan zikir ism mufrad (yakni zikir Allah..Allah). Syaikh Ibnu 'AthoIllah terkenal sebagai ulaam yang dikagumi dan bersih, yang tampil menjadi panutan bagi mereka-mereka yang ingin mensucikan diri dalam meniti jalan menuju Ilahi. Beliau wafat pada 16 Jamadil Akhir 709H ketika masih mengabdikan dirinya mengajar di Madrasah al-Manshuriyyah. Jenazahnya disemadikan di Qarafah dan sehingga saat ini sentiasa menjadi tumpuan ziarah orang yang ingin menuruti sunnah Junjungan s.a.w. dan mencari keredhaan Ilahi. Moga Allah meredhainya dan memberkati aku dan kalian. Al-Fatihah....

Jumaat, Julai 29, 2005

Membumikan Sholawat

Hari Jumaat, kumulakan catatan dengan bicara sholawat. Kenapa bersholawat ? Pertama sudah tentu kerana ianya perintah Ilahi dan ianya merupakan wasilah untuk mendapat rahmat dan kasihsayang Allah s.w.t dan Junjungan Nabi s.a.w. Hadits masyhur lagi sahih riwayat Imam Muslim dan lainnya menyatakan Allah mengurniakan 10 sholawat yakni rahmat kepada orang yang mengungkapkan 1 satu buat hadrat Junjungan s.a.w. Apa nilainya sholawat dari kita berbandingkan sholawat Allah. Sebesar debu pun tidak bernilai, tetapi Allah tetap mengurniakannya bukan kerana dirimu tetapi kerana kekasihNya, Junjungan Nabi s.a.w. Sholawat juga wasilah untuk menyampaikan diri kita ke hadrat Junjungan Nabi s.a.w. kerana disebut dalam hadits bahawa setiap sholawat dan salam yang diucapkan akan dipersembahkan ke hadrat Junjungan s.a.w. dengan disebut nama kita dan dibalas oleh Junjungan s.a.w., justru apa juga nilai sholawat kita berbanding balasan dari Junjungan s.a.w. Oleh itu wahai saudara, bumikanlah sholawat, jangan dibiarkan ahli langit sahaja mendapat kemuliaan dengan sholawat, sedangkan kita yang di bumi ini diam membisu hatta apabila nama Junjungan s.a.w. disebut atau lidah kita di bumi lebih sering menyebut yang sia-sia berbanding bersholawat. Bumikanlah sholawat, nescaya para ahli langit akan mendoakan kesejahteraan kalian sewaktu kalian berada di atas bumi dan juga di dalam bumi nanti. Insya-Allah, kan kubicarakan berhubung hal ini di lain ketika. Buat khatimah, biar kusebut apa yang ditulis oleh Imam Ibnu 'AthoIllah as-Sakandari dalam kitabnya "Bahjatun-Nufus":- "Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah s.a.w. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)-Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan s.a.w. seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah r.a., Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah s.a.w. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.