Sabtu, Disember 31, 2005

Imran N. Hosein 2


Dalam kesimpulan bukunya "The Caliphate - The Hejaz and Saudi- Wahhabi Nation State", mukasurat 93 -94 dia menulis, antara lain:-


  • The destruction of the Caliphate of Islam was the result of a diabolical conspiracy hatched by the British and the Zionist Jews. The Saudis and the so-called salafi Wahhabis acted as willing accomplices in that crime against Islam.....We also recognize, as this booklet has made clear, that it is impossible, and will remain impossible, to restore the Caliphate so long as the Hejaz remains under the control of Saudi-Wahhabi alliance. Power cannot be restored without the liberation of the Haramain and the Hajj from the control of those who participated in the destruction of the Caliphate. The liberation of the Haramain and the Hajj will be possible when the Saudi-Wahhabi alliance breaks down. There are indications that the alliance is already under great pressure and can fall apart.

Kalam syadid, strong words. Terpulanglah kepada ikhwah untuk menilainya berdasarkan kepada sejarah yang sebenar. Bukan sejarah yang direka-reka.

Jumaat, Disember 30, 2005

Firasat Ulama Tentang Syaikhun-Najdi

Ikhwah, panutan kita al-Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Shohibur Ratib Habib 'Abdullah al-Haddad dalam kitabnya "Misbahul Anam" mukasurat 15 menceritakan seperti berikut:-
  • Aku telah diberitahu oleh seorang tua yang bersinar wajahnya kerana kesholehannya dan sudah melebihi 80 tahun umurnya, salah seorang pemuka kita keluarga Abu 'Alawi yang lahir dan membesar di Makkah dan kerap berulang alik ke Madinah. Nama beliau Musa bin Hasan bin Ahmad al-'Alawi berketurunan Sayyidina 'Uqail bin Salim, saudara Sayyidina Quthubus-Syahir asy-Syaikhul Kabir Abu Bakar bin Salim. Beliau berkata:- "Aku dahulu berada di Madinah belajar kepada asy-Syaikh Muhammad Hayat (as-Sindi al-Madani). Muhammad bin 'Abdul Wahhab juga berulang-alik ke majlis Syaikh Muhammad Hayat seperti murid-murid lainnya. Aku mendengar daripada orang-orang sholeh dan ulama, sebagai kasyaf daripada mereka, firasat mereka mengenai Muhammad bin 'Abdul Wahhab di mana mereka menyatakan bahawa dia akan sesat dan menyesatkan Allah dengannya orang yang dijauhkan dari rahmatNya dan yang dibinasakanNya" Dan demikian yang telah berlaku (yakni firasat mereka telah menjadi kenyataan) sehingga Syaikh 'Abdul Wahhab, bapa kepada Muhammad bin 'Abdul Wahhab, juga berfirasat sedemikian terhadap anaknya, dia telah menasihati dan mencelanya serta memperingati orang lain berhubung anaknya tersebut.

Di antara ulama yang mempunyai firasat sedemikian juga ialah Syaikh Muhammad Hayat as-Sindi dan Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi al-Madani asy-Syafi`i. Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan menceritakan berhubung firasat Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dalam kitab-kitabnya dan perlu diketahui Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan mempunyai sanad riwayat daripada Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi seperti berikut:- Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan daripada Muhaddis Syam Syaikh Abdur Rahman al-Kuzbariy daripada al-Hafiz al-Hujjah 'Abdullah al-Kurdi al-Madani daripada al-Muhaddis al-Musnid Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani. Dalam isu Muhammad bin 'Abdul Wahhab tidak ada langsung Syaikh 'Abdur Rahman al-Kuzbari menolak kata-kata Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dan beliau adalah tokoh utama dalam bidang periwayatan hadis yang terkenal dalam dunia Islam. Kesimpulannya, perawi-perawi tersebut adalah orang yang dipercayai dan tidak berbohong. Syaikh Sulaiman al-Kurdi bukan sahaja berfirasat mengenai Muhammad bin 'Abdul Wahhab, tetapi setelah zahir fitnah Muhammad bin Abdul Wahhab beliau telah ditanyai mengenainya dan membuat jawapan untuk menolak ajaran Muhammad bin Abdul Wahhab (insya-Allah, lain masa kita tulis jawapan beliau tersebut).

Ikhwah, jika cuma ada kitab yang ditulis Syaikh Sulaiman bin 'Abdul Wahhab al-Hanbali, saudara kandung Muhammad bin 'Abdul Wahhab, yang berjodol "Syawa`iqul Ilahiyyah", itu sudah cukup untuk membuktikan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahhab dan sekaligus membuktikan kebenaran firasat para ulama dan sholihin di atas. Inikan pula faktanya bukan Syaikh Sulaiman sahaja yang menceritakan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahhab tetapi ramai lagi ulama sehingga Habib Alwi al-Haddad pada mukasurat 3 kitab "Misbahul Anam" membuat kesimpulan bahawa kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab telah disampaikan oleh ramai ulama secara tawatur dalam tulisan-tulisan mereka daripada orang-orang yang tsiqah dari kalangan ulama-ul-akhyar (terpilih) dan selain mereka, yang telah melihat dengan matanya sendiri dan mendengar dengan telinganya sendiri akan kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya dan juga dari tulisan-tulisan, perkataan, perbuatan dan perintah Muhammad bin Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya.

Firasat bukan hujjah, betul memang betul, tetapi jangan pula diketepikan mentah-mentah, apatah lagi jika ada qarinah lain membuktikan kebenaran firasat tersebut. Ingat Junjungan Nabi s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan Imam ath-Thobarani : "Ittaquu firasatal mu'min, fa innahu yandzuru bi nurIllah" (Takutilah firasat orang mukmin, kerana bahawasanya dia memandang dengan cahaya Allah).

Terpulanglah kepada kalian untuk berfikir dengan sewajarnya.

Khamis, Disember 29, 2005

Mawlid Barzanji - Kitab Sirah berwibawa


Ikhwah, dahulu malam Jumaat biasanya di surau-surau dan masjid-masjid diadakan pembacaan Mawlid Barzanji selain membaca Yasin dan bertahlil. Cuma sekarang sahaja nampaknya makin berkurangan, bukan kerana termakan racun Wahhabi yang memfatwakan bermawlid bid`ah, tetapi lebih kepada malas dan lebih suka menonton TV dari bermawlid. Jadi kebetulan ada fatwa Wahhabi kata bid`ah, maka ramai yang bersandarkan kepadanya untuk menutup kelemahan pribadi. Kalau baca mawlid bid`ah dhalalah, duduk santai-santai sambil menonton TV tu sunnat mu`akkad ke ?

Dato Ustaz Ismail Kamus (mana dulu ? Dato Ustaz ke Ustaz Dato ?) dalam satu ceramah tafsirnya yang dirakam dalam kaset dan dijual dengan tajuk besar "Tawassul", menyatakan bahawa pengarang Mawlid Barzanji, Sayyid Ja'faar al-Barzanji adalah bilal Masjid Nabi di Madinah. Ini satu kesilapan fakta kerana Sayyid Ja'faar al-Barzanji adalah Mufti Syafi`iyyah di Madinah al-Munawwarah. Aku nak tanya, dulu-dulu senangkah nak dii'tiraf sebagai mufti ? Kalau bukan ulama besar tak usah nak mimpilah. Dulu tukang kasut pun hafal al-Qur`an.

Dato Ustaz mempertikaikan "Nur Muhammad" (bab ini nanti lain masa aku cerita, cuma nak habaq mai Ustaz Utsman al-Muhammady pun ada tulis kertas kerja sokong konsep "Nur Muhammad", nak cerita panjang ooooooooooooooooooooo tak larat nak tulis sekarang, lain kali kita cerita), tetapi dia tak tolak Mawlid Barzanji, cuma katanya kita terima kitab Barzanji sebagai sastera sahaja.

Tak tahu pulak apa maksudnya dengan sastera, kalau nak disamakan dengan Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Ramayana, Pandawa Lima dan sebagainya hikayat dongeng dahulu kala, aku satu sen pun tak setuju. Masakan kitab yang jadi bacaan dan amalan yang dilakukan ulama dan awam sejak berzaman dan ada pula ulama siap buat syarah nak di"turun"kan martabat jadi buku sastera. Tak masuk dek akal langsung. Kitab Barzanji ditulis oleh seorang ulama besar, bukan seorang penglipur lara. Apa yang diceritakan atau diriwayatkan ada sandaran dalam agama, samada nas yang shorih terang atau yang khofi tersembunyi.

Aku teringat waktu aku mengaji dahulu, kawanku dari Bangkok, Thailand yang berfahaman salafi (baca silapi) memfatwakan bahawa kitab Barzanji tak boleh dii'timad (yakni tak boleh dibuat pegangan) kerana dalam Barzanji diceritakan bahawa sewaktu Junjungan s.a.w. dilahirkan yang turut hadir menyambut kelahiran Junjungan s.a.w. adalah Siti Maryam dan Siti Asiyah. OOOO....dongeng ni, tak dak dalam kitab-kitab hadis. Aku diam sahaja waktu tu, maklumlah masih bodo lagi, sekarang pun masih bodo jugak sebab tu aku ikut ulama yang pandai-pandai dan tak renti-renti belajar.

Setelah aku mengaji dan mentelaah kitab karangan ulama dan kudengar fatwa ulama, rupa-rupanya ada sandaran untuk cerita tersebut dalam kitab hadis dan kitab sirah Nabawiyyah. Antaranya kitab "Dala-ilun Nubuwwah" karangan Imam al-Baihaqi (rujukan penuhnya insya-Allah akan kuberikan kemudian kerana ilmuku tertinggal dalam kitab dan kitabku dipinjam orang, aduh lemahnya diri), rujuk juga kitab "al-Mawahibul Laduniyyah" yang masyhur karangan Imam al-Qasthalani, juzuk 1, mukasurat 65 dan banyak lagi kitab-kitab sirah seperti kitab "Sirah al-Halabiyyah" karangan asy-Syaikh Burhanuddin al-Halabi juzuk 1, mukasurat 86, bab kelahiran Junjungan Nabi s.a.w.

Maka kupesan kepada kalian bila dengan ulama berhati-hatilah. Jaga mulut, jangan mentang-mentang kita duduk di hadapan berceramah dan mengajar timbul s.s. (syok sendiri) sehingga rasa kita dah setaraf dengan ulama dahulu. Lantas kita kritik karangan mereka dan tuduh mereka mencarut kerana mengarang tanpa berpandukan nas. Jangan-jangan, lagi sekali jangan.

Bagiku Barzanji itu bukanlah kitab sastera, tetapi ianya adalah satu kitab Sirah Nabawiyyah penuh wibawa ditulis oleh seorang ulama besar berwibawa dan ditulis dengan bahasa sastera yang indah menawan kalbu pecinta-pecinta Junjungan s.a.w. Ianya kitab yang menceritakan kebesaran, keagungan perjalanan hidup Insan Kamil Mukammil Utusan Allah yang teragung, bukan kitab sastera, bukan kitab hikayat semata-mata. Asy-Syaikh as-Sayyid Ja'faar al-Barzanji bukannya orang jahil. Beliau adalah ulama besar yang dii'tiraf sebagai Mufti Syafi`iyyah di Madinah al-Munawwarah, waliyUllah keturunan Junjungan Nabi s.a.w. Jadi berhati-hatilah kamu dengan ulama, ingat pesan Junjungan "Luhuumul ulama` sumuum, fa man akalaha halak" (Daging para ulama itu racun, sesiapa yang memakannya akan binasa).

Buat Dato Ustaz Ismail Kamus, maaf berbanyak, teruskan perjuangan menegakkan Islam sebenar, Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Sedikit pesanan, dalam PAS pun ramai Wahhabi dan Syiah, yang totok dan yang simpati, aaawaaas. Jangan marah, shallu 'alan Nabiy.

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih wa 'ala aalih.

'Sir' Fahd - Penghargaan Inggeris.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui yang Kerajaan Arab Saudi berhutang budi dan "body" serta nyawa dengan Empayar British. Ini adalah kerana "berkat" kerjasama dan bantuan Britishlah, maka tertubuhnya Kerajaan Arab Saudi mengikut sunnah Great Britain bersendikan ajaran Wahhabiyyah. Pemimpin-pemimpin Saudi merupakan "loyal servants" bagi Empayar British, dahulu dan sehingga kini, dan kini ditambah pula jadi khadam Amerika dan sekutunya, Bahkan Raja Abdul Aziz menerima gaji bulanan berjumlah 5,000 paun sterling daripada British mulai tahun 1917. Selain daripada itu, Kerajaan British telah menganugerahkan "knighthood" kepada Raja Abdul Aziz, bahkan Raja Fahd pun dapat anugerah tersebut. Mungkin sebab "zuhud" kot, agaknya Raja Fahd tak guna gelaran "Sir" ataupun dia dok suka dengan gelaran "Jalaalatul Malik". Mende le Wahhabi ni, kita sebut Sayyidina untuk Junjungan Nabi s.a.w. dia murka, yang kome agungkan sangat Raja kome kami tak kata apa pun. Itu lagi besar punya bid`ah.

Walau apa pun Raja Fahd dah pergi menemui Penciptanya, tetapi kebenaran harus dan perlu diketahui ramai. Hensem tak Fahd dengan berkalungkan pingat salibiyyah di lehernya ? Apa pulak fatwa ulama Wahhabi gamaknya, kalau orang pakai azimat tentu mereka terus tuduh kafir dan syirik. Kalau pakai salib, nak kata apa ? Kalau tuan-tuan dan puan-puan nak tengok lagi gambar warna kesegakan Raja Fahd dengan pingat kebesarannya boleh carilah buku "Custodian of the Two Holy Mosques King Fahd bin Abdul Aziz", Guernsey, Channel Islands, 2001, p. 214, karya Dr. Fouad al-Farsy.

Berikut petikan dari buku Dr. Hamid Algar "Wahhabism: A Critical Essay", mukasurat 38 - 39:-
  • The first contact was made in 1865, and British subsidies started to flow into the coffers of the Saudi family, in ever growing quantity as World War One grew closer. The relationship fully matured during that war. In 1915, the British signed with the Saudi Ruler of the day, 'Abd al-'Aziz b. Sa`ud (Ibn Sa`ud), one of those contracts with their underlings that were euphemistically known as "treaties of friendship and cooperation". Money was, of course, the principal lubricant of friendship and cooperation, and by 1917 the Saudi ruler was receiving five thousand (5,000) pounds a month, not a bad sum for a junior hireling of the British Empire. However, the British also graciously saw fit to confer a knighthood on the champion of Wahhabism. (In later years these formalities continued to be observed; in 1935, 'Abd al-'Aziz b. Sa`ud was made a Knight of the Order of the Bath. Likewise, when visiting Queen Elizabeth in 1986, King Fahd, "Custodian of the Two Holy Mosques," was photographed with the cruciform insignia of a British knightly order hanging round his neck.)

Allahummashuril Islam wal Muslimin bijaahi Sayyidil Mursalin.

Rabu, Disember 28, 2005

Istighatsah - Fatwa Imam ar-Ramli

Ikhwah, kuperturunkan fatwa Imam ar-Ramli (yakni Imam Syihabuddin Ahmad bin Hamzah ar-Ramli al-Anshari dan diikuti oleh anakandanya Imam Syamsuddin Muhammad ar-Ramli al-Anshari pengarang "Nihayah" yang masyhur). Fatwa ini kupetik dari himpunan fatwa Imam Syamsuddin ar-Ramli yang dicetak di tepi himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang berjodol "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah". Pada jilid 4, mukasurat 382 - 383 tertulis (kira-kira bererti dengan terjemahan bebas):-
  • (Ditanyai) mengenai apa yang dilakukan orang awam dari ucapan mereka sewaktu kesusahan "Ya Syaikh Fulan", "Ya RasulAllah", dan seumpamanya dari ucapan-ucapan istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin, maka adakah perkara ini jaiz (harus) atau tidak ? Dan adakah bagi para rasul, para nabi, para wali, sholihin dan masyaikh pertolongan (yakni memberi pertolongan) selepas mereka mati, dan apakah yang rajih pada yang demikian ?

  • (Maka dijawab) Bahawasanya istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin adalah HARUS. Dan bagi para rasul, para nabi, para wali dan sholihin pertolongan selepas mereka mati kerana bahawasanya mu'jizat para nabi dan karamat para wali tidak putus dengan matinya mereka. Adapun para nabi maka mereka hidup di dalam kubur-kubur mereka, sembahyang mereka dan berhaji mereka seperti yang warid diberitakan dalam beberapa hadis, dan jadilah pertolongan daripada mereka mu'jizat bagi mereka. Para syuhada` juga hidup, disaksikan mereka itu dengan jelas memerangi segala kuffar. Adapun para wali maka ianya adalah karamah bagi mereka. Sesungguhnya Ahlul Haqq berpegang bahawasanya berlakunya karamah para wali dengan niat (sengaja) mereka atau tanpa ada sebarang niat adalah suatu perbuatan yang mencarik adat yang dilakukan oleh Allah ta`ala dengan sebab mereka. Dalil atas harusnya perkara ini berlaku adalah kerana ianya termasuk dalam perkara mumkin, oleh kerana itu tidaklah menjadi mustahil ianya untuk berlaku, maka setiap perkara seperti atas adalah harus untuk berlaku. Antara dalil berlakunya karamah ialah kisah Siti Maryam dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya sebagaimana diceritakan dalam al-Quran; kisah Sayyidina Abu Bakar dengan tetamu-tetamunya sebagaimana tersebut dalam kitab hadis shohih; kisah Sungai Nil banjir dengan sebab surat Sayyidina 'Umar; kisah Sayyidina 'Umar sedang atas mimbar di Madinah dapat melihat tenteranya di Nahawand serta boleh berbicara dengan panglimanya, di sini juga dapat diambil sebagai karamah bahawa tentera tersebut dapat mendengar kata-kata Sayyidina 'Umar sedangkan antara mereka dengan Sayyidina 'Umar jarak perjalanan 2 bulan; kisah Sayyidina Khalid meminum racun tanpa memberi mudarat. Dan telah berlaku berbagai perkara mencarik adat atas tangan para sahabat dan para tabi`in dan orang-orang yang selepas mereka yang tidak mungkin untuk diingkari ketawaturannya yang telah disepakati. Sebagai kesimpulannya, apa yang harus berlaku sebagai mu'jizat untuk nabi, haruslah berlaku sebagai karamah bagi wali. Tiada perbezaan antara keduanya selain daripada at-tahaddi ("mencabar" yakni mu'jizat itu sifatnya mencabar musuh atau melemahkan musuh).

Nak puas lagi sila rujuk perkataan asal Imam ar-Ramli. Tapi bodo - bodo aku pun faham bahawa istighatsah itu harus di sisi Imam ar-Ramli dan begitulah juga di sisi ulama-ulama kita yang lain. Inilah kedudukannya dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah.

Ada ustaz yang mengajar bahawa tawassul dan istighatsah itu benda khilaf, ada kata boleh ada kata tak boleh. Bagi aku ini tak 100% tepat dan amanah dalam menyampaikan ilmu. Khilaf memang khilaf, bi la kalam, tetapi kena faham kedudukan khilafnya, kena terang mana pendapat jumhurul ulama dan mana bukan. Ada pulak yang ajar songsang terbalik, pendapat jumhur dikatakan bukan jumhur, pendapat Ibnu Taimiyyah dan konco-konconya dikatakan pendapat jumhur, tak ke pening kepala kita.

Sebenarnya, JUMHUR ULAMA AHLUS SUNNAH WAL JAMA`AH mengharuskan dan membolehkan bahkan memandang baik amalan bertawassul dan beristighatsah dalam berdoa kepada ALLAH. Cuma segelintir kecil yang menolaknya seperti Ibnu Taimiyyah dan yang sewaktu dengannya. Jadi Pak-Pak Ustaz nak mengajar biar betul, biar amanah. Kalau kamu tak suka bertawassul itu hak kamu, tapi jangan sembunyi fakta sebenar. Umat yang bertawassul dan beristighatsah itu punya sandaran dan pegangan kuat kepada JUMHURUL ULAMA.

Ya Haqqu Ya Haqq, Unshurniy 'alal-haqq

Tuan Guru Ayah Dir Sekam

Nama penuhnya ialah Syaikh 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin Utsman. Tokoh mutakhir Fathani Darus Salam (sehingga penghujung abad 20) yang paling banyak menulis. Lahir pada 1340H /1921M di Kampung Sekam. Memulakan pendidikan awalnya di Pondok Balur sebelum menyambung di Pondok Kubang Pasir dan kemudian di Pondok Pusan, Perigi. Setelah mengitari 3 buah pondok di Fathani, beliau pergi ke Kelantan dan berguru dengan Tuan Guru Haji 'Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payung yang masyhur itu. Selain daripada itu, beliau juga berguru dengan Tok - Tok Guru sekitar Kota Bahru seperti dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Muhammad Nur Penambang. Setelah itu, beliau menyambung pengajian di Makkah dan berguru di sana dengan Syaikh Ismail bin 'Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da 'Eil) dan guru-guru bangsa 'Arab yang lain. Beliau berada di Makkah selama 5 tahun.

Apabila pulang ke pulang ke tanahairnya, beliau membuka pondok di Kampung Wakaf Budi, Sekam. Selama menjadi guru pondok, beliau terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu Ushul ('Aqidah). Ayah Dir menjadi pengasuh Pondoknya "al-Ma'had al-Islamiy" sehingga ke akhir hayatnya, kira-kira selama 35 tahun lamanya. Selama waktu ini, beliau berjaya muncul sebagai salah seorang ulama Fathani yang disegani. Kerana reputasinya yang sebegini, tidak hairan jika beliau dijemput menganggotai Lujnah Ulama Fathani oleh Majlis Agama Islam Fathani. Ayah Dir meninggal dunia pada pagi Khamis 18 Rabi`ul Awwal 1412 (26 September 1991).

Beliau rajin menulis dan mengarang kitab. Antara kitab karangannya ialah:-

  1. "Asasul I'tiqaad";
  2. "Taqribul Ikhwan fi ta'limi 'aqa-idul iman";
  3. "Tashiludh-Dhu`afa` wa radd ba'adh aqwal as-Sufaha`";
  4. "Ta'limul Awlad fi dzikri ba`adh ahwal al-'Ibad";
  5. 'Tadzkiratu li dzawil afkar fi ma yamurru bil insani minal a'maar";
  6. "Wasaailu 'ilmil kalam";
  7. "Risalah Minhaj Ahlis Sunnah";
  8. "Irsyadul Jawiyyin ila sabilil-ulama-il 'amiliin".

Kitab "Irsyadul Jawiyyin" (lihat gambar) mengandungi bahasan mengenai kesesatan dan kesilapan Wahhabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu dan sekarang-sekarang.

Al-Fatihah untuk Ayah Dir Sekam al-Fathani dan guru-gurunya.

Selasa, Disember 27, 2005

Istighatsah - Fatwa Syaikh Daud al-Fathani


Ikhwah, kupetik fatwa Syaikh Daud al-Fathani rhm. dari kitabnya "Furu' Masa-il" yang merupakan nukilan fatwa Syaikh Jamaluddin Ahmad ar-Ramli al-Kabir, yakni ayahanda kepada Syaikh Syamsuddin Muhammad ar-Ramli (Imam Ramli) yang turut dimuatkan dalam fatwa anaknya tersebut, lain kali aku postkan fatwa Imam ar-Ramli tersebut. Kata Syaikh Daud pada mukasurat 10 - 11, jilid 1:-
  • (Su-ila r.a) Tiada barang yang jatuh daripada orang yang awam daripada kata mereka itu tatkala kedatangan kesukaran dan kesakitannya "Ya Sayyidi Ya RasulAllah" atau "Syaikh Fulan" dan yang seumpamanya daripada teriak minta tolong dengan anbiya` dan mursalin dan awliya`Ullah ash-sholihin dan ulama, maka adakah harus yang demikian itu atau tiada harus, dan adakah bagi mursalin dan anbiya` dan awliya` dan sholihin dan masyayikh menolong kemudian daripada mati mereka itu, apa yang terlebih rajih pada yang demikian itu ?

  • (Maka dijawabnya) Dengan bahawasanya minta tolong dengan anbiya` dan mursalin dan awliya` dan sholihin HARUS dan adalah bagi mereka itu tempat minta tolong kemudian daripada mati mereka itu kerana mu'jizat anbiya` dan karamah awliya` tiada putus dengan mati mereka itu. Adapun anbiya` maka mereka itu hidup ia di dalam kuburnya, sembahyang mereka itu dan haji mereka itu seperti barang yang datang warid bagi beberapa akhbar dan jadilah menolong itu mu'jizat baginya. Dan adapun syuhada` demikian pula ia hidup di dalam kubur seperti barang yang dilihat dengan nyata datang berperang pula dengan kuffar. Dan adapun awliya` maka iaitu karamah bagi mereka itu. Maka bahawasanya kata Ahlul Haqq bahawasanya jatuh daripada awliya` dengan qasad dan dengan tiada qasad pekerjaan mencarikkan bagi adat dan dilakukan Allah ta`ala dengan sebab mereka itu disampaikan hajat kerana adalah yang demikian itu pekerjaan yang mumkin tiada muhal, maka tiap-tiap ada inilah kelakuannya, maka tanda adalah pekerjaan itu sudah dilihat akan jatuhnya ialah tanda harus seperti yang telah diceritera datang Sungai Nil dengan dijatuhkan surat Sayyidina 'Umar dan ceritera Siti Maryam dan lainnya. Intaha daripada Fatwa Syaikh Ahmad ar-Ramli al-Kabir.

Harap ikhwah sekalian faham Bahasa Melayu Syaikh Daud al-Fathani tersebut. Kalau tak faham tanyalah dengan Tok Guru yang faham, jangan tanya dengan Ustaz Wahhabi nanti lain pulak tafsirannya. Khulasah penting fatwa tersebut dapat dirangkaikan seperti berikut:-

  1. Istighatsah / Minta Tolong / Teriak Minta Tolong, contohnya "Ya RasulAllah, tolong bantu aku", "Madad Ya Sidi Ahmad" dan sebagainya, hukumnya HARUS, bukan syirik.
  2. Tetap dihukumkan harus beristighatsah dengan para nabi, para wali dan sholihin walaupun mereka telah meninggalkan dunia yang fana ini.
  3. Mu'jizat para nabi dan karamah para wali tidak putus dengan mati mereka. Jadi tak ada istilah nabi atau wali "pencen" dalam kamus kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
  4. Allah ta`ala adalah Pembuat / Pelaku / Fa`il dalam setiap perkara.

Allahu a'lam