Rabu, Disember 28, 2005

Tuan Guru Ayah Dir Sekam

Nama penuhnya ialah Syaikh 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin Utsman. Tokoh mutakhir Fathani Darus Salam (sehingga penghujung abad 20) yang paling banyak menulis. Lahir pada 1340H /1921M di Kampung Sekam. Memulakan pendidikan awalnya di Pondok Balur sebelum menyambung di Pondok Kubang Pasir dan kemudian di Pondok Pusan, Perigi. Setelah mengitari 3 buah pondok di Fathani, beliau pergi ke Kelantan dan berguru dengan Tuan Guru Haji 'Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payung yang masyhur itu. Selain daripada itu, beliau juga berguru dengan Tok - Tok Guru sekitar Kota Bahru seperti dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Muhammad Nur Penambang. Setelah itu, beliau menyambung pengajian di Makkah dan berguru di sana dengan Syaikh Ismail bin 'Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da 'Eil) dan guru-guru bangsa 'Arab yang lain. Beliau berada di Makkah selama 5 tahun.

Apabila pulang ke pulang ke tanahairnya, beliau membuka pondok di Kampung Wakaf Budi, Sekam. Selama menjadi guru pondok, beliau terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu Ushul ('Aqidah). Ayah Dir menjadi pengasuh Pondoknya "al-Ma'had al-Islamiy" sehingga ke akhir hayatnya, kira-kira selama 35 tahun lamanya. Selama waktu ini, beliau berjaya muncul sebagai salah seorang ulama Fathani yang disegani. Kerana reputasinya yang sebegini, tidak hairan jika beliau dijemput menganggotai Lujnah Ulama Fathani oleh Majlis Agama Islam Fathani. Ayah Dir meninggal dunia pada pagi Khamis 18 Rabi`ul Awwal 1412 (26 September 1991).

Beliau rajin menulis dan mengarang kitab. Antara kitab karangannya ialah:-

  1. "Asasul I'tiqaad";
  2. "Taqribul Ikhwan fi ta'limi 'aqa-idul iman";
  3. "Tashiludh-Dhu`afa` wa radd ba'adh aqwal as-Sufaha`";
  4. "Ta'limul Awlad fi dzikri ba`adh ahwal al-'Ibad";
  5. 'Tadzkiratu li dzawil afkar fi ma yamurru bil insani minal a'maar";
  6. "Wasaailu 'ilmil kalam";
  7. "Risalah Minhaj Ahlis Sunnah";
  8. "Irsyadul Jawiyyin ila sabilil-ulama-il 'amiliin".

Kitab "Irsyadul Jawiyyin" (lihat gambar) mengandungi bahasan mengenai kesesatan dan kesilapan Wahhabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu dan sekarang-sekarang.

Al-Fatihah untuk Ayah Dir Sekam al-Fathani dan guru-gurunya.

Tiada ulasan: