Rasyid Ridha - Komen Mufti Brunei 2
- Sila lihat bid`ah Rasyid Ridha al-Qalamuni dalam majalah "al-Manar" yang disalin oleh Syaikh Syaltut dalam perkara Nabi Isa a.s. turun ke dunia pada akhir zaman dari langit. Kata Rasyid Ridha al-Qalamuni:- "Tiada ada nas yang shorih tegas pada menyatakan turun Nabi Isa dari langit. Hanya itu 'aqidah kepercayaan kebanyakan orang-orang Kristian. Sesungguh mereka telah mencuba sepanjang zaman dari semenjak zahir Islam pada menyebarkan 'aqidah itu dalam kalangan umat Islam." Kata al-'Allamah al-Kawtsari dalam "Nadhzratun 'Aabiratun fi Mazaa'imi man yunkiru nuzula 'Isa 'alaihis salam" : "Tuan lihat fikiran yang rapuh daripada Rasyid Ridha dengan membabi buta tuan punya majalah "al-Manar" itu mengatakan bahawa orang-orang Kristian mencuba menyebarkan 'aqidah itu dalam kalangan umat Islam dari semenjak zahir Islam. Apabila dibandingkan yang demikian itu dengan betul dan benar akan turun Nabi Isa a.s. dari langit dalam hadis-hadis yang datang daripada Rasulullah s.a.w., yang diriwayatkan oleh 30 orang sahabat r.'anhum dengan sanad-sanad dan jalan-jalan (thuruq) yang betul benar, yang telah diriwayatkan dan disebutkan dalam kitab-kitab shohih, dan kitab-kitab sunan, dan kitab-kitab masaanid, dan kitab-kitab majaami` dan mushannifaat dan lain-lain kitab hadis. Maka nyatalah diketahui bahawa orang yang berkata tiada sabit turun Nabi Isa a.s. itu bahawa ia mendalam (menyelam) dalam lubuk batil dan salah. Adakah tuan fikir bahawa Sayyiduna al-Musthofa Rasulullah s.a.w. itu bersabda dengan perkara-perkara yang dicubakan oleh orang-orang Nasrani dan Kristian pada menyebarkan kepada umat Islam ? Adakah sahabat-sahabat r.'anhum boleh terpedaya dengan percubaan orang-orang Kristian hendak men(per)dayakan mereka ? Adakah ulama-ulama hadis dan ulama-ulama besar Islam boleh tertipu dengan daya helah orang-orang Kristian itu, kemudian ulama itu meriwayat dan menuliskan dalam kitab-kitab karangan mereka dari awal-awal Islam dengan jalan tawatur (sekata) ?"
- Itulah perkataan al-'Allamah Rasyid Ridha yang diikut dan jadi dalil bagi al-'Allamah Syaltut dan Syalabi pada menolak perkara turun Nabi Isa a.s. dari langit ke dunia pada akhir zaman dan membunuh al-Masih ad-Dajjal laknatUllah 'alaih. Perkataan Rasyid Ridha adalah menuduh Rasulullah mengikut orang Kristian dan menuduh sahabat-sahabat, ulama-ulama hadis dan ulama besar Islam ditipu daya oleh Kristian, apakah ini suatu sesat dan dhalal daripada Rasyid Ridha yang membangkang Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat dan ulama-ulama Islam dan umat Islam. Maka sayogia pengikut-pengikut Ibnu Taimiyyah itu menerangkan dengan luas kepada ramai akan pendapat Rasyid Ridha yang sesat itu. Kalau mengikut al-Imam Malik, maka asy-Syaikh Rasyid itu dipancung kerana menyentuh maqam Rasulullah s.a.w. yang amat tinggi dan mulia itu.
Eh...eh..eh, garangnya Pehin Mufti. Nasib baik Rasyid Ridha di Mesir, kalau di Brunei siap dia. Begitulah ikhwah, pandangan Syaikh Rasyid Ridha, Syaikh Abduh dan Syaikh Syaltut (tetapi kata Pehin Mufti Syaikh Syaltut sempat bertaubat dan rujuk balik pendapat-pendapatnya yang menyalahi Ahlus Sunnah wal Jama`ah). Kepada Sunniyyun Syafi`iyyun, aku nasihatkan berpeganglah kepada ulama-ulama kita yang lebih 'alim dan lebih hebat perjuangan dan jasa mereka terhadap Islam dan umatnya. Kepada yang taksub kepada Rasyid Ridha dan sebagainya, eloklah pelajari betul-betul pandangan Rasyid Ridha tersebut dan berfikirlah secara terbuka, ingat Islam kaya dengan ulama yang ikhlas selain daripada Rasyid Ridha, Abduh, Hamka, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan