Hari ini 7 Dzul Qaedah merupakan hari kewafatan Imam Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad al-Haddad. Mari kita hadiahkan bacaan al-Fatihah dan Suratul Ikhlash 11 x buat beliau, agar kita memperolehi keberkatan beliau. Berkat yang bersambung kepada datuknya Junjungan Nabi s.a.w. Keberkatan ilmu dan dakwah beliau menjadi antara sebab bersinarnya cahaya Islam sehingga menerangi alam Melayu.
Ilmu dan dakwahnya tersebar melalui anak-anak murid dan anak-anak keturunannya sehingga ke Nusantara. Ulama-ulama kita di Tanah Jawi kerap menukil ilmu-ilmunya dalam kitab-kitab mereka. Contohnya, Syaikh Abdus Shomad al-Falimbani dalam kitab "Hidayatus Salikin"nya dan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni dalam "Wusyah al-Afrah"nya.
Imam al-Haddad mempunyai karangan-karangan yang bernilai tinggi, antara yang masyhur ialah "Nashoih Diniyyah"nya yang merupakan saduran dan pati ajaran Imam Hujjatul Islam al-Ghazali dalam kitab-kitabnya terutama sekali kitab "Ihya' 'Ulumiddin". Sebahagian ulama mengumpamakan kitab "Nashoih" itu sebagai huruf "ha`" bagi "Ihya`", yakni membawa erti bahawa Nashoih itu memperjelaskan ajaran "Ihya`".
Imam al-Haddad memberikan penghargaan besar dan tinggi kepada kitab-kitab Imam Hujjatul Islam al-Ghazali, yang dianggap oleh Imam al-Haddad sebagai satu-satunya ulama yang disifatkan sebagai Hujjatul Islam. Antara pujiannya untuk kitab "Ihya`"ialah:- "Dengan Ihya` Ulumiddin hiduplah hati kami; Hilanglah semua kesusahan dan semua duka di hati; Kitab yang di dalamnya penuh dengan ilmu bermanfaat; Pengarangnya guru kami dan tabib kami; Kitab yang penuh di dalamnya ilmu al-Qur`an dan sunnah; Warisan para salaf dan imam terdahulu yang merupakan pegangan kami.
Mudah-mudahan kita tidak mensia-siakan berkat Imam al-Haddad. Keberkatan yang amat diperlukan untuk bertaqarrub kepada Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan