Penindasan Ulama di Haramain
Ikhwah, setelah penaklukan dan penjajahan puak Wahhabi terhadap Hejaz, ulama-ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah ditindas dan dinafikan hak mereka untuk mengajar dalam dua masjid yang mulia, Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi. Bahkan tidak sedikit ulama kita dihalau keluar dari Tanah Haram dan ramai pula yang melarikan diri kerana khuatir dibunuh seperti Syaikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang terpaksa menyingkir ke Singapura pada tahun 1924M. Antara yang ditegah mengajar di Masjidil Haram ialah Almarhum Buya Habib Muhammad bin Alawi bin 'Abbas bin 'Abdul 'Aziz al-Maaliki al-Hasani yang amat dimusuhi oleh puak Wahhabi yang dikepalai oleh Mufti Bin Baz. Berhubung dengan tegahan terhadap beliau, ianya bukanlah rahsia tetapi diketahui umum. Ulama al-Azhar telah menghantar "petisyen" untuk membolehkan beliau mengajar di Masjdil Haram, tetapi tidak dilayan oleh Wahhabi sebagaimana biasanya. Bahkan ada cobaan untuk menghalau beliau keluar dari Makkah tetapi gagal kerana tidak mendapat restu daripada Raja Fahd.
Antaranya lagi ialah Syaikh 'Abdur Rahman al-Juhani asy-Syafi`i, pengarang kitab "Qatf al-Thimar fi Ahkam al-Hajj wa al-I'timar" yang dihalang dari mengajar dalam Masjidin Nabawi yang mulia. Begitu juga yang berlaku kepada Syaikh 'Abdullah Sa`id al-Lahji asy-Syafi`i dan Syaikh Isma`il Utsman az-Zain asy-Syafi`i.
Begitulah "toleransi dan tasamuh" yang telah ditunjukkan puak Wahhabi kepada ulama-ulama kita. Aku teringat tahun 1986, kali pertama aku memijak kaki ke bumi Hejaz, aku dimaklumkan oleh saudaraku yang bermukim di sana dari keturunan Fathoni dan menjadi murid kepada Allahyarham Syaikh Sholeh anak Tok Kenali bahawa pernah Kerajaan Saudi menangkap beberapa ulama Fathoni untuk dihantar balik ke Siam demi bermuka-muka dengan Kerajaan Siam.
Puak-puak inikah yang kita hendak biarkan bertapak di bumi Malaysia tercinta ? Mereka ini seperti Syiah, lembut bila tak berkuasa, tetapi bila sudah berkuasa habis kita ditekannya. Sebelum apa yang berlaku di al-Haramain berlaku di sini, elok cegah sebelum parah. Bak kata Habib Abdullah al-Haddad, perumpamaan Rafidhah (baca Syiah, bukan Rafidah Aziz) dan Khawarij itu seperti taik unta dibelah dua, yakni dua-dua taik unta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan